"Oi, Syahmi! Anak emas Guru Andika! Oh, lupa, kau memang anak dia pun." Lawak tidak bertempat orang yang menengkingku itu disambut dengan hilai-tawa daripada rakan-rakannya.
"Mana perginya kekuatan kau ah? Sebelum ni bukan main lagi kau, kan dalam gelanggang, kan!" Dengan sinis sekali seseorang menyampuk kata-kata rakannya tadi.
Salah seorang yang duduk paling hampir denganku melayangkan penumbuk tepat ke perutku. Senak dibuatnya perutku seketika. Tidak cukup dengan itu, tumbukan terus dilepaskan bertubi-tubi ke segenap inci tubuhku. Hanya bahagian mukaku sahaja yang belum diusik.
Aku cuba untuk melawan. Tanganku yang diikat ke belakang ke tiang sedang berusaha meleraikan ikatan yang membelenggu. Namun begitu, pada waktu itu aku masih tidak mahir untuk melepaskan diri daripada ikatan. Jadi, pada waktu itu aku mengalami kesukaran untuk melepaskan diri sehingga hanya mampu membiarkan tubuhku dibelasah dengan teruk.
"Dahlah tu! Kasi chance kat aku pula. Aku pun nak juga belasah dia!" pinta rakannya yang sedari tadi hanya memerhati.
Orang yang menumbukku bertubi-tubi tadi menghentikan perbuatannya. Dia nampaknya puas melampiaskan amarahnya kepadaku. Dia memberi kebenaran kepada orang lain pula untuk menyambung tugas membelasahku.
Malam itu, mereka semua membelasahku tanpa belas kasihan secara bergilir-gilir. Tubuhku dikerjakan sampai lembik. Seluruh tubuhku terasa sakit. Bahagian mukaku sudah habis lebam dek ditumbuk dan ditampar berulang-kali.
Setelah puas membelasahku, kini mereka menyambung serangan mereka ke atasku dalam bentuk ejekan.
"Aku ingat kuat sangat anak Guru Andika ni! Lembik rupanya! Kau tengok sekarang apa jadi pada dia!" ejek ketua mereka dengan disambut gelak-tawa daripada yang lain.
"Ei, Syahmi! Kau ingat dengan status kau sebagai anak Guru Andika, kami takutlah!" ujar salah seorang sambil mendekatkan mukanya ke arahku. Kepalaku ditunjal ke tiang di belakangku.
Aku cuba menggerakkan bibirku untuk melawan, tetapi suara seperti tersekat di kerongkong. Tidak mahu keluar. Aku sudah tiada tenaga untuk mengeluarkan suara lagi. Dua ulas bibirku juga sudah pecah dan mengeluarkan darah.
"Oi, jawablah! Bisu ke? Ke kau tidur ni?" Dia mengambil sebaldi air lalu disimbah ke mukaku.
Tatkala air itu bersentuhan dengan wajahku, luka-luka yang ada di muka terasa pedih. Satu penumbuk dilayangkan lagi tepat mengenai mukaku. Aku dapat rasakan ada cecair hangat yang mengalir di bibirku yang pecah.
"Syahmi! Oi, Syahmi! Jawablah, kau tidur ke?" Lelaki yang berada di hadapanku ini cuba mengejutkan aku sambil menampar kasar pipiku.
"Dah mati ke dia tu? Tak jawab pun kau panggil dari tadi?" soal rakannya yang berada di sebelah.
Melihatkan aku yang tidak memberi sebarang reaksi, mereka ingin menyimpulkan bahawa aku sudah mati. Mungkin mereka akan tinggalkan aku bersendirian di kilang lama ini. Mungkin aku boleh gunakan peluang ini untuk melarikan diri. Mungkin juga aku patut pasrah sahaja menanti maut yang bakal menjemputku tidak lama lagi.
"Cepat betul kau ni mati, ya Syahmi? Tak seronoklah macam ni."
Kepalaku yang terkulai diangkat dengan merentap rambutku kasar. Aku sudah begini lembik pun mereka masih mahu membelasah aku. Sungguh mereka tidak berhati perut.
"Kalau macam tu kita proceed jelah dengan rancangan kita." Salah seorang daripada mereka memberi cadangan. Aku menjadi tertarik mendengar kata-kata itu. Apa maksud mereka dengan rancangan itu?
Setelah mereka menyetujui untuk meneruskan rancangan mereka, aku lihat mereka semua beransur pergi meninggalkan tempat ini. Mungkin inilah peluang aku untuk melarikan diri. Dengan sisa tenaga yang masih ada, aku cuba untuk meleraikan ikatan yang membelenggu kedua-dua tanganku.
Tidak berapa lama kemudian, mereka datang semula ke tempatku. Dalam kesamaran cahaya bulan yang masuk melalui tingkap kilang ini, aku dapat lihat ada sesuatu yang panjang dan bersinar di tangan masing-masing. Aku cuba mengamatinya betul-betul. Aku dapati objek yang berada di tangan mereka itu merupakan sebilah parang.
Kepalaku didongak untuk memandang ke hadapan. Aku dapat lihat dengan jelas senyuman sinis terukir di bibir masing-masing. Nampaknya mereka serius ingin mencederakan aku dengan parang itu.
Salah seorang daripada mereka mendekati aku. Sebilah parang yang berada di tangannya dilayangkan di hadapanku. Ingin menakutkanku barangkali.
"Kalau kau kuat sangat, aku nak tengok sejauh mana kau mampu bertahan dengan serangan aku ni." Habis sahaja ayat itu dituturkan, dia terus menghayun parang itu ke arahku tanpa ragu-ragu.
Aku yang pada masa itu sudah pasrah dengan nasibku hanya mampu memejamkan mata. Aku fikir, ajalku mungkin sudah sampai. Telingaku menangkap bunyi teriakan seseorang. Tubuhku pula terasa dihentam sesuatu seperti objek tumpul, tetapi tidak pula aku terasa sakit. Mungkin deria sakitku sudah tidak berfungsi agaknya.
Aku masih tidak berani untuk membuka mataku, lalu aku pejam sahaja. Sejurus kemudian, sekali lagi aku rasakan ada objek tumpul menghentam tubuhku. Aku pelik. Apa yang mereka sedang lakukan?
"Tumpul ke parang kau tu?"
"Taklah, tadi aku dah asah bagi tajam dah."
"Dah tu kenapa tak lut?" Aku dapat dengar ada ketakutan terbit dari nada suaranya ini.
Perlahan-lahan aku buka mataku seluas-luasnya. Aku pelik kenapa aku masih hidup lagi sekarang. Aku pelik kenapa tubuhku masih tidak mengalami sebarang kecederaan yang sepatutnya akibat ditetak parang.
Seorang lagi mampir ke arahku lalu cuba menghayun parangnya. Kali ini aku tidak takut. Aku sudah betul-betul bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Ketika parang itu menyentuh tubuhku, barulah aku tahu apa objek tumpul yang menyerang sedari tadi.
Sekali lihat, parang itu kelihatan benar-benar tajam. Kenapa parang itu langsung tidak mampu mencederakan walau segenap inci tubuhku? Apa sudah berlaku?
"Eh, parang kau pun tumpul juga, ah," ujar seseorang dengan nada berseloroh.
"Dah, tak payah nak buat lawak. Sekarang bukan masa untuk bergurau," kata seorang lagi.
"Habis tu, kenapa parang kita langsung tak lut ni?" soal seseorang cemas.
Mereka semua memandang ke arahku serentak. Namun kali ini lemparan mereka berlainan sekali dengan semasa mula-mula mereka datang ke sini. Kali ini situasi sudah menjadi terbalik. Mereka pula yang sedang takutkan aku sekarang.
Tiba-tiba salah seorang meluru ke arahku dengan wajah bengis. Dia tidak kelihatan takut seperti yang lain. Tubuhku cuba ditetak dengan parangnya berkali-kali tetapi masih tidak berjaya mengalirkan darah ke tubuhku walau setitis pun.
Setelah puas menetakku berkali-kali, barulah dia menghentikan perbuatannya itu. Parangnya ditarik daripada terus mendarat di tubuhku. Dia memandangku dengan mata yang membulat tidak percaya. Parang yang berada di tangannya terlepas. Dia akhirnya akur yang parangnya itu tidak mampu untuk mencederakanku.
Rakan-rakannya yang lain turut terlepas pegangan ke atas parang masing-masing. Berdentingan bunyi parang jatuh ke atas lantai. Mereka terus memerhatikanku dengan riak tidak percaya, sambil berundur setapak demi setapak ke belakang.
Setelah mendapati jarak mereka agak jauh denganku, mereka terus berpusing membelakangiku lalu berlari sekuat hati. Berdesup mereka melarikan diri meninggalkanku seorang diri di kilang ini.
"Kalau ya pun nak cabut, lepaskanlah dulu ikatan ni," rungut aku seorang diri.
Lama juga aku cuba meleraikan ikatan di tangan dan kakiku, namun tidak berhasil. Akhirnya aku pasrah menanti apa jua nasib yang bakal tiba.
Tidak berapa lama kemudian, orang-orang kampungku yang diketuai ayah bersama beberapa orang polis menemui lokasiku di kilang ini. Mungkin mereka yang menculikku tadi telah insaf dan mengakui kesalahan mereka lalu memberitahu lokasi di mana aku disorokkan.
Salah seorang pegawai polis berjalan menghampiriku lalu melepaskan ikatan di seluruh tubuhku. Terlepas sahaja ikatan, aku terus terduduk lemah di atas simen yang sejuk.
"Syahmi!" Telingaku menangkap suara seseorang memanggil namaku. Namun aku terlalu lemah untuk mengangkat wajah dan melihat siapakah gerangan yang memanggilku itu. Lambat-lambat tubuhku rebah sebelum kegelapan menguasai pandanganku.
***
Aku tersedar semula di hospital. Ayah setia menantiku di sisi sampai tertidur di birai katil. Doktor memberitahuku bahawa tubuhku hanya mengalami sedikit kecederaan akibat ditumbuk dan ditendang berkali-kali. Aku bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan dalaman.
Mengenangkan keajaiban kerana terselamat daripada ditetak menyebabkan aku tersenyum sendiri. Tubuhku kebal terhadap senjata tajam, tetapi tidak kebal terhadap serangan dalam bentuk tumbukan dan tendangan.
"Syahmi, kamu dengar tak ni?" Doktor itu dan ayah sudah memandang pelik ke arahku.
Aku ingin menceritakan apa yang aku alami kepada doktor itu tetapi khuatir akan dituduh penipu pula nanti. Jadi, aku diamkan sahaja dan hanya membalas dengan gelengan di kepala. Setelah doktor itu berlalu pergi, barulah aku berhasrat ingin menceritakan segalanya kepada ayah.
"Ayah, ayah tahu tak ...."
"Ya, ada apa Syahmi." Ayah yang pada waktu itu sedang mengupas buah epal menyahut panggilanku tanpa memandang ke arahku.
"Malam tu, mereka semua cuba tetak Syahmi dengan parang ...." Bicaraku terhenti, teragak-agak untuk menyambung ceritaku.
"Lepastu?" pinta ayah dengan tenang. Dia sudah berkalih pandang ke arahku. Bersedia untuk mendengar cerita.
"Syahmi tak cedera langsung. Parang tu jadi tak lut. Tubuh Syahmi kebal ke ayah?" soalku naif.
Ayah menarik nafas dalam sebelum menjawab, "Syahmi, tubuh Syahmi tak cedera sebab Tuhan tak izinkan ianya berlaku."
Aku berkerut dahi. Tidak faham dengan penjelasan sekerat jalan daripada ayah.
"Syahmi kena ingat, semua perkara yang terjadi di dunia ini semuanya dengan izin-Nya. Kalau Tuhan tak izinkan sesuatu perkara tu berlaku, buatlah macam mana sekalipun ia tetap takkan berlaku. Sebaliknya, bila Tuhan berkehendak akan sesuatu perkara, buatlah macam mana sekalipun untuk menghalang, ia tetap akan berlaku juga," terang ayah dengan penuh berhemah.
Aku mendengar dengan khusyuk, walaupun aku tidak berapa faham apa perkaitan penjelasan ayah ini dengan apa yang aku ceritakan tadi.
"Contohnya macam sekarang ni. Walaupun kamu dah kena culik dan kena pukul dengan teruk, tapi kamu tetap selamat di sisi ayah. Sebabnya Tuhan masih beri peluang untuk Syahmi bernafas dan hidup bersama ayah."
Sekali lagi aku mengerutkan dahi. Masih tidak faham apa yang cuba disampaikan ayah.
"Takpalah, kalau kamu masih tak faham. Suatu hari nanti kamu akan faham."
Ayah mengusap lembut kepalaku lalu menyambung semula, "Syahmi, kelebihan yang ada pada kamu tu, gunakan untuk tujuan kebaikan. Jangan salah gunakannya. Kamu faham kan, Syahmi?"
Aku mengangguk tanda faham. Walaupun dengan tenang sekali ayah menyampaikan kepadaku, tetapi ada nada ketegasan pada lantunan bicaranya.
Selepas aku keluar dari hospital, aku dapat tahu bahawa mereka yang menculikku telah menyerah diri kepada polis. Mereka didakwa atas tuduhan mencederakan dan berniat membunuh.
Selepas peristiwa itu, aku tidak banyak bicara. Aku sudah tidak menceritakan lagi akan insiden penculikan tempoh hari. Rahsia tentang kekebalanku hanya diketahui aku dan ayah sahaja. Kami berhasrat tidak mahu memberitahu sesiapapun mengenai rahsia ini. Ayah kata, dia tidak mahu aku riak dengan kelebihan ini.
Sejak dari peristiwa itu, aku seringkali menggunakan masa-masa yang terluang untuk menguji semula kuasa kekebalan tubuhku ini. Aku ingin sekali melihat kuasa itu muncul kembali buat kali kedua. Perbuatan ini aku lakukan secara senyap-senyap tanpa pengetahuan ayah.
Aku beberapa kali cuba menikam diri sendiri dengan objek tajam untuk mengaktifkan kuasaku ini. Walau bagaimanapun, apa yang peliknya, kuasa kebalku itu tidak muncul pula. Sebaliknya aku cedera seperti manusia biasa. Mungkin kuasa ini cuma aktif pada waktu-waktu tertentu atau ada syarat untuk mengaktifkannya.
Aku tidak pula bertanya kepada ayah. Aku khuatir ayah akan marah kepadaku. Ayah memang terkenal dengan sifat garangnya. Apabila ayah bertanya akan kecederaan di tubuhku, aku hanya akan menjawab kecederaan itu berpunca daripada latihanku. Ayah langsung tidak mengesyaki perbuatanku, atau ayah buat-buat tidak tahu.
Aku mencuba berbagai-bagai cara untuk mengaktifkan kuasaku tetapi gagal. Aku sehinggakan menjadi obses untuk mengkaji kuasaku ini dengan mencederakan diri berkali-kali.
Sejak ayah meninggal beberapa bulan yang lalu akibat sakit tua, aku semakin galak mencederakan diriku. Aku sudah tidak peduli lagi apa-apa. Malah, kaedah untuk aku mencederakan diri semakin ganas.
Memandangkan aku tinggal seorang diri di rumah kini, aku langsung tidak kisah untuk melakukan perbuatan itu. Emak memang telah lama meninggal sejak aku kecil lagi.
Tidak cukup dengan itu, aku cuba juga mencari maklumat-maklumat tambahan. Berbekalkan kisah-kisah luar biasa yang pernah diceritakan ayah, aku cuba mengemukakan beberapa teori untuk mengaktifkan kuasaku ini. Aku ada terfikir juga, mungkin aku mewarisi kuasaku ini daripada keturunanku.
Namun begitu, teoriku hanya sampai di situ sahaja. Aku sudah hilang arah. Aku sudah tidak tahu bagaimana lagi caranya. Aku betul-betul sudah buntu. Mungkin, aku hanya akan mengaktifkan kuasaku itu hanya pada saat-saat tertentu. Mungkin juga pada saat itu, aku berada dalam bahaya.
Aku mula mewujudkan situasi bahaya buat diriku untuk mengaktifkan kuasaku. Aku mula mencederakan diriku berkali-kali sehingga dimasukkan ke wad psikiatri. Mereka mengesyaki aku mengalami depresi kerana tidak boleh menerima kematian ayah. Memandangkan aku mula menjadi begini semenjak kematian ayah.
Pada mulanya aku ingin berdiam diri sahaja kerana khuatir mereka tidak akan mempercayaiku. Lama-kelamaan, aku memilih untuk menyuarakan alasanku untuk berbuat begitu. Semakin kuatlah hujah mereka bahawa aku memang mengalami masalah mental. Aku sudah terlampau teruk mengalami delusi sehingga aku mula percaya diriku mempunyai kuasa.
Ah, tiada gunanya aku mengemukakan alasanku. Tiada gunanya aku terus-menerus berhujah dengan mereka. Mereka ada set realiti sendiri yang mereka ingin percaya. Mereka ada persepsi sendiri yang awal-awal sudah mempersiapkan jawapan balasan kepada hujahku.
Mereka ada sistem kepercayaan yang membentuk batu pengasas kepada cara berfikir mereka. Sistem kepercayaan yang dibentuk melalui persekitaran mereka sejak lahir. Mereka hanya memilih untuk mempercayai realiti yang diperhatikan pancaindera mereka sahaja. Sedangkan mereka tidak tahu, ada lagi realiti lain yang terhijab daripada pandangan mereka.
Realiti yang tidak boleh dilihat tidak semestinya ia tiada.