Home Novel Umum Stigma (SELESAI)
Stigma (SELESAI)
ae0907
12/10/2021 21:15:47
94,548
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 11

"Wajdi Hariz? Oh, pelajar tingkatan lima itu kah?"

Faiz mengangguk.

"Apa yang kamu nak tahu?" soal mudir. Raut wajahnya tampak tenang sahaja.

"Semuanya berkaitan Wajdi. Itu pun kalau tuan mudir tak keberatan,"

Mudir memandang wajah Faiz dengan raut wajah yang agak serius. Tidak lama kemudian dia berdiri dan berjalan kecil ke arah tingkap.

Faiz memerhatikan sahaja kelakuan mudir itu. Apakah hal itu begitu besar?

"Mesti dia buat kes lagi kan selepas kes awal tahun hari itu?"

Faiz mengemam bibir. Mudir seolah-olah mengetahui sahaja agenda yang tersembunyi melalui pertanyaannya.

Melihat Faiz yang seakan gelabah itu, mudir hanya tersenyum kecil.

"Tidak mengapa Faiz, saya tidak akan memberitahu pihak disiplin mengenai itu. Lagipula, saya tahu kamu mahu menyelesaikan sendiri."

Faiz tersenyum. "Terima kasih tuan mudir."

Mudir kembali duduk ke tempatnya.

"Wajdi tinggal dengan atuknya sekarang ini, dan atuknya itu juga merupakan salah seorang kawan baik saya.

Mak dan ayah dia sudah bercerai dan mereka pergi tanpa meninggalkan sebarang berita. Dari kecil sampai umur 10 tahun, dia dijaga di pusat asuhan. Dan lepas tu, atuk dia pula mengambilnya dari sana dan menjaganya sampai sekarang."

Faiz diam. Ada banyak perkara yang dia tidak tahu mengenai Wajdi. Namun mengapa Wajdi memberitahu ibubapanya meninggal? Dari mana istilah anak haram jika Wajdi masih mempunyai ibubapa? Apakah itu hanya fitnah?

Mudir melangsungkan bicaranya.

"Wajdi tidak tahu status dirinya sendiri sebab itulah dia diiktiraf sebagai anak yatim. Sebenarnya, agak privasi untuk kamu mengetahui lebih mendalam."

"Dia murid yang baik sekiranya kamu kenal dia dengan lebih,"

Faiz mengangguk. Mengiyakan jawapan mudir itu.

"Kamu tahu? Ramai pelajar termasuk jugalah cikgu di sini mahukan dia keluar dari sekolah ini? Kerana masalah sikap kurang ajar dia terhadap semua guru termasuk panas baran terhadap pelajar lain. Namun, ada yang masih mempertahankan Wajdi kerana alasan dia masih perlukan bimbingan. Sudah banyak program ataupun kelas motivasi dilakukan ke atas Wajdi, namun dia sendiri tidak hadir.

Wajdi seorang pelajar yang hebat. Ber'IQ' tinggi. Cuma saya sedih, masih ramai yang suka menghukumnya daripada memberikannya perhatian yang lebih khusus untuknya.

Dia wajar diberi peluang. Namun, keadaan sekelilingnya pula tidak memberikan dia peluang. Ada banyak  rahsia yang masih perlu dikorek dan semua guru telah bertungkus-lumus dalam hal itu.

Tetapi, Wajdi tidaklah seburuk yang disangka. Dia menganggap semua orang memandangnya hina kerana tiada ibu bapa. Mungkin itu faktor utama kenapa dia berkeadaan begitu."

Faiz terkedu. Tidak sangka pula dirinya keadaan Wajdi di sekolah ini sebegitu. Sungguh, dia berasa kasihan kepada Wajdi.

"Wajdi seorang yang sangat taat pada atuk dia. Atuknya selalu kata pada saya, jangan buang Wajdi dari sekolah ini. Lagipun, dia juga merupakan salah seorang pelajar cemerlang sekolah. Sekurang-kurangnya, ada juga alasan saya untuk tidak membuangnya dari sini."

Lelaki yang berumur hampir separuh abad itu berpaling menghadap Faiz. Pandangannya redup dan satu senyuman nipis menghiasi wajah tuanya. Faiz sedikit terkejut melihat raut wajah mudir itu. Dia dapat merasakan kasih sayang seorang ayah daripada kata-kata dan perlakuan tuan mudirnya itu. Sama seperti kali pertama dia melihat wajah tua itu.

"Dan kamu Faiz, saya amanahkan kamu supaya dapat memberikan semangat kepada Wajdi. Jadikan dia seorang yang berguna kepada masyarakat di luar sana. Saya tidak mahu dia sia-siakan kepandaian yang dianugerahkan kepadanya itu. Dia hanya perlukan bimbingan dari seseorang.

Sudah banyak yang cuba untuk memikul amanah ini, namun masih tidak membuahkan hasil. Masih ramai yang lebih suka menghukumnya tanpa mengetahuinya dengan lebih mendalam."

Faiz tertunduk. Dia tidak tahu apa dia mampu membalas bicara mudir itu atau tidak.

"Kalau saya berikan kepada kamu tugas ini, kamu rasa kamu boleh kamu laksanakan amanah kamu ini?"

Bahu Faiz ditepuk lembut oleh mudir. Faiz hanya terdiam, takut untuk membalas pandangan redup mudir itu.

Faiz meraup wajahnya. Terngiang-ngiang perbualannya bersama mudir di sekolah tadi.

Wajdi Hariz. Seorang pelajar yang agak misteri. Sukar untuk ditafsir. Ada satu rahsia disembunyikannya rapi di sebalik kehidupan pelajar itu.

Faiz mengusutkan rambutnya. Kopiahnya ditanggalkan dan diletakkan di tepi.

'Boleh kamu laksanakan amanah ini?'

Sekali lagi Faiz termenung panjang.

Kenapa Wajdi digelar anak haram? Adakah seseorang itu tahu menahu mengenai hidup Wajdi?

Tapi mengapa?

Faiz semakin keliru.

~~~

Zip beg sekolahnya ditutup rapat. Mikayla melangkah keluar dari perkarangan asrama. Kunci pintu setiap dorm asrama disimpan pada poket kot blazzernya untuk diserahkan kepada warden nanti. Sudah menjadi kebiasaannya untuk membuat rondaan di sekeliling asrama muslimat sebelum menuju ke perkarangan sekolah.

"Dah periksa semua tempat?" soal Mardiyah.

Mikayla sekadar mengangguk.

Lantas mereka berdua menuju ke arah perkarangan sekolah. Dari jauh Mikayla terpandang satu susuk tubuh seseorang yang sangat dikenalinya sedang duduk di bangku halaman musolla itu.

Eh, itu...

"Mikayla, jom teman saya pergi koperasi kejap." Mardiyah mencuit lengan baju Mikayla dan mengheretnya supaya mengikut langkah kakinya.

Mikayla menuruti tingkah Mardiyah namun matanya masih lagi tidak lepas memandang susuk tubuh seseorang itu.

"Awak tengok apa?" soal Mardiyah. Dia perasan gelagat Mikayla yang seolah-olah sedang memerhatikan seseorang sedari tadi. Mereka berdua berhenti di hadapan pintu masuk koperasi.

"Tak ada apa-apa lah," Mikayla tersengih.

"Aip, ke Si..." belum sempat Mardiyah mahu mengusik tiba-tiba satu suara menyentakkan mereka berdua.

"Erm. Boleh tepi sikit? Kalau nak masuk, masuk. Kalau tak nak sila keluar. Tak perlu kut nak berlawa kat depan pintu koperasi ni."

Suara itu membuatkan Mikayla dan Mardiyah tersentak. Dengan cepat Mikayla menarik tangan Mardiyah dan melangkah pergi dari koperasi tanpa memandang ke arah pemilik suara tadi.

Mardiyah menuruti sahaja. Niatnya mahu membeli di koperasi terbantut. Ha, kena tegur sudah! Hilang mood nak beli makanan!

~~~

Wajdi memandang ke arah dua figura yang sudah jauh ke depan. Keluhan berat dilepaskan. Jika difikirkan semula, agak kurang ajar pula teguran tadi namun apa boleh buat? Lagi pula terhegeh di hadapan pintu koperasi, siapa tak marah? Pelajar qudwah pula. Itupun dia dapat lihat melalui warna pakaian yang dikenakan oleh dua gadis itu.

Wajah Wajdi berkerut seketika. Entah kenapa dia merasakan dia seakan mengenali salah seorang daripada dua gadis itu.

"Bukan ke dia tu..." Dahi Wajdi berkerut. Namun dia membiarkan sahaja perasaan itu.

"Huish, menyemak betul lah."

Kakinya terus melangkah masuk ke dalam koperasi untuk membeli beberapa makanan kerana dia malas bersarapan di dewan makan.

Tanpa dia sedari, ada seseorang melihat kejadian itu dari jauh dengan perasaan amarah yang memuncak.

"Ish, terlepas peluang aku!" Amirul menumbuk perlahan tembok musolla. Sejak dari tadi dia menjadi pemerhati Mikayla sejak gadis itu tiba di perkarangan sekolah. Baru sahaja dia mahu terniat melangkah ke arah koperasi untuk bertemu si pujaan hati, Si Wajdi pula buat kacau daun.

Sibuk saja kacau line orang!

Mahu ke koperasi pula, buah hatinya itu sudahpun melangkah pergi. Dia memandang ke arah Wajdi yang sudah pun selamba membayar di kaunter.

Amirul menjeling ke arah Wajdi dengan perasaan yang membara.

Ya. Dialah punca utama pergaduhan Wajdi dan Johan. Dia tidak kisah sekiranya Wajdi mengetahui dirinya yang merupakan punca utama kes itu. Lagipun, Johan sendiri mahu kes ini ditutup. Tidak perlu banyak sangat siasatan atau melibatkan ramai pihak. Terasa beruntung pula menggunakan Johan sebagai umpannya.

Dia lebih kisah jika Wajdi terus menerus dikejar oleh Hajar Mikayla. Buah hatinya. Melihat mereka berdekatan dalam masa sekejap pun sudah mampu membuatkan hatinya berasa panas.

Namun tanpa Amirul sedar, dia telahpun salah faham dari awal.

~~~

Mikayla menarik nafas dan menghembus nafas perlahan-lahan. Kalau boleh, selepas ini dia tidak mahu menapak lagi ke koperasi.

Maklumlah, koperasi itu tempat umum dan sering dikunjungi oleh pelajar muslimin.

Kata-kata si penegur tadi membuatkan dia berasa terasa. Namun, entah mengapa dia berasa sangat mengenali suara yang menegur dia dan Mardiyah tadi.

'Itu awak, Wajdi Hariz?' Mikayla menggagak sendiri. Mahu tanya Mardiyah, nanti habis diusiknya nanti. Pantang disebut rakan masa kecilnya itu, pasti akan diusik yang bukan-bukan.

Entah mengapa tiba-tiba dia teringatkan kejadian sewaktu dia bertembung dengan Wajdi Hariz beberapa hari yang lalu.

'Aku senyum kat dia kah?' cemberut wajah Mikayla dibuatnya. Dia kemudian memandang sekeliling. Mujur tiada yang perasan.

Fokus Mikayla! Ingat kau tu siapa!

Buku teks Sejarah dikeluarkan. Baru sahaja beberapa helaian dibelek, fikirannya terlintas pada susuk tubuh seseorang di musolla tadi.

"Tu kan..." belum sempat Mikayla bermonolog, cikgu Adam telah pun masuk ke dalam kelas.

~~~

Tengah hari itu, Nurhan memilih untuk keluar ke pekan setelah meminta kebenaran dari pihak pejabat. Sekarang, dia berada di sebuah kedai cenderamata di yang ada sekitar pekan.

Sudah lama dia mahu memberikan sesuatu kepada seseorang, namun entah mengapa dia asyik terlupa sahaja. Hari ini, dia bertekad mahu membelikannya supaya tidak lupa lagi.

Nurhan membelek beberapa biji mug yang tersusun rapi di bahagian rak yang dipenuhi dengan pelbagai reka bentuk mug.

"Jaja mesti suka yang ni." salah satu mug berbentuk merah hati dan bercorak hitam merah jambu itu digapainya.

Tanpa membuang masa dia terus membuat pembayaran di kaunter. Selesai sahaja, telefonnya berdering.  Nurhan sudah mengagak siapa yang menelefon. Tanpa berlengah, dia mengangkatnya jua.

"Waalaikummussalam, ada apa Faiz?"

"Ouh. Ok, Nanti aku call kau balik bila aku dah sampai."

Talian diputuskan. Nurhan bergegas keluar dari kedai dan menuju ke arah motornya.

Tanpa Nurhan tahu, ada sepasang mata sedang giat memerhatikan kegiatannya dari tadi.

"Tak sangka aku dapat jumpa kau lagi, Nurhan..."


Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.