Home Novel Umum Senyuman Nadia
Senyuman Nadia
Izatul Husna
23/9/2020 15:56:49
55,519
Kategori: Novel
Genre: Umum
Bab 9

Hari Khamis,

Nabil, Aiman dan Farah sibuk berlatih secara berasingan. Farah memetik gitar mengikut not muzik yang disediakan. Aiman pula menyelak halaman not muzik. Nabil memetik gitar tetapi matanya memandang jauh ke tempat lain.

"Jom kita buat latihan penuh," ajak Farah sambil melaraskan tali penyandang gitar elektriknya. Aiman membetulkan kerusinya. Nabil menguji mikrofon dengan pelbagai kelantangan suaranya.

Lagu Bunkface bertajuk Situasi menjadi taruhan. Nabil memandang Farah sebelum memulakan nyanyian. Farah mengangguk bersedia. Aiman dibelakang mengangkat kayu drum ke atas dengan teruja.

Farah memetik gitar memasuki not pertama. Nabil berdiri kaku tidak menyanyi. Farah yang sedar Nabil tidak bernyanyi menghentikan petikan gitar. Aiman terus menegur Nabil yang disangka gemuruh.

"Nabil, lagi sekali. Farah dah masuk not pertama, kamu terus nyanyi," ujar Aiman dari belakang. Nabil memberikan isyarat tangan ok. Farah memetik gitar lagi sekali.

Sama. Nabil tidak menyanyi. Pandangan Nabil seperti tidak nyata. Lembaran muzik mula berterbangan akibat tidak ditahan dengan pemberat. Sehelai demi sehelai lembaran muzik itu jatuh ke atas lantai.

"Nabil, kamu ok tak ni?" Aiman terus memegang bahu Nabil dari belakang. Farah meletakkan gitar elektriknya ke tepi dan bergegas mengutip lembaran muzik yang bertaburan.

Nabil tersentak. Aiman menghela nafas. Farah menghampiri Nabil dan Aiman. Lembaran muzik disusun dan diletakkan ke atas meja.

"Kita berehat dululah. Lama pula berlatih hari ini," ajak Aiman sambil berjalan ke arah dapur. Nabil terus merenggangkan badannya. Farah duduk di atas sofa setentang dengan Nabil.

"Awak ok tak Nabil? Risau pula saya tengok keadaan macam ini," tanya Farah prihatin. Nabil memandang Farah lama-lama.

"Awak risaukan saya maksudnya awak suka saya kan?" Nabil mengusik Farah. Farah terus membaling sebiji bantal kecil tepat mengenai Nabil. Nabil sempat mengelak.

Bantal itu selamat mengenai cawan yang berisi air kosong yang dipegang oleh Aiman. Percikan air dari cawan itu membuatkan baju Aiman sedikit basah. Nabil mengekek ketawa.

"Maaf, Aiman. Ini semua salah Nabil," kata Farah tanpa rasa bersalah. Nabil terus memandang Farah. Mata Nabil tidak berkelip. Nabil seperti terimbaukan sesuatu.

"Nabil, kalau rasa tak ok lagi. Kita boleh je tarik diri. Betul tak, Farah?" soal Aiman sambil memandang Farah. Farah terus menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Mana boleh tarik diri. Lagi pun, kita dah berjanji sama-sama nak sertai. Kena tunaikan," bidas Farah. Aiman dan Farah mula perang dingin.

"Maaflah kalau keadaan saya ini membuatkan band ini makin teruk. Tapi saya kena tunaikan janji yang saya pegang dengan arwah ayah saya. Maafkan saya sebab pentingkan diri sendiri," kata Nabil perlahan dengan riak mukanya yang agak kelat.

Nabil kembali ke gitar bassnya. Aiman dan Farah saling berpandangan antara mereka.

***

10 minit sebelum giliran,

"Mana Nabil ni? Tak muncul-muncul. Sebentar lagi giliran kita," gumam Farah sambil berjalan mundar-mandir.

"Nak saya beritahu urusetia yang kita tarik diri?" tanya Aiman. Farah menjeling tajam. Aiman terus membatukan diri tidak berani mengusik Farah.

"D'Naf boleh ambil tempat. Nanti pengacara panggil masuk," ujar seorang SM (pengurus pentas) sambil menandakan sesuatu pada kertasnya.

"Sekejap, kami tak cukup ahli lagi," kata Farah. Namun, suara Farah tidak didengari SM tersebut. Aiman menyingsing lengan bajunya dan terus berjalan menuju ke pentas belakang.

"Aiman, awak nak buat apa?" Farah tercegat.

"Saya pun seorang penyanyi," jawab Aiman sambil mengenyitkan sebelah matanya.

Aiman menghampiri sebuah keyboard eletrik yang sebelahan dengan drum. Farah hanya memeluk tubuh. Giliran D'Naf beraksi. Tirai pentas dibuka.

Aiman mula menekan kunci keyboard. Lagu Bunkface yang berjudul Jatuh mula dimainkan mengikut not muzik yang dihafal. Farah tidak sangka Aiman tahu bermain keyboard. Diam-diam Aiman belajar sendiri.

Aku percaya sedikit waktu
Kan terbuka hati yang kau bawa
Sambut tangan ku
Biarku bawa kau ke tempat yang tiada orang tahu

Ku kan menunggu bayangmu
Berikan jawapan mu

"Berhenti!"

Aiman berhenti memainkan keyboard eletrik itu serta-merta. Nabil termengah-mengah berdiri di sisi Farah. Farah terkejut dengan kehadiran Nabil.

"Kalau nak tarik diri sekali pun, tunggulah saya!" marah Nabil kepada Aiman. Nabil menapak ke arah Aiman. Aiman hanya tersengih.

Nabil terus memegang bahu Aiman. Namun, Aiman segera menepis tangan Nabil. Aiman berdiri dan bertentangan mata dengan Nabil. Tangannya memeluk badan. Nabil mengangkat kening sebelah.

"Alamak, dah kenapa budak-budak ni? Ini pertandingan muzik bukan pertandingan gaduh-gaduh," bebel SM yang berada sebelah Farah. Tanpa berfikir panjang, Farah menuju ke pentas dan masuk ke dalam posisi band.

Gitar elektrik dicapai. Penguat untuk gitar elektrik dilaraskan pada kelantangan yang sepatutnya. Farah terus memetik gitar tanpa memandang Nabil dan Aiman.

Nabil dan Aiman yang mendengar lagu dimainkan terus meluru ke posisi asal masing-masing. Nabil sempat memandang Farah. Farah hanya mengabaikan saja. Aiman memandang Farah dari belakang.

Aku mahu salam
Lupakan hari semalam
Sementara masih ada
Hajat cinta di dada
Yeahhh!!

Ketukan drum oleh Aiman menambahkan lagi seri lagu itu. Nabil segera menyarung gitar bassnya. Farah tergelak melihat Nabil yang kelam-kabut itu. Lagu Bunkface berjudul Darah Muda ditaruhkan.

Akhirnya lagu Darah Muda berjaya ditamatkan dengan gemilang. Senyuman terukir pada bibir Nabil, Aiman dan Farah. Nabil dan Aiman saling 'sep' tangan. Farah hanya menggeleng-gelengkan kepala.

"Suara kalian berjaya sampai ke hati saya. Terima kasih," gumam Nabil.

***

"Tempat kedua bagi Pertandingan Rookie Band dimenangi oleh..."

Nabil, Aiman dan Farah masing-masing berdebar menanti keputusan.

"Band D'Naf!"

Nabil, Aiman dan Farah bersorak gembira apabila berjaya mendapat kemenangan dalam acara pertandingan band yang dianjurkan oleh Merpati Hitam Music. Nazafi turut meraikan kejayaan mereka bertiga.

"Terima kasih paksu bagi kami peluang dan ajar kami sampai berjaya," ucap Nabil sambil merangkul leher Nazafi.

"Kamu semua dah usaha yang terbaik, hasil mestilah terbaik. Tahniah abang ucapkan," kata Nazafi dengan penuh bangga.

***

"Tukar nama kumpulan?" tanya Farah sambil memandang Nabil tidak berkelip. Nabil menganggukkan kepalanya beberapa kali.

"Nama apa pula? Nabil and the geng? Jangan harap," usik Aiman. Nazafi hanya membiarkan mereka membuat keputusan.

"Fly,"

Aiman dan Farah memandang Nabil serentak. Dahi mereka berkerut.

"Sebab D'Naf bunyi kurang gempak. Kita kan dah tempah tiket jadi artis muda. Nama kumpulan mestilah gempak," kata Nabil sambil tersengih-sengih.

"Saya setuju. Fly. Bebas dan ringkas," ucap Farah. Aiman hanya menganggukkan kepalanya.

Kring! Kring!

Nazafi mengangkat panggilan yang diterimanya. Nabil, Aiman dan Farah masih dalam dunia imaginasi mereka.

"Minggu depan kita ke studio Merpati Hitam Music. Ada sesuatu menanti kamu bertiga," ucap Nazafi. Aiman dan Farah bersorak kegirangan.


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Izatul Husna