Home Novel Travelog DOKTOR LOVE
Bab 4; Dr Shahril Adli @ Dr Asmara
44Keret4B
              Bab 4

          Kereta CRVku yang dipandu bergerak perlahan mengikut jalan yang juga berbengkang-bengkong sepanjang perjalanan sejauh 14 kilometer ini. Jiwaku terasa tenteram melihat warna hijauan malar hijau yang berada di kedua-dua belah jalanraya. Pepohon khatulistiwa yang tumbuh dalam pebagai saiz dan ketinggian bagaikan bersaing antara satu sama lain dalam mendapatkan cahaya matahari. Terdapat pepohon yang menjulang tinggi sehingga seolah dilihat menjalar ke dada langit. Dan pula yang kelihatan tumbuh merendang sahaja kerana kedudukannya di tepian jalan raya sahaja. Berdasarkan teori sains semulajadi, sifat tumbuhan bergantung rapat dengan kedudukan dan kemudahan pepohon bagi mendapatkan matahari. Jika tumbuhnya, di tepi jalan atau lorong, pastinya pokok tersebut tidak tumbuh begitu tinggi kerana keperluan mendapat cahaya matahari adalah tinggi dan sebaliknya.

Bibirku terkumat-kamit berkata perlahan, “Dia tentu akan datang!” Berbicara sendiri lagi. Hatiku masih dirundum dengan kegelisahan yang berpanjangan. Cuma terasa bimbang, Ameliaku tidak akan hadir ke puncak ini. Dia tidak memberikan kata putus kali terakhir aku bertemunya, 12 jam yang lepas. Cuma katanya, “Tengoklah nanti.” Dan ketika aku asak dia lagi, dia hanya tersenyum, “Kalau I senang.” Kata-katanya jelas seolah, dia teragak-agak untuk ke puncak gunung ini atau tidak!

“Atau, tak akan datang langsung! Panggilan tidak bersambut. Sms juga tidak berjawab! Dia akan datang atau tidak?” Bercakap sendiri lagi, tanpa jawapan yang pasti! Sudah puas aku membuat panggilan telefon dan juga sms bagi mempastikan dia akan ‘hadir’ ke sini atau tidak.Dan ternyata, dia lebih suka bagi menjadikan hati jantanku hanya berteka-teki sendiri. Dia terlebih suka menjadikan persoalan soalan ‘puzzle’ yang hilang satu atau dua keping cantumannya; lantas sekeping gambar terjadi cacat sepenuhnya! Amelia! Jadi dia lebih suka melihat perasaan jantanku menjadi ‘puzzle’ daripada menjadi sebuah kepastian. Dan akhirnya dalam memberi perhatian dan tumpuan sepenuhnya dalam pemanduan, hatiku terasa bergetar juga. Aku memegang stereng kereta kemas-kemas bagi membelok mengikut rentak jalan. Ternyata jalan menuju ke Pergunungan Raya ini begitu seperti ‘ular yang berbelok-belok’, seperti juga hati jantanku. Berbelok-belok dan berbelit-belit. Dan buat pertama kalinya, aku menjadi takut. Ketakutan merupakan perkara paling asas untuk kelangsungan hidup.Basic instinct of sulvival.

“Aku takut? Tak mungkin aku takut.”Aku berbicara sendiri, kuat-kuat sambil sepasang mata merenung jalanraya di hadapanku. Pepohon bergoyang laju di luar tingkap, menjadikan aku segera mematikan penghawa dingin dalam kereta dan membiarkan angin bertiup ke dalam sebanyak mungkin. Dingin. Sejuk. Walaupun haba dingin tidak sedingin salju, darjah kesejukan hawa berbukitan yang semakin menuju ke puncak, memang dingin dan segar!

“Dia pasti tidak akan menghampakan aku! Tiada seorang wanita pun akan menghampakan aku!” Aku berbicara sendiri lagi. Sekadar cukup memujuk hatiku yang mulai menari sendiri. Jika tidak, sia-sialah aku digelar ’Dr Love’, di Ireland dahulu.

Petanda arah yang kelima aku kira sudah muncul di hadapan mata. Aku memperlahankan kenderaanku. Dan kemudiannya berhenti di tepian batuan penunjuk arah jalan. Mataku merenung batu yang menunjukkan tanda 8 km, bermakna 8 km lagi aku akan berada di puncak bukit yang tertinggi di sini, setinggi 881 meter atau 2890 kaki daripada aras laut.

Mata ligat memandang puncak Gunung Raya yang mulai kelihatan. Cantik! Walaupun puncak gunungnya tidaklah setinggi Puncak Gunung Kinabalu, yang berada betul-betul di bawah bayu, keindahan masih cukup memukau!Sama memukau pandangan mataku seperti sorotan mata jantanku yang leka memandang Amelia buat pertama kali dan seterusnya. Dia masih lagi memukau penglihatanku seperti biasa. Pemandangan hijau di Gunung Raya ini, seperti yang pernah aku baca, dikatakan mempunyai hutan daripada jenis ‘Dipterokarp Bukit’ dan ‘Hutan Dipterokarp Atas.’ Hutan Dipterokarp Bukit boleh ditafsirkan sebagai kawasanhutan yang pepohonnya terdiri daripada ketinggian antara 300 - 750meter dari paras laut. Jenis pokok-pokok ini yang merupakan kelas hutan yang terluas di Semenanjung Malaysia. Kebanyakkan spesies utama yang terdapat dalam kategori hutan ini ialah pokok Seraya,pokok Keruing, dan pokok Meranti.

Jurnal tempatan yang aku baca semalam, mengenai pulau terbesar di Malaysia juga merekodkan di sini, di kawasan perbukitan ini, terdapat hutan daripada jenis ‘Hutan Dipterokarp Atas’ di sini. Tafsiran mengenai jenis hutan ini mencatatkan sebagai kawasan hutan yang pokok-pokoknya mempunyai ketinggian dalam lingkungan 750 - 1,200meter dari paras laut. Spesis yang biasanya tumbuh dalam kategori ini terdiri daripada spesies Pokok Meranti bukit dan Pokok Damar Minyak. Kemuncak gunung akhirnya sudah kutemui.

“Akhirnya. Akhirnya.” Mengucapkannya sendiri. Sudah naik mabuk memtar stering ke kanan dan ke kiri berulang kali.

Sebuah bangunan yang berwarna jingga-coklat yang agak terang, dengan sebuah menara seolah kayu tinggi segera menangkap dek sepasang mataku. Segera aku mempakirkan kenderaanku berdekatan bangunan putih gading yang berada di sebelahnya. Akhirnya 14 km Berjaya aku lalui dengan masa hampir 30 minit. Maklumlah, jalan ke perbukitan ini yang bersimpang siur tidak membolehkan pemanduan meluncur laju. Perlu berhati-hati agar tidak tergelincir. Jalan agak basah dan licin, barangkali disebabkan hujan yang baru mencurah-curah seharian semalam.

Angin Timur bertiup kencang lagi, mencium dingin tubuh kurusku. Tingkap yang kubuka, segera aku tutup kembali. Memeriksa lagi brek tangan agar mencapai takat yang sepatutnya. Maklumlah, tempat parkir kereta ini agak bercerun. Bahaya andai gagal meletakkakn kereta betul-betul dalam keadaan yang bersedia sepenuhnya. Cepat-cepat aku turun daripada kenderaanku. Berdekatan dengan tempat parkirku, kelihatan beberapa orang yang baru sahaja memakirkan kenderaan mereka. Tidak pula aku terperasankan kenderaan lain yang mengekori keretaku sepanjang perjalanan ke Gunung Raya ini. Barangkali terlalu asyik mengingati Amelia, dan ‘puzzle' yang masih menari-nari dalam kotak memoriku.

Aku membetulkan bajuku yang agak terperosyok akibat pemandu dalam kereta. Ah! Sebenarnya, siapa yang akan peduli lagi dengan baku kemeja ungu cairku yang keronyok! Amelia pun tidak akan kisah! Dia hanya akan kisah dengan kehadiranku di sini. Dia hanya perlukan kehadiranku di sini! Tiada siapa lagi!

Aku melihat keluarga yang terdiri daripada seorang lelaki, pastinya bapa kepada keluarga ini. Seorang wanita pertengahan umur, yang pastinya ibu kepada keluarga ini.Dua orang anak gadis yang agaknya, anak-anak mereka menuju ke bangunan berwarna orange tadi. Mereka memanjat anak-anak tangga yang kelihatannya agak tinggi, jika diperhatikan daripada tempat aku berdiri ini. Tangga yang berwarna kelabu dengan dihiasi pemegang di kanan dan kirinya. Tubuh-tubuh mereka kelihatan lenyap di sebalik dinding setelah menamatkan pendakian yang agak tinggi sebentar tadi. Timbul perasaan kehairanan, ke mana mereka? Entah bangunan apakah yang terdapat di sebalik anak-anak tangga tadi. Pertanyaan demi pertanyaan mendesak benakku. Ingin sekali aku tahu, dan terasa bagaikan ngin mengekori jejak langkah mereka, tapi apa kata nanti, aku terserempak dengan mereka, pasti mereka fikir aku mengekori mereka pula! Tentu kurang enak dituduh dengan prasangka begitu.

Aku akhirnya membuat keputusan meneruskan hasratku untuk mendaftar ke hotel yang terdapat di sini, entah apa nama yang disebut Amelia 48 jam sebelum ini. Papan tanda D’Coconut Hill Resort terpamer indah. Tidak salah lagi agaknya apa yang dibisikkan Amelia, perkataan yang samar-samar diingati adalah ‘Hill’ sahaja.Tidak salah lagi. Lagipun manalah ada lain resort atau hotel di kemuncak resort ini.

Penyambut tetamu yang memakai baju batik corak terbaru, ala-ala hawai menyambut kedatanganku dengan ramah.

“Ya. Encik. Selamat datang ke D’Coconut Hill Resort. Ada tempahan sebelum ini.”

“Ya. Adli. Atas nama Shahril Adli.” Menerangkan ringkas. Sebenarnya Amelia yang menempah bilik di sini.

“Ya ada. Dr Adli Shahril. Satu malam untuk Superior Room kan?”

Aku mengangguk.

Segera aku menghulurkan kad kreditku.

“Sebenarnya bilik ini sudah dibayar Dr. Shahril.”

“Dah dibayar? Siapa yang membayarnya?”

“Cik Amelia.” Jawapannya menjadikan aku menyimpan balik kad kredit tanpa banyak bicara.

“Atas bangunan orange tu ada apa sebenarnya?” Segera aku bertanya kepada penyambut tetamu yang bertulis namanya Amir.

“Doktor maksudkan di atas bangunan tu. Ohh. Di atas tu, boleh lihat pemandangan di sini.”

“Okay. Itu saya tahu, tapi disebalik bangunan tu. Bila naik di atas, di atas tu ada apa lagi?” Agaknya dia kurang faham maksudku.

“Atas tu? Surau. Selepas anak tangga, ada surau dan tandas.”

Aku mengangguk-angguk. Terjawablah pertanyaanku.

“Dr nak naik sekarang ke bilik?”

“Sekejap lagilah. Saya menunggu kawan di sini.”

“Kalau Doktor tak mahu ke bilik sekarang, Doktor boleh ke anjung menara di atas. Kami beri dua tiket percuma untuk dr. Kalau tidak menjadi tetamu di sini, tiket ini berharga RM 10 seorang.”

“Ya ke? Apa ada di atas menara tu.”

“Doktor boleh pesan makanan dan minuman. Minuman panas, teh disediakan percuma.”

“Kalau begitu, sekejap lagilah saya naik ke atas. Saya mahu menikmati angin di bawah sana dahulu.” Segera tanganku mencapai kad kunci yang diletakkan di atas kaunter. Aku melangkah menuruni beberapa anak tangga rendah yang disediakan. Aku menuruni kembali anak tangga menuju ke keretaku. Mataku segera menangkap pemandangan di bawah cerun. Kelihatan beberapa tombokan hitam yang berada di cerun bawah. Pelik dan aneh dengan pemandangan yang terhidang di hadapan mata.

Segeraku mengeluarkan sebuah kamera handcam yang tersimpan di simpanan belakang keretaku. Aku menekan butang ‘on’ dan kemudian menekan perkataan ‘zoom’. Segera aku mengarah ke arah tombokan hitam tadi. Aku tergelak sendiri.

“Babi hutan rupanya.” Aku tergelak lagi. Kelihatan seekor babi hutan bersama beberapa ekor anaknya sedang meragut rumput di cerun bawah parkirku, kira-kira 500 meter di bawah sana.

“Susah nak tengok binatang ni kalau bukan di sini.” Aku tergelak sungguh, sendiri. Aku meninjau jauh pemandangan yang tertera di hadapan mata.Cantik! Memuji sendiri, tapi cantiklah lagi pemandangan bukit bukau di Ireland! Angin Timur terus menjamah tubuhku perlahan. Sejuk dan menyamankan! Pun begitu, lebih sejuklah suasana di Ireland! Angin yang membaham kulit di sana bukan sahaja menyentuh kulit tetapi kedinginannya bisa memamah sehingga ke tulang hitam.

Gunung ganang yang memanjar di hujung sana kelihatan kebiruan, dengan hutan Hujan Khatulistiwa daripada jenis ‘Hutan Dipterokarp Atas’ dan jenis ‘Hutan Dipterokarp Bawah.’ sebagai penyeri pemandangan kanvas di hadapan mataku. Aku menyedut angin yang menderu. Segera menekan telefon bimbitku ke dail panggilan segera. Menunggu beberapa saat, dia jawapan. Panggilan ke telefon Amelia tidak berjawab! Adakah dia akan ke mari? Tidak mungkin tidak. Dia yang mencadangkan tempat ini kepadaku. Kami akan menghabiskan masa kami hanya berdua di sini. Aku dan dia. Dia dan aku. Sendiri. Aku dan dia bersendirian lagi seperti yang pernah kami lakukan di Ireland! Indah! Romantik!

Aku menekan aksara yang tertera di tetingkap telefon samsungku, sekadar bersms mengirimkan ayat kepada Amelia yang aku sudah pun berada di D’Coconut Hill Resort, dan aku akan berada di menara Resort ini menunggunya. Menekan perkataan ‘send’ dan menunggu balasan. Di skrin telefonku lemudiannya tertera perkataan, ‘Your message has send to Amelia; Honey.’ Terasa lega. Tersenyum sendiri. Sekurangnya, Amelia pasti tahu yang aku sedang menantinya di menara.

“Doktor nak naik ke bilik.” Pelawa Amir lagi.

“Panggil saja saya Shahril.” Tersenyum. Agaknya janggal mendengar panggilan itu di luar hospital. Maklumlah, selalunya orang tidak mengetahui kerjayaku dan biasanya memanggilku dengan nama ‘Encik’, ‘Mr’ sahaja.

“Saya bawa Encik Shahril ke bilik.”

Kami sama-sama menaiki lif ke tingkat dua. “Bilik Encik Shahril di tingkat dua. Paras yang sama dengan kolam renang.”

Aku tergelak. “Ada ke yang berenang sejuk-sejuk macam ni.”

Amir mengembalikan senyumanku. “Ada juga Encik Shahril. Pagi-pagi memang tak ada. Malam pun. Sejuk di sini. Tapi kalau tengah hari, selalu nampak ada orang berenang. Ada masa-masa tu, panas juga di sini. Ada matahari yang memancar. Taklah sepanas di aras bawah Gunung Raya ni. Kiranya berenang tu cuacanya nyamanlah.”

Aku mengangguk, tanda faham. Sebenarnya Amir yang bertubuh gempal, agak rendah dibandingkan denganku, berwajah bulat, berkumis nipis ini, tentunya tidak akan faham apa maksudnya nyaman. Bersuhu rendah, sejuk seperti Ireland, dengan angin yang bertiup perlahan, tidak kuat seperti ribut yang menyapa seperti sekarang, itulah maksudnya nyaman.Cuaca seperti ini, dengan angin Timur yang kuat menderu, bermakna ‘sejuk’ dan berangin’. Tidak begitu nyaman.

Akhirnya kami tiba di bilik. Wah! memang indah. Aku meletakkan begku dan segera mengeluarkan telefonku yang bergetar diikuti dengan bunyian menandakan sms yang mendarat. Segera melihat di skrin, rupanya daripada ibu. Aku memberi isyarat kepada Amir agar menungguku sebentar.

Jangan lupa melihat langit malam ini, ada pertunjukan bunga api.

Aku tersenyum sendiri. Bagaimana ibu yang berada lebih 500km jaraknya, boleh mengetahui bahawa di sini akan ada pertunjukan bunga api.

“Ada apa malam ni Amir? Kata ibu saya, bakal ada pertunjukan bunga api?”

“Tak ada apa yng istimewanya Encik Shahril. Esokkan LIMA bermula. Jadi sambutan sempena LIMA lah.”

“Saya nak ke menara.” Aku segera memberitahu Amir. Segera aku mencapai jaket kulitku. Jangkaanku, di atas menara nanti, pasti angin akan kuat menampat tubuh. Pasti dingin di puncak sana.

Dia segera membawaku ke dalam lif lagi, menekan angka 10. Aku dan dia tiba di menara. Segera aku menyelok poket jaketku dan memberikannya dia RM 10 sebagai tips.

“Terima kasih. Kalau ada apa-apa nanti, Encik Shahril telefonlah kami.”

Aku melangkah keluar dan membiarkan Amir turun ke bawah kembali. Aku segera memanjat beberapa puluh anak tangga dan menuju ke menara kayu yang dibina tinggi di kemuncak Gunung Raya ini.

Mataku segera terpandang keluarga yang aku nampak seawal ketibaanku sebentar tadi. Mereka sedang menikmati hidangan panas di meja hidangan. segera aku memilih sebuah meja di luar, dan mataku ligat melihat menu. Agak lapar dihimpit angin kencang di atas menara.

Mataku segera terpandang ke dalam lagi. Sibapa dan siibu yang membelakangkan tubuh mereka. Kedua-dua anak perempuannya pula leka menikmati makanan di hadapan mereka. Di saat itu, mataku leka memandang seorang daripada anak gadisnya. Di wajahnya mencuka, seolah tidak bahagia. Dia tersenyum juga dalam berbicara, tapi senyumannya bagaikan menyimpan 1001 cerita yang tidak ‘bahagia’. matanya pun bercerita ‘duka’ Bagai ada yang tidak kena di sini. dan pandangan mataku segera bertembung dengan matanya.Dan empat bebola mata berpandangan. Di situ, ada cerita yang bakal bermula. Dia melarikan lirik maranya, sementara aku juga segera melarikan lirik mataku memandang pepohon tinggi yang sedang menari di kejauhan sana.

Aku yang sedang menanti! Aku yang masih menunggu! Adakah aku akan temui dia? Amelia? Dan secara tiba-tiba, ingatan jantanku menerjah kepada Sya. Fotonya yang ditunjukkan Mak Cik Salma ketika singgah di hospital tempat aku bertugas petang hari itu. Kebetulan aku hanya duduk-duduk di café, dan terserempak dengan Mak Cik Salma. Wajah muslimah biasa, berkerudung. Yang padaku hanya Nampak biasa-biasa! Dan entahlah, kenapa pula banyak pula persoalan tentang Sya yang membuai perasaan jantanku!Aneh bukan? Dan mata masa yang sama, sepasang mata jantanku masih mencuri pandang gadis yang wajahnya masih mencuka di hadapanku!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh (NORA ISMA FUAD)Noor arbaiah ismail