Home Novel Umum MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
Mat Lawi Hassan
18/7/2015 15:08:34
111,946
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 1

Dia masih bersandar tegak di kerusi kayu. Pandangannya dijatuhkan ke sepucuk surat yang masih berada di atas meja makan di hadapannya. Sesekali biji matanya melirik, memandang ke arah sesusuk tubuh yang udah dimamah usia. Dan bagaikan diatur-atur. Kali ini, secara tiba-tiba mata mereka bertentangan. Dia menggelabah. Lalu mengorakkan sekuntum senyuman, bagi menutup malu yang bertandang. Emaknya itu membalas senyuman. Namun, mata hitam emaknya itu masih merenungnya dengan wajah penuh simpati.

Tubuh kurus emaknya yang berada beberapa langkah sahaja dari tempat duduknya itu kelihatan bergerak sedikit ke sebelah kiri. Mungkin sedang membetulkan letak punggung. Emaknya dengan perlahan-lahan mengangkat tangan kanan. Hujung ibu jari dan jari hantu emaknya digerakkan di atas kedua-dua kelopak mata tua itu. Akhirnya, bertemu di pangkal batang hidung yang udah kendur kulitnya itu. Apabila mata emaknya dikuak. Ada air jernih yang mengalir di situ. Mata emaknya berkaca.

Dia mengeluh. Bebola mata kembali ditala kepada surat berona putih itu. Dia mengangkat tangan kanan. Perlahan-lahan surat itu dicapai. Perasaannya mula bercampur baur. Anak matanya memandang tepat ke atas lipatan kertas yang kemas itu. Lembaran itu dibuka, tercatat nukilan rasa daripada seorang yang amat disayanginya sepenuh hati. Seorang yang telah meninggalkannya. Seorang yang sampai sekarang masih bertakhta di hatinya. Malah, sampai bila-bila. Semua itu kerana sikapnya. Sikap yang telah memusnahkan keharmonian rumah tangganya. Memusnahkan kepercayaan yang telah diberikan kepadanya. Dan meleraikan ikatan janji yang pernah diungkapkannya dahulu. Kesalan demi kesalan mulai menghimpit ruang hatinya.

Terketar-ketar bibirnya, membaca. Perlahan di dalam hati. Biar dia benar-benar faham. Biar hadam semua isi kandungan, apa yang tersurat dan tersirat di hati seorang wanita yang pernah hadir dalam hidupnya.

Assalamualaikum abang,

Doa Azza semoga abang sihat sejahtera. Maafkan Azza sekiranya hadir surat ini bukan untuk mengubati hati abang yang sedang menderita. Hadirnya juga bukan untuk menceritakan kehebatan cinta yang pernah kita semarakkan dulu. Semuanya telah lebur. Punah angkara sikap abang yang tidak pernah berusaha untuk membaikinya. Namun, masam-manisnya masih tersimpan di dalam lipatan sejarah rumah tangga kita.

Abang,

Walaupun terlalu pahit, kita terpaksa menelannya jua. Kata orang, ubat yang pahit itulah yang baik untuk kesihatan kita. Justeru itu, Azza telah membuat keputusan. Bukan dengan terburu-buru. Abang juga tahu bukan? hampir empat tahun kita berkongsi hidup. Sepanjang tempoh itu juga abang sering mengungkapkan janji-janji kosong sahaja. Azza tidak mahu abang berjanji lagi kerana Azza tidak mahu abang mungkirinya lagi.

Abang,

Penantian Azza untuk melihat abang berubah sudah sampai ke penghujungnya. Azza tidak mahu lagi membazir masa. Mensia-siakan peluang seperti dulu. Azza telah nekad. Besok, Azza akan menfailkan tuntutan fasakh. Azza harap, selepas kita diisytiharkan bercerai, abang akan bebas. Bebas memilih jalan hidup abang. Namun, doa Azza semoga abang berubah. Agar abang dapat menemui jalan yang diredai Allah. Jalan yang mampu mengembalikan abang kepada sikap seorang remaja yang pernah menjadi kebanggaan masyarakat kampung.

Abang,

Sekali lagi Azza memohon maaf. Azza reda dan maafkan semua yang telah abang lakukan ke atas batang tubuh Azza. Semua sepak terajang yang Azza terima daripada abang dulu adalah kifarah daripada Allah. Azza tidak sepatutnya membantah cakap ibu. Peristiwa hitam dalam hidup Azza ini akan Azza jadikan suatu motivasi yang berguna. Sesuatu yang boleh memberi pengajaran kepada Azza dalam mengharungi kehidupan selepas ini.

Akhir sekali abang,

Azza sayangkan emak abang macam Azza sayangkan ibu Azza. Emak seorang ibu yang sangat baik. Telah banyak penderitaan yang ditanggungnya kerana abang. Jadi, bertaubatlah abang. Belajarlah mendekati Allah. Kembalilah kepada sikap Yusron Ihsan yang Azza kenal dulu. Azza tahu, emak terlalu sayangkan Iman. Emak yang membesarkan Iman, jadi tidak tergamak Azza hendak memisahkan Iman daripada emak. Biarlah Iman membesar bersama-sama emak. Cuma Azza minta, abang jangan mensia-siakan hidup Iman seperti abang mensia-siakan rumah tangga kita. Jikalau abang mungkir, Azza tidak akan teragak-agak merampas Iman kembali.

Sekian, terima kasih.

Azza Fazia binti Abdul Malik

Hatinya sebak. Benak mula sendat. Dia bungkam seketika. Kedua-dua kelopak matanya dipejam. Rapat-rapat. Seolah-olah memberi ruang kepada otak untuk mencari kekuatan di dalam dirinya.

Di atas langit sana, cahaya mentari terik memancarkan sinar. Dedaun kering yang menari-nari ditiup angin sedikit pun tidak mengganggu galau yang sedang bersarang di jiwa. Tubuhnya yang kurus dan punggung yang tidak berlemak itu bangkit dari kerusi kayu. Berdiri dan menapak. Perlahan-lahan. Dilabuhkannya ke atas kaki tangga di hadapan rumah papan pusaka orang tuanya. Angin dari paya, di hadapan rumah menderu kasar. Merempuh daun-daun pokok dan terus menampar ke mukanya yang cengkung itu.

Ihsan mendongak sambil melepaskan sebuah keluhan yang berat. Dua helai kertas putih yang semakin dimamah usang itu masih tergenggam erat di tangan kirinya. Surat yang sudah berkedut dengan kesan lipatan itu terkelepai di tangan. Pandangan matanya melekat padu pada surat pusaka daripada bekas isterinya itu. Surat itu seakan gementar lalu memeluk erat pergelangan tangan. Seolah-olah sudah selesa dan ingin bermanja dengannya. Apa tidaknya, sekurang-kurangnya seminggu sekali dia akan membuka dan membaca ayat demi ayat yang terkandung di dalamnya tanpa ada rasa jemu. Sebagaimana dahulu dia pernah hafal dialog dari filem-filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, begitu juga dengan ayat-ayat yang ditulis oleh bekas isterinya. Semua telah hadam di dalam jasadnya.

Mata Ihsan kembali melekat pada surat yang mula menggeletek tangan. Surat itu bagai sehelai kain kafan. Kain yang tidak sanggup dikebumikan ketika usia perkahwinannya telah dikuburkan oleh Mahkamah Syariah. Dia sayangkan surat tersebut seperti mana dia sayangkan Azza. Perasaan sayang yang melimpah ruah itu telah menyebabkan segala urat saraf di ruang otaknya tersumbat. Tanpa disedari, dia tetap menyimpan surat tersebut, walaupun sudah berusia lebih setahun.

Kelopak matanya mula berkelip pantas dan bagaikan sumur yang tidak lokek merembes keluar air hangat. Lantas menggelongsor membasahi pipi yang kering itu. Tubuhnya disandarkan ke anak tangga. Dia berpaling dan memandang ke dalam rumah. Tubuh kurus Mak Lela, emaknya yang sedang menepuk Iman ditenung lama-lama. Air matanya semakin laju mencurah. Lebih-lebih lagi pabila melihat kedutan pada wajah emaknya. Setiap kedutan itu seolah-olah mewakili satu pengalaman hidup. Semakin banyak kedutan, semakin banyak pengalaman hidup. Emaknya terlalu banyak menyimpan rahsia hidup. Dia tahu, emaknya sudah lama menderita kerana sikapnya. Cemuhan dan umpatan jiran sekampung, kata-kata nista keluarga bekas isterinya dan ahli keluarga sendiri ditelan dengan payah. Dapat dilihat duka di hati emaknya terpancar pada air mukanya yang keruh. Namun, emaknya tidak pernah jemu memberi semangat dan harapan, malah sering melawatnya setiap bulan. Bukan hanya emaknya sahaja yang tidak putus-putus memberi perangsang, malah sepupunya Yamin juga tidak pernah berputus asa. Setiap kali tibanya waktu melawat di Pusat Rawatan Pemulihan Dalam Komuniti atau Cure And Care Service Center (CCSC). Mak Lela dan Yamin akan selalu memberi nasihat. Mereka tidak jemu-jemu meluahkan kata-kata perangsang. Walaupun mereka juga tahu, semua itu sudah acap kali didengari Ihsan.

Kuping Ihsan bagaikan sudah disumbat dengan sekepal kapas. Syarahan Yamin tidak pernah berbekas di lubuk hatinya. Tangisan dan esakan emaknya pula langsung tidak pernah melepasi rongga telinga rawahnya itu.

‘Maafkan Ihsan emak…’ bisik hatinya, tiba-tiba.

‘Sungguh mulia hati emak, tapi... mengapa hatiku tidak semulia hati emak?’ soalnya sendirian.

Air mata yang masih berbaki diseka pergi. Degupan jantungnya berdegup laju. Berkali-kali dia melepaskan keluhan. Dadanya sebak, hatinya walang dengan sikap sendiri. Sikap sewaktu masuk keluar CCSC adalah perkara rutin baginya. Bertahun menggulit sengsara dalam mencari kesembuhan mengubah diri. Memujuk diri ke arah hidup yang lebih bermakna. Sehinggalah entah bagaimana hatinya terbuka untuk ke Institut Kemahiran Dan Latihan Sepang (IKHLAS). Atau sekarang dikenali dengan Cure And Care Vocational Center (CCVC). Di sanalah dia belajar tentang selok-belok pendawaian elektrik di bawah Kursus Juruteknik Elektrik Rendah. Enam bulan dia berada di CCVC. Dia sudah semakin cekap dalam kerja-kerja pendawaian. Semua kerana ketekunannya.

Masih terpahat di ingatannya. Kehadiran emaknya ke CCVC pada bulan kedua dia berada di situ, tidak seperti bulan-bulan sebelumnya. Kehadiran emaknya dan Yamin itu bukan sahaja membawa berita malang buatnya. Malah berita itu turut membunuh hati dan perasaannya. Selesai sahaja dia membaca surat kiriman Azza itu, hatinya disapa rasa sayu yang teramat sangat. Dirinya bagaikan dihumban ke dalam gaung yang terlalu lama untuk sampai ke permukaannya.

Secara tiba-tiba tubuhnya menggeletar, kepalanya pula seakan-akan dipanggang di atas bara api yang sedang membahang. Kehangatannya terasa ke seluruh tubuh. Menggelegak segala isi di dalam badan. Amat menyeksakan. Lalu membuak segala amarah. Jantungnya pula berdenyut kencang. Perasaannya mula berkecamuk. Marah. Dendam. Kesal. Tubuhnya menggigil-gigil. Dahi mula dibasahi manik-manik jernih. Turun naik nafas semakin laju. Hatinya meradang. Digeleng dan dihantuk kepala ke atas meja di hadapannya. Surat itu dilihatnya bagaikan kain kafan. Kain yang telah membungkus cinta di antara dia dan Azza.

Mak Lela cepat-cepat memeluk tubuh Ihsan. Rapat. Badan Mak Lela turut bergoyang-goyang. Mengikut rentak turun naik nafas Ihsan. Kehangatan tubuh Ihsan itu cuba ditenteramkan oleh kedinginan tubuh Mak Lela. Di kedua-dua kelopak mata Mak Lela masih jenuh dengan air hangat. Jernih. Air mata seorang ibu yang tidak pernah berhenti berikhtiar. Demi kesembuhan anaknya.

“Kalau Ihsan betul-betul sayangkan Azza, Ihsan kena reda dengan keputusan Azza. Dia lakukan ni semua agar Ihsan berubah. Dia masih muda. Dia berhak memilih jalan hidupnya sendiri. Ihsan suka lihat dia menderita?” Mak Lela cuba memujuk lagi. Entah kali yang ke berapa. Apa yang dia tahu, Ihsan terlalu sayangkan Azza.

“Tapi emak…” suara Ihsan masih kedengaran walaupun bunyinya semacam tenggelam di tengah halkum.

“Ihsan, dengarlah cakap emak. Ihsan ada anak perempuan. Mahukah Ihsan, Iman menderita macam Azza?” Mak Lela cuba menarik Ihsan daripada terus berperang dengan perasaan kecewanya.

Ihsan tidak menjawab. Namun, perasaan menyesal mula menghantui fikirannya. Di benaknya masih terbayang wajah Azza. Gadis yang baru tamat pengajian di peringkat diploma itu dikahwininya atas dasar cinta sama cinta. Pada masa itu, Ihsan baru bekerja di sebuah syarikat swasta.

Kalau selama ini hatinya bagaikan tanah pasir yang tidak pernah menyimpan air, tetapi hari ini hatinya bagaikan tanah gambut. Mak Lela seolah-olah menabur benih pada tanah yang subur. Ihsan mula terisak-isak apabila teringatkan apa yang telah dilakukannya kepada Azza. Di ruang matanya masih terbayang pipi Azza yang lebam. Mata Azza yang bengkak. Mulut Azza yang berdarah. Semua itu gara-gara menyekat kemahuannya. Kemahuan di bawah pengaruh najis dadah bagi merampas semua wang yang tersorok. Semua barang kemas yang disimpan. Peristiwa itu akan tersemat padu di dalam hatinya. Sikap dan keburukan diri seorang manusia yang digelar penagih dadah. Hidup hanya mementingkan diri sendiri. Keinginan diri mengatasi segala-galanya. Nafsu mengatasi kewarasan akalnya.

*****

Suasana di CCVC semakin membingitkan. Para pelawat mula bertali arus. Masing-masing membawa hati dan perasaan untuk disajikan kepada orang yang tersayang. Biar luruh segala rindu dendam. Biar cerna segala galau di hati.

Mak Lela masih lagi menghadap Ihsan. Dia tidak mahu anaknya itu merasa dirinya tersisih. Lebih-lebih lagi setelah tamat tempoh latihannya minggu hadapan. Direnunginya mata Ihsan. Semacam ada sesuatu yang dimenungkan anaknya itu.

“Ihsan, emak ni dah tua,” teguran Mak Lela itu mengejutkan Ihsan dari terus mengelamun.

“Kalau emak dah tak ada, siapa lagi yang boleh jaga Iman? kalau Ihsan tak berubah, Azza akan ambil balik Iman,” ujar Mak Lela lagi, mengingatkan Ihsan tentang janji Azza.

Ihsan bungkam. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari celah bibirnya.

“Emak tak mahu minta apa-apa dari Ihsan. Tapi… emak nak beri percuma aje pada Ihsan. Selagi nyawa emak masih di badan,” Mak Lela masih tidak berputus asa. Kedua-dua tangannya mencari-cari tangan Ihsan. Digenggamnya, erat-erat. Memberi sokongan padu.

Ihsan yang masih menunduk itu kembali mengangkat muka. Wajah Mak Lela yang sudah berkerut itu direnung. Lama. Mak Lela mengulum senyum sambil menepuk-nepuk belakang tapak tangan Ihsan. Wanita yang sudah melewati usia emas itu masih cekal. Tabah. Tiada pernah kenal erti berputus asa. Ihsan akui itu. Tiba-tiba timbul rasa bersalah kerana membiarkan kata-kata emaknya dibawa angin lalu. Tiada bersambut.

“Apa maksud emak?” Akhirnya, Ihsan bersuara. Namun dirinya kelihatan seperti terpinga-pinga. Pandangannya terkunci kemas ke atas raut wajah emaknya. Di situ, ada ketenangan baginya.

“Ihsan kan sekolah agama sampai tingkatan lima, tak kan Ihsan dah lupa cerita-cerita orang-orang soleh yang Ihsan ceritakan dulu? cerita Al-Qamah? cerita Juraij?” Mak Lela membalas renungan Ihsan sambil tersengih. Dari raut wajahnya kelihatan seperti seorang yang baru mendapat berita gembira. Ihsan dilihatnya seperti orang yang baru terjaga dari mimpi.

Ihsan mengangguk-angguk. Tubuhnya yang kurus lanjai itu turut terhinggut-hinggut. Benaknya mula mengingat semua nama yang baru disebut emaknya tadi. Memang dia tahu kisah kedua-dua orang ahli ibadat itu. Kisah-kisah itulah yang selalu diceritakannya kepada emaknya sewaktu dia bersekolah dahulu. Doa ibu adalah segala-galanya bagi seorang anak. Dia mula merasakan diri beruntung. Apa tidaknya, dirinya itu masih mempunyai ibu. Ibu yang sentiasa mendoakannya. Dia mengerti maksud emaknya itu. Emaknya sentiasa berdoa untuk dirinya.

“Apa yang Ihsan ingat?” sapa Mak Lela seolah-olah menduga. Lebih-lebih lagi setelah dilihat anaknya itu mula jinak. Sudah boleh diajak berbincang.

“Maafkan Ihsan emak…” Ihsan menarik dan mencium-cium tangan emaknya. Kedua-dua pipinya sudah lencun dengan air mata.

“Ihsan sedar, doa emak tidak pernah lekang untuk Ihsan,” sambung Ihsan dalam sendu yang berpanjangan.

“Kalau Ihsan dah faham, emak nak Ihsan janji dengan nama Allah. Ihsan tak akan balik ke tabiat lama lagi. Boleh Ihsan janji? Janji dengan emak... boleh?” tanya Mak Lela yang tidak pernah jemu-jemu mengharap, walaupun dia tahu waad itu sudah berulangkali diucapkannya. Namun, kesudahannya koyak jua. Dirobek oleh Ihsan semasa ketagihannya mendera.

“Emak…” Ihsan kelihatan tercungap-cungap. Nafasnya dihela. Dalam-dalam.

“Dengan nama Allah... Ihsan berjanji di hadapan emak. Ihsan akan cuba menjadi anak dan menjadi bapa yang baik,” tutur Ihsan. Tangan Mak Lela digenggam erat. Diciumnya lagi.

Keikhlasan mula dapat dilihat dari air muka Ihsan. Dia seolah-olah baharu sedar dari lena yang panjang. Lafaz yang diucapkan Ihsan itu menyentuh hati kecil Mak Lela. Air mata Mak Lela semakin mencurah. Lalu diseka Ihsan dengan kedua-dua tangannya. Dahi Mak Lela dikucupnya. Lama. Ada ketenangan dirasakannya di situ.

“Ihsan dah solat asar?” Lengguk alunan suara selembut bayu malam itu begitu menusuk ke tangkai hati. Lalu menerjah. Meleraikan suasana yang sudah lama terbiar sepi itu.

Ihsan yang bertenggek di ambang pintu beberapa langkah sahaja dari emaknya itu sedikit terkesima. Teguran emaknya secara tiba-tiba itu mematikan lamunannya. Pandangannya beralih ke muka emaknya. Rambut yang panjang dengan uban memutih itu disanggul kemas. Baju kurung Kedah dengan corak bunga-bunga kecil. Berona koko muda yang dipakai emaknya itu dijahit sendiri oleh kak long. Emaknya memang suka memakai baju itu. Sementara itu, kain sarung batik jawa yang tersarung menutupi punggung sehingga ke pergelangan kaki emaknya itu pula pemberian kak ngah. Semua itu dihadiahkan kepada emaknya semasa mereka pulang berhari raya pada tahun lepas. Ihsan seakan-akan dapat merasakan, emaknya merindui anak cucunya yang jauh di perantauan.

Tangan emaknya mula mencapai sehelai baju Iman dari longgokan di sisi kiri. Baju itu dilipat-lipat dengan cermat. Iman yang sedang tidur mengiring di sebelah kanan emaknya itu bergerak-gerak. Tangan kanannya menggosok-gosok ke atas kelopak mata. Mak Lela cepat-cepat menghulurkan tangan. Menepuk-nepuk perlahan. Sambil bibirnya dimuncungkan sedikit. Berdesir bunyi angin keluar dari celah bibir yang kecut itu.

“Oh! sudah emak,” sahut Ihsan yang masih terkesima dengan teguran emaknya itu. Surat yang masih di tangan kanan itu dilipat kembali.

“Apa yang Ihsan menungkan tu?” tanya Mak Lela. Dia mula berasa tidak senang apabila melihat anak bongsunya itu selalu berkhayal. Dia tidak mahu anaknya itu berfikir yang bukan-bukan.

“Tak adalah emak…”

“Ihsan nak jadi Kassim Selamat ke?” gurau Mak Lela, sambil merujuk kepada nama watak lakonan Seniman Tan Sri P. Ramlee di dalam filem Ibu Mertuaku. Matanya masih melirik ke arah surat yang sudah berlipat di tangan kanan Ihsan.

“Hahaha… Ihsan nak jadi Osman Jailani la,” sampuk Ihsan,agak terhibur dengan gurauan emaknya itu. Dia faham maksud gurauan emaknya itu.

“Kalau Osman Jailani... dia tidak menangis. Dia bangkit. Dia lawan semua penderitaan yang ditempuhinya. Dia sahut cabaran dengan tabah,” nasihat Mak Lela lagi. Seolah-olah membuat analisa tentang watak-watak di dalam filem Melayu klasik.

“Emak tak mahu Ihsan jadi macam Kassim Selamat, mudah kalah dengan ujian hidup. Akhirnya, diri sendiri yang merana,” Ihsan merenung mata emaknya. Mata itu bagaikan kepala paip yang bocor. Sentiasa menitiskan air. Mata emaknya sudah banyak menitiskan air mata kerana perlakuannya. Dia tahu. Meskipun emaknya selalu menyembunyikan apa-apa sahaja yang dirasai di dalam hati. Sudah banyak kali Ihsan ternampak emaknya menangis semasa dia ketagihan dadah dahulu.

“Insya-Allah emak... insya-Allah. Ihsan janji. Kali ni Ihsan dah benar-benar insaf. Ihsan dah taubat,” janji Ihsan dengan menjulang tangan kanan.

“Sudah berkali-kali Ihsan jatuh, ni la masanya Ihsan bangkit, Ihsan akan buktikan, bukan semua bekas penagih tu sudah lupa jalan pulang,” ujar Ihsan bersemangat.

“Kalau dulu, Ihsan asyik meraba-raba di dalam dunia gelap. Sekarang Ihsan nekad. Ihsan mahu jadi manusia yang berjaya,” sambungnya lagi.

“Ihsan akan buktikan pada Azza, lebih-lebih lagi pada diri Ihsan sendiri. Ihsan benar-benar telah berubah. Ihsan tidak akan sentuh lagi benda haram tu, wallahi, wabillahi, watallahi,” tegas Ihsan sepenuh hatinya.

Mak Lela tersenyum. Diangkatnya kedua-dua tangan. Menadah ke langit. Kemudian, disapunya ke muka.

Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan