Home Novel Umum Stigma (SELESAI)
Stigma (SELESAI)
ae0907
12/10/2021 21:15:47
94,557
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 17

Enam tahun yang lalu...

Bunyi burung berkicauan mengisi suasana perkarangan taman di sebuah pusat asuhan. Ditambah pula dengan gelak tawa kanak-kanak yang memenuhi kawasan taman permainan milik panti asuhan itu.

Di sebalik keramaian kanak-kanak yang sedang leka bermain, terlihat  seorang budak lelaki melangkah menuju ke arah seseorang yang berada di permainan pasir.

"Wajdi! Umi panggil kau,"

"Eh? Oh, okey!" sahut Wajdi yang sedang duduk mencangkung di hadapan permainan pasir itu.  Dia berdiri dan mengibas-ngibas belakang bajunya yang agak kotor kerana pasir yang melekat di situ. Setelah itu, dia segera menuju ke arah bilik pejabat yang umi duduki.

"Assalamualaikum, umi." ucap Wajdi sebaik sahaja masuk. Di hadapannya ada seorang lelaki tua yang sedang duduk berbicara dengan umi.

"Waalaikummussalam, Wajdi. Mari sini.." panggil umi. Wajdi menuruti sahaja. Pandangan kini menghala kepada seorang lelaki tua yang sedang memandangnya dengan wajah yang sayu.

"Wajdi, kenal tak siapa ni?" soal umi dengan senyuman yang terpatri di bibirnya.

Wajdi menatap ke arah yang dimaksudkan umi dan mendapati ada seorang lelaki yang agak berumur. Dengan cepat di menggeleng menidakkan pertanyaan umi.

"Ni Pak Azlan, atuk Wajdi. Salam atuk, Wajdi." ujar umi.

"Atuk?"

Umi mengangguk, mengiyakan pertanyaan Wajdi tadi. Wajdi seakan tidak percaya. Dia memandang semula ke arah seorang lelaki tua tadi. Lelaki itu turut mengangguk dan dapat dia lihat lelaki itu menahan air mata daripada mengalir di pipinya.

Dan, Wajdi tidak sempat mengatakan apa-apa kerana lelaki tua itu menariknya dalam dakapan.

"Atuk rindu sangat Wajdi. Maafkan atuk," kepala Wajdi diusap lembut.

Wajdi masih lagi terkejut dan bingung namun pelukan itu dibalasnya.

"Mulai hari ini, Wajdi akan duduk dengan atuk. Atuk akan jaga Wajdi lepas ni." beritahu umi.

"Apa?" soal Wajdi. Kemudian matanya beralih pada lelaki tua yang digelar 'Atuk' itu.

"Kalau Wajdi balik rumah Atuk, Wajdi dapat jumpa ibu dan ayah?"

Soalan tersebut seakan menusuk di jiwa lelaki tua itu. Dia tidak menjawab. Tangannya terus mengusap-ngusap kepala Wajdi. Semakin bingung Wajdi dibuatnya.

Petang itu Wajdi mengemaskan beberapa barangnya dengan pertolongan atuknya serta beberapa rakan-rakannya. Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada Umi dan seluruh rakan rumah panti asuhan itu, Wajdi terus masuk ke dalam kereta sambil tangannya melambai kepada mereka dengan riak wajah yang sedih sehingga kelibat rumah itu tidak lagi kelihatan pada pandangannya lagi.

Sepanjang perjalanan itu, keadaan hanya sunyi dan sepi. Pak Azlan sesekali  cuba untuk berbual dengan Wajdi dengan bertanyakan keadaan cucunya sepanjang tinggal di situ. Namun pertanyaan Pak Azlan hanya dibalas sepatah dua kata oleh Wajdi.

Wajdi juga masih bingung dengan perkara yang sedang berlaku padanya sekarang ini. Mengapa ibu bapanya tidak mahu mengambilnya?  Kalau dia tinggal dengan atuknya nanti, bagaimana kalau ibu bapanya akan datang mengambilnya nanti?

"Wajdi nak balik sana semula,"

Kata-kata Wajdi sedikit mengejutkan Pak Azlan. Mujur sahaja kereta yang dibawanya tidak terbabas di tengah jalan tadi kerana terkejut dengan persoalan cucunya tadi. Matanya melirik ke tempat duduk belakang yang diduduk oleh Wajdi melalui cermin pandang belakang kereta itu.

"Kenapa Wajdi nak balik sana semula? Wajdi tak nak tinggal dengan atuk ke? Tak suka atuk?" Pak Azlan bertanya lembut. Kedengaran di hujung ayat itu nada rajuk lelaki tua itu. Wajdi yang mendengar nada atuknya itu, mula berasa serba salah.

"Bu...bukan Wajdi tak suka, ta...tapi...Wajdi takut nanti kalau mak ayah Wajdi cari Wajdi tak jumpa nanti bila diorang pergi sana nak ambil Wajdi balik nanti." Wajdi berkata pantas, tidak mahu atuknya itu berkecil hati dengan pertanyaannya tadi.

Pak Azlan itu mula menunjukkan riak sedih mendengar kata-kata Wajdi.Wajdi yang melihat perubahan riak wajah lelaki itu menjadi semakin serba salah.

"Wajdi mintak maaf kalau Wajdi tanya tadi macam tak suka tinggal dengan atuk. Wajdi okay je. Cuma, kenapa Wajdi tak tinggal dengan mak dengan ayah dah sekarang ni? Atau mak dan ayah ada dekat rumah atuk?" Pertanyaan Wajdi hanya dibalas dengan senyuman oleh Pak Azlan. Lelaki yang berumur lebih separuh abad itu mengeluh perlahan sebelum kembali berkata- kata.

"Jangan risau. Mak dengan ayah Wajdi tahu. Wajdi tinggal je dengan atuk. Tak payah risau. Mak dan ayah Wajdi tak ada kat sana tapi ada je, jangan risau." Pak Azlan berkata sambil tersenyum lebar kepada Wajdi, ingin menyenangkan hati kanak-kanak itu. Wajdi yang mendengarkan jawapan atuknya itu mengangguk mengerti dan kembali terdiam sepanjang perjalanan mereka ke rumah atuknya itu.

"Ni bilik Wajdi," ujar Pak Azlan sambil meletakkan beg bagasi milik cucunya itu di sebelah sebuah katil single.

Wajdi hanya mengangguk. Dia memandang sekeliling biliknya. Cantik dan luas.

"Terima kasih," ujar Wajdi. Senyuman terukir di bibirnya.

"Wajdi rehat la dulu ya? Mesti penat kan? Atuk nak keluar kejap beli barang dapur,"

"Baik,"  balas Wajdi, kemudian dia mengheret bagasinya menuju ke sebuah lemari. Pintu lemari dibukanya. Isinya kosong tapi bersih. Mesti atuknya itu membersihkan bilik itu sebelum dia datang ke sini.

Kemudian, kakinya melangkah ke arah rak yang bertingkat. Ada beberapa frame gambar mencuri perhatiannya.

Gambar seorang bayi. Dan itu adalah gambarnya diambil senyap-senyap di pusat asuhan. Umurnya ketika itu sekitar 5 tahun.

Itu adalah gambar tujuh tahun yang lalu.

Dia kini sudahpun berumur 11 tahun.

Kalau diikutkan dia mahu bertanyakan semua tentang status dirinya kepada lelaki yang digelarkan atuk itu. Tapi, melihat raut wajah sendu yang dipaparkan di wajah tua  itu membuatkan dia tidak sanggup menanyakan macam-macam.

Tapi, apa yang dia tahu,  suatu hari nanti dia mendapatkan jawapannya.

~~~

"Sekolah apa ni atuk?" soal Wajdi sambil matanya melihat persekitaran sekolah yang bakal dia duduki. Semua pelajar berpakaian putih dan berkopiah, ada juga yang berserban. Sejuk mata memandang.

"Sekolah ni nama dia Maahad Tahfiz Darul Fathonah. Sekolah kawan atuk." ujar Pak Azlan. "Jom, hari ni hari pendaftaran. Kita kena cepat. Lima minit lagi, taklimat."

Wajdi mengangguk sahaja perintah Pak Azlan. Ekor matanya masih lagi memerhatikan permandangan sekitar sekolah barunya itu.

Cantik.

Sedang sibuk terleka memerhati kawasan sekolah itu, tiba-tiba kakinya tersepak sesuatu.

Anak kucing.

"Ah, maaf anak kucing! Huhu, kesiannya kau." Wajdi memegang haiwan itu. Mujurlah sepakkannya tidak begitu kuat.

Anak kucing itu merengek. Seperti meminta sesuatu.

"Kau mesti lapar kan?" badan dan kepala kucing itu diusap Wajdi dengan penuh kasih sayang.

"Wajdi,"  kepalanya mendongak. Pak Azlan meluru ke arahnya. Matanya tertancap pada seekor anak kucing dalam pangkuan Wajdi.

"Atuk, Wajdi nak bela kucing ni boleh?" tanya Wajdi sambil mengelus badan anak kucing itu perlahan.

"Wajdi, Wajdi masuk asrama. Bela anak kucing tu kat asrama je, okey?" balas Pak Azlan.

Terkedu Wajdi dibuatnya.

Asrama?

~~~

Selesai sahaja solat Maghrib, Wajdi tidak mengikuti pelajar yang lain duduk berkumpulan di ruang musolla.

'Macamana nak hafal? Bising!' monolog Wajdi sendirian. Kemudian dia memutuskan untuk duduk di belakang musolla. Sunyi, gelap dan tenang.

'Meow...'

Wajdi berpaling. Kelihatan seekor anak kucing berjalan menuju ke arahnya, seolah-olah mahu menemaninya.

"Kau nak temankan aku?" kepala anak kucing itu lembut. Kucing itu merengek manja dan membuatkan Wajdi tertawa kecil.

"Aku namakan kau, Mika." Wajdi tersenyum sendiri.

Tiba-tiba dia teringatkan Mikayla. Rakan seusianya yang sudah rapat dengannya sejak kecil. Dia tidak sempat berjumpa dengan Mikayla pada waktu terakhir dia berada di sana.

Sudah setahun berlalu,

Adakah Mikayla sudah melupakannya?

~~~

"Nama aku Azhar," tangannya dihulur pada Wajdi yang sedang menyiapkan kerja sekolah.

"Wajdi," tangan Azhar disambut mesra.

"Boleh tolong ajarkan aku ni?" Azhar menunjukkan helaian yang dimaksudkan.

"La, tajuk pecahan? Ni bukan budak sekolah rendah punya topik ke?" Wajdi terkekeh.

"Ish, kau ni nak tolong ke tak?" Azhar mendengus. Pertama kali perkenalan, boleh pula dia ketawa.

"Ouh, sorry hehe..."

"Hai, aku Fahmi." tiba-tiba seseorang duduk bersama mereka.

Mereka menyambut kedatangan Fahmi dengan baik. Ketiga-tiga mereka berbual mesra, saling bergelak ketawa. Meskipun perkenalan mereka agak ringkas, namun ia adalah momen yang bahagia bagi mereka bertiga.

~~~

Setahun kemudian...

"Wajdi! Huh, mana budak ni?" Azhar menggaru kepalanya yang tidak gatal. Masakan tidak, sudah hampir tiga round dia mengelilingi asrama semata-mata mahu mencari insan yang bernama Wajdi Hariz itu.

Sementara itu di bangunan sekolah, mata Wajdi melilau-lilau mencari kelibat anak kucing yang dipeliharanya.

"Eish, mana ni?" di asrama sudah dicari. Satu sekolah dia jelajah, mujurlah kawasan sekolah itu tidak terlalu luas. Di musolla pun tidak dia jumpa.

'Meow!'

Suara itu mengagetkan Wajdi. Wajdi lantas mencari arah suara itu.

"Mika?" gumam Wajdi perlahan. Sebaik sahaja dia melangkah ke arah belakang blok bangunan sekolah, kelihatan seekor kucing disepak oleh tiga orang yang kelihatan lebih tua darinya.

Kucing itu adalah Mika. Kelihatan tidak bermaya dan nyawa-nyawa ikan keadaannya.

"Jangan!!!" jeritan Wajdi berjaya membuatkan ketiga-tiga orang pelaku itu menoleh. Wajdi lantas berlari dan memukul salah seorang dari mereka.

"Woi!" salah seorang daripada mereka cuba melawan namun Wajdi lebih pantas bertindak. Dengan ilmu pertahankan diri yang dipelajari oleh Pak Azlan dahulu dia berjaya menumpaskan ketiga-tiga pelaku itu. Mereka bertiga mengaduh kesakitan yang teramat.

"Apa dosa kucing ni kau buat macam ni?!" bentak Wajdi lantas mendakap tubuh Mika dan berlari dari situ.

"Cis, bodoh! Argh!" salah seorang dari mereka cuba untuk bangun

"Serius sakit dowh..." sahut seorang lagi rakan dengan erangan.

"Ergh! Aku akan pastikan budak tu menyesal!"

~~~

"Cepatnya Allah amik Mika. Maafkan Wajdi sebab tak jaga Mika elok-elok," sayu Wajdi mengutarakan hal itu. Tanah yang dikoreknya itu diletakkan Mika yang sudahpun tidak bernyawa. Menitis air matanya.

Wajdi menanamnya di belakang musolla, portnya sebaik sahaja selesai solat Maghrib. Tiada siapa berani duduk di situ selain dirinya.

~~~

"Wajdi Hariz!"

Suara itu seakan menampar telinga Wajdi sebaik sahaja dia masuk ke perkarangan asrama. Tidak disangka pada waktu itu diadakan perhimpunan asrama secara mengejut.

Semua pelajar memandang Wajdi dengan pandangan yang membunuh.

"Ya, sa...ya...?" tergagap Wajdi menjawab. Sudahlah dia masih lagi menjadi junior walaupun baru tingkatan dua.

"Kamu tahu kenapa mereka semua berkumpul di sini?"

Wajdi menggelengkan kepala.

"Baguslah tak tahu. Elok sangat nak larikan diri eh lepas apa yang kamu dah buat??! Kamu pukul orang tanpa sebab?! Kamu nak bunuh orang?!"

Wajdi terpempan. Apa yang berlaku? Kemudian matanya memandang tiga pelajar yang sudahpun menjadi mangsanya tadi.

"Bukan...bukan... masa tu..." belum sempat Wajdi memberitahu hal sebenar salah seorang dari mereka menyampuk.

"Ah, kau jangan nak tipu la budak. Kiteorang nampak sendiri kau nak bunuh kucing tu, pastu bila kami nak selamat kan kau tumbuk kiteorang. Apa hal kau ni?"

Mata Wajdi membulat. Fitnah apa ini?

"Tak! Ini semua fitnah! Ustaz, dieorang tipu! " bersungguh-sungguh Wajdi memberitahu.

"Kau tak payah nak tuduh la dieorang bertiga la. Dieorang ni EXCO dan Qudwah. Kiteorang tak caya dieorang akan buat macam tu!" celah seseorang yang berada di antara himpunan itu.

"Haah, lagipun kau tu kan jenis yang diam je. Mana tahu kau ni pyscho ke apa..." sahut yang lain. Semua yang lain mula berbisik. Suasana menjadi riuh seketika.

"Entahnya, mak bapak dah la takde dah, haish...buat malu err..."

Wajdi mengetap bibir. Ya Allah, dugaan apa ni?

"Dah! Dah!" hentakan tangan milik warden itu pada dinding membuatkan semua pelajar diam.

"Wajdi, minta maaf dengan dieorang bertiga, kalau tak semua ustaz suruh tidur tengah padang termasuk kamu."

Mendengar sahaja arahan sebegitu, suasana menjadi riuh dengan keluhan pelajar.

"Minta maaf je la!"

"Wei, panas dowh luar!"

"Stress nya aku! Orang lain buat kita kena jugak!"

Sudah menjadi peraturan, bila satu orang membuat kesalahan, semua kena. Baru adil.

Mata Wajdi dipejam seketika. Keluhan yang dilemparkan padanya cukup membuatkan hatinya sakit. Namun tidak sesakit dirinya sudah dituduh.

"Saya tak akan minta maaf kepada orang yang suka buat fitnah," selamba Wajdi menjawab dan meninggalkan perhimpunan itu. Kedengaran riuh suara pekikan pelajar.

Namun Wajdi tidak kisah, biarlah dieorang rasa ingat hati yang luka ni boleh dibiarkan je?!

"Wajdi, kau okey?" tanya Azhar. Fahmi di sebelahnya setia menanti bicara Wajdi. Mereka berdua baru sahaja habis didenda tidur di tengah padang beramai-ramai kerana kedegilan Wajdi. Habis lencun baju mereka dengan peluh, termasuk kelelahan mereka mencari Wajdi di belakang bangunan.

"Kenapa korang nak kawan dengan aku? Aku kan jahat?" soal Wajdi menatap mata Azhar dan Fahmi silih berganti. Dia berasa bersalah kerana kedegilannya itu membuatkan dua rakannya dikenakan hukuman.

"Kau kawan kami, takkan kami nak abaikan kau?" balas Azhar, nafasnya cuba distabilkan. Dia duduk di sebelah Wajdi.

"Haah, seteruk mana pun kau. Kami tetap anggap kau kawan."

"Kenapa? Tak ke terseksa dapat kawan macam aku?" Wajdi mengeluh.

"Kami tahu kau tak salah,"

Bahu Wajdi ditepuk perlahan.

"Kau bukan jenis camtu, kau tak akan cari pasal dengan orang yang tak cari pasal dengan kau."

"Kau tahu kan, kau kena gantung asrama lima hari?"

Wajdi mengemam bibir. Dia sudah mengagak perkara itu akan berlaku.

"Kau berehatlah, tenangkan fikiran kau."

Wajdi tersenyum nipis.

Sekurang-kurangnya ada juga yang faham dan mahu menjadi rakannya.

~~~

"Atuk marah?" soal Wajdi sebaik sahaja beg sandang besarnya diambil dari bonet kereta.

Pak Azlan yang baru sahaja membuka geriji pintu hanya tersenyum kecil.

"Atuk percayakan Wajdi. Cucu atuk ni baik. Namun takpelah, anggap itu adalah ujian untuk Wajdi,"

Wajdi diam seribu bahasa. Atuknya, dua rakannya sangat memahaminya. Tapi kenapa orang lain tidak?

Perihal tiga remaja itu, bukannya mereka bersifat keanakkan? Wajdi tahu pasti mereka akan membulinya nanti ditambah dengan senior yang lain. Wajdi tidak boleh kelihatan lemah. Dia harus mempersiapkan diri dengan apa-apa yang akan berlaku ke depan. Bukan dia tidak kenal beberapa senior yang suka mencari gaduh. Dia tidak mahu kerana kedegilannya ketika itu dijadikan alasan kenapa ia dibuli.

Sepanjang lima hari berada di rumah, Wajdi merasa lebih baik. Atuknya itu kelihatan tenang, walaupun sikap panas barannya kadang-kadang datang.

Namun, sebaik sahaja tiba di asrama, dia berubah menjadi seorang yang dingin sehinggalah menggerunkan para pelajar termasuk guru-guru.


Previous: BAB 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.