Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
111,918
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 2

Sepanjang Ihsan berada di samping emak dan anaknya, Iman. Belum pernah dia mendengar khabar berita tentang Azza. Sungguhpun cinta Azza terhadapnya mungkin tidak bernadi lagi. Telah mati dan dikuburkan tanpa meninggalkan batu nesan. Dia tetap akan menanti. Biarpun beratus. Beribu. Atau mungkin beratus ribu kali. Cinta yang tiada pusara itu tetap bersemi di dalam dirinya. Barangkali. Ya, kebarangkaliannya, pusara itu berada di dalam dirinya. Cinta itu mungkin tertanam rapi di hatinya. Kalau tidak, masakan setiap hari. Hatinya meronta-ronta untuk membaca surat itu. Surat tinggalan bekas isterinya itu bagaikan bacaan talkin. Dibaca ketika hatinya dirundum rindu. Ketika wajah Azza datang bertamu.

Ihsan yang masih bertenggek di bendul rumah itu melemparkan pandangannya. Jauh. Melepasi pandangan Mak Lela. Di situ, dia nampak Azza. Dia nampak dirinya juga.

Azza dengan muka yang cengkung. Mata yang sentiasa berkaca, memandangnya sayu. Merayu.

“Abang... itu aje yang ada pada Azza. Kalau abang ambil jugak, kat mana lagi kita nak dapatkan duit? Azza tak bekerja bang. Kesian emak, kesian Iman. Mana nak cari duit untuk ubat lelah emak? Mana nak cari duit untuk makan minum Iman? Makan minum kita sekeluarga?”

Ihsan yang asyik menggenyeh-genyeh hidung berairnya itu bagaikan sudah dirasuk. Rayuan Azza sedikit pun tidak melembutkan hatinya. Malah dia menempis kasar tangan halus isterinya itu. Akibat tempisannya itu tubuh kecil Azza terdorong. Hampir-hampir tersungkur di sisi kirinya. Wang yang berada di dalam genggaman tangan kanannya itu dijulang. Dilarikan daripada dapat dicapai oleh Azza. Dia mengekeh-ngekeh. Kelopak matanya kelihatan hampir-hampir tertutup. Sesekali kedengaran dia menghela nafas. Panjang-panjang. Percakapannya melalut. Bau masam, hancing dan hapak tubuhnya itu amat merengsakan hidung.

Seminggu Ihsan tidak pulang ke rumah. Hilang mengikut rakan-rakannya. Melayan hidup di dalam dunia yang penuh dengan fatamorgana. Penuh fantasi. Berkhayal di bawah pengaruh dadah. Sekejap ke awan. Sekejap berpijak di bumi. Mengekeh-ngekeh. Hanyut. Dan terus hanyut dibawa alunan akal yang tercemar diracun dek najis dadah.

Hakikatnya, batang tubuh yang kurus kering itu masih tersadai di bawah pondok buruk. Di pinggir hutan belantara. Jauh daripada mata manusia. Bergelimpangan sesama mereka. Tewas. Tersungkur dengan beberapa sedut. Beberapa tiub yang disuntik. Asap, cecair dan pil benda haram yang berada di dalam badan mereka itu, cepat sahaja terus menyelinap. Menyerbu. Merosakkan otak. Maka, jadilah mereka seolah-olah mayat hidup. Bukan Zombie, tetapi mayat yang jasadnya kaku. Namun masih bernyawa. Rohnya terbang. Bebas. Memburu keseronokan yang sementara. Sementara akal ditipu oleh iblis yang bersembunyi di dalam setiap najis terlarang itu.

Apabila rohnya kembali. Mayat itu bangkit lagi. Mengutip jejak yang ditinggalkan. Mencari. Mengamuk. Memukul. Menempelak. Agar apa yang diburu. Wang. Barangan kemas. Tong gas. Barang-barang berharga yang mampu ditukarkan. Dijadikan ‘makanan’ mereka.

Begitulah Ihsan. Jauh daripada kehidupan asalnya. Dia bukan lagi Ihsan yang dididik dengan dengan pegangan asas agama yang kukuh. Bukan Ihsan yang suka membaca kisah para wali. Bukan juga anak yang gemar bercerita kisah-kisah nabi, Sahabat-Sahabat Nabi Muhammad S.A.W dan para wali kepada emaknya. Apatah lagi suami yang sentiasa balik dengan senyuman walaupun diburu beribu masalah di tempat kerja. Hilang. Hilang terus sifat penyayang. Sifat lembut. Sikap sayang. Malahan Iman, anak perempuannya juga sudah hilang tempat bermanja. Tiada lagi tempat yang boleh dikongsi masalah. Melayani naluri kanak-kanaknya. Sirna. Semua kerana benda haram itu. Meracun. Membunuh semua kebaikan Ihsan.

Ihsan memejamkan mata. Tunduk. Kesalan demi kesalan menghantui perasaannya kini. Dia seakan-akan dapat merasakan. Emaknya masih memerhatikannya. Biarlah. Itulah sikap emaknya. Sikap seorang ibu yang sentiasa peka tentang setiap inci perubahan anak mereka. Emaknya tidak pernah kenal erti berputus asa. Emaknya seorang ibu yang tidak pernah meninggalkan anaknya keseorangan. Apatah lagi untuk membuang terus. Namun, terdetik di dalam hatinya. ‘Huh... ! terlalu banyak dosaku. Dosa membiarkan emak menderita. Benar kata Azza...’ Dia bungkam seketika. Seolah-olah terfikirkan sesuatu.

“Azza...” bisiknya perlahan. Dia tidak mahu emaknya mendengar bisikannya itu. Dia malu. Malu? Ya... perasaan malu sudah mula menjelma di dalam dirinya. Ini bermakna, dia sudah kembali. Kembali kepada sikap Ihsan yang asal. Seorang pemuda pemalu dan tidak sombong. Suka menolong orang-orang yang memerlukan. Itulah label orang-orang kampung kepadanya dahulu. Seorang anak muda yang sering dijadikan ikon oleh orang-orang tua di kampungnya. Lebih-lebih lagi ketika menasihati anak-anak mereka. Ketika itu, Ihsan seolah-olah dutanya. Duta bagi menggalakkan anak-anak muda berakhlak baik. Duta bagi mengimarahkan masjid pada ketika solat-solat lima waktu.

Semua itu sebelum dia terjebak di dalam najis dadah. Setelah dia terjebak, semuanya sirna. Tiada lagi kebaikannya yang disebut-sebut. Semua yang buruk akan ditalakan kepadanya. Ayam hilang. Tiada lagi kesalahan musang. Biawak yang selalu mencuri ayam pun tidak lagi disalahkan. Itu semua kerja-kerja konco-konco Ihsan.

Dahinya dirapatkan ke atas belakang tapak tangan kanan. Dia membetul-betulkan kedudukan kedua-dua tapak kaki yang menopang kedua-dua belah tangannya di atas kepala lutut.

“San...!” Tengkingan Mak Lela itu masih terngiang-ngiang di kupingnya.

“Kenapa kau buat Azza macam tu? Mana pergi sikap kasih sayang kau dulu? Sikap yang menjadi semua orang bangga pada kau dulu?” merah padam muka emaknya melihat telapak tangan Ihsan jatuh ke pipi menantunya itu.

Azza yang terjelepok di atas lantai papan itu teresak-esak. Tubuh kecilnya diangkat perlahan-lahan oleh Mak Lela. Matanya bengkak. Bibir berdarah. Pipi lebam. Dia mengerang. Menahan sakit.

Ihsan membentak. Kemudian terkocoh-kocoh ke pintu. Menghilang. Mungkin seminggu lagi akan pulang. Azza. Ya, Azza yang setia itulah yang akan menjadi mangsanya nanti. Berulang kali. Peliknya, perempuan ini tidak pernah serik. Tetap setia melayan kerenah suami yang sudah hilang kewarasan akal fikiran itu. Bukan sahaja diherdik. Dimaki. Malah dipukul. Azza masih setia di sisi suaminya. Berusaha bersama-sama mentuanya. Mencari penawar. Demi mengubati suami. Demi untuk mengembalikan suami tercinta ke jalan kebenaran. Jalan yang pernah dirintis oleh suaminya dahulu.

Air mata lelaki Ihsan gugur lagi. Dia mengangkat kepala. Memandang dengan pandangan redup ke hadapan. Kedua-dua belah tangan merangkul betis. Kemas. Benaknya menerawang lagi. Membilang setiap inci kesilapan yang telah dilakukannya. Sesekali tanpa disedari, dia menggeleng-geleng. Bibirnya diketap kejat. Badan dipusing, betul-betul menghadap emaknya. Kemudian, bebola matanya beralih, menyapa lembut ke muka Iman. Anaknya itu masih lena. Sesekali kedengaran Iman mengekeh. Badannya dipusingkan ke lambung kiri. Menggaru-garu betis yang terdedah itu. Seekor nyamuk yang udah kembung perut kelihatan terbang. Namun, tersungkur di atas lantai. Mak Lela menepuknya dengan cermat. Nyamuk itu tewas dengan meninggalkan sedikit darah merah.

Ihsan kembali memandang emaknya. Wanita yang udah lanjut usia itu mengesat-ngesat telapak tangan yang dicemari darah itu dengan ibu jari. Dia baru sahaja selesai melipat pakaian yang baru dikutip dari ampaian. Susunan lipatan pakaian yang berada di hadapannya itu ditolak ke sisi kiri.

“Mak...” suara Ihsan kedengaran seperti orang sedang berbisik. Biji matanya dikerling sekejap ke arah Iman. Dia tidak mahu suaranya nanti mengganggu tidur sang puterinya itu.

Mak Lela mendongak. Membalas pandangan Ihsan. Dan Ihsan menarik bibir panjang-panjang. Tersenyum lebar. Di dalam kotak kepalanya sudah ada sesuatu yang penting. Sesuatu yang baru terfikir dek akalnya. Sesuatu yang perlu diminta persetujuan emaknya.

“Err... tanah kita kat hutan sana tu, ayah belum jualkan?” kelopak mata Ihsan berkelip-kelip. Sabar menunggu jawapan daripada emaknya.

Mak Lela tidak terus menjawab. Dia menelan liur. Tenang memandang Ihsan. Mungkin dia sedang memikirkan sesuatu.

“Belum... kenapa? Ihsan nak jual ke?” Tenungan Mak Lela itu seperti menyimpan kerisauan di dadanya.

“Tak ada la mak... Ihsan terfikir nak kerjakan tanah tu. Macam dulu-dulu,” beritahu Ihsan sambil mengekeh. Dia dapat rasakan kerisauan yang bersarang di hati emaknya itu.

“Ihsan seorang? Larat ke? Mak dah tak larat nak tolong...” suara Mak Lela ragu-ragu.

“Ihsan kerjakan sikit-sikit. Setakat Ihsan larat. Daripada tak ada apa-apa kerja, baik Ihsan kerjakan tanah tu. Mana tau, di situ ada rezeki kita,” bersungguh-sungguh Ihsan menyakinkan emaknya.

Mak Lela tersenyum. Dia mendengus. Matanya masih memandang Ihsan sambil terangguk-angguk.

“Kalau Ihsan sanggup, mak suka sangat. Sudah lama tanah tu terbiar. Entah setinggi mana la semaknya,” keluh Mak Lela lagi.

“Terima kasih mak... sekurang-kurangnya ada kerja yang boleh Ihsan buat. Ihsan akan cuba kerjakan... insya-Allah,” sambut Ihsan dengan perasaan gembira.

“Mak doakan...” balas Mak Lela, segaris senyuman terukir manis di wajahnya.

Ihsan membalas senyuman itu. Benaknya mula terasa bebas. Sekarang dia sudah ada kerja. Walaupun kerja sendiri. Dialah tauke. Dialah kuli. Sekurang-kurangnya, dia sudah boleh menyibukkan diri. Apabila sibuk, ia boleh melupakan kisah silamnya. Mengerjakan tanah yang sudah lama terbiar itu, tentu sahaja menyihatkan tubuh badan. Masakan tidak, hari-hari boleh menghirup udara segar. Dikelilingi hutan rimba yang mala segar. Dan yang paling penting, dengan izin Allah, hasil usaha itu nanti boleh memberi rezeki kepada mereka sekeluarga.

Ihsan menarik nafas lega. Dipandangnya Iman. Anak kecil itu masih nyenyak . Bunyi turun naik nafasnya jelas kedengaran. Sementelah pada ketika itu suasana sekeliling begitu sunyi sekali. Jauh di sudut hatinya, terdetik perasaan bersalah kepada anak itu. Namun, semuanya telah berlaku. Rumah tangganya telah runtuh. Azza pun telah lama meninggalkannya. Apakah masih ada peluang kedua untuknya? Ah... ! dia menggeleng. Cuba melupakan cerita duka itu. Apa yang penting baginya kini, Iman dan emaknya. Dia nekad. Dia akan menjaga emak dan anaknya sebaik mungkin. Perlahan-lahan dia memanjatkan doa untuk mereka sekeluarga.

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan