Home Novelet Alternatif Anugerah
Anugerah
Hana Mizari
27/3/2018 23:25:43
31,306
Kategori: Novelet
Genre: Alternatif
S261-4

Aku menjalani kehidupan seperti biasa pada hari-hari seterusnya. Suatu hari, segalanya berubah apabila aku terserempak dengan cubaan merompak di sebuah bank. Aku pada masa itu turut terperangkap dalam kekalutan orang ramai cuba melarikan diri. Aku menjadi salah seorang daripada tebusan kumpulan perompak bank tersebut.

Salah seorang daripada tebusan kumpulan perompak itu telah menimbulkan kemarahan daripada ketua perompak. Mereka bertindak menembak kesemua orang awam yang menjadi tebusan di dalamnya. Aku yang terkejut dengan situasi itu tidak sempat berbuat apa-apa. Telingaku menangkap bunyi tembakan tanpa henti di sekitarku.

Bertali arus bunyi tembakan kedengaran di cuping telingaku, sampailah suatu ketika suasana kembali hening. Aku membuka mataku perlahan-lahan. Apa yang terhampar di hadapanku memang mengejutkan. Bergelimpangan mayat tebusan-tebusan lain di atas lantai. Darah membanjiri segenap inci lantai.

Aku berkalih pandang ke arah para perompak yang melepaskan tembakan tadi. Mataku membuntang luas kerana berasa terkejut dan marah pada masa yang sama. Mereka semua turut melemparkan pandangan ke arahku. Daripada riak wajah mereka, aku dapat lihat kehairanan terbit dari riak wajah mereka.

Apa yang mereka hairankan? Kenapa mereka membiarkan aku seorang sahaja yang hidup?

"Kenapa kau tak mati lagi budak?" soal salah seorang daripada mereka.

Aku hanya mendiamkan diri, tidak tahu apa yang harus aku jawab.

"Ah, pedulikan! Tembak je dia!" arah ketua mereka.

Mendengarkan arahan itu, mereka semua terus menghalakan pistol masing-masing ke arahku untuk menembak. Akan tetapi, butir-butir peluru yang menyinggah di tubuhku hanya melantun-lantun sahaja. Langsung tidak menembusi atau mencederakan walau seinci tubuhku. Aku juga turut berasa hairan.

Aku menilik keadaan diriku yang tidak mengalami sebarang kecederaan. Lama aku termenung memikirkan insiden aneh itu sebelum mengukirkan senyuman sinis. Mindaku menerbitkan suatu idea. Aku terfikir untuk menyerang semula sekumpulan perompak itu.

Dengan kekuatan yang masih bersisa, aku bangkit berdiri. Mataku meliar memerhatikan persekitaran. Ingin mencari apa objek yang sesuai dijadikan senjata. Mata aku menangkap kelibat beberapa buah kerusi yang masih elok di tempatnya.

Aku berjalan tenang ke arah kerusi-kerusi tersebut lalu mencabutnya dari lantai. Kerusi itu aku lempar ke arah sekumpulan perompak yang sudah ketakutan melihat kekuatanku. Kerusi yang kulemparkan tadi mendarat di atas tubuh mereka. Memandangkan mereka semua berkumpul di suatu tempat, senanglah untuk aku menyasarkan semua sekali.

Para perompak itu tidak sempat melarikan diri. Mereka semua dihempap kerusi yang aku lemparkan tadi.

"Hidup lagi ke mereka tu?" soal aku sendiri setelah mendapati tubuh mereka langsung tidak bergerak. Aku khuatir jika aku telah terbunuh mereka tanpa sengaja.

Memandangkan pintu bank ini masih tidak berjaya dipecahkan dari luar, aku telah terperangkap di sini. Aku terus duduk bersantai di atas lantai sambil menunggu bantuan tiba.

Sebaik pintu bank berjaya dipecahkan, beberapa orang pegawai polis meluru masuk. Mereka terkejut melihat insiden di hadapan mereka. Mayat tebusan bergelimpangan di atas lantai. Kumpulan perompak tadi sedang bersusah-payah merangkak keluar dengan tubuh yang masih terasa sakit. Aku pula hanya duduk di tempatku dan membuat muka tidak bersalah.

Mereka pelik melihat kerusi yang telah tercabut dari lantai. Mereka juga hairan bagaimana aku boleh terselamat. Ketika memberi keterangan, aku menceritakan semua apa yang berlaku kecuali ketika aku melawan kumpulan perompak itu. Sudah tentulah mereka tidak akan percaya jika aku bercerita sekalipun.

***

Aku fikir, tiada siapa yang akan tahu mengenai kejadian di dalam bank itu melainkan para perompak tersebut. Mungkin mereka terlalu takut untuk menceritakan apa yang berlaku. Jikalau mereka ingin bercerita sekalipun, tiada siapa ingin percaya.

Walau bagaimanapun, aku terlupa sesuatu. Tempat seperti bank mestilah ada kamera litar tertutup. Jika kamera itu sempat merakam, pasti tembelangku akan pecah. Paling kurang pun, polis yang menontonnya akan tahu. Itu pun jika tidak ditularkan di media sosial.

Kebimbanganku terjawab apabila aku tertonton satu video yang ditularkan di media sosial. Itu pun setelah diajak rakan media sosialku untuk menontonnya. Kalau tidak dia beria-ia mengajakku, memang aku tidak mengambil kisah pun akan video tersebut. Media sosial kebiasaannya suka menularkan benda-benda bodoh.

Setelah aku menekan butang untuk memainkan video tersebut, barulah aku mengetahui apa sebenarnya yang ditularkan mereka. Peganganku terhadap telefon pintar di tangan hampir terlepas dibuatnya pada waktu itu dek terlalu terkejut. Mataku terbeliak tidak percaya.

Memang benar, kamera litar tertutup di bank tersebut telah merakam insiden aku membelasah sekumpulan perompak itu dengan kekuatan luar biasa. Video itu turut merakamkan bagaimana aku terselamat setelah ditembak berdas-das.

Setelah melihat video itu sampai habis, mataku menyorot pula pada ruangan komen. Pelbagai reaksi aku dapat lihat daripada komen-komen yang diberikan.

Para netizen mengemukakan pelbagai spekulasi. Ada juga yang hampir tidak percaya dengan apa yang ditayangkan dalam video tersebut. Mereka mendakwa, video itu mungkin telah disunting untuk menambahkan kuasa luar biasa ke atas diriku. Pada aku, lebih baik mereka mengatakan begitu. Lebih baik mereka tidak percaya.

Jika perkara ini orang lain mengetahuinya, pasti kecoh nanti dibuatnya. Bukan apa, aku khuatir jika ada pihak ingin mengambil kesempatan ke atas kuasaku ini. Nampaknya, aku harus lebih berhati-hati untuk menggunakan kuasaku selepas ini.

Ketukan di pintu bertalu-talu mengejutkan lamunanku. Telefon pintar itu aku simpan di dalam poket seluar. Pantas aku berjalan ke arah pintu. Sebaik pintu itu terbuka, aku dapat lihat beberapa orang kelihatan seperti pegawai kerajaan berdiri di hadapan pintu.

"Kamu Fayyadh Syahmi Bin Andika ke?" soal salah seorang daripada mereka. Aku dapat lihat keseriusan terpancar pada riak wajah mereka.

Air liur yang kutelan terasa kelat. Hatiku berasa tidak sedap. Dengan perlahan sekali aku mengangguk tanpa mengatakan apa-apa. Mulutku sudah terkunci dek terlalu takut.

"Boleh ikut kami?" soal orang itu lagi.

"Kenapa? Saya ada buat salah ke?" soalku mula terasa cuak.

"Kami ingin melakukan sedikit pemeriksaan. Harap kamu sudi beri kerjasama." Lelaki yang berdiri di hadapanku itu memberi kata putus sebelum menarikku secara paksa ke keretanya.

Aku hanya mampu akur menurut arahannya. Walaupun aku mampu melawan, tetapi aku menuruti sahaja untuk mengelakkan sebarang kekecohan timbul. Aku dibawa mereka ke suatu lokasi yang tidak diketahui. Di dalam kereta, aku telah ditidurkan terlebih dahulu. Katanya sebagai langkah keselamatan.

Sesampai sahaja di lokasi yang dituju, aku dibawa ke sebuah bangunan yang kelihatan seperti hospital. Aku menjalani pelbagai pemeriksaan oleh pegawai yang bertugas di situ. Aku sendiri pun hairan. Untuk apa mereka melakukan pemeriksaan ke atasku secara tiba-tiba?

Tiba-tiba suatu persoalan terdetik di benakku. Adakah mereka sudah tahu akan kuasaku? Aku yang pada waktu itu sedang duduk di sebuah ruang menunggu terus mencari jalan untuk melarikan diri. Aku memberi alasan untuk ke tandas.

Sampai sahaja di tandas, aku mencari tingkap tandas untuk keluar dari tempat ini. Memandangkan aku sekarang berada di tingkat dua, aku tidak boleh terjun sewenang-wenangnya. Aku mencari tempat berpijak di dinding luar bangunan tersebut.

Perlahan-lahan aku berjalan sambil mencari tempat yang lebih selamat untuk berpijak. Nasib baiklah tubuh aku cukup tangkas untuk menghadapi situasi sebegini. Aku cuba berpaut pada suatu saluran yang aku sendiri tidak pasti untuk tujuan apa. Aku ingin menggunakannya sebagai satu cara untuk turun ke bawah.

Setelah berjaya turun, aku menyorok di sebalik semak berhampiran. Aku harus berhati-hati agar tidak tertangkap. Akan tetapi, secara tiba-tiba sahaja salah seorang pengawal keselamatan yang meronda di kawasan ini menghampiri kawasan semak tempat aku bersembunyi. Adakah dia telah mengetahui kedudukanku?

Sejurus pengawal keselamatan itu sampai, dia terus melihat apa yang ada di sebalik semak. Sepatutnya dia sudah nampak kehadiran aku di situ. Matanya dengan mataku bertentangan. Aku hanya mampu melambai tangan sambil tersengih ke arahnya.

Fikirku, dia akan menangkapku. Akan tetapi, sangkaanku meleset. Dia terus berlalu pergi dengan riak wajah kecewa. Dia seperti tidak nampak kehadiranku di situ. Sambil menghela nafas kelegaan, benakku terdetik rasa hairan. Dia tidak nampak atau sengaja buat-buat tidak nampak?

Daripada riak wajahnya, aku dapat lihat kekecewaan jelas terpancar seperti apa yang dicarinya tidak dijumpai di situ. Walhal aku betul-betul berada di hadapannya. Aku seperti halimunan pada pandangannya. Mereka mungkin telah menyedari kehilanganku beberapa minit yang lalu dan memulakan pencarian.

Aku tidak melepaskan peluang keemasan ini. Aku terus menuju ke pagar berhampiran untuk memanjat keluar. Sejurus itu, aku melompat ke atas tanah dan meraikan kebebasanku. Di luar pagar, aku mengamati persekitaran. Nampaknya kawasan bangunan ini agak terpencil dan dikelilingi hutan.

Aku rasa lebih selamat jika aku menggunakan jalan hutan sahaja untuk menyembunyikan diri daripada mereka. Mungkin selepas ini aku tidak boleh kembali ke rumahku lagi. Aku akan terus diburu mereka. Perkara pertama yang aku perlu lakukan adalah mencari tempat persembunyian. Mungkin selepas ini aku tidak akan menjalani kehidupan yang normal lagi.

---

Tamat untuk S-261, lepasni S-232 pula. Yang nombor 1, 2 dan 3 di hujung tu takda apa, penulis terpaksa pecahkan kepada 4 bahagian sebab panjang sangat.

Previous: S261-3
Next: S232-1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.