“Anak cikgu yang tiada ibu? Kelakarnya!”
“Semua anak cikgu dekat sekolah sini ada ibu kecuali awak seorangsaja yang tiada ibu,”
“Saya dengar cerita ibu awak meninggal semasa bersalinkan awak. Awaklah punca ibu awak meninggal. Kiranya awak ini seorang pembunuh?”
Berhenti,
“Awak ini mesti dibenci oleh ayah awak kan? Ayah awak Cikgu Zainalkan? Maklumlah, ayah mana tak sakit hati bila isterinya meninggal tapi anaknya masih hidup. Tak adillah,”
Sudah,
“Kawan-kawan, nak tahu sesuatu tak? Cikgu Zainal benci dengan anak dia sendiri!”
Cukup!
Tok! Tok! Tok!
“Nadia,”
Ketukan pintu yang kuat menghentikan Nadia dari lamunannya. Pintu bilik dibuka perlahan. Nadia yang terasa ada lelehan air mata di pipinya segera menyeka. Perlahan-lahan ayah datang ke arah Nadia. Ayah terus melabuhkan punggungnya ke atas sisi katil Nadia.
“Ayah terkejutkan Nadia sampai menangis ke? Maafkan ayah Nadia,” terus kepala Nadia diusap lembut. Tangan kiri ayah mengesat air mata Nadia. Nadia menggeleng kepalanya.
“Nadia teringat balik masa tadika dulu. Kawan-kawan Nadia ejek Nadia sebab tak ada ibu. Nadia sedih. Tapi sekarang ini Nadia sudah besar. Sudah kuat,” Nadia menunjukkan lengannya yang berotot.
“Anak ayah ini lelaki ke perempuan? Ada otot! Kuatnya!” Ayah memegang lengan Nadia yang berotot. Kerajinan Nadia membantu dalam kerja rumah bersama ayah dan abangnya menjadikan Nadia semakin kuat. Nadia hanya tersengih.
Sudah 8 tahun Nadia hidup tanpa seorang ibu. Sepanjang hidup Nadia, ayahlah yang menjaganya dengan penuh kasih sayang yang tidak terbalas. Terlebih dari cukup. Makan minum pakai Nadia dijaga.
Ayah juga melayan Nadia bak seorang puteri. Nadia sangat bahagia dibesarkan oleh ayahnya yang sangat bertanggungjawab. Nadia sayang sangat akan ayahnya.
“Ayah, kopi sudah siap. Nabil sambung siapkan kerja sekolah ya,” susuk badan Nabil di muka pintu bilik Nadia menarik perhatian Nadia dan ayahnya.
Nabil, satu-satunya abang Nadia. Perbezaan usia antara Nabil dengan Nadia hanyalah 5 tahun. Nabil berusia 13 tahun.
“Terima kasih Nabil buatkan ayah kopi,” ayah segera bangun setelah Nabil memberitahu kopi yang dipesannya telah siap dibancuh. Nabil tidak berginjak dari tempat berdirinya. Matanya tidak berhenti daripada memerhatikan Nadia.
“Abang Nabil nak apa?” tanya Nadia acuh tak acuh. Nabil yang teguh berdiri terus tersenyum apabila adik kesayangannya memberikan reaksi.
“Raksasa,”
Dengan kekuatan yang luar biasa, Nadia melemparkan sebiji bantalnya ke arah Nabil. Sayangnya, bantal yang dilemparkan oleh Nadia terkena pada ayah. Tepat pada belakang badan ayah lalu menyebabkan ayah jatuh melutut secara tiba-tiba. Ayah mengaduh kesakitan.
“Ayah!”
Nadia dan Nabil segera mendapatkan ayah. “Ayah, Nadia tak sengaja. Maafkan Nadia ayah. Nadia dah sakitkan ayah,” Nadia terus menangis di sisi ayahnya. Belakang badan ayahnya digosok-gosok dengan harapan sakit yang dirasai oleh ayah berkurangan.
“Ayah tidak apa-apa. Ayah ok,”
Nadia terus mencubit lengan Nabil yang berada di sebelahnya. “Ini semua salah abang Nabil!” Nabil terus menggosok tangannya yang dicubit. Nabil terus membuat muka tidak puas hatinya. Ayah yang melihat kerenah anak-anaknya terus mencelah.
“Sudah-sudahlah. Nadia pergi tidur. Nabil selesaikan kerja sekolahkamu. Ayah nak siapkan kerja ayah. Kalau ayah dengar kamu berdua bergaduh bagai anjing dengan kucing, sarapan pagi esok ayah tak nak masakkan. Faham?”
Serentak Nadia dan Nabil menganggukkan kepala. Nabil membantu ayahnya berdiri. Nadia menghantar ayahnya menuju ke bilik kerja melalui matanya.
“Ayah, jangan berjaga lama sangat. Jaga kesihatan ayah,” Nadia sempat memesan kepada ayah sebelum ayah membuka pintu bilik kerjanya. Ayah hanya mengangguk dan melambaikan tangannya.
Usai sahaja melihat pintu bilik kerja ayah ditutup rapat, Nadia kembali ke biliknya. Kakinya menapak menuju ke katil. Perlahan-lahan Nadia baring ke atas tilam. Selimutnya ditarik menutup badan sehingga paras bahu. Jam locengnya dikunci.
“Selamat malam ibu,”
***
Jam 2:00 pagi,
“Alhamdulillah, siap juga semak jawapan.”
Ayah mengeliatkan badannya. Matanya terlihat jarum jam pada dinding. Jarum pendek pada angka 2. “Ya Allah, sudah pukul dua! Ayuh Zainal cepat tidur. Esok giliran kau buatkan sarapan.” Ayah bermonolog sendirian.
Ayah mengemaskan kertas jawapan murid-muridnya dan memasukkan ke dalam satu sampul yang bersaiz agak besar. Meja kerjanya dikemas. Lampu ditutup dan pintu bilik ditarik. Beg kerjanya dibawa keluar dan diletakkan pada sofa yang berhampiran.
Sedang ayah berjalan menuju ke biliknya, ayah terasa ada sesuatu sedang memerhatikannya dari belakang. Tanpa berfikir panjang, ayah terus berpusing untuk melihat sesuatu itu.
“Tak ada apa-apa. Tidurlah Zainal. Rehatkan otak. Esok pagi bertugas jaga pagar.” Ayah segera masuk ke dalam bilik tidurnya.
***
Jam 6:15 pagi,
“Ayah, bangun ayah. Sudah jam 6:15 pagi,” panggil Nadia sambil mengoncangkan bahu ayahnya. Perlahan-lahan ayah membuka matanya. Nadia tersenyum melihat ayahnya telah bangun dari tidur.
“Selamat pagi sayang,” ucap ayah sambil mengusap pipi Nadia. Mata ayah sedikit sembam.
“Ayah tidur pukul berapa malam tadi?” tanya Nadia. Ayah melirikjam dinding. Sudah jam 6:18 pagi. Mata ayah terbuntang.
“Astaghfirullah! Nadia, ayah belum solat Subuh lagi! Sarapan takbuat lagi!” Pagi-pagi lagi ayah sudah cemas. Nadia cuba menenangkan ayah.
“Ayah bersiap saja. Abang Nabil tengah buatkan sarapan. Baju ayah Nadia dah gosokkan,” kata Nadia sambil menghulurkan sehelai tuala kepada ayah.
“Ayah minta maaf ya sebab tak sempat nak buatkan sarapan,” kepala Nadia diusap. Ayah segera menuju ke bilik mandi.
Nadia mengemaskan beg sekolahnya. Nabil pula sedang bersilat didapur seorang diri. Usai sahaja Nadia bersiap, dia berjalan menuju ke dapur.
Nabil sedang membungkus sarapan dalam bekal. Nasi goreng istimewanya diceduk dan beberapa keping nuget diaturkan pada tepi nasi. Taburan bawang goreng dan daun sup menghiasi ketiga-tiga bekal.
“Wah, nampak sedap!” puji Nadia. Perut Nadia mula berkeroncong. Nabil yang terpandang Nadia yang sedang melihat makanannya itu terus mencari idea untuk mengusik Nadia. Nabil tersengih.
“Hoi, raksasa,” kata Nabil.
Mata Nadia sepet menjeling. “Basuh bekas-bekas yang abang dah guna dalam sinki tu,” arah Nabil. Nadia berjalan sambil menghentak-hentak kakinya. Nabil menahan tawanya.
Tidak lama kemudian, ayah muncul. “Maaf ya Nabil terpaksa masak untuk sarapan. Esok ayah masakkan ya,” ucap ayah meminta maaf kepada Nabil kerana tidak mampu melaksanakan tugasnya.
“Benda kecil je ayah,” Nabil segera menghulurkan secawan kopi o panas kepada ayah. Nadia yang cekap menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh abangnya segera menghampiri ayah dan Nabil.
“Ayah, jom pergi sekolah. Sudah 6:50 pagi,” pesan Nadia sambil mencapai beg sekolahnya.
“Jom, Nadia. Nabil jangan lupa kunci rumah,” pesan ayah sebelum pergi. Nabil menyalami tangan ayah sebelum keluar dari rumah.