Home Novel Travelog DOKTOR LOVE
Bab 1; Dr Shahril Adli @ DR LOVE


BAB 1 : DR. ADLI SHAHRIL

1

        Sigadis rambut kuning jagung itu melintas di hadapanku lagi. Uniform jururawat yang separas lutut, aku perhatikan lagi.Dan sepasang mataku tajam memerhatikan dia berjalan perlahan menuju ke kaunter di hadapanku. Istilah gadis yang entah aku tidak pasti kebenaran istilahnya. Istilah ‘gadis’ hanya diberikan oleh masyarakat Melayu lama kepada perempuan yang belum berkahwin. Dengan kata lain, gadis adalah gadis yang belum berkahwin dan mengekalkan ’konsep gadis’ itu sehingga tiba saat perkahwinannya.

     ”Hi Dr Love!” Dia menyapa.Aku hanya tersenyum. Hanya menyapanya kembali dengan perlahan. Aku mulai bergerak ke bilik rawatan di hadapanku.Dia datang lagi menghampiri dan segera memberi carta laporan pesakit itu kepadaku.Wangian jasmin seolah menerpa masuk ke hidung pesekku. ‘Sedap’, berkata perlahan dalam bisikan sukma jantanku.

          Selesai tugasanku, aku segera keluar daripada bilik rawatan diiringi jururawat ’blonde’ yang bernama Angel. ”Dr Love, care to joint us dinner tonite?”

             Aku memerhati wajah dia lagi, tanpa jawapan. Entah apa sebabnya, kurang aku tahu. Mereka, jururawat ini kerap sangat mengajak aku untuk ’makan malam’ bersama, yang kerap kalinya aku tolak. Dan mengapa panggilan ’Dr Love’ itu ditujukan buatku, juga kurang aku fahami. Kata temanku, dia tahu kenapa aku digelar ’Dr Love’, istilah Melayunya ’Dr Asmara’.

           ”Let me think first.” Jawabku pendek. Dia agak terkesima. Jawapanku seolah menjadikan dia agak kecewa. Wajah kusam dan hambar yang ditunjukkan kepadaku menunjukkan dia seolah tidak percaya dengan jawapanku. Apatah lagi, undangannya ini bukanlah undangan baru. Undangan yang sudah beberapa kali diajukan kepadaku.

   Hujan menyurah agak lebat di luar tingkap. Aku terus memandang ke arah luar.

          “Miss home, Dr?” Soalnya lagi. Aku hanya tersenyum.

           “Yes. Sure. Very much, indeed.” Aku akhirnya menjawab. Aku tersenyum lagi.Angel akhirnya meninggalkan aku tanpa jawapan mengenai ‘undangan makan malamnya’. Teringat kata-kata Dr Arif, agaknya aku ini ’jual mahal’.Pernah kami ’berlawan balas’ mengenai sikapku yang jual mahal dengan ’gadis-gadis berambut kuning jagung’.

           Dia akhirnya ketawa sahaja apabila aku menjawab, “Itu barulah Dr Love. Dipuja. Dia hanya jual mahal. Kalau jual ‘murah’, itu namanya Dr Playboy.”

           Bunyi petir dan guruh yang kuat agak bergema kemudiannya dan memantul ke arah tingkap, mengeluarkan cahaya yang terang menderang. Aku agak terkejut. Kaku seketika.Dan bunyian itu mengejutkan aku. Aku membuka mata. Rupanya aku berada di bilikku. Ingatan dan meori lama di menjadikan aku bingkas bangun dari baringan.Tiada siapa yang boleh melupakan memori indah di Royal College of Surgeons di Ireland (PCSI) dengan mudah. Dan ingatan itu menjadikan bibirku mengemyimpulkan senyuman.


Hujan yang memutih jatuh berserakan satu persatu menyembah bumi. Titis-titisnya laju dan bergiliran, jatuh dengan laju. Aku hanya mampu mengntai dari tingkap bilikku. Sabar menunggu hujan yang akan berhenti.

Dan teringat sebuah lagu lama dengan liriknya,

Hujan yang turun bagaikan mutiara
Berkilau bersinar berkerdipan
Subur menghijau bumi terbentang
Dan bayu berpuput lembut

Cinta yang bersemi
Diwaktu hujan turun
Menyirami ketandusan hati
Dan hujan turut mengiringi
Engkau pergi...

“Bilalah hujan akan teduh?” Sekadar pertanyaan, munkin juga keluhan seorang pengembara yang mahu memulakan pengembaraannya. Perjalananku yang jauh ingin aku mulakan dengan segera.

Sebaik sahaja hujan teduh, aku segera ke ruang tamu. Rupanya ibu sudah lama sedia menunggu di sofa. Wajah ibu kupandang lagi. Wajah biasa, mukanya yang bujur sireh, yang pada hari-hari yang lain akan menampakkan keceriaan. Kali ini wajah ibu menampakkan gambaran mendung. Andai tidak semendung awan hitam, warna wajahnya seolah kelabu!Kelabu yang membawa unsur sendu! Muram a.k.a tidak ceria. Suram. Mendung. Kelabu! Entah mengapa? Gambaran wajah ibu tidak sebiru langit dalam hari-hari biasa.Ceria. Bahagia.

“Rileklah ibu. Ril akan pandu kereta ke sana. Bukannya pandu kereta ke medan perang pun!”, kata-kata yang cuma cuba menceriakan ibu.

Ibu mendongakkan kepalanya memandangku. Juntaian rerambut ibu menyentuh lembut ke dahinya sempitnya, Nampak jatuhannya, cantik! “Memanglah Ril. Memang bukan hantar pergi perang, tapi nak biarkan Ril pandu kereta sorang-sorang, malam-malam macam ni, ibu bimbang juga. Takutnya macam nak biarkan Ril berperang!”

“Bimbang. Perang! Alah! Apa nak dirisaukan ibu.Hantu mana ada?, Tak ada yang berani dekat dengan doktor.” Aku menyambung ketawa. Entah di mana silapnya, kalau ditanya kepada mana-mana doktor pun, susah mahu dicari doktor yang pernah bertemu hantu a.k.a jin a.k.a iblis, walau apa pun gelarannya.

Wajah ibu kutenung lagi. Ibu mengerutkan dahinya.“Bukan itu yang ibu risau.Memandu sorang-sorang, nanti jadi mengantuk.”

Wajah ibu nampaknya bersih. Rambut ibu yang ditocang tinggi, menampakkan ruang rahang pipi ibu yang tinggi. Anak-anak rambut yang bergaris lembut di gigi dahi, bagaikan tersusun teratur. Telinga ibu comel sekali, tidak seperti sepasang telingaku yang kelihatan tinggi, bagai kata nenekku, bagai telinga arnab! Cantik sekali wajah itu. Mata ibu sepet sepertiku, agaknya memang sudah ada dalam darah kami. Sepasang mata yang sepet! Mata yang pastinya apabila tersenyum akan menyembunyikan bentuk mata yang seolah segaris cuma.

“Mengantuk? Orang macam Ril mana tahu mengantuk ibu.Kami sudah biasa bekerja malam-malam dan tidak tidur.”

“Iya lah tu. Bekerja lain, ramai orang, boleh berjalan-jalan. Minum-minum.”

“La pulak. Bawa kereta pun boleh minum kopi. Makan-makan. Sama je lah ibu.” Cuba memujuk ibu supaya tidak lagi kuatir dengan situasiku.

“Ialah.”Jawapan ibu pendek, masih berbaur jawapan dengan hati yang tidak senang.

“Ialah tu. Ibu cakap macam tu, tapi sudahnya ibu risau juga.Jangan risaulah ibu. Ril okay ibu. Akan okay punya.”

Ibu mulai membalas tenungan itu dengan tenungan pendek. “Sure, Ril tak mahu ibu ikut Ril malam ni?”Soalannya masih memancing hati jantanku!

“Sure ibu, jangan risau. Lima jam saja memandu. Bukannya lama sangat.Kalau ibu ikut dengan Ril, adik nak tinggal dengan siapa?”

“Tak pa. Dua-dua kami ikut Ril lah. Ibu dan adik sekali.”

“Tak apa ibu.Kan ibu sudah beli tiket kapal terbang. Membazir namanya.”

Ibu hanya mengangguk. “Ibu masih rasa risau Ril. Kamu tak akan biasa memandu lama begitu.” Ternyata ibu tidak menjawab persoalanku. Cuba mengelak daripada menjawabnya, barangkali, tiada jawapan daripada hati ibu barangkali.

“Akan jadi biasa ibu. Kalau selalu mahu balik sini, kenalah memandu juga!”

“Nak bawa kereta tiap-tiap kali macam tu? Tak payahlah Ril. Lain kali balik je naik flight!”

“Kalau tak ada duit macam mana ibu? Kan baru saja masuk kerja ni?”

“Naik kereta api boleh.”

“Kereta api ibu, uh lama tau.Tiga belas jam baru sampai.” Teringat cerita seorang teman yang menaiki kereta api ekspress yang dinamakan sebagai Senandung Malam, dari Kuala Lumpur ke utara semenanjung, memakan masa 13 jam lamanya. Dalam tempoh yang sebegitu panjang, sudah boleh terbang dari Kuala Lumpur ke London! Andai terbang ke Rusia pun hanyalah 10 jam 30 minit, lebih kuranglah dalam 11 jam. Tebang sejauh 6220 km hanya sebelas jam, sementara menaiki kereta api sejauh hanya 500 km dalam 13 jam!

Waduh! Kereta api, barangkala hanya mengambil masa yang lama, dalam pelbagai aspek, menjemukan; barangkali banyak perkara boleh dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut. Membaca, boleh berjalan ke sana-sini, bergerak antara gerabak. Boleh melompat jika mahu di antara gerabaknya yang bagaikan ‘ulat gonggok’. Barangkali boleh berlagak bagaikan hero Hindustan, boleh menyeberangi gerabak, bergerak antara gerabak ke gerabak yang lain. Berlarian di atas gerabak kereta api yang bergerak! Hebat sekali!

Fikiran yang menerawang jauh terhenti melihat ke wajah ibu sekali lagi. Ibu tersenyum lagi membalas pandangan mata nakalku. “Kalau nak cepat, naiklah bas. Cepat sikit sampai. Enam jam dah sampai.”

“Enam jam ibu kata tak lama. Lama masa tu ibu. Enam jam. Boleh selesai dua tiga orang pesakit kalau lakukan pembedahan biasa. Lagipun ibu, kalau Ril naik bas, dan tidak memandu, siapa akan hantar kereta kepada Ril?”

Ibu hanya terdiam dan tersenyum. Aku terus menggaru kepalaku yang tidak gatal. Enam jam. ‘Lama tu, mahu kematu punggung dalam bas macam tu’ Hati bercelaru sendiri. Bas! Perkataan tu berlarian nakal dalam fikiranku. Andai duduk dalam bas, kita tidak ada kebebasan. Tidak boleh berbaring. Tidak boleh berhenti sesuka-hati! Susah! Yang paling penting, tidaklah juga boleh berlarian dalam gerabak! Dibuatnya pula, penumpang di sebelah, hanya ‘makcik tua’ yang tidak lawa, bagaimana pula?

“Tapi, kalau nak selamat, naik saja basikal.Biar lambat asal selamat Ril.” Selamba sahaja ibu menjawab soalan aku. Agaknya, kalau mahu berbasikal sejauh beratus kilometer, mahu mengambil masa juga. Seminggu-dua, barangkali, juga mencecah sebulan masanya.

Aku hanya ketawa.“Basikal ibu, husss, pasti lambat sampai!”

“Mana pula lama.Tengok Tour on Langkawi tu. Sehari mereka mengayuh, actually hanya beberapa jam, boleh sampai Kuala Lumpur. Mana ada lama macam tu!” Jawapan ibu memerangkap kehendak dan keupayaan diri.

“Ibu, mereka tu pro. Ril ni bukan pro.” Ibu hanya tertawa kuat.

Satu pertanyaan pada diri sendiri, ‘Mampukah aku mengayuh sejauh itu?’

Andai mahu memandu berulang-alik pun, perlulah setabah pemandu kenderaan berat yang sentiasa berulang alik utara ke kawasan tengah. Agaknya ibu tidak pernah lihat bagaimana pemandu kenderaan berat seperti bas dan lori berulang balik daripada utara ke tengah, atau kawasan tengah ke selatan.Mereka hampir berulang alik 500 kilometer atau setiap dua hari sekali perjalalanan. Hanya orang yang sanggup bekerja keras atau yang berminat dengan pemanduan dapat menjalankan tugasan yang begitu berat.

“Tak apa kalau tak dapat balik kerap Ril. Biar ibu saja yang ke sana!”

Aku hanya mengangguk. Dalam hati bersenandung sendiri. ‘Dibuatnya ibu datang kerap-kerap macam mana?, Aduh! Leceh juga!’

Ibu hanya membalas senyum, tentunya tidak mendengar suara hatiku. Andai ibu dengarinya, pasti senyuman ibu akan bertukar pahit, sepahit hempedu. Beg yang terakhir aku punggah ke dalam tempat simpanan barang di belakang kereta Honda CRVku. Sebenarnya lebih kepada kereta ibu yang diperturunkan kepadaku. Kereta yang baru berusia tiga tahun. Kututup belakang simpanannya dengan tenaga yang sederhana, sekadar cukup menutupnya dengan baik.

“Adik mana ibu?” Sengaja aku mengajak ibu ke arah persoalan baru yang akan mengubah tajuk perbualan kami.

“Dalam bilik. Study agaknya.”

“Adik tak nak say good bye ke dengan Ril ni?” Sengaja aku mengasak ibu dengan persoalan yang begitu. Andai adik berada bersama kami, tentu ‘leteran’ ibu akan pendek sahaja.

“Ril pergilah panggilkan dia.” Ibu beredar ke bilik belakang, ke bahagian dapur kami. Aku menaiki tangga menuju ke bilik atas, bilik adik bongsuku, bagi mendapatkan dia yang kami gelarkan adik sahaja. Sebelahan biliknya adalah bilik aku sendiri.

Adik! Entah betul atau tidak, istilah ‘adik’ itu! Sebenarnya adik adalah anak ibu yang baru dengan suaminya yang ‘baru’ juga. A.k.a sepantasnya, aku gelar sebagai ‘adik tiri’ sahaja. Setelah berpisah dengan ‘lelaki dungu’ itu, ibu akhirnya bertemu jodoh dengan suami baru ini, yang aku panggil sebagai ‘uncle’. Hubungan aku dengan adik juga tidaklah rapat sangat. Dan aku lebih suka menggelarkan dia dengan namanya sendiri, Liyana. Aku panggilkan dia dengan nama Yana. Sementelah dia adalah seorang gadis sunti, baru berusia sebelas tahun, jarak usia yang jauh antara kami, hampir limabelas tahun, tidak menjadikan kami rapat! Ada jurang yang luas antara kami! Aku menganggap sidia gadis hingusan, sementara aku adalah pemuda intelek daripada zaman teknologi baru.

Aku antara lelaki terhebat dalam Zaman Milineum ini! Dia! Jauh lagi untuk mencapai kehebatan seperti aku! Aku adalah superhero ibuku! Seorang Adiwira! Seorang anak lelakinya yang sudah mewarnakan kehidupan ibu dengan warna ceria, sementara adik hanya gadis sunti hingusan cuma! Siapa dia di hati ibu?

Kuketuk dedaun pintunya perlahan. “Yana, abang Ril dah nak pergi ni.”

Dia keluar daripada biliknya. Berbaju t-shirt berwarna merah, dengan lukisan ‘Pink Panther’, dia kelihatan malu-malu berhadapan denganku.

“Abang dah nak pergi?”

“Ya.” Dia menyalamiku perlahan. Kemudian aku tinggalkan dia di atas. Kulihat ibu hanya duduk di ruang tamu.

“Mana adik?”

“Dah bersalam kat atas tadi.”

“La, macam tu pulak!” Ibu memanggil nama adik berkali-kali. Barulah kemudiannya aku lihat adik menuruni anak-anak tangga bersama kami di ruang tamu. Kutenung lagi, seorang gadis sunti, kurus tinggi orangnya. Yang nampak sama antara kami hanyalah sepasang mata kami yang cuma bagaikan segaris. Hidungnya agak tinggi, tapi berbentuk jambu air juga. Kembang di hujungnya.Telinganya cantik terbentuk, seperti telinga ibu. Rambutnya agak kerinting, memang sah bagaikan rambut uncle. Rambut ibu lebih cantik, lurus tirus bagaikan rambutku. Cuma, warna kulit adik cerah sungguh, betul-betul mewarisi warna kulit ibu. Kulitku sendiri bertona perang muda. Tidak juga cerah. Tidak juga hitam gelap. Tona yang berada antara dua warna, putih dan hitam.

“Salam dengan Abang Ril.Lama lagi akan jumpa abang!”

“Kan dah salam dengan abang tadi ibu?”

“Alah, kalau salam banyak kali pun tak salah!”

Gadis sunti itu segera mendekatiku. Bersalaman dan mencium jemariku dengan tangan kanannya. Dia tersenyum, sekadar senyuman yang perlu dibuat-buat. Kulihat senyuman dia. Memang sah! Matanya masih mewarisi sepasang mata sepet ibu, cuma bibirnya agak pucat, berwarna merah muda yang terlalu pucat. Warnanya persis sepasang bibir ‘pakcik’ yang biasanya kupanggil ‘uncle’, suami baru ibu.

“Salamlah dengan abang betul-betul.Abang dah pergi jauh. Tempat tu susah kita nak pergi!” Ucapan ibu lain macam bunyinya. Padahal, ibu dan adik akan tiba ke destinasi kami, destinasiku sehari lebih lewat sahaja.

“Ibu!” Aku separuh menjerit dan ketawa kuat, memecah keheningan malam kami.

“Janganlah buat macam Ril nak pergi Somalia pulak. Bukan juga ke Antartika atau ke bulan! Tempat tu senang je nak pergi! Lagipun kan lusa saja akan jumpa ibu lagi?” Aku menyambung ketawaku. Adikku yang tadi hanya tersenyum senyum simpul, tertawa kecil sambil menutup bibir kecilnya.

“Ibu tahulah. Itukan tempat nostalgia ibu.” Ibu tersenyum lagi.

“Lagipun kan boleh melawat bila-bila je.” Ujarku lagi, memujuk kekusutan hati ibu.

“Ialah… memang boleh melawat, tapi susahlah sikit. Bukan boleh naik kereta sejam dua. Adik pun sekolah lagi, mana boleh ibu melawat sesuka hati.” Kata-kata ibu yang memelikkan aku sebenarnya. Beberapa tahun aku habiskan di United Kingdom, dan hanya sekali sahaja ibu datang melawat bersama uncle dan adik. Pada masa aku akan ke sana dulu, ibu nampaknya tidak pula bimbang akan aku.

“Ibu… Ril ke England, ibu okay je. Ini di utara semenanjung je, ibu buat macam jauh sangat.”

“Mana pulak tak bimbang. Ril saja yang tak tahu.” Ibu hanya tersenyum lagi. Manis! Memandang gaya senyuman ibu, membuatkan hati jantanku terasa cair lagi! Entah lelaki manakah yang patut digelar bodoh kerana meninggalkan ibuku satu ketika dulu. Agaknya, ayahku, lelaki yang aku namakan sebagai ‘lelaki dungu’ itu gagal melihat senyuman ibu yang semanis itu!Tidak mungkin lelaki yang hebat akan meninggalkan wanita yang mempunyai senyuman manis seperti itu. Dan bukan itu sahaja, ibu wanita mulia yang jarang ditemui di mana-mana. Sederhana, tutur katanya perlahan, dan begitu menghormati suami. Dan aku maksudkan suami baru ibu, bukannya ‘ayah dunguku itu!’

Ibu hanya tersenyum tanpa suara. “England tu jauh, mana boleh pergi kerap-kerap. Ni Ril dah di sini. Pelik ibu rasa, kenapa tak pilih HBKL saja, kan dekat?”

Aku tergelak lagi. Rasa pelik apabila ibu lebih risaukan aku yang hanya berada di seberang Selat Melaka dibandingkan dengan negara yang berada di benua lain dulu. Aneh!

Aku tersenyum sumbing, mengembalikan senyuman ibu yang berusia di pertengahan umur empat puluhan. “Kan dah banyak kali cakap ibu. Pilihan sudah dibuat ibu. Dah nak pergi daftar pun. Ril kena pergi sekarang ibu, nanti lambat pulak sampai. Sekarang ni hampir jam 10 malam, nanti lagi lambatlah Ril sampai.”

Ibu tersenyum lagi. “Ya lah Ril. Ya la. Pandu elok-elok. Kalau rasa mengantuk, berhenti dulu. Atau nak ibu telefon Pak Zin supaya temankan Ril. Nanti ibu datang sana, belikan tiket untuk Pak Zin balik ke sini.”

Aku tersenyum lagi. “Tak payah ibu. Jangan risau. Ril okay.” Segera aku bersaaman dengan ibu.

“Jangan lupa solat Ril!” Hanya mengangguk lemah. Pesanan biasa ibu yang menyusuk kalbu, malangnya tidak begitu terlekat di minda.

Aku beredar dalam kegelapan malam yang tiada berbintang, apatah lagi berbulan. Malam yang kelam. Suasana terasa hening. Dalam kenderaanku yang bergerak laju, kedengaran lagu-lagu yang berkumandang daripada stereo yang sengaja aku kuatkan suaranya. Berdetupan bunyinya, irama yang sengaja ku tambah, bagi memecah kesunyian, bakal memandu 500 km bersendirian. Hanya bertemankan keheningan malam, dan malam tanpa cahaya!

Memang benar kata ibu, agak mengantuk memandu sendirian. Setengah jam pertama, ternampak papan tanda bertulis, Perhentian Sungai Buloh. “Aku berhenti dulu la. Minum kopi. Beli kacang ke.” Bercakap sendirian. Teringat juga ingin meminum setin beer, tetapi masakan boleh ‘minum dan memandu’ agak bahaya. Walaupun setin beer pasti tidak akan memabukkan aku yang biasa dengan minuman keras ini. Dan tanganku cepat-cepat memberi tanda signal memasuki lorong perhentian.

Segera aku memakir keretaku di tempat letak kereta yang bersusun kemas. Mataku cepat terpandang tanda ‘surau’ di hadapanku. Terasa tersentak sebentar. Sudah agak lama tidak hadir ke ‘rumah Tuhan’. Tetapi bukankah Allah itu akan memerhati dari mana-mana juga tempat, andai tidak ke ‘rumahnya pun’, aku yakin ALLAH tahu, aku mengingatinya. Allah sentiasa berada dalam hati dan mindaku.

Aku berjalan keluar sambil mengintai kedai-kedai yang berderetan di hadapan tempat pakirku. Sepasang mata segera menangkap makanan yang dijual di sepanjang tempat parkir, deretan kedai yang dihias dengan cantik. Kedai makanan yang menjual kacang rebus. Kekacang daripada jenis kacang tanah dan kacang kuda. Melihat kepada periuk kacang rebus itupun, selera terasa mati. Kacang yang telah lama dikukus berulang kali akan menghilangkan rasa keenakan kacang itu sebenarnya. Barangkali tujuannya baik, menjadikan kacang rebus itu panas, tetapi proses melakukannya dengan berulang, akan menghilangkan rasa kenikmatan memamah kacang lagi! Tiada apa yang menarik yang boleh memancing mataku dan seleraku.

Kakiku membawaku melangkah jauh lagi.Sederet kedai yang menjual nasi lemak, dan makanan berat. Aku melangkah lagi. Akhirnya membawa aku ke restoran makanan segera yang terletak di tengah-tengah perjalanan lebuhraya. Terasa menarik juga. Aku melangkah masuk, sekadar mendapatkan secawan kopi.

Lelangit warna restoran yang dicat dengan warna putih dan berbinding kaca yang telus menerjah pemandangan ke luar betul-betul di atas lebuhraya ke Utara memberikan pemandangan yang luar biasa. Cahaya lampu yang disinari daripada kenderaan yang berulang-alik seakan memberi pemandangan yang unik. Pelik tetapi benar. Pemandangan yang tidak akan bisa kita lihat sehari-hari.

Tiang yang berada ditengah-tengah restoran pula diwarnakan dengan warna merah, seolah menggamit akan rasa lapar secara tiba-tiba. Kerusi-kerusi merah yang disusun kemas juga bagaikan memeriahkan suasana di sini. Aku terus menghampiri kaunter dan memesan secawan kopi panas dengan sepiring kentang goreng. Sengaja sekadar menjadi bahan kunyahan mengatasi kebosanan.

Aku memilih sebuah meja yang diletakkan di sisi cermin tepi restoran. Agak asyik melihat kenderaan yang mundar-mandir di bawah. Langit kelihatan berwarna pekat. Gelap gulita, tanpa cahaya. Cahaya di kedua belah lampu kenderaan bagaikan menjadi sinaran yang menjadi pentunjuk yang kenderaan agak sibuk di lebuhraya. Penghirup kopi panas perlahan. Wapnya yang panas, singgah ke hidung pesekku sebelum singgah ke bibirku. Bauannya harum, menyegarkan. Kopi seperti koko juga mempunyai bahan semulajadi yang dinamakan tryptophan yang berfungsi mengawal tahap serotonin dalam badan manusia. Tugas hormon serontonin ini pula adalah memberi rasa kebahagian kepada manusia. Cuma, bahan ini tidaklah banyak komposisinya berbanding dengan coklat. Lagipun, bahan kafein yang berada dalam kopi, mengatasi bahan tryptophanyang mengawal rasa ‘bahagia’ manusia.

Secara tiba-tiba disinggahi perasaan rindu dengan Amelia. Aku keluarkan telefon bimbit daripada poket jeansku. Kutekan nombor satu, yang akan menghubungkan dia secara automatik kepada direct dailingyang telah lama aku setkan kepada telefon Nokiaku. Kutenung jam Seiko di tangan kiriku, baru mencapai jam 10 malam. Terasa mendayu lagu Lady Gaga bernyanyi di telefon dia. Lagu Lady Gaga yang berulang membuatku cuak, ‘Tak mungkin, Lia sudah tidur. Jam baru sahaja pukul 10 malam.’ Aku mengusik perasaan sendiri.

Dan tiba, suaranya bagai kedengaran di hujung gagang sana.

“Hello, Ril…” Dia menyebut perlahan.

“Suara macam bangun tidur je?”

“Hmm. Memang. I dah tido pun.Penat sangat hari ni. Showsatu hari tau. Pagi sampai petang. Berjam-jam berdiri.”

Terkesima sebentar. Aku sudah mengganggu puteriku yang sedang beradu.“Maaflah Lia. I tak tahu you dah tido. Kan awal lagi.”

“Tak pe. Memang nak bangun pun. Mekap pun belum cuci lagi. You di mana ni?”

“Lebuh raya.”

Driving?Jangan bercakap masa memandu. Bahaya!”

Aku tergelak kecil, bimbang juga dia rupanya. “Tak, I tak memandu. Berhenti di Perhentian Sungai Buloh.”

“Sungai Buloh? Kan you baru je keluar dari rumah ibu you tu.”

“Memang iya pun.” Terdengar dia ketawa.

“Kalau baru sejengkal you berhenti Ril, pukul berapa nak sampai Kuala Kedah?’

Aku tergelak lagi. Memang betul telahannya pun. Rumah ibu baru sahaja beberapa minit dari tol yang aku masuki.Apa boleh buat, di saat diri terasa jemu.

“Terasa jemu Lia. Tak apa, lepas ni I teruslah memandu lagi. Tak akan perlu berhenti lagi.”

“You nanti nak tidur di mana nanti?”

“Hmm, tak pasti lagi Lia.Kenapa you tanya?”

“Kalau dah sampai ke jalan dekat jeti, you carilah Hotel Tandop. Kawan I kata okay hotel tu.”

“Tandop? Hmm. Kelakar je nama tu.”

Terdengar Lia ketawa di hujung gagang.“Mana pulak kelakar. Tu nama tempat tu.Tandop tu maknanya tali air. Macam logkang besar, air untuk pengairan.Kan Kedah tu negeri ‘Jelapang Padi’?”

“Jelapang padi. Iya lah tu.” Aku memahami maksud Jelapang Padi. Aku pernah dibesarkan di negeri itu, masakan aku tidak tahu maksudnya dan makna Tandop. Agaknya Lia lupa, yang aku ini pernah menjadi sebahagian daripada anak negeri Kedah juga, dahulunya.

“You nak I telefon hotel tu dan booking ke.Takut tak ada kosong nanti.”

“Boleh juga. You sebutlah nama I lah.”

“Okay. I telefon sekarang, booking atas nama you dan nombor kereta you.”

“Pandai jugak you ni.” Aku mengusik dia. Tidak terfikir pula untuk membuat tempahan bermalam di mana-mana hotel. Dibuatnya, tiada bilik yang kosong, susah juga. Tidak akan mungkin, aku hanya akan tidur dalam kereta.

“Eleh, kalau makwe bodoh-bodoh, endak ke you?”

Aku terkesima. Entah apa maksud perkataan yang Lia luahkan. “Lia, nanti I telefon lagilah. I kena bergerak sekarang ni.” Sengaja aku cepat-cepat menamatkan perkataan dan cerita kami.

“Nanti sms I kalau dah sampai. Kalau you call, takut I dah tak jaga pulak. Dah tidur.”

“Okay. Sweet dream princess.”

You too. Drive carefully.”

Thanks Lia. See you next week.”

Sure.” Talian ditamatkan. Aku menghirup terus kopi panas yang sudah mulai suam, kepanasan kopi cepat bertukar suhu apatah lagi kerana diisi dalam cawan yang diperbuat daripada kertas.Pandangan mata terus menyorot akan pemandangan kenderaan yang masih berpusu-pusu melintasi jalanraya di bawah. Cepat-cepat aku meninggalkan meja dan kerusi merah, sambil membawa kertas cawan yang telah au kosongkan. Di tepi jalan keluar, segera aku membuang cawan kosong itu perlahan ke dalam tong aluminium yang berlabel ‘lain-lain’. Dengan erti kata lain, bermaksud ‘sampah’.

Enjin keretaku, segera aku hidupkan semula. Lampu kereta segera dipasangkan. Radio juga dihidupkan juga. Terdengar lagu Melayu yang berirama perlahan, membuai jiwa. Liriknya kuamati perlahan. Terasa bagaikan membingitkan jiwa. Kenapa perlu akan lagu yang berlirikkan kecewa dan merana. Mengapa perlu diikutkan hati yang kecewa. Lirik yang menggambarkan betapa kecewa perasaan seorang lelaki yang dikecewakan oleh teman wanitanya. “Ah, bukannya seorang perempuan dalam dunia ni! Dalam tujuh bilion manusia, hampir separuh daripadanya wanita, carilah seorang bagi menggantikan dia. Tak payah nak merayu-rayu, sayu macam tu.” Aku merungut sendirian, membalas kepada lagu yang aku dengari tadi.

Merayu menunjukkan emosi ‘keperempuanan.’ Lelaki harus menunjukkan kegagahan, bukan emosi! Apatah lagi mempunyai karier sepertiku. Menunjukkan emosi bukanlah suatu pilihan yang tepat. Dengan kata lain, dengan mempamerkan emosi yang berlebihan, kami, pegawai perubatan, tidak akan berjaya menyelamatkan pesakit kerana dikuasai oleh emosi dan empati, mahukan simpati yang berlebihan. Emosi tidak boleh terlebih kawalan daripada minda.

Pemanduan diteruskan bagaikan hidupku yang perlu diteruskan juga. Nun, jauh di semenanjung ke utara. Bagaikan rasa terbuang ke Pulau Jerjak! Terpaksa melayani suara juruhebah yang berbual malam sendirian, tentunya lebih baik daripada terpaksa hanya mendengar bisikan fikiran dan minda sendiri. Empat jam perjalanan, segalanya bagaikan tiada halangan. Hanya kedengaran suara juruhebah di radio yang bercakap berterusan, dengan mendayukan pelbagai versi lagu dan irama.

Empat setengah jam perjalanan yang agak memenatkan. Duduk lama di kerusi pemandu, tanpa ada suara yang melayani perbualan. Seharusnya aku mengajak ibu dan adik bersama pada malam ini!Bukankah ‘the more the merrier’.

Lampu kenderaan daripada jalan bertentangan bagaikan berterusan tanpa henti. Jam tanganku segera aku amati, hampir empat jam setengah sudah pemanduanku, bermakna aku sudahpun hampir tiba di destinasiku.Papantanda menunjukkan jalan yang aku cari, akan aku temui barangkali sepuluh minit lagi. Dan jangkaanku meleset samasekali, papantanda Hotel Tandop yang berwarna orange, sudah pun di hadapan mata.

Bernasib baik, pakir kosong betul-betul di hadapan pintu utama hotel. Segera membawa beg baju bersaiz sederhana dan memasuki pintu utama. Latar lampu yang agak malap, di kaunter hanya terdapat seorang lelaki berbangsa Cina, tersenyum memandang aku, tetamunya.Segera aku menyebut akan nama dan nombor plat keretaku.

“Ada tempahan saya kan?”

“Ada. Tapi bilik biasa dah habis. Bilik VIP adalah!”

“VIP? Berapa harganya.” Dalam hati membilang anggaran akan harga bilik. Andai dibuatnya sampai berharga RM 400, habislah aku. Perlu menyimpan duit tunai yang diberikan ibu baik-baik sehingga habis bulan ini. Tapi kalau terdesak, kad Visa ‘debit’ yang berada dalam dompet bias menyelamatkan situasi. Ibu pasti boleh membantu dengan memasukkan tambahan wang ke dalam akaun satu-satunya anak lelakinya ini.

“RM 130.” Perkataan itu bagai melegakan sungguh! Ingatkan sampai beratus ringgit. Dia menerangkan harga bilik di sini. Rupanya bilik biasa di sini hanya berharga RM 60 semalam.

“Okay.”Terus membayar harga bilik dan menaiki tangga ke bilik yang terletak di tingkat atas bangunan. Sebuah bilik yang sederhana luasnya. Segera membuka kasut di hujung pintu, meletakkan sepasang kasutku ke dalam tempat kasut yang disediakan. Mataku segera terpandang dengan bilik VIPku. Dengan dua buah katil, berkembar dan sebuah katil bujang. Sinki yang terletak di bahagian hujung katil, di sebelahnya pula sebuah bilik mandi sederhana saiznya. Lampu berwarna orange menjadikan mataku tiba-tiba terasa layu. Teringat akan Lia, segera menekan butang di telefon bimbit, dan menaip,

Lia, I dah sampai Hotel Tandop.

Dan menekan butang bertulis ‘hantar’.

Segera menuju ke sinki dan membilas wajahku dengan air paip daripada utara ini. Mataku hanya terpandang akan katil berkembar yang boleh dibias dalam cermin tinggi di sinki. Segera berbaring di katil setelah segera menghidupkan jam membangunkan diri pada pukul 9 pagi, lebih kurang lima jam dari sekarang. Dan pagi yang dingin, segera mendinginkan tubuhku di atas perbaringan. Dengan fikiran yang ‘sifar’ membawa aku ke mimpi sifar. Sifar pengalaman juga yang akan membawa aku ke tempat baru yang padaku, sifar. Kosong. Angan-anganku terasa bersambungan. Infiniti. Dan masih teriyang-iyang kata-kata Amelia beberapa bulan lepas, “Kenapa you perlu pergi jauh-jauh daripada I Ril?”Ketika itu aku masih tiada jawapan, seperti juga detik sekarang. Jawapannya adalah infiniti.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh (NORA ISMA FUAD)Noor arbaiah ismail