Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Si Gadis Pembunuh
Maryani Zailani
11/11/2022 09:44:42
26,672
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
PROLOG

Pagi yang damai dan tenang terus bertukar hingar-bingar dalam sekelip mata. Siren polis kedengaran dari jauh menyerbu perkarangan bangunan Galeri Seni Antonio. Disyaki Galeri Seni Antonio diceroboh masuk perompak malam tadi setelah mereka menerima panggilan kecemasan daripada petugas. Paling membuatkan syak wasangka mereka benar, pengawal keselamatan bertugas pada malam hari turut tidak kehilangan di pondok pengawal. Sistem pada setiap pintu keluar masuk bangunan tidak berfungsi menguatkan lagi andaian mereka.

Laungan amaran diberikan dan apabila tidak mendapat sebarang respon, pihak berkuasa mengambil keputusan untuk memecah masuk ke dalam bangunan dengan berhati-hati. Keadaan yang kecoh-kecoh sebegitu membuatkan kawasan sekeliling dikerumuni orang ramai walaupun sudah diarahkan untuk beredar dari situ memandangkan risiko terhadap ancaman bahaya yang tidak terjangka.

Seseorang menyaksikan kejadian itu dari dalam kereta dengan penuh perasaan marah. Misinya gagal buat kali pertama dalam hidupnya bergelumang dengan kegiatan mencuri karya dari Galeri Seni Antonio. Dengan kasar, dia memasuki gear lalu memecut laju meninggalkan Galeri Seni Antonio.

Lopak air besar dilanggar sahaja sehingga airnya terpercik ke arah seorang pejalan kaki yang kepalanya ditutupi dengan selendang hitam jarang. Tubuhnya dibaluti dengan baju kurung tradisional tanpa corak, turut berwarna hitam. Sang pejalan kaki menampakkan sengihan seolah tidak terkesan dengan kejadian itu malahan, dia bangga kejadian menimpa Galeri Seni Antonio berlaku juga hari ini. Baginya, mereka yang terlibat harus diajar lambat-laun.


Pandangan matanya terarah kepada Galeri Seni Antonio yang sedang dikepung pihak berkuasa. Sekuntum mawar hitam diletakkan perlahan-lahan di atas jalan tar.

“Udara pagi ini sangat segar. Lama sekali aku duduk tidak mampu untuk bergerak secara bebas. Aku suka dengan perasaan hari ini. Bebas dan aku akan membuat mereka menyesal!” Bisiknya sendirian disertai ketawa kecil dari balik wajah dilindungi selendang hitam.

Kedua-dua tangan digenggam kuat sehingga kuku tajam hitamnya mencengkam lalu mencederakan telapak tangan. Darah menitik sedikit demi sedikit di atas jalan tar. 


Aniq Zafran bersandar pada tiang elektrik tidak jauh dari Galeri Seni Antonio. Bibirnya menjepit sebatang kayu pencungkil gigi sambil mengunyah gula-gula getah, memakai cermin mata hitam berserta jaket panjang berwarna coklat. Sebaik sahaja mendengar berita Galeri Seni Antonio dipecah masuk dari siaran radio pagi-pagi tadi, dia bergegas dari markasnya untuk menyaksikan sendiri kejadian itu dengan biji matanya.

Seseorang berpakaian serba hitam tidak jauh darinya juga menarik perhatiannya. Seseorang perempuan itu bagai diselubungi dengan kepulan pixel berwarna-warni bersinar-sinar cahayanya.

“Lagi beberapa minggu sebelum ulang tahun kematiannya. Kau muncul untuk membalas dendam ke… Si gadis pembunuh? Macam mana kau buat begitu? Dahulu kau pun pernah juga muncul dan sayang sekali, hanya untuk seketika ibarat bunga mawar yang berkembang lalu layu menyembah bumi.”

Pen menari-nari di atas kertas buku catatan Aniq Zafran. Ada beberapa isi penting dicatatkan ke dalamnya. Hampir melompat dan melatah apabila jam penggera dalam telefon pintar berbunyi kuat. 

“Argh, masa nilah kau nak berbunyi!” Keluhnya, melihat seseorang yang diperhatikan tadi menyedari kehadirannya gara-gara bunyi penggera tadi.

Dengan kasar dan tergesa-gesa, jam penggera yang disetkan untuk membangunkan dirinya bersiap ke tempat kerja pada awal pagi dimatikan. 

“Huh, sudah masa untuk masuk kerja! Aku dah lambat, mandi pun belum!” Aniq Zafran mengomel semasa memerhatikan mentari pagi sudah mulai memanaskan bumi apatah lagi saat ini sudah menghampiri jam 7 pagi.

Tiba-tiba dia berlari menuju ke tempat seseorang dalam serba hitam yang digelar sebagai Si gadis pembunuh itu berdiri, Aniq Zafran terpusing-pusing mencari seseorang yang menghilang begitu sahaja. Dia kehilangan jejak buat seketika.

“Argh, suka sangat menghilangkan diri!” Rungutnya sambil menghentak kaki ke tanah.

Kepalanya terdongak memandang langit lantas baru menyedari kebenaran yang dilewatkan.

“Oh, begitu! Cantik sekali cahayanya tapi, jangan lupa betapa kejamnya kau boleh jadi!”

Pixel berwarna-warni bersebaran ke langit pagi lalu menghilang sedikit demi sedikit. Aniq Zafran tersenyum melihat fenomena indah itu.

Poket jaket dipakai Aniq Zafran bergetaran, ada pesanan masuk ke dalam telefon pintar. Skrin digeser ke atas untuk melihat pesanan daripada Noraini, tunangnya itu.

“Jangan lupa balik ke sini. Awak perlu bersiap untuk ke tempat kerja. Saya dah sediakan sarapan awak, yang ikhlas, your soulmate,” baca Aniq Zafran akan mesej terpamer pada skrin sambil tersengih-sengih sampai ke telinga.


Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.