Home Novel Travelog DOKTOR LOVE
Bab 5; Farhana Fadzil @ Dr Asmara

BAB 5 : FARHANA BT. FADZIL

5

“Pindah?” Aku mendengar perkataan itu seolah-olah diulang-ulang banyak kali, entah kali ke berapa. Berulang-ulang lagi. Berkali-kali diputarkan daripada cuping telinga, mengalir ke kokleaku, dan iya bergema ke dalam otak.Berulang kali lagi. Lagi dan lagi, seolah akhirnya memberi satu tekanan kepada perasanku.

Kuulang bertanya lagi dengan memandang ke wajah mama. “Pindah? Mama?”

“Ya pindah.” Jawapan mama dengan sebuah senyuman. Indah.

“Pindah? Mama? Mana boleh macam tu!” Kuperhatikan wajah mama lagi. Wajah yang masih kelihatan muda dengan potongan rambut pendek yang disisir rapi, bagaikan tidak menunjukkan ekpresi negatif langsung terhadap permasalahan yang aku bicarakan.

“Mana boleh? Apa yang tak boleh?” Mama mendesak bertanya balik.

“Tak bolehlah kita nak pindah?” Aku membalas.

“Bukan kita. Kami. Only us!”

“Kami? Bukan kita?”

“Kami. Kan papa dah habis kontrak kerja dah. Papa nak pencen. Mama pun nak rehat. Mahu duduk diam-diam di tempat yang damai.” Nada suara mama perlahan, mungkin dengan tujuan memujukku.

Tapi aku tidak akan betah dipujuk.‘A’ kataku, ‘A’ jugalah yang mesti berlaku. “Pencen? Di mana-manapun boleh pencen?”

Aku bergerak lagi berdekatan dengan mamaku. Wajah mama kuperhatikan lagi. “Di sini tak damai ke mama?”

“Sini? Damai? Berserabut adalah!”

“Berserabut?Mana ada berserabut? Mama tengok langit sana tu!”

Mama tersenyum kembali. “Hah, mama tengah tengok langit sana. Apa kaitannya pula dengan kita yang akan pindah rumah?”

“Langit sana tu biru warnanya!”

“Langit memang biru kecuali kalau hari mendung.” Nada suara mama bertukar pelik sedikit. Tentulah dia pelik dengan ayat yang aku pertuturkan.

“Mama tengok pula kolam di bawah rumah kita ni!”

Mama menjungkitkan keningnya lagi. Hanya kening sebelah kanannya yang terangkat, serupa rupanya dengan penyanyi bersuara lantang, Ziana Zain. Hanya insan istimewa sahaja mempunyai kelebihan yang serupa, menjungkitkan hanya sebelah kening sahaja. Kebiasaannya insan lain akan menjungkitkan kedua-dua kening serentak.

“Langit tu sama warna birunya. Mama tengok bawah sana pulak! Sama kan? Biru langit dan biru kolam!”

Aku memandang terus wajah mama.Mama mendongak ke langit sana lagi. Agaknya dia bersetuju dengan kata-kataku yang langit sana, biru. Sebiru nila yang menyenangkan jiwa. Dan kusorot pandangan mata mama yang bergerak ke balkoni, dan menyorot pandangannya ke kolam mandi di bawah sana. Di satu sudut, bebola mata coklat mama bertembung dengan mata coklatku yang lebih gelap, agaknya, mengikut bebola mata papa.Daripada sepasang mata, lirikku bergerak ke bawah hidung mama, terpandang sepasang bibir nipis yang tersenyum.

Mama terus menyambut kata akhirku, “Kolam tu memang biru juga, jadi apa kaitannya …”

“Birukan maksudnya tenteram mama. Langit yang tenteram. Kolam yang tenteram.” Aku beriya menyakinkan mama agar tidak berpindah dari rumah yang menjadi ‘belahan jiwaku’ sekian lama.

“Tenteram tu Cik Adik? Kalau setakat warna biru saja?”

“Tenteram apa?Jadi selama ini mama nak katakan yang hidup kita tak tenteram? Selama ni mama tak tenteram di sini? Pelik!”

Mama tersenyum, manis sungguh rupa mama. Tapi kemanisan itu seakan membunuh kesedapan rasa di hati yang aku alami. “Bukanlah begitu. Mama suka tinggal di sini. Tapi di sana tu lagi seronok rasanya. Cuba Hana dengar alasan mama.”

“Kak Ana tahu hal ni?”

Mama hanya mengangguk.

“Kak Far tahu tak?”

“Tahu.” Perlahan sahaja suara mama menjawab soalanku.

Aku mengubah gerak badanku dengan mengadap mama. Perkataan ‘Hana’ menarik perhatianku. Biasanya mama akan memanggilku dengan nama gelaranku ‘adik’, penanda adik bongsu, yang bunyinya lebih mesra dan manja.Hana bermakna perasaan mama beralih daripda ‘manja’ kepada sesuatu yang lebih serius. Suara mama masih bersahaja, tetapi belum cukup menyakinkan aku yang mama hanya berperasaan biasa. Aku cuba mendengar kata-kata mama dengan penuh khusyuk. Manalah tahu nada panggilan ‘Hana’ sebentar tadi akan berubah kepada ‘adik’ yang lebih manja nadanya.

“Tengok rumah kita ni. Lantai rumah kita ni, jadi bumbung orang. Bumbung kita pula, lantai rumah orang lain. Kiri dan kanan pun dinding rumah orang.Papa dan mama dan tinggal di rumah yang ada dinding sendiri, ada lantai sendiri dan ada bumbung sendiri.”

“Itu saja? Apa masalahnya kalau bumbung, lantai dan dinding yang dikongsi?Adik tak Nampak apa masalahnya pun?”

Mama hanya tersenyum lagi. Tapi riak matanya melemparkan pandangan lirik mata yang tidak menyenangkan. Sakit hati melihat jelingan maut mama. Mata kecil yang menjeling pun, aku lihat tidak ‘enak’. Sering membunuh rasa. Jelingan itu seolah memberi tahu, masa bertanyaku sudah tamat. Aku hanya boleh memilih, sama ada setuju untk mengikut atau tidak sahaja.

“Jadi, keputusan mama muktamad ke?”

“Ya, keputusan kami muktamad. You can choose. Either you’ll be part of the plan, or you’re out of the plan.”

Keputusan yang dinoktahkan. “Kalau Hana nak tahu lanjutnya, tanyalah papa sendiri. Mama pasti tempat tu menarik. Nanti tanyalah papa sendiri.”

Ayat yang dihabiskan mama sekali lagi mencengkam jantungku. Adrenalin yang bertempiaran lari dalam ruang lohong jantungku, hanya menjadikan pukulan drum jantung tidak menentu. Seolah menjongkang-jongkit tidak menentu! Dalam kesamaran fikiran, terdengar suara kunci yang berbunyi daripada luar. Tentunya papa sudah pulang daripada permainan golfnya.

“Tanya papa?” Kata mama lagi, masih dengan jelingan mautnya, tetapi diimbal balik dengan senyuman manisnya mengiringi ke sorotan mataku yang tepat memandang wajah bujurnya.

“Ya, Adik akan tanya papa?” Aku memegang lengan mama, seolah cuba menarik dia agar menyokong aku yang keberatan untk berpindah sama dengan mereka.

Mama menjeling aku lagi. Tangannya yang kupegang dijeling lagi.“Mama sudah buat keputusan untuk berpindah. Hana tidak dipaksa.Hana boleh terus tinggal di sini. Boleh tinggal dengan Kak Ana. Atau boleh tinggal dengan Kak Far.”

Bagaikan berulang kali perkataan-perkataan itu berulang disebut-sebut lagi “Kak Ana atau Kak Far. Kak Far atau Kak Ana…”

Wajah ayah yang muncul di sebalik daun pintu seolah sesuatu yang tidak melegakan sekali.Andai aku merayupun, pasti papa akan tetap dengan keputusannya.

“Macam mana ni papa?” Segera menerpa papa.

“Ahaii… kalau iyapun, bagilah salam dulu.”Papa memulakan dengan salam. Salam bersambut.Mama dan diriku segera menyambut salam papa.

“Apa soalan tu tadi?”

“Macam mana ni papa?”

“Macam mana apa? Papa ni tak tahu hujung pangkalnya? Apa yang Adik mahu?”

Aku segera memindahkan tempat dudukku berhampiran papa di kerusi empuknya. Bersebelahan dengan papa, melihat senyumannya membuatkan aku rasa ingin mendesaknya dengan soalanku berterusan.

“Pasal kita. Kita kan nak pindah!”

“Bukan kita. Kami.” Jawapan yang disampaikan papa dengan senyuman. Sama sahaja dengan jawapan mama. Agaknya telepati minda mereka sama serupa.

“Bukan kami papa. Kita.” Aku memberi jawapan mulusku. Bagaimana pula papa dan mama mahu berpindah dengan meninggalkan aku di sini.

“Papa dan mama memang mahu pindah. Adik boleh pilih nak ikut kami atau tinggal dengan Kak Far atau Kak Ana. Papa takkan paksa Adik pindah kalau itu yang Adik mahu.”

“Adik tahu…”

“Kalau dah tahu, apa pula halnya?” Papa memulangkan senyumannya kepadaku, yang aku percaya mempamerkan wajah yang kelat.

“Masalahnya si Adik ni tak mahu kita pindah. Dia nak kita tinggal di sini, sampai habis STPM dia.” Mama mulai menyampuk bicara kami. Memang kata-kata mama ada betulnya. aku tidak mahu mama dan papa berpindah. Aku mahu mereka tetap tinggal di sini. Sekurangnya sampai aku habis STPMku.

Papa hanya tersenyum. Lelaki yang sudah mencecah 56 tahun ini hanya melirik senyumannya lagi.

“Mama nampak sangat masalah ni ke mana. Mula-mula adik kata sampai dia habis STPM. Lepas tu, tunggu sampai dia habis U. Lepas tu, dia kata, tolonglah mama, sampai adik kahwin je. Lepas tu sampai lagi dia beranak sulung. Begitulah. Beginilah. Mama kenal sangat dengan adik ni.Penuh dengan muslihat.”

“Betul-betul… Si adik ni penuh dengan muslihat.”Sapa papa pula. Mengiyakan kata-kata mama menjadikan hatiku terasa luka. Tercalar dengan kata-kata yang sebenarnya ada kebenarannya.

“Tak baik mama tuduh adik macam tu!” Hatiku terasa tersentuh. Sampainya hati mama berburuk sangka denganku. Tetapi benar sekali kata-kata mama, akal panjangku sudah terfikir akan helah-helah yang sebegini.

“Adik. Beginilah…” Papa mula berkata sesuatu. Suasana yang hening sebegitu lama. Semuanya terdiam seketika.

“Papa dan mama sudah sangat-sangat demokrasi. Kami mahu menikmati sisa kehidupan dengan ketenteraman.Kami mahu bercucuk tanam.”

Terdiam mendengar ayat-ayat maut’ ayah. Ialah, ‘berumah pangsa’, tanpa mengira rumah flat, pangsapuri kos sederhana, pangsapuri kos mewah atau kondominium mewah sekalipus seperti rumah mama dan papa, masakan boleh memberi ruang untuk mereka bercucuk tanam.Jangankan tanah ‘sekangkang kera’, tanah ‘sekangkang anak kera pun’ tiada di ruang rumah kami. Pokoknya tiada tanah untuk bercucuk tanam.

“Kami mahu beli ikan dalam kolam. Itulah sebabnya.” Papa menghabiskan kata-katanya.

“Ikan? Kolam?” Aku bertanya lagi. Pelik dan semakin pelik dengan cita-cita dan harapan papa yang tidak pernah papa nyatakan sebelum ini.

“Dah lama ayah fikir dah.Tapi kami terpaksa tunggu sampai papa pencen. Papa sudah bersara. Tak ada sebab papa mesti tinggal di sini lagi.”

“Tapi papa, adiklah sebabnya kenapa papa mesti tinggal di sini.”

“Tak ada tapi-tapi lagi Adik. Adik boleh ikut serta atau terus tinggal di sini.” Giliran mama menyampuk. Aku kalah dengan tujahan ayat yang begini dan begitu.

Mata mama terus memandang tepat ke arahku. Pandangan matayang seolah menikam tajam ke jantung. Terasa jantungku bernyanyikan lagu rancak, berbagai irama. Benar, pandangan itu seolah membunuh rasa sukaku. Jantungku bagaikan mahu terasa terhenti dengan pandangan mata mama.

“Sepanjang hidup kami Adik, mama dan papa berfikir tentang anak-anak. Dulu berfikir tentang Kak Ana. kemudian Kak Ana masuk U, bekerja dan berkahwin. Lepas tu berfikir lagi tentang Kak Far. Kak Far pula masuk U dan bekerja. Kami tahu Adik akan mampu mengulangi kejayaan yang sama. Berilah kesempatan kami berfikir untuk diri kami sendiri.”

Sekali lagi ayat yang keluar daripada bibir mama membunuh segala ayat penghujahan yang sedang bermain dalam fikiranku. Aku hanya mengangguk-angguk ringan. Terasa bersalah dalam hati. ada ketikanya aku memikirkan yang mama dan papa hanya mementingkan diri mereka sendiri. Sebenarnya, aku yang bersalah. Aku akhirnya terpaksa mengaku kalah dengan hujah-hujah mama. Memang ada kebenarannya, sudah masanya mama dan papa berfikir tentang diri mereka!Aku hanya pentingkan diriku sendiri. Selama ini kehidupan mereka hanya berpaksikan kepentingan anak-anak gadis mereka sahaja. Sudah masanya mereka berpaksikan kehidupan tua mereka bersama.

“Nanti rumah ni, kami akan beri kepada Kak Ana. Kak Ana akan terus tinggal di sini, Adik boleh tinggal bersama mereka. Tak ada masalah.”

“Itulah masalahnya ayahnya. Si Adik ni, tak mahu tinggal dengan Far atau Ana. Nak tinggal dengan kita.” Sekali lagi mama menyampuk bicara kami.

‘”Macam ni lah Farhana, jangan pening-pening lagi.Nanti adik ikut mama dan papa ke sana. Bercuti sebulan di sana. Lepas tu adik buatlah keputusan mahu tinggal di sana atau tinggal di sini. Papa tak akan menghalang sebarang keputusan adik.”

‘Halang! papa memang tak halang. Tapi adik mahu tinggal dengan mama dan papa di sini.’ Hati berbisik, bagai mendengar perlahan di telinga sendiri. Itulah masalahnya. Persoalan dan penyelesaian yang tiada tolak ansurnya. Aku hanya mahu mama dan papa terus tinggal di sini!

“Boleh berfikir kemudian.” Kata papa lagi. Sepasang mata coklat papa terus merenung aku.

“Papa…”

“Kenapa?” Mama cepat-cepat menyampuk. Agaknya dia sudah lali sangat dengan karenah anak bongsunya yang ini. Aku akan emngasak mereka berkali-kali sehingga mereka mengubah keputusan mereka.

“Tak boleh tunggu setahun lagi? Tunggulah…” Aku terus merayu lagi walaupun aku tahu keputusan mereka sudah muktamad. Manalah tahu, dek kerana kasihankan anak bongsu mereka ini, mereka akan mengbah keputusanmereka.

“Setahun tu lama Adik…” Pintas mama.

“Kenapa pula lama? Setahun tak lamalah mama.” Pelik, apa yang lama sangat tentang setahun. Setahun hanyalah dua belas bulan. Cuma ada 364 hari suku. Genap tahun lompat, barulah cukup 365 hari. Kalau mahu lama sedikit, kiralah dalam kiraan minit atau saat. Jadi, apalah yang lama sangat untuk dinanti dalam setahun cuma! Berbanding dengan puluhan tahun mama, papa serta kami tinggal di sini.

“Rumah, kalau tinggalkan setahun akan bersawang labah-labah.”

“Labah-labahkan I tak takut mama, I takut ada jin pulak yang menumpang!” Kata-kata papa bagaikan panahan petir yang melintas.

Aku terasa semakin pelik. Rumah yang mana pula yang mama dan papa maksudkan.

“Rumah? Rumah yang mana?”

Mama dan papa saling berpandangan. “Rumah di sana. Papa dah mulakan projek membuat rumah empat bulan yang lepas. Jadi elok saja papa pencen, ayah dan mama mahu tinggal di sana.”

“Jadi, papa dan mama dah lama rancang semua ni?”

Mama mengangguk ketika mataku memandang ke wajahnya. Ayah juga mengangguk ketika mataku memintas pula memandang ke wajahnya.

“Papa bukannya mahu membelakangkan Adik. Papa cuma agak jemu dengan kehidupan di sini. Papa suka kehidupan kampung. Nenek dan datuk kamu sudah lama berikan papa sekeping tanah di sana.”

“Sudah lama kami hidup dalam impian orang lain Adik. Mama dan papa kepingin menikmati impian kami.” Aku dapat rasakan itulah ayat penyudah berbincang kami. Ayat yang memisahkan bahawa kami tidak boleh berbincang lagi.

Keputusan ayah dan mama nampaknya muktamad. Aku yang perlu memuktamadkan hati. Hatiku berbisik, persoalan antara dua jawapan. Di sana? Atau kekal di sini? ‘Masih mahu kekal di sini, tidak berkesempatan lagi tinggal dengan papa dan mama! Atau berpindah ke sana, bersama mereka dengan meninggalkan teman-teman baikku di sini, sekolahku, bandar yang aku cintai dan mengharungi dunia baru di sana!’

“Banyak lagi masa untuk Adik fikir. Ikut saja kami dulu ya.” Papa memujuk perlahan. bahunya menepuk-nepuk ringan bahuku. Mama hanya mengangkat keningnya menandakan dia setuju.

“Okay ayah. Adik akan fikir masak-masak.”

“Memang kena masak-masak, tak boleh setengah masak lagi.”Kata mama sambil tergelak. Ah mama! Main persendakan pulak! Dia barangkali tidak tahu gelodak kepahitan yang bermain dalam fikiranku.

“Jadi, bila mama dan papa nak ke sana?”

“Tiga minggu termasuk hari ini.”

“Dua puluh satu hari?” Secepat itu mereka akan berpindah. Mana mungkin, semua barang belum berkemas lagi.

“Cukup tiga minggu untuk kemaskan barang?”

Papa mengangguk-angguk ringan. “Kami tak bawa semua barang. Semua ni kecuali televisyen, alatan perakam video, pakaian saja yang akan mama bawa.”

“Kusyen kesayangan ayah ni pun nak tinggalkan?”

Papa tergelak. “Set Kusyen ni ayah bawa. Yang lain, kan Kak Ana dah ada.Kak Ana dan Abang Sham akan bawa barang mereka ke sini. Kan mereka yang akan tinggal di sini.”

“Kos beli barang baru lagi murah daripada bawa pindah barang dari sini.” Mama menyambung dengan ketawa kecil.

“Tak ada apa pun yang akan berubah di sini, kecuali set kusyen Kak Ana yang akan diletakkan di sini.”Kata-kata mama lagi yang menyambung, seolah menyengat perasaan. Mengusik hilu rasa hati.

“Mana pulak yang tak berubahnya mama, kan mama dan papa tak tinggal di sini lagi!”

Mama hanya tersenyum. “Kalau macam tu Adik, ikutlah mama pindah. Tentu Adik akan sukakan tempat baru tu. Mama yakin.”

‘Yakin! Aku yang tidak yakin akan menyukai tempat itu.Aku kan gadis bandar. A town girl. City girl. Aku dilahirkan di Lembah Klang dan berada di sini sepanjang usiaku!Aku kan gadis Kuala Lumpur. Aku berada di persekitaran bandar sepanjang hidupku!

Bandar inilah yang menjadi jalan-jalan dan lorong-lorong permainanku.Jalan Tunku Abdul Rahman, Sogo, Pasar Budaya, KLCC, itukan padang permainanku! Masakan aku bisa hidup tanpa padang itu!’ Hatiku berdetik. Seakan berasak jauh ke dalam jiwa. Keputusanku terasa perit untuk dibuang. Bagaikan ditelan mati emak dan diluahkan mati bapak. Semuanya susah dan menimbulkan keluh kesah!

“Minggu depan adik nak keluar dengan kawan-kawan?” Aku cepat-cepat meminta izin. Maklumlah hari minggu ini, kedua-dua hari sabtu dan ahad ini aku habiskan dengan belajar di rumah sahaja.

“Ke mana?” Soal papa. Aku tahu papa yang akan menyoal macam-macam perkara. Tidak seperti mama, yang seolah sudah yakin dan percaya sangat dengan anak gadisnya ini.

“Tak tahulah lagi ayah. Selalunya kami ke Central Market atau ke KLCC.”

“Tahu ke macam mana nak ke sana?”

Aku tergelak. Entah berapa ratus kali aku ke sana dengan menaiki LRT, yang kebetulan stesyen betul-betul di bawah apartment kami.

“Jangan kata buka mata papa, pejam mata pun Adik boleh sampai ke sana. Adik dah besar ayah. Janganlah ayah risau sangat.”

“Besar? Besar tak payah risau?Pasal dah besarlah lagi perlu risau Adik!”

“Ramai tau gadis remaja yang lari dari rumah. Sebaya Adik ni.”

Aku tergelak. “Itu orang yang tak tahu apa maksud kasih sayang.Sikit-sikit nak merajuk. Sikit-sikit nak lari dari rumah. Adik bukan orang yang macam tu. Tak ada sebab Adik nak lari dari rumah papa ni. Bodoh sangat kalau Adik buat macam tu!”

Papa hanya mempamerkan senyuman yang berwajah kelat, mempamerkan perasaannya yang masih ragu-ragu. “Itu kata mulut, belum kata hati Adik. Remaja Melayu kalau ikut statistik jumlah peratus yang paling tinggi lari meninggalkan rumah dan keluarga. Buat papa bimbang.”

“Ala, janganlah bimbang mama, ayah. Kalau Adik nak larikan diri dari rumah, Adik akan pastikan Kak Ana, atau Kak Far tahu tentang hal ni.”

Ayah sekadar menggeleng-gelengkan kepalanya. Mama cepat menghulurkan jari runcingnya dan mencubit kuat lenganku.

“Adooii. Sakitlah mama.” Berulang-ulang kali aku menjerit kesan ketaman halus mama.

“Sekarang ni dia main-main. Nanti bila dah jadi seorang ibu barulah tahu, susah ke senang ke jaga anak ni. Terutamanya anak perempuan. Macam yang pernah disebut orang tua, menjaga anak perempuan ni bagai menjaga sekandang kerbau.”

Aku hanya tergelak. Entah bagaimana pula dikaitkan menjaga anak-anak perempuan dengan sekadang kerbau. Dalam kepala segera membayangkan diriku dibandingkan dengan sekandang kerbau. “Mama, betul ke orang-orang tua ni, takkanlah susah sangat nak menjaga sekandang kerbau. Kalau kurung dalam kandang kerbau-kerbau tu, bagi makan, taklah susah sangat.Takkanlah susah sangat nak dibandingkan membesarkan anak perempuan.” Aku tergelak lagi. Kadangkala pemikiran orang tua lama-lama ini tidaklah boleh digunapakai lagi. Mereka mencipta kata-kata perbandingan yang kurang sesuai dengan zaman baru, a.k.a Zaman Milenium baru.

“Kerbau kalau seekor memang la tak susah Adik oo. Kalau dah sekandang, tentulah macam-macam karenah. Susahlah jadinya.”

Aku masih tergelak. Entahlah kenapa kerbau pula yang diambil sebagai perbandingan dengan menjaga anak perempuan.Kenapa tidak pula membandingkan dengan lembu, atau kambing, atau ayam atau itik?

“Jadi macam mana Adik. Jadi ikut mama dan papa ke pulau tu?” Soalan mama menusuk kalbu lagi. Benar ke apa yang disoal mama lagi?

“Okaylah, adik akan ikut dulu, hanya bercuti tau… tapi Adik… tak janji nak ikut mama dan papa …ke sana.” Aku mengeluarkan perkataan yang bernilai ‘intan’ dari bibirku lambat-lambat. Aku seolah-olah cuba memerangkap papa dan mama dengan kata-kata simpati, semoga lahrlah perasaan empati agar mereka tidak tergerak hati untuk mahu berpindah dari sini. Biarlah mereka kekal di sini.

“Terpulanglah Adik. Adik boleh tinggal di mana-mana saja Adik mahu. Tinggal dengan papa dan mama di sana. Boleh. Tak ada masalah.”

“Di sana?” Aku bertanya balik. Jika ada pilihan lain untukku.

“Boleh juga tinggal dengan Kak Ana di sini. Di rumah ni.”

“Di sini?”

Cepat nampaknya mama memintas kata-kataku, seolah-olah dia memahami aku meminta opsyen yang lain. “Atau, boleh juga adik tinggal dengan Kak Far di rumah bujangnya.”

“Rumah bujang? Sejak bila pula Kak Far tinggal di rumah bujang?”

“Bila mama dan papa berpindah nanti. Kak Far mahu beri kebebasan kepada Kak Ana untuk tinggal di sini. Lagipun rumah papa di Pantai Dalam tu dah lama disewakan orang. Papa nak beri Kak Far tinggal di sana.” Papa menjelaskan panjang lebar.

“Ya betul tu. Sekolah Adik pun tak jauh dari situ.”

Jantungku terasa tersentap. Seolah terhenti seketika.Tertanya dalam hati, adakah benar maksud ayat ayah itu sebentar tadi.Serius sangatkah mereka untuk membiarkan aku membuat pilihan.

Melihat kepada senyuman papa dan mama, aku menyedari mereka benar-benar maksudkan apa yang mereka sebutkan tadi. Dan aku menjadi bimbang. Setiap pilihan yang dinyatakan, pasti ada pro dan kontrasnya. Aku bakal kehilangan teman-teman jika mengikut berpindah bersama ibu dan bapaku. Sebaliknya jika aku masih kekekal di sini, aku tidak akan betah kehilangan ibu dan papaku. Dan fikiranku menjadi tidak keruan. Yang mana satukah akan menjadi pilihanku?

“Adik nak study di bilik la mama, papa.”Kataku sambil tersenyum. Dua minggu lagi persekolahan akan berakhir. Dalam tempoh bersekolah di tingkatan enam rendah, atau lebih sinonim dengan Kelas Pra U, masa yang terluang tidaklah boleh aku bazirkan begitu saja. Aku akan meneruskan pengajianku sebaik-baik mungkin. Cuti persekolahan yang akan tiba, bukanlah masa untuk bergurau senda, atau hanya bermain-main kosong. Akan aku manfaatkan untuk kebaikan diriku juga. Pintu bilik yang kubuka seolah mempamerkan pandangan kosong. Tingkap yang mengadap awan, segera membolehkan aku menatap pemandangan langit yang kosong, sekosong hatiku.

Entahlah! Di jiwaku terasa kosong. Dalam hatiku terasa kosong. Dalam mindaku juga terasa sifar. Tiada lain dalam fikiranku, hanya sifar. Infiniti. Tanpa suara. Tanpa bahasa. Aku kaku sendirian. Di dada langit, mataku hanya nampak warna yang senada. Kelabu dan kaku. Membayangkan yang gadis metropolitan seperti yang akan berada jauh di utara sana menjadikan aku kelu. Kaku. Aku hanya nampak sejalur warna hitam. Kelam. Dan lebih jauh terasa kelam kerana akulah orang di rumah ini yang tahu, yang mama dan papa akan berhijrah jauh. Jauh lebih lambat daripada Kak Ana dan Kak Far! Akukah ini yang terpinggir?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh (NORA ISMA FUAD)Noor arbaiah ismail