Home Novel Thriller/Aksi Epidemik T
Bab 11 Lelaki Kebal

Hutan Simpan Eurasia

8.00 pagi, 21 Disember

Panggilan daripada ibu pejabat risikan telah mematikan langkah Harish dan Aulia. Pasti Emma yang ditugaskan untuk menjadi pembimbing misi Harish dari jauh yang menelefonnya. Harish dan Aulia yang baru sahaja tiba di sebuah ladang yang menempatkan beberapa buah kandang lembu dan kambing. Kelihatan beberapa ekor ayam yang sedang mencari makan.

“Assalamualaikum, Emma di sini.” Kedengaran suara Emma yang sedang baru sahaja menyambungkan komunikasi dari HQ dengan alat hubungan yang dibekalkan kepada Harish.

“Ya, ada apa?” tanya Harish. Dia sempat memberikan isyarat supaya Aulia mematikan langkah kakinya.

“Kami nak kamu berjumpa dengan seorang penduduk kampung misteri itu. Sumber maklumat kami memaklumkan bahawa dia akan membawa kamu kepada tempat Shila diculik,” jelas Emma. Nada suaranya kedengaran agak hati-hati.

Roger. Nyatakan lokasi penduduk kampung tu?” tanya Harish lagi.

“Cuba kamu semak telefon bimbit kamu. Saya sudah muat turun aplikasi peta yang bertindak sebagai pemberitahuan lokasi kamu di dalam hutan ini. Juga, saya ada tandakan lokasi yang sepatutnya kamu pergi. Sebuah rumah tumpangan di tepi tasik gergasi,” tambah Emma lagi.

Harish mengangguk walaupun reaksi yang ditunjukannya itu tidak dapat dilihat oleh Emma. Kemudian, Harish lantas mematikan alat komunikasinya yang merupakan radio berteknologi tinggi.

“Kita nak ke mana?” tanya Aulia yang sedang bersandar di sebuah rumah kayu yang bersebelahan dengan kandang lembu tempat mereka melepaskan lelah itu.

“Ke sebuah tasik. Sumber daripada HQ mengatakan bahawa ada seseorang di sana yang boleh membantu saya menyelamatkan Shila,” jelas Harish yang sedang membelek-belek pistolnya.

Aulia sekadar mengangguk.

Shit...,” bersut Harish bengang. “Peluru tinggal sikit.”

Putrajaya

9.00 pagi, 1 April 2013

Perdana Menteri Shahrin sedang mengusutkan kepalanya. Datuk Hidayat sedang berdiri menemani lelaki tua itu. Pemimpin Malaysia itu semakin tidak terurus sejak peristiwa kehilangan Shila.

Piring cekera yang berformat DVD yang mengandungi rakaman Shila itu sedang berada di tangan Perdana Menteri. Dengan berat hati, Perdana Menteri Shahrin memasangkannya.

Skrin televisyen yang tergantung di sudut pejabatnya tiba-tiba menyala. Skrin itu memaparkan Shila yang sedang diikat di atas sebuah kerusi di dalam sebuah rumah kayu. Seorang lelaki yang berketinggian dalam 2 meter sedang berdiri sambil berpeluk tubuh. Lelaki itu botak dan mempunyai janggut yang lebat sehingga ke paras dadanya.

“Sekarang, aku berikan peluang untuk kau luahkan isi hati kau kepada ayahanda tersayang,” suara garau lelaki botak yang tidak berbaju itu, hanya berseluar jeans.

“Aku tahulah Enrique!” bersut Shila marah. Wajah Shila yang seharusnya jelita kelihatan comot. Manakala kesan darah masih berbekas di bibir merah gadis itu. Air matanya mengalir tiba-tiba.

“Ayah... selamatkan Shila. Shila tak sanggup... tak sanggup. Diaorang buat Shila macam binatang!” teriak Shila sambil menggelengkan kepala. Kemudian, lelaki botak tadi menghadiahkan sebuah tamparan yang tepat mengenai pipi Shila.

Kekuatan yang dipamerkan membuatkan Shila jatuh terperosok dengan kerusi yang masih terikat di badannya. Kemudian, lelaki botak itu mendekatkan wajahnya di skrin kamera yang merakamkan adegan itu.

“Kau nampak tak apa yang kami boleh buat dengan anak kau? Kalau kau tak nak apa-apa terjadi pada anak kau, arahkan Mejar Harish berambus dari sini,” kata Eric. Kemudian, skrin terus padam. Tidak lagi memaparkan Shila dan Eric.

“Sudahlah tu Shahrin. Masuk kali ini, dah enam kali kau mainkan benda yang sama,” nasihat Datuk Hidayat sambil menepuk-nepuk belakang Perdana Menteri Shahrin yang sedang menekapkan wajahnya di lengan.

“Anak aku Hidayat....” gumam Perdana Menteri Shahrin. “Kenapa dia yang harus menjadi mangsa?”

Datuk Hidayat tidak mempunyai jawapan kepada soalan Perdana Menteri Shahrin.

“Aku yakin yang Harish mampu menyelamatkan Shila. Dia tak pernah gagal,” kata Datuk Hidayat cuba memberikan kata-kata semangat. Tanpa diketahui oleh Perdana Menteri Shahrin, Datuk Hidayat telah mengirimkan dua orang lagi ejen perisik negara ke Hutan Simpan Eurasia, Farah dan Yusoff untuk membantu Harish yang keseorangan menangung beban negara itu.

Hutan Simpan Eurasia

9.30 pagi, 1 April 2013

Aulia hampir sahaja menjerit ketika mereka memasuki sebuah rumah kosong untuk berehat ketika dalam perjalanan menuju ke arah tasik yang dikatakan oleh Harish. Bau busuk yang menarik mereka ke situ rupanya membawa mereka pada penemuan mayat seorang wanita yang melekat di dinding. Sebilah kapak terbenam di dahinya lalu menyentuh bahagian dinding membuatkan mayatnya tergantung begitu sahaja.

“Astagfirullahalazim...” ucap Aulia sambil mengurut dadanya. Dia tidak sanggup melihat keadaan wanita itu lalu berlari keluar dari rumah itu.

“Kejamnya...” tutur Harish sambil menggelengkan kepalanya.

Aulia sudah mula muntah-muntah. Keadaan mayat itu sangat menyayatkan hati. Aulia tidak mempunyai kekuatan seperti Harish untuk melihat keadaan mayat itu. Beberapa saat kemudian, Harish keluar dari rumah tersebut sambil memegang sebilah kapak.

“Kalau macam tulah keadaan mangsa penduduk kampung ini, kita kena cepat kalau kita tak nak sesuatu terjadi pada Shila,” kata Harish sambil menghayunkan kapak yang masih berlumuran darah itu di udara.

“Kapak itu...” tutur Aulia sambil mengusap kerongkongnya. Dia mengamati kapak tadi, kemudian tangan Harish. “Tangan awak berdarah...”

“Jangan risau. Ini bukan darah aku. Ini darah mayat tadi,” kata Harish apabila menyedari reaksi Aulia yang agak berlebih-lebihan.

“Awak ambil kapak tu dari mayat tadi ke?” tanya Aulia.

“Saya ambil kapak ni dari kepala mayat tu. Tapi, saya sempat baringkan dia,” balas Harish seolah-olah benda yang dilakukannya ialah perkara biasa, dan orang lain pun akan melakukan perkara yang dilakukannya.

“Pengotor...” gumam Aulia.

“Untuk survive, memang ini caranya,” jawab Harish pendek. “Saya akan basuh tangan aku dekat tasik tu nanti. Lagipun, kapak ini akan menjadi senjata aku kalau aku kehabisan peluru.”

Suasana kembali bisu. Harish kembali meneruskan perjalanan sambil Aulia termengah-mengah mengejar langkah kaki Harish yang agak laju itu. Pernah Aulia terjatuh lalu tersembam pada lopak yang dipenuhi oleh lumpur.

“Hahahaha...” gelak Harish. “Nanti kat tasik tu, awak basuh muka tu. Kalau macam tu, zombi pun takut.”

Aulia membersut marah. Dia menepuk-nepuk seluar jeansnya yang kotor itu. Kemudian, gadis itu sendiri yang mendahului Harish yang belum berhenti ketawa itu.

“Eh, nanti dulu,” panggi Harish apabila Aulia sudah jauh berjalan merentasi kawasan hutan itu meninggalkanya yang masih tercegat berdiri. “Awak tahu ke jalan nak ke sana?”

Langkah kaki Aulia serta-merta mati di situ. Dia menoleh ke belakang, menunggu Harish yang berlari-lari anak-anak mengejarnya.

“Jangan merajuk lagi dah. Tak cantik. Jom pergi,” tutur Harish sambil tersenyum.

Tampannya...

Tasik Gergasi

10.00 pagi, 1 April 2013

Sebuah rumah kelihatan dalam kepekatan kabus yang menyelubungi kawasan Hutan Simpan Eurasia pada pagi itu. Aulia sudah mula menggigil kesejukan manakala Harish bersiap sedia dengan pistol di tangannya.

“Awak... saya sejuk...” tutur Aulia.

“Saya pun,” jawab Harish acuh tak acuh. Dia mengeluarkan pistol dari poket seluarnya.

Suasana sekeliling sangat menyeramkan. Perasaan takut makin bertambah dengan suhu yang tiba-tiba menjunam, seolah-olah alam sedang memberi peringatan kepada Harish dan Aulia bahawa sesuatu yang buruk sedang berlaku.

Tiba-tiba lengan sasa Harish dicapai oleh Aulia sekaligus membuatkan hayunan kaki Harish mati. Wajah jelita Aulia ditatap oleh Harish. Dia tidak pernah sehampir itu dengan Aulia sejak beberapa jam yang lalu, itu pun secara tidak sengaja. Tetapi kali ini...

“Awak... rumah dekat dengan jeti tu macam berhantu....” tutur Aulia sambil menundingkan jarinya ke arah rumah yang sudah tidak jauh daripadamereka. Berhampiran dengan rumah kayu itu, terdapat sebuah jeti kecil yang di mana terdapat sebuah bot yang ditambat kemas. Di dalam bot tersebut terdapat ratusan bilah lembing yang mungkin digunakan oleh penduduk asli hutan itu untuk menangkap ikan. Tasik gergasi sedang terbentang luas di hadapan rumah kayu itu.

“Mana ada hantu... mengarut ajelah awak ni. Er... boleh tak tolong lepaskan lengan saya?” pinta Harish.

Serentak itu, Aulia melepaskan rangkulan erat di lengan Harish lalu menjauhi Hairsh. Harish terus tidak mempedulikannya lalu menerukan perjalanan ke arah rumah yang dimaksudkan oleh Emma dalam panggilan telefon.

***

Pintu rumah kayu itu berkeriut aneh ketika Harish membukanya dengan sangat perlahan. Aulia tidak mengikutinya memasuki rumah itu sebaliknya bersembunyi di semak yang berdekatan.

Keadaan ruang tamu rumah itu sangat berselerak membuatkan perasaan curiga mula timbul dalam lubuk hati Harish. Kelihatan tiga buah bilik di dalamnya dan masing-masing elihatan tertutup rapat.

Tiba-tiba sahaja salah satu daripada pintu bilik itu tercabut. Seorang lelaki terpelanting keluar lalu mengenai dinding kayu. Rumah itu bergegar ketika tubuh lelaki itu menghentam dinding.

Spontan picu pistol Harish diacukan ke arah lelaki yang sedang kesakitan itu.

“Harish... jangan tembak aku...” ujar Yusoff sambil memegang dadanya. Darah merah meleleh keluar dari mulutnya. Baju-T putihnya berbekas kesan seperti kesan tapak kasut. Harish pantas menyimpan pistolnya lalu menghampiri Yusoff yang sedang terbaring kesakitan. Dia kenal lelaki itu, pernah bersama-sama dalam Akademi Risikan Negara dahulu.

“Apa kau buat kat sini?” tanya Harish sambil meriba Yusoff.

“Jangan simpan pistol kau. Musuh ada...” Belum sempat Harish menghabiskan kata-katanya, bahunya disentuh oleh seseorang. Pantas Harish menoleh, cuba mengacukan pistolnya namun tangannya sudah disepak. Pistol itu tercampak jauh.

Seorang lelaki tinggi lampai, berbadan sasa, berkepala botak dan berjanggut lebat dan panjang sehingga paras dada sedang merenung Harish yang terduduk tidak percaya. Lelaki botak itu tingginya 2 meter setengah.

“Enrique... ketua kampung ni dan orang suruhan Asstrold Pharmacy...” gumam Yusoff sambil cuba bangkit, membantu Harish.

Harish seakan-akan tidak percaya mendengarkan kata-kata Yusoff itu. Jadi, siapakah orang penting yang dikatakan oleh Emma? Yusoff atau Enrique?

Harish mengeluarkan sebuah kapak yang diikat di belakang tubuhnya. Dia cuba menyerang Enrique namun lelaki botak itu berjaya menangkap pergelengan tangan Harish sebelum sempat Harish menghayunkan kapak itu. Pergelangan tangan Harish dipulas sekuat hati oleh Enrique.

Menjerit Harish menahan kesakitan. Namun, belum sempat Harish melepaskan diri, tangan kiri Enrique pula mencapai leher Harish. Hanya berbekalkan satu tangan, Harish terangkat di udara, meronta-ronta untuk melepaskan diri.

“Hadiah untuk kau...” tutur Enrique sambil mengeluarkan jarum suntikan dari dalam poket jaket labuh hingga ke kaki Enrique. “Virus T untuk penganggu misi Asstrold Pharmacy.”

“Jangan... buat macam ni...” tutur Harish ketika jarum suntikan itu hinggap di lehernya.

“Tidak!” teriak Yusoff sambil mengambil pistol milik Harish lalu melepaskan sedas tembakan yang kemudiannya tepat mengenai dada Enrique. Aneh, walaupun darah merah merembes keluar namun Enrique tetap gagah berdiri. Harish pula sudah tidak bermaya selepas disuntik virus T. Tubuhnya longlai jatuh ke tanah.

Kemudian, Yusoff diheret oleh Enrique. Harish hanya mampu memerhatikan dengan mata yang sedang kuyu sambil terbaring lemah di lantai. Enrique meninggalkan rumah itu. Kedengaran suara Aulia menjerit meminta tolong dari luar rumah, Harish mahu bangkit membantu dan... dirinya akhirnya tewas... lalu matanya terpejam. Pengsan kerana penangan jarum suntikan Enrique.

Aulia... maafkan aku..

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.