"Maaf encik. Kami sudah berusaha sedaya upaya kami. Isteri encik kami tidak berjaya selamatkan,"
Bagaikan ada satu panahan halilintar menusuk ke hati ayah. Ayah mengalihkan pandangannya ke tepi. Matanya dipejam rapat. Sebuku genggaman dikepal. Dadanya berombak menahan paluan kejutan. Nabil yang berada di sisinya segera memaut tangan ayah.
"Ayah, Nabil ada dekat sini. Kenapa ayah sedih?"
Kepala Nabil diusap lembut. Ayah segera melutut sebelah kaki lalu memandang Nabil yang ketika ini berusia 5 tahun. Nabil yang masih tidak tahu apa yang telah terjadi hanya risau melihat keadaan ayah yang tidak ceria.
"Nabil, janji dengan ayah, Nabil jaga adik Nabil macam nyawa Nabil ya?"
Jari kelingking disua. Nabil membuat perjanjian antara dia dan ayah. Mata Nabil bersinar. Ayah hanya tersenyum kelat. Cuba menipu emosinya.
"Nabil janji ayah!"