Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
122,169
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 22

SPIRITUAL REALM

"Oh, nampaknya manusia tu dah masuk perangkap yang aku buat. Tak sangka, senang-senang je dia masuk perangkap aku." Ilya dapat mendengar satu suara garau lagi menyeramkan dari arah belakang. Spontan dia menoleh ke arah punca suara.

Seekor spirit kelihatan sedang mencangkung di atas tiang lampu. Spirit itu menyeringai menampakkan sebaris giginya yang runcing dan berwarna hitam. Badannya licin tanpa bulu. Kuku tangan serta kakinya runcing. Kepalanya botak.

Ilya terpanar seketika tatkala ternampak kelibat makhluk menyeramkan itu. Dia tidak tahu apa yang patut dilakukan sekarang.

'Ah, habislah! Lagi sekali aku terperangkap dalam dunia pelik spirit ni.' Ilya baru menyedari situasi yang dia sedang hadapi sekarang.

***

Arya terjaga dari tidurnya dalam keadaan peluh penuh merenik di dahinya sehingga lenjun. Dadanya berdegup dengan pantas seirama. Pantas dia mengerling ke arah jam di dinding biliknya. Jam menunjukkan pukul 11.00 malam.

'Masih terlalu awal. Tapi tu tak bermakna takda spirit akan berkeliaran,' desis Arya sendiri.

Arya mengenepikan selimut bermotif bulan bintang yang membungkus tubuhnya. Dia bingkas bangun menuju ke arah meja belajarnya. Telefon pintar yang berada di atas meja diambil. Ada mesej yang masuk. Mesej itu dihantar oleh pemberi maklumat Exorcizans beberapa minit yang lalu.

Arya pantas melarikan jarinya di atas skrin sesentuh telefon pintar tersebut untuk membaca mesej yang baru sampai. Mesej itu berbunyi begini.

Ada seseorangdikesanhilangdikoordinat 1103 padapukul 10.32 malam. Dipercayaikena kidnap dengan spirit. Dan kemungkinanbesardiadibawakedimensimereka. Jalankanmisini, sebabkau yang paling berhampirandenganlokasikejadian.

-Ratna Himeka-

Arya terus menyimpan telefon pintarnya ke dalam poket seluar setelah membaca mesej itu sekali lalu. Dia terus berjalan ke arah penyangkut baju untuk mengambil sweater berwarna kelabu yang disangkutkan di situ. Malam ini cuaca lebih dingin daripada kebiasaan. Dia harus memakai sweater itu untuk melindungi dirinya daripada cuaca sejuk.

Arya berjalan terhendap-hendap menuruni tangga rumahnya. Dia tidak mahu ibunya, Lisa tahu yang dia keluar dari rumah tanpa kebenaran. Lebih-lebih lagi pada waktu lewat malam sebegini. Nasibnya memang baik kerana kebiasaannya, Lisa telah tidur pada waktu sebegini. Bapanya pula masih belum pulang dari tempat kerja.

Hampir setiap malam Arya bernasib baik. Jika ibu dan bapanya tahu kegiatannya, mereka pasti akan mengesyaki sesuatu.

Arya mengeluarkan basikal dari dalam garaj. Basikal itu boleh dilipat bagi memudahkan penggunanya menyimpan di tempat yang sempit. Dengan pantas sekali Arya membuka lipatan basikal itu untuk menggunakannya. Setelah basikal itu gagah berdiri, Arya terus menaikinya lalu meredah malam yang hening lagi dingin itu seorang diri.

'Itu pasti Ilya Harissa. Aku tak silap. Ya, bayangan dalam mimpi aku tak pernah silap. Aku harus percayakan dia.'

***

Ilya berundur setapak demi setapak, menjauhi spirit itu yang mula menghampirinya. Makhluk menyeramkan itu seperti sengaja melambat-lambatkan langkahnya. Lagipun dia tahu, lambat-laun Ilya akan terperangkap juga akhirnya. Dia sudah tidak dapat lari lagi dari dimensi ini. Gadis mentah ini pasti tidak tahu bagaimana caranya untuk pulang ke dimensi asalnya.

"A ... apa kau nak dari aku?" soal Ilya terketar-ketar. Sedikit sebanyak dia berasa gerun dengan pandangan tajam yang dilemparkan makhluk ini kepadanya.

"Kau tak tahu apa-apa ke, wahai manusia yang lemah?" soal spirit itu dengan nada menjengkelkan.

"Ma ... ma ... maksud kau?" soal Ilya lagi masih dengan nada terketar-ketar.

"Sayangnya. Kau ada kebolehan yang hebat tapi kau tak tahu langsung gunakannya. Sayang betul," tutur spirit itu lagi yang menambahkan kekeliruan di minda Ilya.

Ilya langsung tidak dapat menangkap apa yang ingin disampaikan makhluk itu kepadanya. Apa yang dia tahu, dia cuma ingin melepaskan dirinya daripada cengkaman makhluk itu. Akan tetapi, bagaimana dia ingin mencari jalan keluar? Tidak mungkinlah dengan spirit itu, sedangkan makhluk itu sendiri yang memerangkapnya ke dunia pelik ini.

"Takpalah, kalau begitu. Nampaknya kau takdalah bahaya sangat seperti yang mereka katakan. Takda gunanya ilmu pengetahuan tanpa kebijaksanaan. Takda gunanya kebijaksanaan tanpa ilmu pengetahuan. Kau ni mana satu ya? Ah, biarlah! Itu semua dah tak penting sekarang. Yang penting sekarang...."

Makhluk itu secara tiba-tiba menghilang lalu muncul betul-betul di belakang Ilya. Pantas Ilya berpusing ke belakang tatkala menyedari kehadiran makhluk itu di belakangnya. Kedudukannya hampir sekali. Hanya beberapa inci. Seringai yang menyeramkan lagi menjengkelkan ditayangkan ke arah Ilya. Memang kepakaran makhluk ini pun untuk menakutkan manusia.

Ilya berundur sedikit ke belakang, menjauhi makhluk itu. Dia risau lidah makhluk itu akan terjelir lalu menjilat mukanya secara tiba-tiba. Mungkin juga makhluk itu berhasrat ingin menjadikan dia hidangan makan malam.

Meremang bulu roma Ilya tatkala memikirkan pelbagai kemungkinan yang akan terjadi. Dia sendiri tidak dapat mengagak apa yang ingin spirit itu lakukan ke atasnya. Apa yang spirit itu mahukan dengan dirinya. Malah, dia langsung tidak faham butir bicara spirit itu sedari tadi.

"Memandangkan malam masih muda, apa kata kita bermain-main," cadang spirit itu sambil mencangkung di hadapan Ilya. Dia merenung Ilya dengan tenungan seribu makna.

"Bermain-main?" balas Ilya. Mindanya sudah mencetuskan suatu idea. Bukannya dia inginkan sangat pun untuk terjun dalam permainan spirit ini, tetapi ada sesuatu yang dia inginkan. Dia fikir, dia boleh korek maklumat melalui spirit ini, walaupun tidak boleh dipercayai 100% maklumatnya.

"Kenapa? Kau berminat?" Ilya membalas dengan anggukan kecil.

"Oh, kau memang berani, manusia," balas spirit itu teruja.

Ilya terus duduk bersila di hadapan spirit itu supaya tubuh mereka sama paras.

"Apa yang kau maksudkan dengan ilmu pengetahuan tadi? Apa yang kau maksudkan dengan kebolehan aku?" Belum sempat spirit itu bersuara, Ilya telah memintas terlebih dahulu. Terus kepada pokok persoalan. Entah kenapa, kata-kata spirit itu tadi menjentik perasaan ingin tahu di benaknya.

Spirit itu menarik pinggir bibirnya sehingga membentuk seringai yang lebar sebelum ketawa besar. Ketawa besar yang berpanjangan, seolah-olah ada perkara lucu yang mencuit hatinya. Ilya pula hanya diam sambil menanti jawapan daripada makhluk itu. Meskipun riak tenang sedang dipamerkan gadis itu, dalam hatinya sudah bergelojak amarah dan rasa jengkel.

"Nampaknya kau memang tak tahu apa-apa, kan manusia? Kau memang bertuah sebab aku tak terfikir untuk hapuskan kau. Kalau tak, masakan aku di sini dan sudi menjawab soalan darimu?" Spirit itu sengaja bermain dengan kata-kata. Tidak berterus-terang akan hal yang sebenarnya.

Ilya tidak membalas apa-apa. Sebaliknya hanya mendengus, mengekspres rasa tidak puas hatinya.

"Dahlah, sesi soal jawab dah tamat. Sudah tiba masanya untuk mulakan permainan aku." Spirit itu tiba-tiba bangkit berdiri. Ilya yang terperanjat dengan tingkah spirit itu turut bangkit.

Spirit itu memetik jarinya.

Tik!

Dalam sekelip mata, pemandangan di sekitar Ilya berubah serta-merta. Tiada lagi jalan-jalan, tiang lampu yang berbaris berserta jujukan rumah penghuni bandar itu di sekitarnya. Sebaliknya, semua itu digantikan dengan hutan belantara yang tidak terkira luasnya. Sejauh mata memandang. Suasana gelap-gelita menambahkan keseraman di hutan itu.

Spirit itu tadi pula sudah ghaib entah ke mana. Tubuhnya langsung tidak kelihatan. Mata Ilya meliar ke kiri dan ke kanan, memerhatikan segenap penjuru hutan belantara ini. Tubuhnya yang kecil hilang ditelan kepekatan malam.

"Hai manusia, sudah sedia untuk permainan ini?" ujar spirit itu disusuli dengan ketawa besar yang berpanjangan. Bergema suaranya di segenap ruang hutan ini, tetapi susuk tubuhnya langsung tidak kelihatan.

Tersentak Ilya tatkala mendengar suara spirit itu memecah keheningan malam. Tubuhnya terundur sedikit ke belakang. Telinganya pula kekal waspada akan bunyi-bunyi di sekitarnya. Bersedia untuk menghadapi segala ancaman.

"Permainan ini mudah saja. Kau hanya perlu cari jalan keluar dari hutan ni. Kalau kau berjaya, kau akan aku bebaskan dari dimensi ni. Itu pun kalau kau berjayalah." Sekali lagi pecah berderai tawa makhluk menyeramkan itu.

'Ei, cepatlah! Entah apa yang lawaknya aku pun tak tahu,' getus hati Ilya sambil memicingkan mata. Dia sedikit pun tidak takut, sebaliknya hanya berasa meluat dengan perangai makhluk itu yang tidak habis-habis ketawa sedari tadi.

"Tapi, kau tahu manusia. Kau bertuah malam ni sebab aku nak bagi kau petunjuk untuk keluar dari hutan ni. Untuk manusia lain aku tak bagi, untuk kau saja aku bagi special."

Spirit itu yang sedang memerhati Ilya dari ruang dimensi yang berbeza, sekali lagi memetik jarinya. Di hadapan makhluk itu terdapat sebuah sfera yang memancarkan imej sebuah hutan belantara. Ilya dilihat sedang terpinga-pinga mencari arah di tengah hutan itu.

Tik!

Menjelma beberapa api kecil berwarna biru berapungan di sekitar hutan itu. Ilya yang menyedari akan kehadiran api biru itu terus melilaukan pandangannya ke persekitaran. Memerhatikan setiap satu. Menilik sifat fizikal api biru itu. Memerhatikan dan mencari apa-apa yang boleh dijadikan petunjuk untuk keluar dari hutan ini.

Seringai yang lebar muncul di bibir pucat spirit itu.

'Aku nak tengok, sejauh mana kebijaksanaan manusia ni seperti yang dikata. Malam ni akan jadi sangat menarik dengan permainan ini,' desis spirit itu sendiri.

'Jadi, petunjuknya api kecil warna biru ni. Tapi ada banyak ni. Mana satu yang betul?' soal Ilya sendiri.

'Kejap! Kejap! Sejak dari tadi lagi, ada banyak benda pelik berlaku. Semuanya tak masuk akal. Aku boleh sesat kat jalan yang aku lalu hari-hari. Macam ada seseorang yang ubah jalan tu. Lepastu, tiba-tiba aku sampai kat hutan pelik ni. Api biru ni apa benda pula?' Bertubi-tubi soalan menerjah di ruangan mindanya.

'Ah, semua ni tak masuk akal. Tapi, bukan itu yang penting sekarang ni. Sepatutnya aku fikirkan cara untuk keluar dari permainan gila ni.' Ilya cuba mengutip semula rasionalnya yang sudah berterabur.

Pandangannya kembali ditancapkan pada api-api biru yang terapung di sekelilingnya. Satu demi satu api biru itu ditiliknya.

'Takkanlah semua sekali kot. Mesti ada salah satu daripadanya yang lain daripada yang lain.'

Secara tiba-tiba, pandangannya menangkap salah satu api biru kecil yang kelihatan terbang ke satu arah. Tidak seperti api-api biru lain yang statik di kedudukan masing-masing. Tanpa membuang masa, Ilya terus berlari ke arah api biru itu.

Api-api biru yang lain menerangi sepanjang perjalanan Ilya di hutan belantara itu. Tidaklah dia terlanggar pokok-pokok besar yang menghalang perjalanannya. Langkah diatur penuh hati-hati. Bunyi desahan dengan dedaunan dan ranting di bawah kakinya jelas kedengaran. Matanya pula terus difokuskan kepada sang api biru yang bergerak ke satu arah. Dia tidak mahu hilang jejak.

"Sikit je lagi. Huh! Huh!" gumam Ilya sambil tercungap-cungap mencari nafas.

Walaupun dia hanya berjalan seperti biasa, tetapi dia tetap penat dek jauhnya perjalanan yang diharunginya sedari tadi. Lagipun, dia langsung tidak bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini.

Api biru terapung yang dikejarnya tadi semakin jelas kelihatan di pandangan mata. Fikirnya, api biru itu akan menunjukkan kepadanya jalan pulang.

***

'Oh ho, makin menarik. Kau tak pernah dengar pasal Will O Wisp ke, manusia?' soal spirit itu masih dengan seringai yang menjengkelkan sejak dari tadi.

***

Arya memarkir basikalnya di sebelah tiang lampu. Basikal itu dikuncinya. Matanya melilau memerhatikan persekitaran.

'Mengikut maklumat yang diberikan Miss Mind Explorer tu, sepatutnya kat sini lokasi dia hilang. Mesti dia dah kena kidnap masuk spiritual realm sekali lagi macam hari tu. Dalam bulan ni dah dua kali dah,' tutur Arya di dalam hati sambil matanya melingas memerhatikan persekitaran.

'Baiklah, aku akan gunakan Third Eye untuk cari kedudukan Ilya. Mesti spirit tu ada dekat-dekat sini bersama dengannya.' Arya memejamkan matanya. Tumpuan difokuskan sepenuhnya untuk mengesan kedudukan Ilya. Mindanya cuba dikosongkan daripada memikirkan perkara lain.

Setelah beberapa saat mendiamkan diri, Ilya membuka matanya secara mendadak. Bibirnya pula terkumat-kamit melafazkan bicara, "Let me enter the spiritual realm." Bukan lafaz mantera, cuma lafaz bicara sebagai permulaan kakinya menjejak langkah ke alam lain. Alam yang dihuni para spirit.

Sejurus dia melafazkan bicara itu, suasana di sekitarnya berubah perlahan-lahan. Bangunan-bangunan yang berada di sekitarnya lambat-lambat hilang ditelan kepekatan malam, ibarat warna yang larut di dalam air.

Segala objek di sekelilingnya sama ada binaan manusia atau semula jadi, kesemuanya hilang. Digantikan dengan pemandangan serba gelap tanpa sebarang cahaya. Serba kosong tanpa sebarang objek. Serba sunyi tanpa sebarang suara. Hanya jasad Arya satu-satunya entiti yang mengisi kekosongan ruang hitam itu.

Perlahan-lahan Arya melangkah ke hadapan. Walaupun hadapan, belakang, kiri dan kanan seperti tiada makna di ruang ini. Semuanya kelihatan sama. Horizon pula tidak wujud kerana keluasannya infiniti. Dari kejauhan, dia ternampak satu susuk tubuh sedang memerhatikan sesuatu yang bercahaya. Cahaya itu agak malap pada pandangannya.

Arya menapak perlahan-lahan ke hadapan. Tidak mahu si pemilik susuk tubuh menyedari kehadirannya. Dia tahu, makhluk itu pasti spirit yang membawa Ilya ke dimensi ini. Bagaimana dia mengetahuinya? Dia tidak tahu. Yang pasti dia tahu. Dia tahu dan dia yakin. Dia yakin kerana seseorang atau sesuatu memberitahunya.

Belum pun sempat Arya merancang untuk menyerang hendap spirit itu, satu suara garau tiba-tiba menegurnya dari arah belakang. "Kau memang berani, kan? Wahai manusia yang lemah."


Previous: BAB 21
Next: BAB 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.