Bab 1-22 akan menggunakan gantinama diri "AKU" dalam bab-bab ini. Dilabelkan dengan nama watak.
Bab 1- 6 merujuk kepada SAIFUL ANUAR BIN AZIZI,
BAB 7-11; NUR KATRINA BT. DAUD.
BAB 12-17 NURNATRAH BT. DAUD.
bAB 18-21 ADUHA @ DUHA.
SEMUA WATAK2 INI / BAB 1- 21;
AKAN BERAKHIR DI SATU TEMPAT iaitu Break Through Event. Dan seterusnya,
tiada gantinama diri pertama lagi yang akan digunakan. BAB 22; watak dikembangkan dgn gantidiri ketiga.
Selamat
Membaca! Mengalu-alukan pandangan pembaca! Saya dahului dengan ucapan
terima kasih. Suntingan bab-bab hanya dimasukkan secara rawak sahaja.
5
Keluar sahaja dari pintu hadapan rumahku, kulihat Kak Dian tersenyum. Kak Dian atau nama penuhnya Nordian Estee, merupakan
jiran sebelah rumah yang mudah didekati, peramah dan selalu membantu. Jika
dilihat daripada konteks ‘islamiah’, jiran tetangga yang beginilah yang
menjadikan kehidupan yang ceria, sesuai dengan tuntutan yang pernah digariskan
dalam Hadis Baginda Rasulullah s.a.w. Riwayat Ibnu Hibban, mencatatkan, Rasulullah
s.a.w bersabda, maksudnya, ‘Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita
yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa.’
“Hai Epol. Dah nak pergi kerja?”
“Ialah kak.” Kupandang jiranku yang bertubuh
sederhana, hanya berketinggian hampir lima kaki sahaja ketinggiannya. Dengan
kata lain, genit sahaja orangnya. Dia hanya tersenyum membalas semula pandangan
mataku.
“Tak nampak Kat dengan Sara pun? Pia pun tak dengar
suara. Dari petang semalam pun nak nampak. Pelik Kak Dian ni bila tak dengar
langsung suara budak-budak tu!”
Aku tersenyum. Aku sedar soalan ini akan ditanyakan
juga oleh Kak Dian kepada aku, maklumlah, sebagai jiran sebelah rumah yang
rapat hubungannya dengan kami, dia pasti menyedari atau ‘kehilangan suara’anak
isteriku. Tanpa suara mereka, semuanya agak misteri bagiku.Mungkin dia tidak
menyedari anak isteriku tiada di rumah ketika ini.
“Semalam, Kat dengan anak-anak balik kampung, Kak
Dian. Petang nanti baru balik, kereta rosak di sana.”
Yang sukar ditelah adalah, telefonku tidak bersambut
sejak petang tadi sehingga ke malam hari. Apabila aku dail panggilan ke telefon
ke rumah mak pula, hanya Sara yang mahu berbual denganku. Kata mak, Kat sibuk
menidurkan Baby Pia.Agaknya masih
merajuklah tu sang isteriku!
Muka Kak Dian nampak berkerut sekejap, “Padanlah tak
nampak. Suara pun tak dengar. Kalau begitu, tunggu sekejap Epol. Kak Dian bagi
makanan sikit.”
Dia nampaknya cepat-cepat masuk semula ke dalam
rumah, sebelum sempat aku berkata apa-apa lagi. Dia kembali seminit dua
kemudian dengan sebekas makanan.
“Ada
mee goreng ni. Kesian jadi orang bujang ni. Susah.”
Dia ketawa. Aku segera mengucapkan terima kasih dan berlalu. Bimbang nanti
disapa pula Kak Zaitun, jiran di sebelah kiri pula. Maklumlah, kedua-dua jiran
sebelahku amat rapat dengan anak-anak dan isteriku. Kalau tidak disahut, seolah
macam sombonglah pulak. Aku sebenarnya tidak mahu lambat ke tempat kerjaku. Itu
sahaja. Hari ini ada misi yang amat penting di sana. Segera aku memakai bot berwarna orange,
yang disebut sebagai antara pakaian pelengkai FWA (Field Work Attire)Motorsikal jaguhku, bagaikan mengerti akan misi
penting dan berlalu laju menuju ke tempat yang aku dan Wan gelarkan sebagai
‘terowong kami’.
Di tempat kerja melihat lirik senyum Ridzuan, seolah
satu yang melegakan sukma.
“Senyum semacam Wan.”
“Hai, sejak bila senyum jadi kesalahan ni bang.” Dia
ketawa terus.
Aku pun ketawa sama. “Dah bersedia? Hari ni kita kan kena bersedia
berhadapan dengan pemberita daripada akhbar. Berdebar juga rasanya.”
Ridzuan mengangguk. Tugasan ini kebetulan diberi
kepada kami berdua. Dan kami tidak menganggap tugasan ini begitu ‘enteng’.
Tugas memberi maklumat yang benar, seolah menjadi ‘duta kecil’ Syarikat Gamuda
ini.
“Jam berapa mereka datang?”
“Bos kata jam 9 pagi. Ada 30 minit lagi. Saya sudah sediakan
sarapan di bawah khemah. Kita jamu mereka sarapan dulu. Lepas tu mereka akan
temuramah pengarah projek dulu. Lepas tu baru kita bawa mereka masuk terowong
dengan jip.” Aku tersenyum mendengar kata-kata Ridzuan. Rupanya dalam diam, dia
mempunyai rancangan tersendiri. ‘Betullah kata pepatah lama, kenyang perut suka
hati’. Perut yang dijamu dengan makanan, memudahkan urusan kami nanti,
harapnya. Publisiti merupakan kejayaan terbesar syarikat ini, kerana sebagai
syarikat tempatan, kejayaan melengkapkan terowong kereta api ini merupakan
kejayaan dan kegemilangan Malaysia
kepada mata dunia. Kami bersama segera meletakkan topi keselamatan di kepala,
mengemaskannya dengan sebaik mungkin. Jaket keselamatan yang berwarna orange
juga melengkapkan gaya,
sebenarnya lebih kepada bagi menyamin keselamatan di dalam terowong.
Tepat seperti yang dijanjikan, dua orang pemberita,
barangkali seorang wartawan dan juru kamera, yang mewakili syarikat akhbar
utama di Malaysia
tiba dengan wajah yang penuh keyakinan.
“Saya Saiful, ini Ridzuan.”
“Azhar dan Najib.” Segera bersalaman dan mereka
dibawa ke khemah di mana Pengarah Projek, Encik Nasirruddin berada. Kami
membiarkan mereka menghabiskan masa bersarapan bersama pengarah. Apabila tamat
bual bicara mereka nanti, kami sudah bersedia dengan jip di luar kawasan khemah
syarikat kami. Kami segera menyerahkan kepada mereka , sepasang vest dan topi
keselamatan untuk digunakan di dalam terowong.
“Oh, ingatkan kami tak perlu bergaya dengan baju dan
topi ini!” Kata-kata Najib kami sambut dengan ketawa panjang.
“Gaya
mesti ada.” Sambutku selamba.
“Perlu. Gaya
pun juga, keselamatan pun juga. Lagi pun, sehingga kita syarikat ini berjaya
mengekalkan zero kemalangan.” Ridzuan segera menyapa kembali, setelah ketawa
berakhir.
“Satu je yang belum ada bang, but Pua Chu Kang.”
Kami ketawa menyambut kata-kata Azhar. Kami sedar dia merujuk kepada bot jingga
yang kami pakai. Ternyata bot yang kami kenakan ternyata berbeza sekali dengan
bot yang dikenakan oleh Gurmit Singh dalam filem komedinya Phu Chu Kang. Bot
kuningnya hanyalah bot biasa yang lazimnya dikenakan oleh penjual di pasar. Bot
keselamatan kami pula adalah bot yang tebal, selesa untuk bekerja dan menjamin
keselamatan daripada semua partikel tajam dan bahaya seperti batuan kasar dan
sebagainya.
“Encik Saiful, macam rasa gerun sikitkan?” Soalan
Najib membuatku tersenyum. Sudah setiap hari memandang terowong ini barangkali
telah menghilangkan rasa kegerunan kepadanya lagi.
“Tak payahlah berencik-encik.
Panggil sahaja nama. Kami sudah setiap hari melihat terowong ini. Sudah hampir
empat bulan begini, jadi, tak ada perasaan cuak lagi. Macam orang yang berada
di medan
perang, setiap hari berperang, mungkin, tiada perasaan takut lagi.”
Ridzuan yang sejak tadi
mendiamkan diri di hadapan jip, mulai menyampuk, “Ialah. Takut tak ada, rasa
cuak saja sikit. Insya_Allah dengan tenaga pakar seramai tiga puluh orang, kami
yakin, terowong ini akan selamat sama ada dalam proses pembinaan mahupun
selepas ini.”
“Selamat datang ke Terowong Bukit
Berapit, di sini kami gelar sebagai TBB saja. Projek ini merupakan sebahagian
sahaja daripada Projek besar kami iaitu Projek Landasan Berkembar Elektrik
Ipoh-Padang Besar atau dikenali juga sebagai PLBE.
“Kami diberitahu oleh Encik Nasir
tadi, sehingga hari ini terowong ini memenuhi semua aspek keselamatan
antarabangsa, termasuk juga fasiliti dan infrastukturnya. Sehingga temubual ini
dikatakan syarikat Garuda ini telah mencapai 19 juta jam tenaga manusia tanpa
melibatkan kemalangan jiwa.” Azhar meluahkan kembali fakta yang didengari
daripada Encik Nasir.
“Betul. Situasi ini yang penting bagi mengekalkan kejayaan syarikat
tempatan. Zero kemalangan jiwa, bermakna 100 peratus kejayaan sebenarnya.”
“Ya. Ya. Betul sangat tu bang. Kalau berjaya menyiapkan projek dengan
mengorbankan nyawa dan jiwa, tak bermaknalah kejayaan syarikat.”
“Tarikh jangka siap adalah penghujung tahun ni kan bang?” Syafik bertanya lagi.
“Ya. Insya-ALLAH, ada baki 30 peratus lagi kerja pembinaan terowong ni. Lima belas peratus
tumpuan sepatutnya kepada pembinaan infrastruktur dan bakinya, 15 peratus
kepada pemasangan dalam sistem di terowong.” Ridzuan menjawab bagi pihak
syarikat. Aku mengangguk. Dapat aku lihat juru gambarnya leka memetik kamera
bagi mengabadikan gambar dalam terowong yang sedang kami teroka.
“Mula masuk tadi, saya rasa cuak, tapi melihat ke dalam terowong ini,
buat saya rasa teruja.” Ucapan Najib tadi merupakan ucapan biasa mana-mana
pelawat yang pertama kali melihat kerja-kerja yang dijalankan di sini.
Kami menghentikan jip bagi melihat sekumpulan petugas menjalankan tugasan
mereka dengan penuh komited. Cahaya lampu limpah yang dipahat dengan kukuh di
setiap laluan terowong seolah menjadi penyinar laluan dan membolehkan petugas
bekerja dengan baik.
************** sebahagian besar manuskrip saya edit bagi memelihara originalitii***********
Di rumah, semuanya kelihatan senyap dan sunyi. Sepi sekali. Tiada suara
Sara, Baby Pia, mahupun Kat.
Sekalipun Kat masih lagi ‘perang dingin’, melihat kelibat dia sahaja cukup
melegakan hati. Segera aku mengeluarkan telefon bimbit daripada poket seluar
jeansku, melihat ada pesanan ringkas, sms daripada Katrina. Agaknya sms dia
diterima ketika aku sibuk di Kedai Pak Karim petang tadi.
Kereta belum siap. Petang esok baru
balik. Perlu duit.
Aku terasa panik sendiri, bermakna juga sudah dua hari, anakku Sara tidak
bersekolah, dek kerana keretaku yang masih ‘mogok’ lagi. ‘Bagaimana dengan
perasaan Kat?, Mungkin lebih membara marahnya? Bagaimana bisa aku betulkan
situasi ini?’, semuanya sekadar bersarang di dalam hati jantanku sendiri
sahaja. Aku segera menuruni tangga, berhasrat untuk menghubungi Katrina dan
anak-anakku.
Deringan telefon di ruang tamu segera kujawab. Suara manja Sara di hujung
sana melegakan
aku.
“Hello papa. Kereta rosak teruk. Pagi esok baru siap tau. Mama marah
sangat dengan kereta papa.” Suara anakku yang bagaikan terus ‘menyerang’ aku
menjadikan aku kaget sekejap, agaknya, skrip semuanya disiapkan Katrina.
“Sara, Pia dan mama okay.”
“Kami okay papa. Sara dah dua hari tak pergi sekolah ni. Esok pagi kami
baru balik.” Aku terasa sesal mendengar kata-kata Sara. Seandainya, aku tahu
begini jadinya, lebih baik jika aku balik ke Ipoh hari itu, sekurangnya, aku boleh minta
Katrina dan anak-anak balik ke mari dengan teksi, tidak perlulah Sara ‘ponteng’
sekolahnya lagi. Seandainya aku tahu.
“Sara, bagi papa cakap dengan mama.” Merayu Sara, mengharapkan agar Kat
akan sedia berbicara denganku. Aku bimbang kalau Kat tidak mempunyai tunai yang
mencukupi, maklumlah sudah tiba hampir penghujung bulan, wang belanja rumah
barangkali sudah habis digunakan.
“Hello. Esok pagi ambil kereta. Bengkel kata tiga ratus ringgit. Kat tak
ada duit lagi.” Cara bual bicara Kat berbunyi aneh sekali. Dia tentunya masih
marahkan aku lagi. Jelas sekali daripada perkataannya.
Aku terasa bagaikan mahu menyebut perkataan, ‘Maaf, jika abang yang
bersalah.’. Sebagai lelaki, memang meminta maaf tidaklah sesukar mana, tetapi
sebagai seorang suami, bukankah seorang isteri yang perlu patuh, dan segera
mendamaikan situasi suami-isteri yang berantakan. Bukannya salahku jika ‘Perang
dingin’ kami berlanjutan!
Semuanya salah Kat! Dia sebagai isteri yang bersalah, menjadikan perang
dingin berlanjutan! Perang yang aku sendiri tidak tahu di mana mulanya?
“Abang bank inmalam ni.”
Jawapanku pendek. Sebentar lagi, aku akan mengunakan e-akaun. Dan semuanya
semudah satu sentuhan jari.
“Okay.” Jawapannya pendek dan
panggilan ditamatkan. Oh Katrina! Aku semakin pelik dengan tingkah lakunya.
Bukan sifatnya sebegini. Entah angin amukan mana yang merasuknya! Empat puluh
lapan jam tanpa Katrina menukarkan masa menjadi jemu. Rindu! Pilu! Sesekali
hati jantanku masih dirasuk amukan cinta rupanya!