Home Novelet Alternatif Anugerah
Anugerah
Hana Mizari
27/3/2018 23:25:43
31,304
Kategori: Novelet
Genre: Alternatif
S261-3

Realiti yang tidak boleh dilihat tidak semestinya ia tiada.

Sudah. Aku rasa sudah cukuplah aku mencari ke mana hilangnya kuasaku ini. Sudah cukuplah aku mencari bagaimana caranya untuk mengaktifkan semula kuasaku ini. Sudah puaslah aku mencari apa sebabnya aku dianugerahkan kuasa ini.

Cukup! Cukup! Aku tidak mahu terus-menerus dituduh gila. Aku sudah bosan menghadap tuduhan penipuan ke atasku oleh para netizen. Mungkin juga aku memang sudah gila. Mungkin juga aku sedang menipu semua orang wahai pembacaku sekalian.

Aku merenung selimut putih yang menyelimuti tubuhku ini. Nasihat doktor yang merawatku hanya melintas sekali lalu di cuping telingaku sahaja. Setelah mendapati keadaan mentalku benar-benar stabil, aku akhirnya dilepaskan daripada ikatan yang membelenggu kebebasanku. Dalam beberapa hari lagi, aku akan diberi kebenaran untuk pulang.

Setelah pulang ke rumah, aku berhasrat untuk melupakan sahaja mengenai kebolehanku ini. Aku ingin menjalani kehidupan baru. Aku juga berhasrat untuk mendengar nasihat doktor dan mendengar hujah-hujah yang mereka kemukakan.

Mungkin memang betul selama ini aku cuma berdelusi. Aku sengaja mereka-reka cerita tentang kuasaku ini untuk melarikan diri daripada masalahku yang sebenar. Mungkin juga apa yang aku pernah alami semasa diculik dahulu merupakan memori palsu. Memori itu direka otakku untuk menyorokkan memori yang sebenar.

Doktor kata, aku terlalu trauma akan kejadian itu sehingga mindaku menghasilkan memori palsu tersebut. Akan tetapi, bagaimana aku harus membuktikan kebenaran dakwaan ini? Orang yang tahu mengenai kisah ini hanya aku dah ayah sahaja. Ayah pula telah lama meninggal.

Bagaimana pula dengan saksi kejadian yang telah menculikku tempoh hari? Aku sudah lama terputus hubungan dengan mereka. Itu pun, entah mereka masih hidup lagi atau tidak. Jadi, aku sudah kehabisan sumber untuk mengesahkan memoriku itu.

Aku juga sudah mula menerima pendapat para netizen mengenai dakwaanku itu. Mungkin ada benarnya pada kata-kata mereka. Hujah mereka kedengaran logik. Mereka yang memberi pendapat itu pun bukan sembarangan orang. Rata-rata mereka terdiri daripada golongan intelek. Mungkin aku patut mendengar hujah daripada mereka sejak awal lagi. Tiadalah timbul konflik dan permusuhan antara kami.

Mereka mendakwa, kuasa-kuasa luar biasa itu hanyalah tipu muslihat yang dihasilkan melalui kecekapan tangan mereka. Tipu muslihat itu memang boleh dibuktikan dengan cara saintifik. Ada benarnya juga pada kata-kata mereka itu.

Akan tetapi, masih ada satu lagi persoalan. Kenapa mereka mesti melakukannya? Kenapa mereka mesti melakukan tipu muslihat itu? Jawapan pihak Sains mudah sahaja. Tujuan tipu muslihat itu dilakukan adalah untuk mengaut keuntungan dunia yang sedikit.

Jika aku memilih untuk menerima jawapan ini, bermakna aku menerima tuduhan mereka ke atas ayah dan saudara-maraku yang lain. Mereka semua menipu untuk mendapat keuntungan dunia yang sedikit? Keuntungan apa? Aku tidak fikir ayah dapat banyak keuntungan melalui kisah-kisah luar biasa yang diceritakannya. Jika tidak, pasti aku sudah kaya-raya sekarang.

Aku sekali lagi kembali kepada titik permulaan. Nampaknya aku tidak boleh menerima pendapat daripada sebelah pihak sahaja.

Lagipun, mustahillah nenek-moyangku hanya melakukan tipu muslihat itu untuk mendapat keuntungan atas angin. Ayah sendiri pernah berpesan bahawa aku tidak boleh meninggi diri dengan kuasa yang aku miliki ini. Itulah pesanan yang telah dititipkan nenek-moyang kami dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Ayah juga mungkin ada kuasanya tersendiri tetapi tidak pernah menunjukkannya. Ayah tidak mahu menunjuk-nunjuk dengan kuasanya. Bagi ayah, kuasa yang dianugerahkan itu tidak seharusnya digunakan untuk kepentingan diri.

Jadi, bagaimana mereka boleh memberi tuduhan bahawa kami semua menipu kerana ingin mendapat keuntungan? Bagaimana keuntungan ingin diperoleh jika kami menyorokkannya? Bukankah orang sebegitu lebih suka menunjuk-nunjuk akan kuasa luar biasanya agar disanjung tinggi oleh masyarakat?

Nampaknya, masih banyak lagi perkara yang aku perlu kaji mengenai asal-usul kuasa nenek-moyangku. Aku harus mengkaji susur-galur nenek-moyangku. Dari mana mereka memperoleh kuasa itu? Adakah secara semula jadi? Adakah mereka telah melakukan sesuatu untuk mendapatkannya?

Aku bertanya kepada saudara-maraku yang lain tentang kisah-kisah luar biasa berkaitan nenek-moyangku. Mereka ada menyebut tentang soal 'ilmu', tetapi aku tidak faham sangat apa yang mereka maksudkan dengan 'ilmu' itu.

Aku terus-menerus mengkaji. Aku tidak tertumpu kepada sumber lisan sahaja. Aku fikir aku perlu mencari lebih banyak maklumat lagi. Jika aku ingin mengkaji kisah-kisah orang terdahulu yang lebih sahih, mungkin aku perlu mendalami ilmu Sejarah. Sejarah bangsaku sendiri.

Aku mengambil bidang Sejarah semasa aku melanjutkan pengajian di universiti. Aku tidak sangka, banyak benar sejarah kehebatan silam bangsa kita yang tidak diketahui generasi muda sekarang.

Sepanjang pengajianku, aku ada mempelajari mengenai suatu adat tradisi yang diamalkan orang Melayu suatu ketika dahulu. Mungkin ini akan kedengaran janggal bagi anda semua. Adat itu adalah mencarik adat.

Apa yang dimaksudkan sebagai mencarik adat? Mencarik bermaksud mengoyak dan menyiat sesuatu. Sudah tentulah tujuan perbuatan ini dilakukan untuk membinasakan sesuatu. Adat pula membawa maksud peraturan.

Jadi, mencarik adat mungkin membawa maksud membinasakan atau melanggar peraturan sesuatu. Itu dari segi literal. Dari segi definisi pula membawa maksud segala perkara luar biasa yang dilakukan orang zaman dahulu untuk mencapai sesuatu.

Jadi, peraturan yang dilanggar itu kemungkinan besar peraturan alam. Sungguh, perkara-perkara luar biasa yang mereka lakukan memang melanggar hukum alam. Oleh sebab itulah ia susah diterima masyarakat umum zaman sekarang. Dari segi hukum Sains, perkara yang mereka lakukan itu memang mustahil untuk terjadi.

Perkara luar biasa? Adakah adat ini ada kaitan dengan keturunanku? Aku menjadi semakin tertarik pula dengan tradisi mencarik adat ini.

Jika pelanggaran hukum alam itu tidak mustahil dilakukan oleh nenek-moyangku, kenapa tidak aku? Kekebalan aku terhadap senjata tajam mungkin adalah salah satu perkara yang melanggar hukum alam.

Persoalannya di sini, bagaimana aku boleh melanggar hukum alam tempoh hari? Bagaimana aku lakukannya? Bolehkah aku melakukan perkara luar biasa yang lain? Aku sekali lagi terfikir untuk bereksperimen.

***

"Apa ni?" soalku sendiri setelah mendapati tiba-tiba sahaja kertas yang berada di hadapanku terapung begitu sahaja tanpa apa-apa tali untuk menggantungnya.

Kertas-kertas yang berada di atas meja itu aku perhatikan betul-betul dengan lebih dekat. Baru sahaja sebelah tanganku ingin mencapai kertas-kertas tersebut, persembahan tidak berbayar di hadapanku ini berakhir begitu sahaja. Kertas-kertas itu terus berterabur semula di atas meja.

Berkerut dahiku memikirkan kejadian aneh itu. Aku biarkan ingatan tentang peristiwa itu berterbangan dibawa angin lalu. Aku rasakan peristiwa itu bagaikan mimpi sahaja.

Aku cuba untuk melupakan peristiwa aneh itu, tetapi semakin lama semakin galak kejadian aneh lain berlaku di sekelilingku. Beberapa buah objek pernah terapung di sekelilingku dalam tempoh yang sekejap sebelum terjatuh. Pernah sekali, sifat fizikal air yang berada di dalam gelas berubah semasa gelas tersebut berada dalam peganganku. Air itu bertukar menjadi agar-agar.

Waktu yang lain pula, ketika aku sedang ralit memerhatikan air di dalam gelas, dengan tidak semena-menanya air di dalam gelas itu keluar. Air itu membentuk struktur seperti sfera yang terapung di udara. Seperti biasa, sfera itu hanya terbentuk seketika sebelum pecah lalu melimpahkan air di atas meja.

Sebuah tingkap kaca lutsinar pernah mengalami keretakan secara tiba-tiba ketika aku menyentuhnya. Aku pasti, sebelum kejadian aneh itu, tingkap kaca itu berada dalam keadaan baik.

Namun begitu, kejadian aneh itu semua tidak boleh melawan dengan sesuatu yang baru berlaku ke atasku. Aku telah membawa keluar sebuah objek dari alam mimpi! Aku pasti sebelum mimpi itu, objek itu tidak ada bersamaku. Sedar-sedar sahaja, objek berupa sebuah batu yang unik bentuknya itu telah berada dalam genggamanku.

Bagaimana peristiwa aneh ini boleh berlaku? Sudah tentu perkara-perkara itu melanggar hukum alam bukan?

Apa sebenarnya yang telah berlaku sehingga menyebabkan aku secara tiba-tiba boleh mengalami kejadian aneh ini? Aku cuba memutar memori beberapa hari yang lalu untuk mencari apa-apa petunjuk.

Setahu aku, beberapa hari yang lepas, tiada apa-apa perkara luar biasa berlaku melainkan suatu insiden letupan yang berlaku. Selepas insiden letupan itu berlaku berhampiran kampungku, aku dapati kepalaku terasa sakit yang amat sangat sehari selepas kejadian itu. Mungkin ini ada kaitan.

Aku tidak pasti siapa yang bertanggungjawab terhadap insiden pengeboman itu. Aku bukan percaya sangat dengan media arus perdana. Berita-berita yang berlegar di media sosial pula penuh dengan teori konspirasi yang tidak masuk akal.

Ada salah satu teori berbunyi, pengeboman itu merupakan salah satu eksperimen yang dijalankan pihak kerajaan Eurasia untuk satu projek rahsia mereka. Itu antara teori paling mengarut aku pernah dengar. Sampaikan aku sendiri pun sudah buntu untuk mencari maklumat yang sebenar.

Pada mulanya aku terfikir, sakit yang dialami di kepalaku hanyalah sakit biasa. Namun kesakitannya luar biasa sekali. Aku sehingga tertidur di atas sofa kerana menahan kesakitan di kepalaku. Sebelum itu, aku berada dalam keadaan sihat walafiat. Aku tidak mengalami sakit kepala yang luar biasa sebelum ini.

Aku tidak cukup bukti untuk membenarkan dakwaanku itu. Mungkin insiden letupan itu, kesakitan di kepala tempoh hari, dan pelbagai peristiwa aneh ini ada kaitan. Mungkin ada sesuatu pada bom itu yang mengaktifkan kuasa pada tubuhku ini. Sakit di kepala yang kurasakan tempoh hari, mungkin cuma kesan sampingannya sahaja.

Aku sudah bertekad. Jika betul telahanku itu, mungkin aku patut cuba meneroka dan mengkaji kebolehan pada tubuhku ini. Aku biarkan dahulu persoalan tentang dari mana asal-usul kuasaku ini. Aku fokus pada cara untuk mengawal kuasa ini terlebih dahulu.

Semakin hari aku semakin mahir menggunakan kuasaku ini. Namun aku tidak memberitahu tentang kuasaku ini kepada sesiapa. Aku sisip kemas rahsia ini seorang diri. Bahaya jika ada orang lain mengetahuinya.
Previous: S261-2
Next: S261-4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.