Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Si Gadis Pembunuh
Maryani Zailani
11/11/2022 09:44:42
26,876
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 2

Mawar mendengar bunyi kaca berderai saat meletakkan kopi O ke atas meja. Terjenguk-jenguk kepalanya ke arah ruangan hadapan sebelum mengambil keputusan untuk melihat apa yang sedang berlaku. Mana tahu, kucing keluarga mereka terjatuhkan pasu kaca di ruang tamu semasa mengejar sesuatu yang menarik minatnya.

Sebaik sahaja tiba di ruang tamu, Mawar melihat tirai langsir berkibar-kibar ditiup angin pagi yang nyaman. Namun, dia menjadi tidak sedap hati apabila terhidu bersama wangian seakan wangian bunga yang pernah menjadi kegemaran sang pemilik rumah sebelumnya. Seseorang yang sudah lama meninggalkan dunia ini.

Hampir menjerit apabila dia melihat foto keluarga dalam bingkai gambar selama ini tergantung pada dinding berada di atas lantai. Mujur dia memakai selipar kerana tepat-tepat di bawah tapak selipar, ada serpihan kaca pecah berasal dari bingkai itu.

Ternganga besar mulutnya, dengan biji matanya sendiri dia melihat beberapa titisan seakan darah pekat tidak jauh dari serpihan kaca. Terundur-undur beberapa langkah ke belakang sebelum melanggar seseorang dari arah belakang. 

“Sayang? Awak terkejut macam nampak hantu!” Tegur Zaqwan, suaminya memegang bahu Mawar.

Zaqwan kehairanan melihat ruangan tamu tidak terurus, siap gambar keluarga di atas lantai. Rasanya, itu bukan tindakan isterinya melainkan seseorang yang melakukannya atau tidak pun, gambar keluarga itu terjatuh lantaran pakunya sudah longgar. Matanya sempat mencuri pandang paku di dinding yang bertahun-tahun menanggung beban bingkai gambar, masih ditempatnya.

“Awak ni! Buat saya terkejut,” marah Mawar, bahu sang suami dipukul lembut.

“Ni…” soal Zaqwan tanpa sempat menghabiskan pertanyaan.

“Jangan tanya saya. Huh, jantung ni hampir tercabut tau dengan apa yang saya tengok tadi! Lepas tu, awak main sergah-sergah saya lagilah… aduh!” Bebel Mawar, mengurut dadanya turun naik akibat bernafas laju dan juga disebabkan rasa terkejutnya masih belum berakhir.

Zaqwan ketawa kecil, memeluk isterinya dari arah belakang untuk menenangkannya.

“Kesian isteri saya. Okey, baiklah! Saya tak akan tanya. Kita anggap jelah burung-burung liar terbang masuk ke dalam rumah lepas tu buat sepah rumah kita ni!” Selamba sahaja Zaqwan dengan gurauannya.

Terjengil biji mata Mawar mendengar gurauan yang menyakitkan hatinya. Dia mencubit pipi Zaqwan, terjerit-jeritnya suaminya mengadu sakit.

“Kalau saya layan awak, kita akan sama-sama lambat ke tempat kerja. Siapkan sarapan lagi baik,” balas Mawar, melepaskan pelukan dan berjalan laju menuju ke dapur.

“Okey, sayang. Awak siapkan sarapan, saya kemas-kemas apa yang patut,” laungnya kepada Mawar yang sudah berada di dapur.

*******************

Bingkai mengandungi gambar keluarga yang sudah tidak mempunyai permukaan kaca, digantung kembali ke tempat asalnya. Zaqwan memerhati satu persatu wajah-wajah terdapat di dalamnya. Wajah ibu dan bapanya yang sudah meninggal dunia dan juga wajah dirinya sendiri dan Mawar, isterinya.

Sebelah bingkai keluarga, ada sudut kosong yang dahulunya menempatkan sebuah lukisan hasil karya arwah bapanya dengan subjek matter arwah ibunya anggun dalam pakaian Melayu tradisional bersama dengan selendang menutupi kepalanya. 

Penyesalan timbul kerana terpaksa melepaskan lukisan itu pergi setelah kematian ibu bapanya kerana isterinya, Mawar sering mendengar senandung sayu yang tidak difahami bait-bait ayatnya dari dalam lukisan itu tidak kira masa. Dia sendiri pernah mendengarnya sehingga tidak mampu tidur malam. Anehnya, semenjak lukisan itu tiada, senandung sayu itu pun menghilang begitu sahaja dan kehidupan mereka berdua kembali aman dan tenteram serta tidak diselubungi dengan ketakutan lagi.

Zaqwan sudah boleh tidur dengan lena namun, Zaqwan berasa hidupnya tiba-tiba tidak lengkap tanpa lukisan itu, sama seperti perasaan kehilangan ibu bapanya dalam kemalangan meragut jiwa. Anehkan perasaannya itu?

“Aku takut kalau-kalau gambar keluarga ni terjatuh sebab gangguan itu kembali lagi,” keluh Zaqwan.

Automatik ekor matanya terpandang akan wajah kedua orang tuanya dalam potret keluarga tadi.

*******************

Bum! Bunyi pintu utama rumah dihempas dengan kuat oleh seseorang, Zaqwan yang masih dalam pakaian tidur sedang membaca surat khabar di ruang tamu tidak terperanjat dengan langsung dengan keadaan itu. Sememangnya dia sudah menjangkakan hal itu semenjak kebelakangan ini dan tumpuannya terhadap pembacaan langsung tidak terganggu.

Beethoven Symphony No.9 kedengaran menemani pembacaannya, kegemarannya pada waktu pagi semasa membaca surat khabar sambil ditemani muzik sebelum dipanggil bersarapan oleh isteri tersayang. Dia pun sudah seperti arwah ibu bapanya yang gemar mendengar instrumental seperti itu.

Setiap berita dibaca dengan penuh minat sama ada berita politik, sukan mahupun hiburan. Baginya, itu membantunya untuk menambah pengetahuan terhadap isu semasa dan juga memastikan mindanya sentiasa berfikir dan cerdas. 

Pada ruangan berita semasa dalam negara, Zaqwan tertarik dengan tajuk ‘Galeri Seni Antonio Dipecah Masuk Malam Tadi’. Hanya laporan ringkas mengenai masa, tempat dan anggaran kerugian sahaja. Keluhan beratnya kedengaran, ada sesuatu mengganggunya. 

Apabila Mawar dalam berpakaian formal; berskrit panjang dan berkemaja serta mengikat rambut panjang melepasi bahu dengan gaya pony, membawa secawan kopi O memasuki ruang tamu, Zaqwan bangkit lalu mengambil dan meletakkan cawan di atas meja sebelum mengajak isterinya menari bersama mengikut irama muzik.

Tiada tarian yang spesifik, lelaki itu meletakkan tangan di pinggang Mawar. Manakala, isterinya meletakkan tangan di atas bahu suaminya. Langkah masing-masing sumbang, terburai tawa mereka.  

“Dah lambat pun masih lagi nak ajak saya menari?” Tegur Mawar, senyuman manisnya menyerlahkan lesung pipit.

“Sesekali,” balasnya, pendek sambil mengangkat tangan Mawar ke udara sebelum wanita itu berpusing.

Dalam-dalam dia merenung mata isterinya dengan penuh romantik sampai merona merah pipi isterinya menahan malu. Kemudian, pandangan Zaqwan terarah pada rambut Mawar yang berkilat diwarnakan dengan pewarna coklat hazelnut. 

“Mawar,” panggil Zaqwan dengan penuh dengan kelembutan.

Zaqwan membelai rambut Mawar yang jatuh berjuntaian di dahi.

‘Aku melihat cinta pada matanya,’ detik Zaqwan tanpa ragu-ragu, gembira dengan ilusi yang dilihat. 

Tidak semena-mena, dia memeluk Mawar dengan erat seperti tidak mahu berpisah.

“Dahlah, jom kita bersarapan! Saya pun perlu pergi kerja juga. Dah lambat ni,” tegur Mawar kepada Zaqwan yang seakan tidak mahu melepaskannya pergi. 

Memikirkan itu, Zaqwan meleraikan pelukannya.

Mawar menuju ke pemain piring hitam untuk dimatikan. Sempat melihat jarum jam yang sudah menunjukkan ke angka 7:51 pagi. Jika dibiarkan, pasti hari ini dia terlambat ke pejabat apatah lagi kejadian di ruang tamu masih mengganggunya.

Sambil memeluk pinggang, mereka berjalan beriringan ke dapur untuk menikmati sarapan sebelum masing-masing mengatur langkah menuju ke tempat kerja.

*******************

Mawar mengambil kunci kereta terletak dalam gelas kaca di atas meja berhampiran dengan pintu masuk utama rumah sementara Zaqwan masuk ke dalam bilik tidur mengambil beg galas mengandungi peralatan melukis di luar studio.

Di situ, Mawar berkaca membetul-betulkan rambut yang sememangnya kemas di samping memastikan solekan pada wajah teroles sempurna. Dia tersenyum sinis dengan pantulan imej sendiri pada cermin; elegan dan moden mengikuti peredaran zaman. Dia bangga dengan penampilan dirinya.

Sebuah bingkai dengan gambar mereka sekeluarga; ibu dan bapa mentua serta Zaqwan dan dirinya sedang tersenyum gembira dicapai dan direnung seketika. Gambar yang sama seperti potret tergantung pada dinding yang jatuh seawal pagi tadi cuma dalam bentuk saiz yang lebih kecil dan sesuai diletakkan di atas meja.

Mawar berdengus melihat wajah ibu mentuanya dalam potret keluarga. Kalau boleh, dia mahu mengoyak atau apa-apa sahaja supaya imej ibu mentuanya lenyap. Biar hanya dirinya, Zaqwan dan bapa mentuanya sahaja dalam potret keluarga.

“Rumah ni aman tanpa suara kau dan kelibat kau yang menjengkelkan, berpura-pura dalam keadaan yang mendukacitakan untuk meraih perhatian orang lain. Macam mana perasaan kau agaknya di alam sana melihat aku menjadi satu-satunya permaisuri tunggal dalam istana ciptaan kau?” 

Kepalanya menoleh memandang suatu sudut dinding kosong bersebelahan potret keluarga bersaiz besar. Perlakuan yang sama dilakukan Zaqwan pagi tadi, melihat dinding itu yang pernah dihiasi dengan sebuah kanvas dengan lukisan subject matter ibu mentuanya hasil karya bapa mentuanya. 

“Baguslah kau berjaya keluar dari rumah ni. Aku tak perlu bersusah payah untuk mengusir kau. Lagi bagus, berita tentang pecah masuk Galeri Seni Antonio tu. It’s made my day. Aku yakin kau turut sama dilaporkan hilang… lukisan yang tak berguna! Aku benci segala-gala yang berkaitan dengan seseorang yang aku gelar sebagai ibu mentuaku. Cuma…”

“Sayang… jom kita bertolak?” Suara Zaqwan kedengaran membantutkan bebelan halus Mawar.

Sepantas kilat, Mawar mengukir senyuman manis. Dia perlu kelihatan normal bagi mengelakkan suaminya mengesyaki sesuatu yang sedang mengganggu fikirannya. Bertahun-tahun, dia menjadi pelakon terbaik di depan suaminya.

‘… hanya anak kau sahaja aku tak mampu benci,’ kata-kata Mawar bersambung dalam hati.

‘Jangan risau… aku akan membuatkan anakku membenci kau!’ 

Terkejut Mawar seseorang mirip suara ibu mentuanya menyampuk dalam hati. Reaksi Mawar seakan cicak tertelan kapur menarik perhatian Zaqwan. Berkerut-kerut dahi sambil memandang sekeliling seperti orang dalam kegelisahan.

“Sayang… ada apa-apa tak kena ke?” Soal Zaqwan melihat riak wajah Mawar berubah mendadak.

“Apa dia? Eh, oh… tak ada apa. Kita dah lambat,” Mawar berdalih, tidak mungkin dia akan bercerita dengan apa yang terjadi.

Lehernya terasa sejuk ditiup-tiup angin misteri. Mawar mendahului Zaqwan, seram sejuk berlama-lama di situ. Aura tempat itu berlainan dengan hari-hari sebelumnya dan paling tepat, dia sudah lama tidak berasai aura sedemikian.

“Sayang… awak tertinggal kunci kereta ni,” panggil Zaqwan, hairan melihat Mawar meluru pergi bagai mengelak sesuatu.

Terus disauk kunci kereta Mawar dari dalam bekas kaca. Mereka benar-benar akan terlewat jika masih tidak bertolak lagi.

*******************

Jari-jemarinya yang runcing dan pucat menekan Note E Major pada piano berulang kali sebelum terbantut dek tersentuh partikel habuk debu pada permukaannya. 

Terbayang sekali imbas pemilik sebenar piano itu mengelap seluruh permukaan piano sehingga tidak tertinggal sekecil habuk sekali pun. Walaupun hanya sebentar cuma bayangan itu, dia tersenyum bahagia kerana dapat menatap senyuman yang dirindui.

Dari balik selendang hitam melitupi wajah, dia melihat ke luar Mawar dan Zaqwan saling berdiri di luar kereta masing-masing. 

“Manusia talam dua muka…”

Ketika itu, dilihatnya Mawar sedang melilit selendang kapas pada leher Zaqwan. 

“… aneh, kau membenci apa sahaja berkaitan dengan ibu mentuamu. Tapi, perlakuan yang satu itu, kenapa kau ikut? Benci ibu, kenapa tak boleh untuk membenci anaknya? Cinta? Apa manusia berhati busuk seperti kau tahu mengenai cinta? Cinta murahan!”

Surat khabar harian yang dibaca Zaqwan tadi terletak di atas meja bulat berhampiran piano, diambilnya. Kelihatan dia tersengih dan berpuas hati dengan tajuk utama akhbar.

“Kau tentu cuak… kan, Mawar? Paling penting, tertanya-tanya siapa pelaku utamanya? Urusan kau takkan selamanya berjalan lancar. Terima kasih kepada seseorang yang berjaya membuatkan impian aku menjadi kenyataan. Tunggulah hidup kau menjadi porak-poranda!”

Surat khabar diletakkan kembali. Dan, pemain piring hitam dihidupkan dengan kelantangan paling maksimum menemani dirinya bersantai sendirian di ruang tamu. Dia mengambil tempat di sofa, bersandar lalu memejamkan mata menghayati Beethoven Symphony no.9 dengan aman.

Di luar rumah, Zaqwan dan Mawar saling berpandangan. Mereka mendengar dengan jelas sekali instrumental itu dimainkan namun mengambil keputusan untuk mengabaikannya.


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.