JENIS SPECIAL ATTRIBUTE
Ilya mengatur langkah perlahan menuju ke arah sebuah bangunan yang tersergam gah di hadapannya. Bangunan itu merupakan perpustakaan terbesar di bandar ini, iaitu Perpustakaan Awam Bandar Medici. Kaki Ilya mendaki perlahan berpuluh-puluh anak tangga untuk menuju ke pintu masuk perpustakaan itu.
Beberapa orang kelihatan keluar masuk dari pintu perpustakaan. Masing-masing membawa buku-buku yang tebal di tangan. Ilya perhatikan sahaja gelagat mereka sekali lalu.
Memandangkan hari ini hari minggu, Ilya bercadang untuk pergi ke perpustakaan untuk mencari maklumat. Baginya, masih belum cukup maklumat yang sedia ada pada dirinya. Dia harus mencari dan meneroka lagi.
Pembacaannya pada artikel mengenai Dark Arts di forum SupraNaturale tempoh hari telah menarik minat Ilya akan suatu perkara. Ilya mula tertarik dengan kepercayaan orang zaman dahulu kala iaitu Animisme.
Ilya percaya, kepercayaan ini pasti berkait rapat dengan tradisi Dark Arts yang dikatakan diamalkan masyarakat dahulu kala. Memandangkan maklumat mengenai kepercayaan Animisme lebih mudah dicari, Ilya ingin menggunakannya sebagai pintu untuk meneroka lebih banyak maklumat mengenai tradisi tersebut.
Setelah kakinya melangkah masuk, mata Ilya terus tertancap ke arah sebuah papan tanda yang menunjukkan setiap seksyen di perpustakaan itu. Papan tanda yang diterangi dengan LED itu memberikan panduan untuk mencari buku mengikut kategori.
Laju sahaja kaki Ilya menuju ke arah papan tanda itu. Seksyen yang menempatkan buku-buku sejarah dicari dengan keliaran dua biji matanya.
Tingkat G iaitu tingkat tempat dia berada sekarang hanya menempatkan kaunter untuk urusan peminjaman dan pemulangan buku. Jika dia ingin mencari buku sejarah, dia harus pergi ke tingkat tiga.
Tanpa membuang masa, Ilya terus sahaja berjalan ke arah lif dan menekan butang tingkat tiga. Setelah lif yang dinaikinya sampai ke tingkat tiga, gadis itu terus menuju ke arah sebuah mesin yang ada berhampiran dengan rak buku.
Pada papan kekunci mesin tersebut, Ilya menaip kata kunci ‘Animisme’. Butang ‘SEARCH’ pada bar carian yang terpapar pada skrin sesentuh mesin itu ditekan untuk mulakan pencarian. Dalam masa beberapa saat, skrin mesin itu memaparkan beberapa buah buku sebagai hasil carian.
Kod buku-buku yang menunjukkan kedudukannya turut dipaparkan bersama. Ilya boleh memilih sama ada untuk mencari buku itu secara manual atau meminta perkhidmatan dron untuk menghantar buku itu kepadanya.
Dek rasa malas yang menyerang, Ilya memilih untuk buku-buku itu dihantar kepadanya melalui dron. Butang pangkah di sebelah tajuk buku ditekan Ilya untuk meminta buku itu dihantar kepadanya. Ilya memilih beberapa buah buku yang menarik perhatiannya.
Setelah menunggu selama beberapa minit, datang sebuah dron penghantar buku siap dengan buku-buku yang dipinta Ilya tadi. Dron itu mendarat di atas mesin mencari buku di hadapan Ilya. Memang ada tempat pendaratan dron pun pada mesin itu.
Ilya mengangkat buku-buku berkulit tebal itu ke sebuah meja kosong. Memang berat sungguh buku-buku itu. Jika hari-hari begitu, Ilya boleh membina otot di tangannya.
Buku-buku tebal itu diletakkan di atas meja. Gelagat si gadis bermata merah itu menarik perhatian beberapa orang yang duduk berhampiran dengan meja tersebut. Mereka berasa agak hairan dengan jumlah dan jenis buku yang dipilih gadis itu. Bukan sahaja banyak, malah kesemua buku yang dipilihnya terdiri daripada buku akademik. Lagaknya seperti ingin membuat tesis sahaja.
Ilya tidak mempedulikan orang lain yang memerhatikan gelagatnya. Dia sudah biasa diperhatikan sebegitu setiap kali bertandang ke perpustakaan. Baginya, tiada salahnya membaca buku-buku tersebut seawal usia.
Buku-buku itu dibuka. Maka bermulalah pencariannya tentang Animisme dan tradisi Dark Arts.
***
Ilya menyiram pokok-pokok herba yang ditanam di Bilik Kelab Petani Muda. Pada sebelah petangnya, Ilya sudah berjanji dengan Arya dan Zahara untuk berjumpa di bilik kelab ini. Sambil menyiram pokok-pokok itu, dia akan mengajukan Arya beberapa soalan.
Zahara ditugaskan untuk mencabut rumput-rumput yang tumbuh berhampiran dengan pokok-pokok yang ditanamnya. Arya pula turut melakukan perbuatan yang sama seperti Ilya.
Usai menghabiskan tugasan masing-masing, mereka bertiga beristirehat di kerusi dan meja yang terdapat di tengah bilik kelab tersebut. Zahara menghidangkan kek lobak merah berserta teh herba pada hari ini. Dia menggunakan bahan-bahan yang diambil di belakang rumahnya sahaja untuk menyediakan hidangan hari ini.
“Kenapa kamu berdua monyok je ni?” soal Zahara memecahkan keheningan yang terbentuk sedari tadi. Dia langsung tidak tahu-menahu akan apa yang telah terjadi kepada Ilya. Gadis berambut panjang itu masih belum memberitahunya lagi.
“Pagi tadi ... saya nak cari sikit maklumat pasal Animisme dan Dark Arts, tapi ... susahlah nak cari maklumat tu. Kalau ada pun sikit je,” luah Ilya.
Zahara dan Arya mendengar dengan teliti.
“Pagi tadi awak pergi library?” soal Zahara.
“Saya ingatkan awak nak tanya saya soalan pasal apa yang berlaku malam tadi.” Giliran Arya pula bersuara.
“Malam tadi? Kenapa dengan malam tadi?” soal Zahara lagi tidak tahu-menahu. Dia memandang wajah Ilya dan Arya silih berganti. Ilya hanya berdiam diri. Memberi ruang kepada Arya untuk membuka cerita.
“Malam tadi, Ilya kena culik dengan seekor spirit nakal dan dibawa ke dunia mereka,” terang Arya tanpa sedikit pun berselindung. Memandangkan hanya mereka bertiga di bilik kelab ini pada waktu ini, dia tiada masalah untuk berterus-terang.
“Spirit nakal? Dunia mereka?” Zahara bertanya lagi dalam keadaan terpinga-pinga. Nampaknya gadis itu juga seperti Ilya, tidak tahu apa-apa.
“Zahara, kau pun tak pernah dengar ke pasal spiritual realm?” soal Arya ingin melihat sejauh mana pengetahuan gadis ini.
Zahara menggeleng pantas sebagai jawapan. Arya menyandarkan tubuh ke kerusi yang didudukinya. Menyelesakan kedudukannya. Mulut dibuka untuk memulakan cerita.
“Spiritual realm tu another dimension yang dihuni makhluk bernama spirit. Dimensi tu kedudukannya bertindih dengan dunia kita. Sebab tulah kalau kamu berdua perasan dunia spirit tu boleh muncul kat mana-mana. Contohnya, hari tu, masa Ilya hilang hari tu ....”
“Ah, dunia tu! Patutlah tiba-tiba je saya boleh pergi kat dunia tu. Dunia tu ada kat kawasan bangunan lama, kan?” Ilya memintas perbualan Arya. Dia sudah dapat menangkap apa yang disampaikan Arya.
“Ya, betul tu. Spirit tu akan tarik mana-mana manusia istimewa macam kamu berdua ke spiritual realm bila mereka dah suka. Jadi, harap lepas ni kamu kena lebih berhati-hati.” Arya memberi peringatan kepada dua orang lagi rakannya.
“Tapi ....” Arya berjeda seketika. Dia termenung sejenak memikirkan sesuatu.
“Tapi apa Arya?” soal Zahara tidak sabar.
Arya merenung Ilya sejenak sebelum menjawab, “Saya ... hairanlah. Saya hairan dengan Ilya ni. Tak pernah kami jumpa kes seperti awak sebelum ni.”
“Maksud awak, Arya?” soal Ilya pula memohon penjelasan.
“Dalam bulan ni dah dua kali awak kena culik dengan spirit, kan Ilya? Sebelum ni kami tak pernah berjumpa kes penculikan spirit sekerap ni ke atas orang yang sama,” jelas Arya.
“Betul juga kata awak, Arya. Tapi sebelum ni saya tak pernah kena culik dengan spirit. Masa kat kawasan bangunan lama sekolah tulah kali pertama. Kalau sebelum ni mereka main acah-acah je,” cerita Ilya sambil memicingkan matanya.
“Samalah, Ilya. Cuma biasanya saya ada Karina yang baik hati temankan saya.” Zahara memuji sahabat spirit-nya, Karina yang sudah tersipu-sipu malu di sisinya.
Dari tadi spirit berupa gadis itu mendengar perbualan mereka bertiga. Tubuhnya disembunyikan agar mereka bertiga tidak perasan akan kehadirannya. Akan tetapi, apabila Zahara memujinya tiba-tiba, dia terus terleka lalu menampakkan tubuhnya.
“Eh, Karina! Bila awak datang? Tak nampak pun dari tadi. Meh, duduk sini,” pelawa Zahara mesra. Dia menunjukkan satu lagi kerusi yang masih kosong untuk mempersilakan Karina duduk. Spirit itu terus duduk dalam keadaan malu-malu.
“Untunglah ada spirit yang baik hati. Spirit yang selalu jadi kawan saya tu nakal betul.” Ilya teringat akan Zaf di rumahnya.
“Mungkin dia kurang kasih sayang tak?” Karina tiba-tiba berseloroh.
Zahara tertawa mendengar seloroh spontan daripada Karina. Ilya dan Arya pula masih kekal dengan ekspresi masing-masing. Hati mereka berdua itu memang agak sukar untuk dicuit kerana ada tembok tebal yang menghalangnya.
“Berbalik pada topik. Saya rasa awak kena lebih berhati-hati, Ilya. Mungkin saya akan hubungi HQ Exorcizans untuk serapkan awak sebagai salah seorang member baru. Saya akan ajar awak cara-cara gunakan Light Arts.” Arya kembali semula kepada topik perbualan. Perbincangan mereka kembali serius.
“Ah ... mungkin, ini kebetulan je kot. Mungkin Ilya lalu kat tempat yang banyak dihuni spirit. Mungkin.” Zahara cuba menyedapkan hati.
“Tak, saya tak fikir macam tu. Firasat saya rasa tak sedap. Lagipun, soulmate saya bagitahu Ilya kena lebih berhati-hati. Ada something yang special pada Ilya sampai mereka boleh tertarik.”
“Soulmate?” soal Zahara tidak tahu-menahu.
“Oh, ya. Awak tak tahu lagi, kan Zahara. Soulmate ni gelaran yang saya berikan kepada persona yang menghuni dalam tubuh saya ni. Dia selalu bertindak sebagai pemberi maklumat. Jadi, saya panggil dia soulmate sebab dah banyak tolong saya,” terang Arya satu-persatu.
Zahara melopong mendengar penjelasan Arya. Pening dia dibuatnya kerana menerima banyak maklumat baru hari ini. Arya terus menceritakan tentang special attribute yang ada pada setiap magi seperti mereka. Zahara pula hanya mengangguk berkali-kali sambil mendengar penjelasan Arya.
“Jadi, special attribute ni ada pada setiap orang yang boleh tengok spirit macam kita. Begitu?” soal Zahara menginginkan kepastian.
“Betul. Dan golongan seperti kita kami beri gelaran magi,” sambung Arya lagi.
“Magi? Dari mana datang gelaran tu?” Ilya yang dari tadi mendiamkan diri mula mengajukan soalan.
“Dari mana ya? Saya pun tak tahu. Sebab ketua Organisasi Exorcizans sendiri yang bagitahu nama ni kat kami semua. Saya tak pernah terfikir pula nak tanya soalan tu.” Arya berterus-terang sahaja memberi jawapan.
“Okey. Nanti kalau awak jumpa lagi ketua kumpulan ... apa tu?” Ilya masih tidak mampu mengingat nama organisasi yang disebutkan Arya.
“Exorcizans,” sebut Arya semula.
“Ha, Exorcizans. Awak tanyalah kenapa kita semua ni diberi gelaran magi. Saya jadi curious tiba-tiba. Dekat-dekat magis je bunyinya,” pinta Ilya bersungguh-sungguh.
“Okeylah, nanti saya tanya nanti. Tapi yang saya pernah dengarlah pasal magi ni daripada ketua saya tu. Magi ni ada enam jenis. Intuition, Psychic, Warrior, Scholar, Intelligent dan Technology,” terang Arya dengan bersungguh-sungguh.
“Oh, ada banyak jenis rupanya magi ni.” Melopong Zahara mendengar penjelasan Arya.
“Jenis-jenis magi tu diklasifikasikan mengikut apa?” Ilya mengajukan soalan.
“Special attribute yang tadi tu saya terangkan. Saya punya yang soulmate ni dari jenis Intuition. Sebabnya soulmate saya ni beri saya firasat mengenai pelbagai perkara dan boleh kesan bahaya.” Arya memberhentikan penjelasannya secara tiba-tiba. Dia teringatkan sesuatu.
“Sabar dulu, manusia. Jangan gelojoh. Nampaknya kebolehan kau ni terbatas. Tak macam kawan kamu di belah sana tu.” Kata-kata Darma tempoh hari masih terngiang-ngiang di telinganya.
‘Apa maksud Darma? Apa sebenarnya kuasa Ilya ni?’ desis Arya di dalam hati sambil merenung wajah Ilya diam-diam.
“Kenapa?” soal Zahara pelik kerana tiba-tiba sahaja Arya mendiamkan diri. Ilya pula hanya menanti dengan setia akan penjelasan Arya yang selanjutnya.
“Ah ... takda apa-apa,” balas Arya cuba berselindung.
“Jadi ... Zahara, awak ni dari jenis yang mana ya?” soal Ilya tiba-tiba bersuara.
Zahara dan Arya memandang ke arah Ilya serentak. Terkejut dengan soalan yang tidak diduga itu.
“Apa maksud awak, Ilya?” soal Arya tidak faham.
“Ya, kenapa dengan saya?” soal Zahara juga tidak faham.
“Zahara, kan awak ni boleh dengar pokok bercakap, kan? Saya rasa tu kuasa awak, sebabnya saya atau Arya tak boleh dengar pokok bercakap macam awak,” ujar Ilya sambil menatap wajah Zahara dalam-dalam.
“Dengar pokok bercakap?” Arya mengerutkan dahinya memandang ke arah Zahara.
Zahara terdiam sejenak membalas tatapan Ilya sebelum matanya terbeliak luas. Perlahan-lahan dua ulas bibirnya bergerak meluahkan rasa hati yang turut terzahir melalui perubahan raut wajahnya.
“Ha’ahlah Ilya. Kenapa saya langsung tak perasan ni? Jadi, tu special attribute sayalah, kan?” soal Zahara sambil memandang ke arah Arya semula. Wajahnya berseri-seri memohon penjelasan. Ilya turut memandang ke arah yang sama.
Arya terdiam sejenak. Dagunya diusap perlahan. Dalam otaknya ligat memikirkan sesuatu.
“Nanti kejap, awak ni dari jenis yang mana ya? Hmm ... Zahara, apa yang awak dengar melalui suara pokok tu?” soal Arya merenung tajam ke arah Zahara.
“Apa yang saya dengar eh? Hmm ... suara tu selalunya ajar saya tentang khasiat perubatan yang ada pada tumbuh-tumbuhan tu. Kenapa?” soal Zahara semula, tidak faham kenapa Arya menanyakan soalan itu kepadanya.
Ilya semakin berminat untuk mendengar penjelasan selanjutnya.
“Khasiat perubatan ya. Saya rasa awak kategori Scholar. Jarang tu. Biasanya yang saya jumpa kategori Psychic dengan Warrior je.” Arya merenung wajah Zahara dalam-dalam. Timbul rasa kagum pula terhadap gadis itu.
“Macam mana cara nak tahu special attribute kita ni dari kategori mana?” soal Ilya.
“Setiap enam jenis yang saya sebutkan tadi ada ciri-cirinya sendiri. Macam saya cakap tadi, saya punya Intuition. Sebab saya boleh terima firasat dan ramal apa bahaya yang bakal menimpa ....”
“Yang lagi lima tu?” Ilya menjadi terlalu teruja sehingga menyampuk penerangan Arya.
“Psychic ni dari jenis yang ada deria keenam. Maksudnya boleh mengesan sesuatu yang tak boleh dikesan pancaindera manusia biasa. Sebenarnya Intuition pun dari jenis Psychic juga, tapi sebab jenis ni ada banyak sangat. Jadi, Intuition ni ada kelas yang tersendiri.”
Zahara mengangguk-angguk mendengar penjelasan Arya. Ilya pula mendiamkan diri mendengar penjelasan Arya dengan khusyuk.
“Kedua, Warrior. Jenis ni sama juga dengan Psychic dan Intuition, ramai yang termasuk dalam kategori ni. Jenis Warrior ni lebih kepada kekuatan dan stamina luar biasa. Contohnya kekuatan luar biasa, boleh berlari dengan laju, atau pun kebal terhadap senjata tajam.”
“Woah, cool!” Kagum Zahara mendengar penjelasan daripada Arya.
“Yang lagi tiga jenis ni sangat rare. Jenis Technology, jenis ni biasanya kait-mengait dengan teknologi. Jenis Intelligent. Mereka yang menerima special attribute daripada jenis ni, biasanya orang akan anggap genius. Sebabnya, special attribute jenis ni sangat berkait dengan kepintaran seseorang tu.”
“Jadi, mereka ni genius ke tak?” Ilya mengeluarkan soalan cepumas.
“Entahlah, susah nak cakap,” balas Arya jujur.
“Okey ... yang lagi satu tu, Scho....” Ilya meminta Arya menyambung penjelasannya.
“Ha, jenis Scholar. Jenis ni sangat rare. Susah sangat nak jumpa. Scholar ni berkait dengan ilmu pengetahuan. Memandangkan Zahara ni boleh dapat maklumat tentang khasiat perubatan. Jadi, dia ni punya ni dari jenis ilmu pengetahuan.”
“I see ....” Ilya mengusap dagunya mendengar penjelasan Arya.
“Maksudnya, orang macam saya ni rare ke?” soal Zahara dengan wajahnya yang berseri-seri.
“Ya, Zahara.” Ilya menatap wajah Zahara penuh makna. Dia tidak sangka dia mempunyai seorang rakan yang amat istimewa.
Tidak berapa lama kemudian, Ilya menunduk dengan wajahnya yang berubah muram.
“Saya je yang belum jumpa special attribute saya ni,” luah Ilya kecewa.
Zahara yang mendengar rungutan Ilya itu terus menghampirinya. Bahu si gadis dipegang lembut.
“Takpa, Ilya. Saya yakin suatu hari nanti awak jumpalah kuasa awak.” Zahara cuba memujuk. Ilya mengangkat wajah. Memandang ke arah Zahara yang sedang menatapnya.
Arya yang perasan akan kesuraman yang terpamer di wajah Ilya ingin mengubah suasana dengan mengubah topik perbualan.
“Ilya, awak nak ikut saya pergi jumpa pakcik saya kat Bandar Historia?” pelawa Arya.
“Historia? Tu bukan bandar bersejarah tu ke? Kenapa awak ajak saya?” soal Ilya tidak faham.
“Awak nak cari maklumat pasal Animisme dan Dark Arts, kan? Pakcik saya mungkin boleh membantu. Kat rumah dia pun ada banyak bahan bacaan. Mana tahu boleh membantu.” Wajah Ilya yang asalnya muram terus berubah mendengar pelawaan Arya.
“Nak, bila?” Ilya kelihatan tidak sabar.
“Hujung minggu depan? Saya memang nak melawat pakcik saya pun. Dah lama saya tak jumpa dia. Awak nak ikut sekali Zahara?” Arya ingin membawa Zahara sekali. Baginya, lebih ramai lebih meriah.
“Takpalah. Saya tak boleh tinggalkan pokok-pokok saya kat sini. Takda siapa nak jaga nanti.” Zahara menolak pelawaan Arya dengan baik.
“Okey, takpalah kalau macam tu. Ilya, boleh ya minggu depan?” soal Arya memohon kepastian.
“Walau macam mana sekalipun, saya tetap kena pergi juga,” ujar Ilya bersungguh-sungguh. Nampaknya dia sudah membulatkan tekadnya.
‘Hmm ... nampaknya ada juga singa betina yang mengamuk nanti,’ desis Zaf di dalam hati. Dari tadi, dia asyik memerhatikan dan mendengar perbualan mereka bertiga senyap-senyap.