Teratak Alamanda, KL
Tan Sri Hassan menoleh ke arah
cucunya. Izhar sedang tersenyum-senyum melihat sesuatu di dalam telefonnya.
Hati berasa sedikit jengkel melihat Izhar sebegitu. Mungkin ketika ini hati
Izhar riang memikirkan majlis yang dinantikan selama ini berlangsung juga
akhirnya. Secara rasmi, dia sudah bergelar tunang kepada Tengku Azra Qairina.
Gadis yang diidamkan bertahun dahulu. Bukan Izhar sahaja yang menginginkan
hubungan ini dimeterai. Munirah juga menyimpan impian yang sama.
Dan dia... semenjak mengetahui betapa pentingnya peranan
Tengku Hanafi dalam syarikat hartanahnya, menyulam azam dan tekad untuk terus
menggunakan lelaki itu bagi kepentingannya. Dia berhasrat ingin memujuk Tengku
Hanafi melabur dalam syarikat bagi menyelamatkan organisasi yang semakin hari
semakin meningkat kosnya.
Dia telah melakukan kesilapan dalam pelaburan, lantaran
kejadian itu hanya Tengku Hanafi sahajalah harapan memandangkan pihak bank
tidak sanggup memberikan pinjaman lagi. Dia perlukan lelaki itu untuk menyuntik
modal ke dalam syarikatnya. Jika itu tidak berjaya, kemungkinan dia terpaksa
menghadapi bangkrupsi. Hisham masih tidak tahu. Dia masih menyembunyikan kenyataan
itu daripada pengetahuan ahli keluarganya.
Namun lama mana dia mampu merahsiakan semua ini.
Lama-kelamaan perkara ini akan terbongkar juga. Justeru, sebelum kemusnahan itu
berlaku, dia harus mencuba menyelamatkan hasil titik peluh yang dibina semenjak
40 tahun yang lalu. Dia merenung wajah itu lagi. Dia tidak boleh melepaskan
peluang yang ada. Hasratnya bakal tercapai sekiranya Izhar jadi menantu
keluarga korporat itu. Dan dia... tidak akan membiarkan sesiapa atau apa sahaja
yang boleh merosakkan impiannya itu. Dia tidak akan bertoleransi akan hal ini.
Izhar mungkin tidak sedar. Tetamu yang lain juga tidak
perasan apa yang sebenarnya berlaku di kediaman Tengku Hanafi itu tadi. Melihat
wajah muram Ara, dia sedar bahawa Izhar hanya menepuk sebelah tangan. Dia perlu
terus memujuk Munirah dan Zahrah supaya memainkan peranan mereka bagi
memastikan perkahwinan ini berjaya dilangsungkan.
“Is everything ok
with Ara?” Dia bertanya pada Izhar. Cucu kesayangan dan inilah cucu
harapannya. Izhar mendongak memandangnya. Hatinya terdetik kerisauan mendengar
soalan itu. Adakah datuknya tahu sesuatu yang dia sendiri tidak tahu?
“Ara ok aje tok ayah. Kenapa tok ayah tanya?” Izhar
merapati datuknya. Telefon yang begitu asyik dibelek, diletakkan ke sisi.
Sepenuh perhatian ditumpukan kepada lelaki yang menjadi kesayangannya. Tan Sri
Hassan tersenyum sinis. Paip cerut di bawa ke bibir.
“Hanya orang bodoh dan buta saja yang tak tahu Ara rela
ditunangkan dengan kamu. Tadi... macam hendak tak hendak saya masa Munirah pakaikan
cincin. Kamu tak nampak? Atau kamu terlalu buta dan asyik sampai tak peduli
dengan apa yang berlaku?” bentaknya dengan suara tertahan. Dengan cucu yang
seorang ini memang dia tidak sanggup untuk tinggikan suara.
Izhar terpempan mendengar jerkahan itu. Bukan dia tidak
tahu. Bukan dia tidak sedar. Dia maklum semua itu. Ara terpaksa bersetuju dalam
paksa. Ara terpaksa bersetuju melangsungkan pertunangan ini. Siapa yang tidak
terasa apabila hanya dia yang bertepuk sebelah tangan. Namun dia yakin, lama-kelamaan
Ara akan mengalah juga. Mungkin ketika ini Ara rasa terpaksa namun dia akan
melakukan sehabis daya membuatkan Ara jatuh cinta kepadanya. Dia akan pastikan
perhubungan ini akan mendatangkan bahagia untuk mereka berdua.
“Ara memang nampak sikit keberatan. Tapi saya tak akan
putus asa, tok ayah. Mungkin Ara masih belum bersedia. Dia mungkin menolak
sekarang, tapi saya akan pastikan dia akan terima saya sepenuhnya nanti.” Dia
cuba meyakini datuknya. Cuba meyakini hatinya juga. Dia masih berpegang pada frasa
‘tak kenal maka tak cinta’. Sepanjang tempoh pertunangan mereka ini, dia akan
pastikan Ara mengenali siapa dia yang sebenarnya dan dia akan membuatkan gadis
itu jatuh cinta akhirnya.
“Tok ayah nak kamu bertindak pantas, Izhar. Jangan
lepaskan Ara walau apa cara sekalipun.” Izhar hanya mampu mengangguk. Dia juga
tidak berniat melepaskan Ara kepada sesiapa. Ara hanya miliknya seorang. Tiada
lelaki lain yang akan memiliki Ara selain daripada dia. Itu tekadnya.
Bella Rosa II
“Dzar,
kejap.” Izz melaung memanggil Dzar yang sedang berehat mengelap peluhnya. Dzar
mengangkat tangan seketika sebelum dia berlari anak mendapatkan teman baiknya
itu.
“Apa
hal?” soalnya terus kepada tujuan asal. Gelas dan jug berisi air sirap yang
berada di atas meja dicapai dan dituang. Laju kerongkongnya meneguk air sejuk
itu. Nyaman dan melegakan.
“Duduk
dulu. Ada benda aku nak cakap dengan kau.” Izz tiba-tiba mempelawa. Adni yang
turut sama di ruangan itu membetulkan duduknya.
Dzar
merenung wajah di hadapannya. Segera gelas yang sudah kosong itu kembali
diletakkan ke atas meja. Hatinya tertanya-tanya apa yang ingin dicakapkan
kepadanya dengan wajah yang serius begitu. Dia masih tegak berdiri. Pelawaan
Izz untuknya duduk langsung tidak dipedulikan. Walaupun wajah Izz kelihatan
tenang, namun dia tahu perkara yang bakal diketahuinya itu mungkin akan meragut
ketenangan hatinya. Apatahlagi apabila Adni turut mengambil tempat di sisi
suaminya.
“Just say it, bro.”
“Aku
tahu kau pernah cakap yang kau tak bersedia lagi... dan aku hormat pendirian
kau walaupun aku rasa kau buat keputusan yang salah...” Kata-katanya terhenti
seketika untuk memberi Dzar ruang memahami apa ayat yang bakal dikatakan
seterusnya.
“Kau
cakap apa ni?” Serius sahaja bunyi nadanya bertanya.
“She called me, Dzar. How can I not tell
her?” Izz cuba membela diri walaupun dia tahu Dzar tidak akan
mempercayainya.
“Sekali
lagi aku tanya... kau cakap apa ni?” Tubuh Dzar mulai kaku. Dia tahu apa yang
sedang berlaku. Dia tahu siapa yang dimaksudkan oleh Izz itu cuma dia mahu
mendengarnya daripada mulut Izz sendiri.
“Dian
ada di sini Dzar!”
Ara
membetulkan tudungnya yang herot berot ditiup angin. Mujurlah bot yang
dinaikinya ini sudah berhenti. Kalau tidak, alamatnya ada orang yang kena
terajang ke dalam air. Pemandu bot yang berambut panjang separas bahu ini tidak
ada perasaankah? Entah berapa kali agaknya penumpang yang lain menjerit
ketakutan apabila dia membawa bot dalam keadaan laju dan membahayakan.
Entah
berapa kali juga jantungnya terasa mahu terkeluar. Kus semangat betul menaiki
bot ke sini. Mahu saja dia menyuruh mamat berambut panjang itu berpatah balik
semula ke Jetty Besut. Namun elok sahaja dia mahu membuka mulut, bot berkenaan
berhenti di tengah-tengah perjalanan. Di tengah-tengah laut. Apa hal sebenarnya
ni?
“Kena
turun kat sini ya, bot tak masuk ke dalam. Kena berhenti kat sini. Nanti 'taxi'
datang ambil,” beritahu pemandu bot tersebut kepada mereka yang terpinga-pinga
apabila melihat di mana bot berkenaan berhenti. Ara sudah buntang biji matanya.
"Teksi?"
Dia berbisik sendirian. Kenapa teksi yang perlu ambil mereka? Dia memang sedang
'blur' ketika ini.
"'Taxi'
tu istilah bot kecil kat sini." Tiba-tiba jawapan itu kedengaran. Menjawab
pertanyaan kebanyakan daripada mereka yang turut sama berada di dalam bot. Ara
memandang kagum. Pandai pula pemandu bot ini membaca fikiran mereka semua.
Namun dalam sedang menunggu itu hujan turun dengan lebat menggila. Bot mereka
mula terumbang-ambing. Ara semakin kalut. Dia memegang bot sekuat hati. Ini
yang dia tidak suka apabila menaiki bot.
Keadaan
terhoyong-hayang dan terumbang- ambing itu akan membuatkan kepalanya bertambah
pening. Dia tidak mahu jatuh ke dalam air. Seram benar melihat air yang gemuk-gemuk
dan tebal itu. Dalam dok terkumat-kamit dia membaca doa, bot kecil yang
dipanggil 'taxi' itu tiba. Sekali lagi matanya buntang. Kenapa bot yang datang
itu tidak mempunyai bumbung. Bukankah hujan lebat ketika ini? Tak ada
perasaankah mereka ini?
Jika
diikutkan hati, mahu sahaja dia menunggu sehingga hujan berhenti. Namun
memikirkan dia bukanlah siapa-siapa jadi diturutkan juga walaupun jiwa penuh
dengan rasa sakit hati. Seingatnya ini satu-satunya peristiwa malang yang
terpaksa dihadapi. Namun tidak sampai beberapa minit kemudian sekali lagi bot
kecil itu berhenti.
"Dah
sampai. Turun sini. Sorang RM5." Huh! Ara bertambah kelam. Kena turun
sekarang? Basahlah dia kalau kena turun ke dalam air. Macam mana nak bawak beg
yang berat ini pula? Kenapa tidak berhenti sahaja di tepi pantai?
Sekurang-kurangnya hujung seluar yang basah tidak mengapa. Ini mahu sampai ke
paha basahnya.
Dia
merungut di dalam hati. Apalah malangnya belum pun sampai ke pulau ini
bermacam-macam dugaan yang terpaksa dihadapi. Lepas ini apa pulak yang hendak
jadi? Ara cuba memujuk pemandu bot itu untuk berhenti di pantai. Malah
penumpang yang lain juga merungut kerana memikirkan mereka akan diturunkan di
jeti juga.
Tetapi
mamat berambut panjang itu hanya buat muka seposen sahaja. Segala pujuk rayu
mereka langsung tidak dipedulikannya. Mahu tidak mahu, Ara terpaksa turun.
Sudahlah tubuhnya lecun dek hujan. Ini pula bot berhenti atas air sahaja. Mujur
dia membawa bagpack. Jika dibawanya
beg beroda, mahu sahaja di menangis di dalam air begini. Sempat juga dia
menghadiahkan satu jelingan yang cukup tajam buat mamat itu. Lelaki itu hanya
ketawa sahaja.
Tiba
di pantai, dia sudah separa mengah. Mana hendak meranduk air. Mana hendak
diselamatkan begnya ini. Ara mula berfikir adakah dia melalukan kesilapan
datang ke mari? Adakah dia balasannya kerana pergi tanpa keizinan keluarga?
Tidak!
Dia tidak rasa begitu. Dia datang dengan semangat yang cukup tinggi. Dengan
harapan percutian ini mampu membantunya membuat keputusan yang terbaik untuk
masa depannya. Dan mungkin juga perpisahan sementara ini mampu memberinya masa
untuk menilai sama ada Izhar adalah jodoh yang cukup sempurna buatnya.
Mengenangkan
Izhar, dia mengeluh panjang. Dia tidak mahu memikirkan perihal lelaki itu
langsung ketika ini. Izhar itu sama sahaja perangainya seperti Mak Da. Memaksa
dalam diam. Huh! Sudah besar panjang pun mahu orang tua carikan jodoh juga. Tak
malu. Cemuhnya di dalam hati.
Arghh...
sudahlah... dia sudah berjanji tidak mahu memikirkan lagi tentang perkara itu.
Bila sudah tiba saatnya dia hanya hadapi juga tetapi bukan sekarang. Dia hanya
mahu bergembira. Dengan semangat yang berkobar-kobar, dia bergerak menuju Bella
Rosa II.
Pada
masa yang sama
“Apa?”
Dzar menyoal dengan perlahan. Adni yang sedang berpura-pura membelek fail di
tangan semakin menundukkan wajah. Suara Dzar sudah berubah nada. Menjadi
semakin dalam dan perlahan. Dia tahu Dzar sedang menahan rasa marahnya. Mungkin
tidak menyangka Izz akan melakukan tindakan seperti ini.
Di
balik fail dia mengambil kesempatan menjeling Izz yang masih tenang dan
kelihatan begitu selamba. Seolah-olah dia langsung tidak melakukan apa-apa
kesalahan. Adni pula yang semakin cemas. Jangan-jangan lebam pula biji mata Izz
dek penangan Dzar nanti. Dia cuba bersuara mahu meredakan keadaan namun Izz
terlebih dahulu mendahuluinya.
“Jangan
buat kesilapan macam aku, Dzar,” nasihat Izz tenang.
“Mungkin
kau tak nampak sekarang, tapi percayalah. Aku dah lalui apa yang kau lalui
sekarang ni,” sambungnya lagi.
Sementara
Dzar masih kelihatan marah. Rahangnya berdetap-detap perlahan. Sementara
penumbuk di tangan kirinya dikepal seolah-olah sedang membayangkan Izz sebagai
‘punching bag’nya.
“Aku
tak sedia lagi Izz. Kenapa kau tak nak faham? Kenapa kau nak masuk campur?”
Dzar membuang pandang. Tidak sanggup dia memandang ke wajah Izz ketika ini. Dia
takut dia akan melakukan sesuatu yang akan dikesalinya kemudian nanti.
“Suruh
dia balik!” putusnya sambil berlalu dari situ. Adni terkejut mendengar
keputusannya itu. Serentak pandangannya terarah pada suami di sisi. Sampai
begini sekalikah keputusan Dzar? Bagaimana hendak dinyatakan kepada Diana
nanti? Dan apa pula tanggapan dan fikiran Diana jika dia tahu apa yang sedang
berlaku ketika ini? Adni memandang suaminya meminta sokongan. Tiba-tiba dia
rasa menyesal kerana tidak mendengar nasihat Izz dahulu. Ya... baru kini dia
tahu. Dzar masih memerlukan masa untuk menerima keadaan ini semua.
Izz menggeleng perlahan sambil mengusap bahu
isterinya. Tidak guna mahu menyalahkan Adni dalam perkara ini. Dan tidak
perlulah dia terus meletakkan garam ke atas luka yang dirasai ketika ini.
“Biarkan
dia. Nanti-nanti eloklah dia tu,” pujuknya lagi.
“Abang
rasa Dzar akan benci kita sebab masuk campur?” Adni bimbang. Dia benar-benar
bimbang. Macam mana jika selepas ini Dzar tidak mahu bekerja dengan mereka
lagi? Bagaimana jika Dzar mengambil keputusan untuk pergi? Macam mana jika
hubungan persahabatan suaminya dengan Dzar terputus kerana dia?
Adni
menekup wajah. Tidak sanggup membayangkan jika itu yang berlaku. Mungkin
selepas ini, mereka perlu membiarkan Dzar menyelesaikan masalahnya sendiri.
Tidak perlu masuk campur dan cukuplah jika Dzar tahu bahawa mereka sentiasa
akan menyokongnya walau apa sahaja yang berlaku. Izz menepuk perlahan bahu Adni
untuk memberi semangat.
“Dia
tak akan benci kita, Dinie. Jangan risau. Dzar tak apa-apa. Buat masa ni dia
keliru. Dia sendiri tak tahu apa yang dia mahu sebenarnya. Mungkin benar cakap
dia. Kita perlu beri dia masa.”
“Apa
yang kita nak cakap dengan Diana? Jauh-jauh dia datang, tapi Dzar sikit pun tak
berniat nak jumpa dia.”
“Tak
apa. Nanti abang cakap dengan dia.”