Home Novel Umum Senyuman Nadia
Senyuman Nadia
Izatul Husna
23/9/2020 15:56:49
54,472
Kategori: Novel
Genre: Umum
Bab 2

“Baiklah. Siapa yang nak selesaikan soalan seterusnya?” tanya Cikgu Hidayah. Satu kelas serta-merta menjadi senyap. Tiada seorang pun yang bersuara. Mata Cikgu Hidayah tertumpu pada Nadia yang sedang lena.

“Nadia Hanani!”

“Saya tahu jawapannya cikgu!” Nadia melatah lalu bangun dan mengangkat tangannya. Seluruh kelas mentertawakan Nadia. Cikgu Hidayah mengangkat sebelah keningnya.

“Basuh muka kamu sekarang. Cikgu tak nak ada sesiapa tidur semasa cikgu mengajar. Lagi-lagi mata pelajaran matematik,” tegas Cikgu Hidayah memberi nasihat.

“Baik Cikgu Hidayah,” seluruh kelas memberi respon. Nadia segera keluarpergi ke tandas untuk membasuh mukanya. Cikgu Hidayah hanya menggeleng-gelengkan kepala.

Nadia membasuh mukanya. Matanya dipejam beberapa kali. Setelah berpuas hati dengan tahap kesegaran yang dimiliki, Nadia keluar dari tandas dan segera pulang ke kelasnya. Munirah memerhati Nadia dari jauh sehinggalah Nadia duduk betul-betul di sebelahnya.

“Awak tidur tak malam tadi? Mata awak dah jadi mata panda,” tegur Munirah setelah kelas matematik tamat dengan jayanya. Nadia hanya tersengih.

“Saya teruja cari resipi kek coklat yang sedap sampai lupa nak tidur,”kata Nadia sambil menggosok-gosok matanya yang mengantuk. Munirah hanya tersenyum.

“Hari jadi ayah awak tak lama lagi bukan?” tanya Munirah. Nadia yang menutup mulutnya menahan menguap menganggukkan kepalanya. Ingin sahaja Munirah bertanya lebih lanjut, loceng berdering menandakan waktu rehat telah bermula.

***

Cikgu Zainal melangkah masuk ke dalam bilik guru. Mejanya menjadi destinasi. Sedang beliau melangkah ke arah mejanya, seorang guru lelaki menegurnya dari belakang.

“Nal, laju-laju nak pergi mana?” soal Cikgu Liew sambil menepuk bahu Cikgu Zainal. Cikgu Zainal segera memalingkan mukanya ke arah Cikgu Liew.

“Nak makan bekal. Aku lupa anak aku buatkan bekal untuk aku,” kata Cikgu Zainal sambil menggosok belakang kepalanya. Mendengar jawapan daripada Cikgu Zainal membuatkan Cikgu Liew teruja.

“Untungnya ada orang siapkan bekal pagi-pagi. Anak kamu mesti masterchef dekat rumah kan?” Cikgu Liew menyiku Cikgu Zainal. Cikgu Zainal hanyatersengih.

Semua orang tahu bahawa Cikgu Zainal merupakan seorang bapa tunggal kepada dua orang anaknya. Arwah isteri Cikgu Zainal iaitu Cikgu Najwa merupakan seorang guru di tidak jauh dari sekolahnya. Sekolah Menengah Kebangsaan Burhanuddin di mana Nabil belajar di situ.

Cikgu Zainal merupakan seorang guru bagi mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah manakala, arwah Cikgu Najwa pula seorang guru bagi mata pelajaran Sejarah di sekolah menengah.

“Cuma hidup Nal tak lengkap sebab tak jumpa lagi pengganti teman hidupnya,” tegur Cikgu Farhan yang mencuri dengar perbualan Cikgu Zainal dan Cikgu Liew. Cikgu Liew yang mendengar terus membalas kata-kata Cikgu Farhan.

“Kamu orang bujang tak pernah kahwin patut kahwin dulu. Jangan jadi apa itu bujang lepok,” sindir Cikgu Liew. Cikgu Zainal dan beberapa cikgu lain yang mendengar sindiran Cikgu Liew itu tergelak.

“Ayoyo Liew. Apa lepok-lepok? Bujang lapoklah,” tegur Madam Theresa dari jauh.

“Saya tahulah Madam Theresa. Saya cuma mahu uji kamu semua saja. Bagus pendengaran kamu semua,” bidas Cikgu Liew sambil memeluk tubuhnya.

Cikgu Zainal segera duduk di tempatnya. Bekal sarapan dikeluarkan dari begnya. Botol air dicapai. Penutup bekal dibuka perlahan. Semerbak bau harum nasi goreng air tangan Nabil.

“Sedapnya bau!”

Cikgu Hidayah menegur Cikgu Zainal dari jauh. Segaris senyuman diberikan kepada Cikgu Zainal. Cikgu Zainal hanya tersengih.

“Tak pelawa pun,” gurau Cikgu Hidayah. Cikgu Zainal yang sedang menyuap sesudu nasi goreng ke dalam mulutnya terhenti seketika.

“Maaflah Cikgu Hidayah. Nasi goreng ini anak saya yang masak. Dia tak suka saya berikan masakan dia kepada orang lain,” ujar Cikgu Zainal. Cikgu Hidayah mengangguk faham.

“Kalau Cikgu Hidayah teringin sangat nak rasa nasi goreng anak Cikgu Zainal, apa kata Cikgu Hidayah jadi ibu dia? Mana tahu boleh makan macam-macam masakan anak Cikgu Zainal. Betul tak Nal?” usik Cikgu Liew.

Tersedak Cikgu Zainal dibuatnya. Botol air dicapai lalu diteguk rakus. Cermin matanya ditanggalkan.

“Engkau ini Liew. Patut aku sembur dekat muka kau. Bergurau tak kena tempat,” tegur Cikgu Zainal sambil mengelap sisa air pada bibirnya.

“Betul tu Nal. Liew ini kadang tak bertempat guraunya,” sokong Madam Theresa. Cikgu Zainal memandang Cikgu Liew dengan penuh sabar.

“Betul kan Dayah?” tanya Madam Theresa apabila melihat Cikgu Hidayah tersenyum malu-malu diusik oleh Cikgu Liew sebentar tadi. Cikgu Hidayah hanya tersengih.

“Menyampah,” getus Cikgu Farhan dalam hati.

***

Sesi persekolahan telah pun tamat. Nabil membuka kunci pada rantai besi basikalnya. Dililit kemas pada tiang besi bawah tempat duduk. Tongkat basikal ditolak. Nabil memulakan kayuhannya. Perjalanan dari sekolah ke rumahnya memakan masa selama 10 minit dengan menunggang basikal.

Perjalanan Cikgu Zainal dan Nadia ke sekolah pula memakan masa lebih kurang 25 minit. Sebab itulah mereka akan bertolak lebih awal berbanding dengan Nabil yang agak dekat.

Sedang Nabil khusyuk mengayuh basikal, tayar basikalnya hampir terlanggar dengan sesuatu. Nabil berjaya mengelak. Brek tangan ditekan kuat. Nabil menoleh ke belakang melihat objek yang jampir dilanggarnya.

“Paku? Siapa buang paku tengah jalan ini?” Nabil menongkatkan basikalnya. Paku yang mencuri tumpuan Nabil segera capai. Nabil membuang paku itu ke dalam tong sampah yang berhampiran.

Setelah puas hati dengan tindakannya, Nabil kembali ke basikalnya. Pemegang basikal Nabil dipegang dengan cermat. Sempat menoleh kiri dan kanan sebelum memulakan kayuhan. Tidak lama kemudian, tayar basikal Nabil pancit secara tiba-tiba.

“Jangan pancit sekarang. Janganlah,” Nabil berdoa dalam hati. Basikal dihentikan. Nabil memeriksa keadaan tayar basikalnya. Ada serpihan kayu runcing halus melekat pada tayar basikal.

Nabil menundukkan kepalanya apabila melihat punca tayar basikalnya pancit. Tangannya digenggam menahan marah. “Punyalah aku mengelak tak nak lenyek dengan paku, kau pula muncul!”

Serpihan kayu runcing halus itu dicampak ke tepi rumput-rumput. Nabil menuntun basikalnya dengan hati yang sangat tidak rela. Tiba-tiba datang sebuah kereta menghampiri Nabil. Nabil memberhentikan basikalnya. “Siapa pula ini?”

“Nak tumpang tak?”

Cermin tingkap pada bahagian penumpang diturunkan. Nabil tidak dapat melihat rupa pemandu kereta itu kerana panas yang menyilaukan matanya. Seorang lelaki memakai cermin mata hitam. Siapa dia?

Lelaki itu menanggalkan cermin mata hitamnya. Nabil melihat wajah pemandu itu terus menjerit keriangan.

“Paksu!”

***

Di rumah Cikgu Zainal,

Secawan air dihidangkan di atas meja kepada seseorang. Riang pada wajah Nabil tidak lagi menghilang. Seronok sangat.

“Paksu, paksu. Abang tak kahwin lagi lah! Calon pun tak ada,” omel Nazafi sambil menongkat dagunya. Air oren sejuk dihirup perlahan-lahan. Nabil hanya tersengih.

“Nabil nak tak sertai program Rookie Band yang dianjurkan oleh Merpati Hitam Music. Abang boleh jadi pelatih untuk band Nabil. Nabil perlu ajak lagi dua orang. Nak tak?” tanya Nazafi.

“Mahu!”

Nabil setuju tanpa berfikir panjang. 

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Izatul Husna