Bab 1 Smack-O
"Hello sayang, you dekat mana ni? Senyap aja!"
Menggulung anak mata Reno. Bibirnya dicebir mendengar suara
di hujung talian yang lenggoknya sengaja dimanja-manjakan. Loya! Mata separuh
ngantuknya diseka dengan
jari-jemari.
Susuk seorang perempuan di sisinya, dilirik. Perempuan
berambut panjang keperangan kusut masai yang sedang lena diulit mimpi, selesa
di sebalik selimut putih bersih, diamati.
"I dekat rumahlah. Nak ada dekat mana lagi pagi-pagi
buta macam ni?" Balas Reno kemudian. Muka dironyokkan. Rasa terganggu di
pagi hari mendapat panggilan. Suaranya berat dan malas.
"Jumpa I dekat tempat biasa pukul sepuluh nanti. Kita
sarapan sama-sama."
"Pukul sepuluh nanti?"
"Ya, pukul sepuluh nanti. Sepuluh pagi! Bukan sepuluh
malam. Itu bukan sarapan, tapi 'supper'!"
Anak mata Reno berlegar di dada siling bagaikan sedang
menimbang duduk perkara. Rambut lurusnya yang jatuh ke dahi, disapu dengan
tangan. Perempuan di sisinya sekali lagi dilirik.
"You dah dapat yang I suruh cari tu?" Tanya Reno.
Suara seakan berbisik. Telefon bimbitnya dieratkan ke telinga, penuh minat
menanti jawapan.
"Jumpa nanti, kita boleh berbuallah. Pukul sepuluh, ye."
"Cakap ajalah sekarang! Apa bezanya cakap nanti dan
sekarang?" Mahu sahaja Reno meninggikan suaranya, jika tidak kerana akan
mengganggu rakan ranjangnya itu.
"You ni, tak sabar sabar ye! Nanti I pergi sana, I
tampar muka you dengan bibir I, baru you tahu!"
Dengan pantas Reno merenggangkan telefon bimbit yang sedang
mencumbui telingannya, apabila di hujung talian menggaung gelak-ketawa. Sekali
lagi anak matanya menggulung.
"I nak beritahu you sekali tentang 'customer' baru kita
kat Singapura tu. So, you pergi siap-siap sekarang. I jumpa you nanti pukul
sepuluh," jelas suara itu di hujung talian.
"Hah, apa cerita dengan dia orang?"
"You turunlah! Nanti kita boleh bual panjang."
Reno menggeleng. Berkeluh keinginannya tidak tertunai.
"Okey, you tunggu, nanti I datang."
Jam di dinding ditujukan pandangan sebaik perbualan
dimatikan. Jarum menunjukkan sudah hampir ke pukul sembilan pagi. Dikalihkan
pandangan menatap sebentar perempuan yang masih lena itu, membiarkannya, Reno
bingkas bangun menuju ke kamar mandi.
Seperti bunga layu disimbah air kembali segar, begitulah
tubuh Reno di saat air dingin yang menyimbah bagaikan hujan membasahi tubuhnya
yang berketak dan kekar. Kepala yang tadi terasa berat, kini ringan. Muka
sembabnya kembali bersinar.
Berdiri menghadap cermin besar yang terlekat di dinding
kamarnya, Reno tersenyum melihat dirinya sendiri yang sudah bersiap hendak
keluar. Penampilannya, seperti biasa. Gah! Reno mengenyit mata.
'I ada hal sikit. Jumpa lagi nanti, taman indah hatiku.'
Sekuntum mawar merah yang dipetik awal tadi di halaman rumah,
bersama kata-kata itu ditulis di sekeping nota kecil. Diletakkan di atas meja
samping katil tanpa mengejut perempuan itu yang masih belum lagi tersedar dari
lenanya yang panjang.
Reno tanpa lengah meninggalkan rumah agamnya yang tersergam
di kawasan Danga. Kereta sport BMW model M6 Convertible warna merah menyala,
dipacu. Berdesup ke tempat tujuan penuh gaya.
Santai di satu sudut agak terpencil jauh dari
pelanggan-pelanggan yang sedang bersarapan, Sofea seperti sudah tidak sabar
ingin bertemu yang dipuja. Jam berjenama Gucci terletak kemas di pergelangan
tangan, sekejap-sekejap dijeling. Terasa begitu lambat jarum jam mencecah angka
sepuluh.
Sofea berusaha bertenang. Cawan kopi di atas meja yang masih
lagi hangat, diangkat. Dirapatkan ke bibirnya yang sederhana tebal.
"Dah lama sampai?"
Hampir tersembur kopi yang sedang dihirup Sofea saat
terdengar ada suara garau tiba-tiba menyapa. Suara jantan itu bagaikan dengan
sendiri mengangkat mukanya. Sofea mendongak. Tergamam!
"Err.. err... baru juga," tergagap Sofea. Tidak
berkedip mata menatap Reno yang tiba-tiba muncul di sisinya.
Tidak dinafikan, sebagai seorang pramugara sambilan, Reno
punya susuk yang menarik. Dia punya paras rupa yang bagus. Tinggi, segak, dan
raut wajah yang tampan mirip orang Korea serta senyumannya manis. Boleh
dikatakan, dia tidak mempunyai apa-apa masalah untuk menundukkan lawan jenis
jika mahu.
Sofea memerhatikan Reno melepaskan kacamata hitamnya dan
menarik kerusi di hadapan. Berkemeja putih dan dilepaskan tiga butang teratas,
mengenakan seluar tempah berwarna hitam dan blazer yang warnanya serupa,
kejantanannya bukan sahaja menyerlah, malah menggoda.
"Apa hal dengan 'customer' tu? Apa cerita? Ada yang tak
kena ke?" Tanya Reno sebaik melabuhkan punggung. Perlahan mengangkat muka
tampannya memandang Sofea. Sinar mata galak. Tajam merenung.
Panjang Sofea menarik nafas. Dalam dihela. Renungan Reno yang
tajam, sorot matanya, benar-benar menusuk. Benar-benar membuatkan jiwanya
bergelora. Jadi tidak tentu arah Sofea dibuatnya.
"Errr... mereka nak 'shipment' lebih kerap," jelas
Sofea. Sinar mata meliar mencumbui raut wajah Reno yang menyerlah kegagahan dan
kejantanannya.
Mengangguk ringan, Reno senyum kecil. Rona wajahnya tampak
riang. Cafe yang suasanya tenang, dikitari.
"You dah order makan belum?" Tanya Reno sebaik
melihat pelayan cafe itu mendekati meja mereka.
"Belum. Tunggu you. I nak makan apa yang you makan."
"Kalau gitu, kenapa minum dulu? Kenapa tak tunggu aja I
nak minum apa?" Senda Reno sambil mengenyit mata. Penuh gaya. Sofea
tergelak. Manja.
Topik perbualan yang agak penting itu diketepikan sebentar
apabila pelayan itu tiba di meja mereka. Disambung sebaik pelayan itu beredar
seusai mengambil pesanan.
"Bagaimana Reno, boleh ke you terlayan permintaan
mereka?" Tanya Sofea. Sinar mata merisik memandang Reno yang asyik
memerhatikan pelayan perempuan itu pergi.
Di kerusi empuk itu Reno menyandar. Telunjuk kanan
disinggahkan ke bibir seperti sahaja sedang memikirkan sesuatu. Beberapa detik
kemudian, dimajukan wajahnya. Begitu bau jantan Reno menyengat lubang hidung
Sofea. Reno membuka mulut. "Tak ada masalah. Itu sebab I nak tambahkan
pekerja. Itu sebab I tanya you dah dapat ke belum. I dah tahu ini akan terjadi.
Jika kita beri kepuasan kepada pelanggan, mereka pasti tambahkan lagi pesanan.
Betul tak?"
Dalam terbuai rasa dengan renungan tajam Reno, Sofea
mengangguk setuju. Tidak dapat menafikan apa yang dikatakan Reno itu adalah
sesuatu yang benar.
"Untuk cari pekerja tak jadi masalah juga," Sofea
menekan. "I boleh cari. Jika kita tawar gaji yang lumayan, siapa tak mahu?
Betul tak?"
Manis bibir Reno mengukir senyuman, dengan sendirinya
mengajak Sofea turut tersenyum sama. Kembali menyandar, Reno mengangguk. Setuju
dengan apa yang baru dikatakan Sofea tadi.
"Jadi, siapa kali ini bakal jadi mangsa?"
"Agak-agak?" Balas Sofea dengan pantas sambil
menjulurkan tangan mencapai cawan kopinya.
Reno tidak menjawab. Hanya tersenyum. Memanjang, manis dan
menggoda.
"Itu nanti kita boleh lihat, siapa yang kena,"
sambung Sofea dengan gelak kecil.