Home Novel Thriller/Aksi PENJARA MATI
PENJARA MATI
Riduan Judin
12/1/2014 13:52:37
66,474
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 4
BAB 4

Petaling Jaya, Selangor

DANI kian runsing. Lelaki itu mengalami kejutan semasa menjalankan misinya di Kota Damansara pada malam itu. Dia diupah untuk membunuh, tetapi mangsa yang diintainya dibunuh sebelum dia bunuh. Ini bermakna, dia tidak keseorangan. Mungkin dia mempunyai musuh. Seingatnya, tiada sesiapa yang mengetahui identitinya sebagai pembunuh upahan kecuali yang mengupahnya.

Ketika menghadapi kemelut itu, dia ingin mencari jalan keluar. Dia mesti menyiasat pembunuh sebenar yang membunuh mangsanya sebelum sempat dibunuh. Dia berikrar akan mengenal pasti siapa di sebalik bayang yang berselindung di sebalik gelap malam hari itu.

Dalam kecelaruan fikirannya itu, telefon bimbitnya berdering. Dia melihat dada skrin, pemanggil yang dia tunggu-tunggu. Orang yang mengupahnya membunuh wanita warganegara Thailand itu. Datuk Marjan!

“What the hell going on me, Datuk Marjan!”Dani marah-marah.

“What?” Suara lelaki yang dikenali sebagai Datuk Marjan kedengaran di hujung talian.

“You sent another assassin to kill her.” Dani kelihatan agak serius. Dia tidak sampai hati mengatakannya. Tetapi demi nyawa, dia terpaksa. Dia tidak ingin mati cepat.

“Kenapa ni? Aku telefon sebab ingin mengucapkan terima kasih kerana kau telah berjaya membunuh wanita itu. Dan satu lagi, aku telah pun memasukkan lima puluh ribu ringgit di dalam akaun bank kau."

“Wanita itu dibunuh sebelum aku sempat menekan picu pistol. Ada orang lain yang menembaknya!” Dani masih tidak puas hati.

“Aku tidak menghantar orang lain selain kau, Dani.”

“Kalau begitu siapa?” Dani berusaha mengawal emosinya.

“Ada orang lain selain aku yang menginginkan wanita itu mati.” Suara Datuk Marjan kedengaran mengecil di corong telefon.

“Ya, dan orang itu juga takut rahsia pembunuhan Datuk Haris terbongkar!”

“Bukan aku yang menghantarnya!” Kali ini, Datuk Marjan agak panas baran.

“Kalau begitu, kita cari pembunuh itu. Kalau tidak nyawa kita juga dalam bahaya.” Dani membuat andaian berdasarkan kemelut yang dirasainya.

“Jangan risau, kita siasat siapa di sebalik bayang-bayang itu. Pasal duit tu, kau gunakanlah walaupun bukan kau yang membunuh wanita itu, Dani. Jaga diri kau. Kalau ada apa-apa, hubungi aku.”

“Baik, Datuk.” Dani melabuhkan dirinya di sofa. Kala ini, hatinya dipenuhi persoalan yang menghambat. Walau begitu, dia akan terus ke depan dan mencari pembunuh itu sebelum dia mati dibunuh. Tentu orang itu profesional dan bukan manusia kepalang nyawa.

DATUK MARJAN mengeluh berulang kali. Dia terhimpit oleh masalah yang rumit. Dia mengupah untuk membunuh, tetapi mangsa yang telah disasarkan untuk dibunuh telah pun dibunuh orang lain. Dia jadi runsing. Tetapi dia tidak akan mengaku kalah, itu bukan prinsip hidupnya.

Fail-fail lama diselongkar di bawah laci meja rahsia. Sebelum membukanya, Datuk Marjan memandang katil di mana arwah isterinya selalu baring. Dia mengeluh lagi. Kisah silamnya begitu pedih dan suram. Andai diketahui umum, dia pasti dijatuhkan. Andai berlaku begitu, dia lebih rela mati!

Kg. Sunsuron Tambunan, Sabah

HAMID pantas mendaki anak-anak tangga apabila Rosiah memanggil-manggil dari arah dalam. Dia pantas menerpa sebaik saja melihat anak gadisnya sudah terjaga daripada pengsan. Rosiah segera memeluk Mahairah. Dahi gadis ditekap-tekap dengan tuala yang direndam dalam air suam.

“Syukurlah, Ira sudah terjaga.” Ujar Rosiah. Matanya agak sembam menandakan dia menangis semalam. Mahairah segera bangkit.

“Baringlah dulu Mahairah. Kau masih sakit tu.” Ujar ayahnya, Hamid.

“Ira tidak apa-apa. Cuma… terkejut semalam.” Mahairah yang sudah bangkit daripada tidur membetulkan cara duduknya.

“Sebenarnya, apa puncanya Ira pengsan?” Tanya Rosiah.

Imbas kembali…

MAHAIRAH mengangkat matanya ke atas apabila perasan satu lembaga manusia sedang berdiri di belakang ibunya, Rosiah. Dia dihambat ketakutan. Dia benar-benar terkejut dengan kedatangan makhluk itu yang tidak diundang. Bertubuh kekar, dan berpakaian serba hitam. Wajahnya menyeramkan di sebalik malam yang agak suram.

Nafasnya seperti terhenti. Dia hendak menjerit, tetapi suaranya tidak terluah. Seperti tersekat di rangkungan yang kering. Kala inilah dia merasakan kepalanya begitu berat. Pandangannya berbinar dan kawasan sekelilingnya menjadi gelap gelita. Dia kehilangan semangat, lalu pengsan.

Hamid dan Rosiah saling berpandangan. Mereka tidak sukar untuk meneka kejadian di sebaliknya. Pasti angkara makhluk lain yang memusuhi umat manusia. Dan sebaik-baik manusia ialah, yang selalu berlindung daripada ALLAH. Tuhan yang berdiri sendiri. Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dia Maha Esa dan Maha Berkuasa.

“Esok, mama dan bapa akan bawa Ira berubat di Pusat Perubatan Islam, Kota Kinabalu.” Rosiah membelai lembut rambut anak gadisnya yang terurai. Itu adalah cadangan ayahnya semalam. Dia mengesyaki ‘sesuatu’ yang bersifat halus sedang mengganggu anaknya. Justeru, dia mencadangkan kepada isterinya Rosiah agar mereka membawa Mahairah berubat sebelum terlambat.

Mahairah membisu. Dia tidak meningkah, tapi tidak pula mengeyakan. Sebenarnya, dirinya masih dihambat ketakutan yang teramat. Dalam sejarah hidupnya, itulah detik yang hampir membuatkan dirinya hilang nyawa akibat kerapuhan semangatnya. Dia mesti tabah. Dan apa yang paling penting, dia harus menyerahkan segala-galanya kepada ALLAH. Memohon perlindungan itu adalah sebaik-baik cara.

Bertawakal – Itu perkara wajib bagi setiap orang mukmin.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.