Home Novel Umum Senyuman Nadia
Senyuman Nadia
Izatul Husna
23/9/2020 15:56:49
54,454
Kategori: Novel
Genre: Umum
Bab 8

"Nabil, Nadia, paksu ada perkara penting nak beritahu kamu berdua," panggil Nazafi serius. Nabil segera duduk ke sofa di ruang tamu. Nadia berlengah-lengah menuju ke ruang tamu.

Alat kawalan jauh televisyen dicapai. Nazafi menekan butang kuasa. Nadia memandang ke arah gambar keluarga yang terletak kemas pada bingkai gambar di atas meja. Matanya mula berair apabila melihat susuk tubuh arwah ayah.

"Ada apa paksu?" soal Nabil tanpa membuang masa. Nazafi memandang Nabil dan Nadia silih berganti. Sayu melihat wajah anak buahnya yang masih membesar.

"Mungkin lepas ini, kamu berdua akan tinggal dengan Pak Long Mirul. Beberapa hari lagi paksu akan kembali bertugas," ucap Nazafi perlahan. Nabil memandang Nazafi tanpa mengelipkan mata. Nadia hanya bersandar pada sofa.

"Tak boleh ke kalau Nabil ikut paksu? Nabil malas nak jumpa Pak Long Mirul dekat rumah. Dekat sekolah dah jumpa. 24 jam pula hadap dia," omel Nabil. Nazafi terus mengetuk kepala Nabil. Nabil tersengih kerang busuk.

"Baik kamu masuk SBPI. Tak payah pening kepala. Mahu?" sindir Nazafi sambil membulatkan matanya. Nabil menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Saya masih ada hutang pertandingan. Band saya akan bertanding. Jikalau kalah, saya akan masuk SBPI seperti syarat yang ayah beri. Paksu saksi bukan?" tanya Nabil sambil melihat Nadia yang tidak bersuara.

"Ok baiklah. Nadia, ok tak duduk dengan Pak Long Mirul?" tanya Nazafi apabila Nadia seperti berada dalam alamnya tersendiri. Nadia tidak memberi sebarang reaksi. Nabil dan Nazafi berpandangan sesama mereka.

"Paksu, Nadia nak pergi lautlah," pinta Nadia tanpa memandang Nazafi. Nabil mengerutkan dahinya.

"Laut? Kenapa tiba-tiba nak ke sana?" tanya Nabil. Tiada ribut tiada taufan. Tiba-tiba mahu ke laut. Aneh.

"Hujung minggu ni paksu ada urusan. Nanti paksu minta Pak Long Mirul bawakan ya? Laut mana Nadia nak pergi? Laut China Selatan? Laut Merah? Lautan Pasifik?" gurau Nazafi.

"Paksu, hambarlah," tegur Nabil sekilas. Nazafi hanya tersengih.

***

Pantai Teluk Kemang,

"Nabil, Nadia, kita dah sampai," kejut Pak Long apabila kereta berhenti pada petak parkir kereta yang disediakan.

Nabil segera mengejutkan Nadia dari tidurnya. Perjalanan yang memakan masa lebih kurang 2 jam dari rumah Pak Long. Nadia mengeliat seketika. Nabil membantu mak long mengangkat barangan dan bakul yang berisi bekal tengah hari.

"Sedapnya bau nasi lemak. Ayam goreng ada sekali tak Mak Long?" tanya Nabil sambil mencium bau nasi lemak yang berada dalam bakul. Mak Long hanya melayan.

Nadia turun dari kereta perlahan-lahan. Matanya dikesatkan beberapa kali. Angin kuat pagi itu membuatkan rambut panjang milik Nadia beralun. Nadia mengemaskan rambutnya beberapa kali sebelum berjalan.

"Siapa lambat kena tinggal!" Nabil mengajak Nadia berlumba lari menuju ke bawah pokok yang rendang. Nadia berasa tercabar segera mengejar Nabil dari belakang. Pak Long dan Mak Long tersenyum melihat keletah anak buah mereka.

Sehelai tikar dibentangkan betul-betul di bawah pokok. Panas mentari tidak mampu mengenai kulit Nadia. Nadia duduk di atas tikar sambil meluruskan kakinya. Kakinya mula menguis-nguis pasir. Nadia seronok berbuat demikian.

Sprit!

"Berhenti!" Kaki Nadia ditembak dengan air lalu ke badannya. Nadia mencari si pelaku. Nabil sedang menyusun bekas yang berisi makanan. Nadia memandang Nabil tidak puas hati.

"Abang Nabil tembak Nadia tadi kan?" tanya Nadia sambil memuncungkan bibirnya. Nabil yang tidak tahu apa-apa hanya menggeleng-gelengkan kepala. Nadia berdiri lalu berjalan menuju ke arah Nabil.

"Abang tak tembak pun kamu. Tak percaya tanyalah mak long. Tanyalah," ujar Nabil sambil memeluk tubuhnya. Nadia menggenggam kemas penumbuknya. Bibirnya dijuihkan. Tiba-tiba Nadia ditembak dengan pistol air dari belakang.

"Siapa yang tembak Nadia ni!" marah Nadia sambil memusingkan badannya. Mencari pelaku yang masih tidak diketahui. Nabil dan Mak Long menahan tawa.

"Abang kan tembak Nadia?" tanya Nadia tidak puas hati.

"Kalau abang tembak kamu mesti kamu nampak kan abang pegang pistol air. Abang sekarang tak pegang pistol air kan?" Nabil menggeleng-gelengkan kepalanya sambil menghulurkan tangan yang kosong.

Nadia berdecit. Pak Long Mirul pula berjalan ke arah mereka sambil membawa beberapa makanan yang dibelinya sebentar tadi. Melihat Nadia bermasam muka, segera Pak Long Mirul menghulurkan secucuk corndog kepada Nadia.

Mata Nadia yang melihat corndog itu berada di depannya terus tersenyum. Ingin sahaja Nadia menyambut corndog itu, tiba-tiba kertas beg dirampas oleh seseorang. Nadia tergamam.

"Paksu! Paksu tipu Nadia! Bagi balik corndog Nadia!"

Nazafi menggigit sedikit corndog Nadia tanpa rasa bersalah. Nadia memukul Nazafi dengan tangan kecilnya. Nazafi sempat meletakkan corndog di atas tikar dan menahan dahi Nadia dari terus memukulnya.

Nabil ketawa terbahak-bahak melihat Nadia dibuli oleh Nazafi. Nadia terus menarik tangan berpeluk tubuh. Muncung bibirnya mengalahkan muncung itik. Nazafi cuba memujuk Nadia dengan memberikan semula corndognya.

"Habislah kamu Nazafi. Pak Long tak tahu," usik Pak Long Mirul sambil menyenduk nasi lemak ke dalam pinggan. Nazafi menggosok belakang kepalanya.

"Nadia, paksu minta maaf usik Nadia. Maafkan paksu ya?" pujuk Nazafi sambil menggosok-gosok kepala Nadia.

"Nadia maafkan. Tapi paksu kena belanja aiskrim dulu," jawab Nadia dengan megahnya. Nazafi tergelak melihat celoteh Nadia.

"Paksu belikan sekejap ya. Tunggu sini," Nazafi segera berjalan menuju ke gerai-gerai berhampiran mencari aiskrim. Malangnya, tiada aiskrim dijual pada saat itu.

"Abang, itu motor aiskrim dekat sana," tunjuk Nadia ke arah seberang jalan. Nabil berlari ke arah Nazafi sambil memanggilnya.

Nadia yang tidak sabar menjilat aiskrim segera berlari ke arah Nabil dan Nazafi yang sedang berjalan menuju ke motor aiskrim itu.

"Abang!" jerit Nadia gembira.

Tiba-tiba ada sebuah kereta sedang bergerak laju menghampiri Nadia yang sedang melintas jalan. Kereta itu tidak sempat menekan brek. Nabil memusing belakang melihat Nadia yang sedang mengejarnya.

Sret! Guarch!

"Nadia!"

Nabil berlari mendapatkan Nadia yang tercampak agak jauh dari hentaman itu. Tubuh Nadia longlai. Kepalanya menerima hentakan yang parah. Darah mengalir dari mulutnya. Nabil cuba mendudukkan Nadia.

"Nadia, bangun Nadia!" Nabil mengusap wajah Nadia. Tangannya menggigil memegang badan Nadia yang cedera parah. Mata Nadia memandang wajah Nabil.

Nazafi segera mendapatkan Nabil dan Nadia. Pemandu kereta tersebut pula melarikan diri. Nazafi sempat melihat wajah pemandu tersebut dan nombor plat kenderaan. Nazafi tersentak seketika. Pemandu tadi memakai topeng berwarna emas.

"Nadia! Jangan tinggalkan abang! Bangun Nadia! Jangan tinggalkan abang sorang-sorang!" Nabil tidak mampu mengawal emosinya. Nazafi segera mengambil alih lalu memberikan rawatan kecemasan.

Pak Long Mirul segera menenangkan Nabil yang menjadi saksi kemalangan Nadia. Nazafi menundukkan kepalanya.

"Nabil, Nadia dah tak ada,"

Nabil melutut menangis.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Izatul Husna