Home Novel Umum Stigma (SELESAI)
Stigma (SELESAI)
ae0907
12/10/2021 21:15:47
94,559
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 6

Perjumpaan antara exco-exco asrama di bilik mesyuarat sudah pun selesai. Ianya diadakan pada setiap hujung minggu yakni hari Sabtu. Itulah yang dijadualkan oleh Faiz selaku warden, memandangkan kebanyakan mereka adalah tingkatan tiga dan juga lima.

Faiz tidak mahu menambahkan beban yang banyak kepada dua tingkatan itu dengan masalah asrama. Cukup dia, pihak atasan dan exco tingkatan empat yang akan menyelesaikan. Namun, tidak bermakna Faiz akan mengabaikan mereka, cuma mahu meringankan sedikit sahaja beban.

Perjumpaan itu berlangsung selama hampir satu jam setengah. Semasa perjumpaan tersebut, para exco wajib membentangkan laporan mereka yang mereka tulis sepanjang minggu berkaitan perjalanan asrama di sekolah mahu pun di aspura.

Selepas memberi sepatah dua kata dan beberapa arahan kepada mereka, Faiz menamatkan perjumpaan itu dan membenarkan exco-exco tersebut untuk bersurai dari bilik mesyuarat.

"Hilman," Faiz memanggil ketua Asrama itu sebaik sahaja exco-exco lain hilang dari pandangan matanya. Dia sudah pun mula menyusun fail-fail tugasan para exco.

Setiap exco akan dibekalkan fail tugasan masing-masing untuk membuat dan menyimpan laporan tugasan setiap minggu berdasarkan jawatan yang disandang.

"Tolong ustaz check laporan setiap exco ni. Tengok sama ada laporan bertulis mereka lengkap atau tidak," Faiz bersuara sambil memandang ke arah salah seorang pelajar yang berada di dalam bilik mesyuarat itu.

Hilman mengangguk patuh, sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai ketua asrama. Meskipun tahun ini dia bakal menghadapi peperiksaaan besar.

Fail-fail itu diletakkan di atas meja dan mula disemak oleh Faiz dan Hilman satu persatu.

Faiz mula membelek beberapa fail. Sesekali dia tersenyum lebar, berpuas hati dengan laporan bertulis yang sampai ke tangannya. Namun sebaik sahaja fail milik Amirul Shazwan dibuka dan dibeleknya, senyumannya mati.

"Hilman," Faiz bersuara tanpa melepaskan pandangan matanya pada fail laporan tersebut. Mukanya kelihatan sangat serius.

"Ya?" soal Hilman, wajahnya mendadak hairan melihat reaksi ustaznya.

"Panggil Amirul." arah Faiz. Laporan yang dipegang itu dia letak di atas meja sembari meraup wajahnya.

Tanpa bertanya panjang, Hilman terus mengangguk dan terus berlalu dari situ.

~~~

"Huh, penat!" Amirul membuka beberapa butang bajunya sebaik sahaja dia sampai ke loker. Namun gerakan jemarinya mati apabila mendengar laungan Hilman, si ketua asrama memanggil namanya.

"Mirul! Ustaz panggil kau!" laung Hilman dari luar asrama. Mahu masuk ke dalam asrama, dia berasa malas untuk membazir masa membuka kasut yang dipakai. Dorm Amirul bukannya jauh sangat dari pintu luar.

Amirul berasa pelik. Ustaz panggil? Kenapa pula? Rasanya segala laporan sudah dia katakan sepanjang mesyuarat berlangsung.

Mahu tidak mahu, terpaksalah dia membutangkan semula bajunya dan mengikuti Hilman yang sudahpun jauh ke hadapan memasuki bilik mesyuarat.

Mahu bertanya, Hilman sendiri tidak mengetahui apa-apa.

Ada yang salahkah dengan laporannya?

~~~

Suasana dorm yang agak panas membuatkan Wajdi keluar awal dari asrama dan menuju ke arah bangku berhampiran musolla.

Sengaja dia keluar awal kerana berasa malas mendengar pekikan exco-exco yang membebel serta menyuruh ahli dorm mengemas dorm masing-masing.

Wajdi? Kemas dorm? Mustahil! Dan ianya tidak akan berlaku!

Kalau diikutkan, Azhar dan Fahmi juga mahu ikut bersamanya, namun tidak sempat kerana mereka berdua berjaya ditahan oleh beberapa exco.

Ya, semua orang hanya takutkan Wajdi Hariz. Kerana antara mereka bertiga, Wajdi Hariz yang paling beku dan paling kasar.

Dan yang paling menakutkan.

Semenjak dari kelas Talaqqi tadi, dia perasan ada beberapa rakan sekelasnya itu memuji alunan suaranya. Ada juga yang hanya bereaksi biasa dan tidak memuji. Namun, disebabkan sikap dinginnya itu, malas dia ambil tahu.

Wajdi meletakkan beg yang sudah dia letakkan segala buku untuk prep malam nanti. Dia tahu, sesi mengemas dorm akan mengambil masa yang agak lama dan kadang-kadang ramai tidak sempat mandi. Mujurlah dia sempat mandi awal sewaktu ahli dorm membuat perjumpaan dengan ketua dorm masing-masing. Kisah apa dia? Lagipun, ketua dorm dia adalah pelajar tingkatan 4. Tidak akan berani menegurnya apatah lagi mengarahnya.

Dia kemudian memandang sekeliling persekitaran musolla yang kelihatan agak sunyi. Musolla terletak cukup dekat dengan laluan pelajar dari asrama muslimat untuk ke sekolah.

Hanya dia sahaja yang berada di situ. Kebetulan dia duduk di tempat yang agak tersorok dari asrama. Tidaklah kantoi dengan para exco ataupun warden sebab tidak melaksankana tugasan. Kalau ya pun, kisah apa?

~~~

"Mardiyah! Cepat!" gesa Mikayla yang agak kelam kabut memakai kasut. Mardiyah juga melakukan hal yang sama.

Mikayla merupakan ketua Asrama perempuan, manakala Mardiyah merupakan setiausahanya. Mereka baru sahaja selesai mesyuarat, namun tidak di bilik mesyuarat asrama tetapi di bilik gerakan di sekolah mereka. Exco yang lain semua sudah pulang lebih awal dari mereka berdua kerana mereka membantu warden mengemaskan apa yang patut.

Selesai menyarung kasut, mereka segera mengambil barang dan beg mereka serta bergegas. Lebih baik cepat sebelum bertembung dengan mana-mana pelajar muslimin. Lagi-lagi Si Amirul! Kerana laluan yang biasa digunakan para pelajar perempuan ke asrama, akan digunakan oleh pelajar lelaki pada sebelah lewat petang.

Sedang asyik mereka kelam kabut, tiba-tiba mata Mikayla menangkap satu susuk tubuh yang sedang duduk di bangku seorang diri. Malahan, jarak mereka tidak berapa jauh membuatkan Mikayla dapat mengecam orang itu.

Wajdi Hariz.

"Ish, Mikayla! Tunggu la saya!" jeritan kecil Mardiyah membuatkan Mikayla tersentak dan mengakibatkan buku-buku yang dipegangnya jatuh.

Gedebuk!

Mikayla terkejut, lantas dia pantas mengutip buku-buku dan kertas yang bertaburan. Mardiyah pula terus menolongnya. Dapat Mikayla melihat sosok itu sedang menatap mereka dengan tatapan yang datar.

Setelah selesai mengutip buku, Mardiyah lantas menarik Mikayla untuk beredar dari situ. Mikayla sempat memberikan senyuman kecil kepada Wajdi yang ada di situ.

Dia berharap Wajdi mengenalnya, iaitu rakannya semasa kecil.

~~~

Wajdi memandang ke arah dua  pelajar perempuan yang sudahpun beredar dengan pandangan yang aneh. Sesekali wajahnya berubah tidak tentu arah.

Perempuan tadi? Dia senyum ke aku ke?Macam pernah nampak, tapi kat mana eh?'

Wajdi menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia cuba mengimbas kembali rupa pelajar perempuan tadi namun tidak berhasil.

"Argh, lupakan jela! Bukannya penting sangat pun perempuan tu." Wajdi mendengus sembari menyandarkan tubuh kembali pada bangku yang diduduknya.

Buat apa fikir?

~~~

Bekas rotan di tapak tangannya masih merah, berbirat di telapak tangannya. Sakit tidak terkata namun terpaksa ditahannya.

Meskipun ada tugasan pembersihan dorm masing-masing, dia tidak mahu melakukannya sekali dengan pelajar-pelajar asrama lain. Peduli apa, dia exco kan?

"Amirul, awak ada adik perempuan ke kat sekolah ni?"

Soalan yang diajukan oleh Faiz itu membuatkan Amirul hairan.

"Eik, saya tak ada adik perempuan ustaz."

Faiz mengangguk sebelum menyambung bicaranya.

"Oh, jadi siapa nama Hajar Mikayla ni? Siap dengan hiasan love-love lagi?" soal Faiz sambil meletakkan buku laporan itu betul-betul di hadapan Amirul.

Mata Amirul membuntang. Hilman yang ada di situ pulak hanya mampu menggeleng. Dia sudah tahu lama tentang Amirul yang amat menyukai ketua Asrama Muslimat itu.

"Err..." Amirul teragak-agak mahu menjawab.

"Siapa? Crush?" soal Faiz, kedengaran tenang namun serius. Amirul meneguk liurnya yang berasa pahit tika itu. Perlahan-lahan kepalanya dianggukkan. Kepalanya kekal menghadap lantai, tidak sanggup bertentang mata dengan ustaz muda itu.

Faiz mengeluh kecil sambil menggelengkan kepalanya. Agak kecewa dengan apa yang diketahuinya itu. Apatah lagi ianya dibuat oleh salah seorang exco asrama, seseorang yang sepatutnya menjadi contoh kepada pelajar lain!

"Ustaz tahu cinta itu fitrah manusia. Sesiapa pun boleh mencintai apa yang dia suka. Tapi, perlulah berpada-pada. Jangan sampai ianya membawa mudarat kepada kamu. Lagipun, pada pendapat ustaz, dengan usia kamu sekarang ni, belum sampai lagi masa untuk kamu mencari seseorang sebagai peneman hidup kamu. Kamu masih muda, perjalanan kamu masih jauh." Faiz cuba menasihati pelajarnya itu. Dia tahu, anak didiknya itu mendengar kata gurunya.

Namun apa yang dia tidak tahu ialah bagaimana maraknya api amarah yang sedang menyala di dalam dirinya. Baginya perbuatannya itu langsung tiada salahnya. Dia bukannya ber'couple' atau yang lebih teruk berzina. Dia masih tidak nampak di mana silapnya itu.

"Ustaz tak kata kamu tak boleh simpan perasaan kepada seseorang. Tetapi jika sampai di tahap ini, ustaz rasa lebih baik kamu hentikan. Ini sudah dipanggil zina hati. Kamu teringatkan dia sepanjang masa sehingga menganggu pembelajaran kamu. Dalam Al-Quran sendiri Allah berfirman supaya kita tidak boleh mendekati zina dan ustaz tahu ayat ini diketahui oleh pelajar-pelajar di sini, termasuklah kamu, bukan?" Amirul mengangguk perlahan, membenarkan kata-kata Faiz.

"Maaf, ustaz terpaksa menjatuhkan hukuman ke atas kamu. Ustaz harap dengan ini kamu tidak lagi mengulangi kesalahan kamu."

Tapak tangannya dirotan sebanyak tiga kali oleh ustaz itu. Amirul sedaya upaya bertahan agar badannya tidak bergerak apabila rotan itu hinggap pada kulitnya.

"Kamu boleh pergi. Ustaz harap kamu dapat pelajari kesalahan kamu hari ini," Faiz berkata sambil memandang lembut pelajarnya yang masih memandang lantai sambil mengusap tangannya perlahan.

"Terima kasih ustaz," Dia terus keluar dari situ tanpa berpaling lagi.

Amirul mendengus geram. Tangannya itu digenggam erat. Mukanya berubah bengis. Tiba-tiba, dirinya menjadi tenang apabila teringatkan Hajar Mikayla, gadis pujaan hatinya itu.

Namun, ketenangan itu tidak bertahan lama apabila wajah Wajdi Hariz pula bertamu di ruang mindanya. Dia masih lagi ingat bagaimana akrabnya persahabatan antara Wajdi dengan Mikayla dahulu.

Penumbuknya diangkat dan diayunkan ke arah dinding yang berada berdekatannya

"Apa yang bagus sangat pasal kau eh, Wajdi Hariz?"Amirul berkata perlahan. Mukanya merah menahan marah. Masih terbayang-bayang kata-kata pembelaan Mikayla terhadap Wajdi. Apakah Mikayla tidak tahu siapa Wajdi Hariz sebenarnya?

'Kau tunggu sajalah, Wajdi Hariz!' gumam Amirul dalam hati.


Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.