“ Dzar?
Dzar Thalha?”
Jantungnya
berdegup kencang apabila mendengar namanya dilaung seseorang namun itu masih
tidak menghentikan langkahnya. Dzar terus melangkah dan berpura-pura tidak
mendengar suara itu. Namun suara itu kedengaran sekali lagi dan kali ini
laungan itu lebih kuat. Dia tahu dia tidak boleh terus berpura-pura untuk tidak
mengendahkannya.
Langkahnya
mati serta-merta. Buat seketika dia hanya berdiri di situ sebelum dengan
perlahan dia berpaling. Wajah Adni Zuhayra yang lebih dikenali dengan nama
Dinie itu dipandang tanpa riak. Dia melihat Adni menekup mulutnya. Mungkin
terkejut melihatnya di situ. Mungkin juga wanita itu tidak menyangka dia ke
sini mencari mereka. Atau mungkin juga terperanjat melihat wajahnya yang
sedemikian rupa. Dzar langsung tidak menyalahkan Adni. Jika dia melihat wajahnya
ketika ini, pasti dia juga menjerit ketakutan. Tidak perlu cermin, dia tahu
bagaimana rupanya yang sudah berapa lama tidak bercukur itu.
“ Ya
ALLAH! Dzar. Macam mana boleh ada kat sini?” Adni seakan mahu melonjak
kegembiraan apabila telahannya benar belaka. Mujurlah Shera menyedari kehadiran
yang ditunggu-tunggu ini. Jika tidak, entah berapa lama lagi mereka terpaksa
menanti untuk bersua muka. Adni tidak mampu menghentikan senyuman. Dia
benar-benar bahagia. Dan kalaulah Dzar ini muhrimnya, mahu sahaja dia memeluk
erat lelaki ini.
“ Ya
ALLAH...tak percayanya Dzar ada depan mata akak sekarang ni. Actually akak dengan abang Izz baru
sebut-sebut aje fasal Dzar. Tup tup dah ada depan mata. Ya ALLAH..akak rasa
macam tengah mimpi je sekarang ni. Abang Izz dah tahu tak ni? Kalau dia tahu
mesti dia happy...” Adni terus
meluahkan keterujaannya tanpa menyedari perubahan pada wajah di hadapannya.
“ Izz
ada?” Soal Dzar perlahan memotong percakapan Adni. Jika dia tidak mencelah,
mungkin dia terpaksa mendengar Adni meluahkan kegembiraannya untuk beberapa
minit lagi. Dia tidak kisah mendengar sebenarnya. Sekurang-kurangnya dia tahu
ada juga insan yang gembira dan teruja dengan kedatangannya.
Adni
mengangguk. Dan seketika kemudian dia menggeleng.
“ Dia
ada tapi buat masa ni dia tak ada. Keluar ada urusan. Malam ni dia baliklah,”
terang Adni sambil menepuk dahinya sendiri. Dia sampai jadi tersasul kerana
keterujaannya ini.
“
Abang Izz mesti excitedkalau dia
tahu ni. Akak telefon dia ya?” Sambungnya lagi sambil mengeluarkan telefon dari
poket seluarnya.
“
Jangan..jangan beritahu dia lagi.” Dzar cepat-cepat menahan. Dia sendiri tidak
pasti sama ada dia akan terus balik ataupun menunggu di sini.
“
Betul juga ya...lebih macam ni. Mesti dia terkejut giler.” Adni mengangguk membenarkan kata-katanya sendiri. Dia
sendiri sudah tidak sabar menunggu detik kepulangan itu.
“
Kalau macam tu, malam nanti saya datang semula.” Dzar membuat keputusan. Dia
berpusing mahu melangkah kembali namun suara keras Adni tiba-tiba mematikan
langkahnya.
“ Dzar
Thalha, don’t you dare walk away from me...”
“ Ok, rehat kat sini dulu,” ujar
Adni sambil membuka pintu bilik chalet miliknya. Chalet yang sememangnya
terletak berhadapan dengan pantai. Dia tahu betapa sukanya Dzar dengan air
sebab itulah dia sengaja membawa lelaki itu berehat di sini. Itu pun
berdasarkan apa yang diceritakan oleh Izz kepadanya satu masa dahulu.
Izz pula hanya akan pulang malam ini dan sengaja dia
tidak mahu memberitahu suaminya itu. Dia mahu memberikan kejutan yang cukup
manis ini. Dan dia yakin, Izz akan gembira seperti apa yang dirasakan ketika
ini.
“ Dinner tiga jam lagi, tapi nanti akak
suruh staf akak hantar makanan ringan buat isi perut dulu,” tambahnya lagi
apabila melihat Dzar hanya diam tanpa suara. Cuma matanya sahaja merenung air
laut yang kelihatan sungguh jernih. Entah apa yang difikirkan Dzar ketika itu,
Adni tidak dapat menelahnya.
“ Dzar?” Dia memanggil perlahan.
Tidak tahu bagaimana hendak ‘bercakap’ dengan lelaki ini.
“ Saya tak nak menyusahkan sesiapa.”
Perlahan dan tenang sahaja kata-kata itu keluar daripada mulut Dzar. Beg hijau
lumut itu juga masih disandang di atas bahu seolah-olah jika diberi kesempatan
dia akan melarikan diri dari situ. Adni mengeluh perlahan. Pandangannya melirik
kepada Shera yang setia menanti bersamanya di situ. Gadis itu hanya mengangkat
bahu tanda dia juga tidak memahami lelaki itu. Adni menggeleng kepala dan dia
berjalan menghampiri Dzar. Mereka berdiri saling berhadapan dan dia memaksa
Dzar memandang ke arahnya.
“ Dzar!” Dia memanggil nama itu
tegas. Lelaki yang mempunyai ketinggian hampir sama dengan suaminya itu
memandangnya tenang.
“ Kalau akak dengar ayat-ayat macam tu lagi...Dzar kena
dengan akak. Dzar memang lebih besar dari akak, tapi jangan pandang akak tak
ada mata ya? Sekarang, masuk dalam dan berehat.” Dengan selamba Adni memberi
arahan. Dia tahu sebenarnya dia lebih muda daripada lelaki ini namun memikirkan
Izz sendiri menganggapnya seperti adik, jadi dia juga akan menganggap Dzar seperti
adiknya sendiri juga. Dan dia sendiri lebih selesa membahasakan diri sebagai
kakak.
“ Dzar, kalau akak terpaksa ikat Dzar sekalipun, akak
sanggup buat tau...” Tambahnya berserta
ugutan dengan wajah yang cukup serius. Dan dalam sekelip mata dia melihat bibir
Dzar tersungging sedikit. Entah di mana lucunya dia sendiri tidak tahu. Adni
seakan terpana. Adakah Dzar sedang tersenyum ataupun sedang berusaha kerana
untuk menahan senyumnya? Adni sendiri tidak pasti.
Tanpa suara, Dzar hanya mengangguk perlahan. Mungkin akur
dengan kata-katanya. Adni melepaskan nafas lega. Dia sendiri tidak yakin
bagaimana dia mahu menahan sekiranya Dzar berkeras mahu meninggalkan tempat
itu.
“ Siapa sebenarnya dia tu kak?”
Shera menyoal semasa mereka dalam perjalanan kembali ke pejabat.
“ Kawan lama abang Izz,” jawabnya
pendek tanpa menghentikan langkah.
“ Oh patutlah.” Shera mengangguk
perlahan. Kali ini langkah Adni terhenti mendengar kata-kata itu.
“ Apa yang patutlah?” Soalnya sambil menoleh ke belakang
dan melihat Dzar sudah mula terjun ke laut. Adni menahan senyum. Memang tak
menyempat-nyempat Dzar ini.
“ Tak ada apa kak. Cuma tengok gaya
dia sebijik macam gaya abang Izz aje kan? Akak tak perasan ke?” Adni terdiam
memikirkan kata-kata itu. Dalam beberapa minit bertemu, Shera sudah boleh
membuat penilaiannya sendiri. Adakah dia bersetuju dengan penilaian yang
diberikan? Walaupun enggan mengakuinya namun dia tahu, persamaan itu ada.
Dia juga berasakan benda yang sama. Cuma sengaja dia
tidak mahu mengakuinya. Sememangnya melihat Dzar Thalha, cukup membuatkan dia
teringatkan kepada suami yang pernah bergelar Zack dahulu. Zack yang cukup
berbahaya. Dia mengharapkan apa sahaja yang menganggu fikiran dan ketenangan
lelaki itu mampu diatasi Dzar dengan baik. Cukuplah selama ini Dzar menderita.
Sebagaimana Izz bertemu bahagianya, dia juga berharap dan berdoa agar Dzar juga
mendapat bahagianya juga. Insyaallah. Dia akan sentiasa mendoakannya.
Teratak
Alamanda, KL
Belum
sempat Daniel memberi salam, pintu sudah dibuka dari dalam. Terkedu dia melihat
wajah cemas Mak Jah menyambut kedatangannya.
“
Kenapa lambat sangat. Tan Sri dah lama menunggu.” Tanpa memberi peluang dia
menghela nafas, tubuhnya langsung ditarik masuk ke dalam. Hampir tersungkur dia
dibuat mak Jah. Hendak dimarahi tidak sampai hati pula. Lebih-lebih lagi mak
Jah itu sebaya emaknya di kampung. Memarahi orang tua itu seperti menderhaka
kepada orang tua sendiri rasanya.
Justeru, dia hanya diam sahaja mengikut rentak
Mak Jah. Berhadapan dengan Tan Sri itu, cukup mudah mencemaskan sesiapa sahaja.
Namun, dia tahu dia tidak melakukan apa-apa kesalahan. Dia melihat jam besar
yang tergantung di dinding. Baru jam 8.00 malam. Tepat seperti yang dikatakan
kepada Adah petang tadi bahawa dia akan datang selepas Maghrib. Dia jadi keliru
sendiri. Adakah definisi maghrib Tan Sri itu merujuk kepada waktu maghrib di
Sabah ataupun Sarawak?
“
Tan Sri ada dalam pejabat dia. Pergilah masuk...nanti Mak Jah hantar minuman.”
Gesa Mak Jah yang bertambah bimbang apabila melihat Daniel selamba sahaja
gayanya. Sedangkan dia seperti mahu meletup menunggu kedatangan Daniel yang
seperti menanti buah tidak mahu gugur. Tidak berani dia mendekati majikannya
selagi bayang Daniel tidak nampak muka.
“
Minum aje Mak Jah? Makan-makan takde ke?” Daniel melawak. Sengaja mahu mengusik
Mak Jah kerana dia tahu dengan sikap selambanya itu Mak Jah akan bertambah
panik.
Mak Jah mula bercekak pinggang. Dia tahu Daniel memang sengaja mahu
mengusiknya. Jika keadaan tidak setegang ini, boleh sahaja dia melawan usikan
namun kini segala-galanya tegang dan mencemaskan.
“ Kalau
kamu nak makan penampar Tan Sri, kamu lepak lama-lama lagi kat luar ni.”
“
Iyalah...Iyalah..saya pergi ni.”
Dia
menuju ke arah timur rumah di mana letaknya pejabat dan perpustakaan milik Tan
Sri Hassan Basri. Dalam hati, dia sudah bersiap sedia merangka jawapan yang
perlu untuk menenangkan perasaan lelaki tua yang berpengaruh itu. Pintu yang
sedikit terbuka itu dipandang seketika untuk menarik nafas. Pertahanan mental
dan fizikal perlu ada untuk berhadapan dengan lelaki itu. Namun belum sempat
dia berbuat demikian, suara Tan Sri Hassan sudah kedengaran.
“
Masuk Daniel. Kamu tercegat kat luar tu kenapa?”
Daniel
tersenyum sambil menggeleng perlahan. Orang dalam rumah ni mempunyai gerak hati
yang kuat belaka. Tadi dia dikejutkan dengan Mak Jah dan kini dengan Tan Sri
Hassan pula. Tanpa membuang masa, dia terus masuk ke dalam dan menutup rapat
pintu bilik kerja itu. Lelaki yang sedang menantinya itu sedang duduk di atas
sofa dengan keadaan yang boleh dia katakan sedikit angkuh. Dengan sebelah kaki
diletakkan di atas kaki yang lain.
Dengan
tangannya melingkar pada sofa yang sudah tentunya berharga puluhan ribu, memang
terserlah gaya korporatnya itu. Daniel senyum di dalam hati. Jika niat lelaki
itu sengaja mahu menakut-nakutkan dia nampaknya lelaki itu tidak berjaya.
Sebagai seorang peguam, dia telah berhadapan dengan pelbagai karekter dan
perangai. Dan lelaki bergelar Tan Sri ini bukanlah apa-apa.
“
Apa yang dah jadi ni? Macam mana dia boleh lepas?” Tanpa memberi peluang kepada
dia untuk duduk, bertubi-tubi peluru pertanyaan dilontarkan ke arahnya.
“
Tenang Tan Sri. Jangan marah-marah macam ni. Tan Sri tak ingat minggu lepas?
Takkan sebab budak tu, Tan Sri nak perjudikan kesihatan Tan Sri sendiri?” Dia
melihat dada Tan Sri Hassan turun naik dek kerana kemarahannya.
“
Daniel...kau jangan nak suruh aku bertenang. Aku akan bertenang bila masa aku
nak bertenang. Macam mana dia boleh keluar? Apa yang dah berlaku?”
“
Rezeki dia, Tan Sri. Kebetulan Yang dipertuan Agong perkenankan untuk memberi
keampunan kepada dia. Lagipun sejak dari dulu lagi kita tahu kes dia sebenarnya
tak kuat untuk kita terus tahan dia.” Jawab Daniel tenang. Sememangnya rezeki
berpihak kepada pihak Dzar apabila rayuan dia diterima dan mendapat pengampuan
daripada DYMM YANG DIPERTUAN AGONG sempena menyambut hari kelahiran baginda.
Muka
Tan Sri Hassan semakin merah. Seakan mahu tersembul biji matanya mendengar kata-kata
itu. Adakah Daniel sudah mula berubah fikiran? Adakah lelaki yang diharapkannya
ini tidak akan melaksanakan apa lagi arahan dan permintaannya lagi? Huh! Daniel
ini sudah tidak boleh diharap. Dilepaskan sedikit ikatan, sudah mula menunjuk
perangai. Sudah mula mahu terbang bebas. Dia tidak akan membenarkan perkara ini
berlaku. Walau apa pun yang terjadi, Daniel tidak akan dibiarkan bebas seperti
helang diangkasa. Silap hari bulan dia pula yang akan menjadi mangsa.
“
Kau buat aku kecewa, Daniel. Kalau Megat Ariffin tahu perkara ni, agaknya apa
yang akan dia cakap bila cucu kesayangan dia tidak berkemampuan seperti ini?”
sindirnya lalu mengeluarkan senjata yang paling ampuh dengan menyebut tentang
Megat Ariffin, datuk kepada Daniel. Riak wajah Daniel tetap tidak berubah.
Sebagai peguam, dia memang handal dalam menyembunyikan sebarang emosi dari
diketahui oleh pihak lawan. Dia tidak akan sesekali menunjukkan kelemahan yang
akan membuatkan pihak lawan menggunakan kembali situasi itu untuk faedah diri
mereka. Dan dia tahu, lelaki ini tahu yang Megat Ariffin adalah kryptonite dia.
“
Aku tak peduli. Yang aku tahu aku tak nak dia dibebaskan selama-lamanya. Orang
macam dia memang hanya layak merempat dalam penjara tu sampai mampus.”
Daniel
diam seketika menyaksikan kemarahan yang semakin menggunung itu. Dan dia berada
kesal dengan apa yang berlaku. Apa yang telah dilakukan oleh lelaki bernama
Dzar Thalha itu sehingga begini reaksinya? Jika lelaki itu bersalah sekalipun,
dia yakin lelaki itu sudah selesai menerima hukumannya. Selama tujuh
tahun....terus-terang dia sendiri tidak berasa selesa sewaktu mengambil alih
kes ini daripada arwah ayahnya yang meninggal dunia dua tahun lepas. Namun atas
dasar amanah dan tanggungjawab, dia terpaksa akur.
“
Megat Ariffin tahu yang saya berusaha kuat, Tan Sri. Dia tahu saya tak akan
kecewakan dia. Tan Sri jangan risau, saya akan siasat balik perkara ni.”
Janjinya bersungguh-sungguh. Hanya itu sahaja yang boleh diberi untuk
menggelakkan lelaki ini terus-menerus menekan dan mengugutnya untuk kepentingan
peribadinya.
“
Mhmmm...” Tan Sri Hassan mendengus kuat. Walaupun masih tidak berpuas hati
dengan reaksi yang ditunjukkan oleh anak muda itu, buat masa ini dia hanya akan
membiarkan buat sementara waktu.
“
Aku nak kau perhatikan dia, Daniel. Cari dia pergi ke mana. Hingga ke lubang
cacing pun aku nak kau perhatikan dia. Bila dia buat salah dia...kau cekup
dia...kau faham apa yang aku cakap ni?”
Dalam
keterpaksaan, Daniel terpaksa mengangguk. Dia tidak mampu menolak. Dia tidak
boleh menolak memandangkan reputasi dan pengaruh Tan Sri ini di dalam hidupnya.
Dia cuma berharap Dzar Thalha itu mampu mempertahankan dirinya sendiri.