Home Novel Seram/Misteri Rangkulan Jin
Rangkulan Jin
Meja Editor
11/11/2024 09:25:14
2,036
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 6

AYUMI berdiri di tengah-tengah sebuah kamar peraduan yang luasnya dua kali ganda daripada bilik tidurnya sebelum ini. Dia perhatikan segenap ruang bilik mewah itu dengan mulut yang terlopong. Bagai kisah dongeng seorang puteri raja, hari ini dia berpeluang merasai pengalaman itu.

Suara Kenit mengiau kelaparan menyedarkan Ayumi daripada khayalan panjangnya. Segera kucing itu diberi makan sebelum dia duduk di birai katil bersaiz king itu.

Matanya terhenti pada rak buku yang besarnya hampir menutupi keseluruhan dinding di belakang kepala katil. Kebanyakan buku yang ada terdiri daripada english classic novel dan karya sastera Melayu.

Kemudian, matanya beralih pada sebuah pintu kaca yang menjadi pemisah antara bilik dan ruang balkoni luar. Ayumi bangun mendekati pintu kaca itu lalu membukanya. Angin senja menampar lembut wajahnya. Dia terpegun menyaksikan keindahan panorama gunung-ganang yang menghijau di kejauhan.

Bunyi ketukan di luar pintu bilik menarik perhatian Ayumi. Terjengul wajah Daniel di sebalik pintu.

"Ada apa-apa yang boleh saya bantu?" Daniel menyoal soalan lazim kepada sesiapa yang pertama kali menjejak di vila ini.

"Setakat ini tak ada apa-apa. Semua baik-baik aje," balas Ayumi kekok. Ekor matanya mencuri pandang wajah Daniel yang serius tanpa segaris senyuman.

"Kalau begitu, saya minta diri dulu. Andai Cik Ayumi perlukan apa-apa, boleh panggil saya guna telefon khas di tepi dinding ini," beritahu Daniel sambil menuding ke arah telefon yang dimaksudkan.

Ayumi mengangguk. Dia menutup semula pintu kaca sebaik saja Daniel berlalu pergi. Pada masa yang sama, jendela di tepi meja solek terkuak sendiri sebelum laju menghempas dinding tanpa ada sesiapa yang menggerakkannya walaupun deruan angin.

BUNYI air pancuran di dalam bilik mandi yang mengitari suasana sepi dalam bilik utama di tingkat bawah itu terhenti. Radziah melangkah keluar dari bilik mandi sambil mengeringkan rambut. Dia menghampiri Muzaffar yang sedang terbaring kepenatan di atas katil.

"Abang, nak tahu tak? Keluasan bilik mandi dah macam luas ruang tamu rumah sewa kita sampai boleh muatkan tab mandi. Ija dapat rasakan perabot dan barang hiasan dalam vila ni mesti mencecah ribuan ringgit," ujar Radziah kagum.

"Bukan ribuan tapi jutaan nilainya. Segala harta benda dalam vila ni adalah asli dan ada sebahagian barangan dalam vila ini lebih tua usianya berbanding usia vila ni sendiri." Muzaffar mengulang cerita yang disampaikan oleh Daniel.

"Biar betul? Mana abang tahu?" soal Radziah terkejut.

"Betullah. Daniel yang beritahu masa kami bertiga duduk bercerita selepas makan malam tadi. Kalau ikut perkiraan abang, vila ni siap dibina tahun 1968. Jadi, anggaran usia vila ni dah mencecah 50 tahun."

Radziah terlopong. Ini bermakna Villa de Amour telah wujud selepas 11 tahun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Muzaffar bangkit daripada perbaringan. Langkah kakinya diatur menuju ke bilik mandi sebelum dia terhenti dan menoleh ke arah isterinya.

"Bayangkan jika semua harta tinggalan Tuan Ibrahim ini menjadi milik kita sekeluarga. Pasti indah, kan, Ija?" Muzaffar tersenyum kecil, namun penuh makna.

Radziah termangu di atas katil sendirian. Suaminya pula sudah masuk ke bilik mandi. Kata-kata Muzaffar tadi terngiang-ngiang. Membuatkan dia terlontar jauh ke fikiran yang mendalam. Keraguan yang bersarang dalam hati cuba dijinakkan dengan kata-kata pujukan. 

"Tiga bulan saja. Bukan lama pun," pujuk hati kecilnya.

SHAHRILL ralit meneliti satu per satu mesej yang masuk di WhatsApp. Sesekali dia membetulkan posisi perbaringannya apabila terasa urat badannya menegang.

Karina pula berdiri tegak di tepi jendela sambil meninjau pemandangan di luar. Keningnya terangkat tatkala terpandangkan seekor musang keluar dari celahan belukar. Seperti sedang mencari makanan. Pandangannya mengikut pergerakan haiwan itu yang melompat memanjat sebatang pokok sederhana besar.

Ketika itu, dia ternampak kelibat berbalam-balam seperti seorang perempuan sedang berjalan tidak jauh dari pokok itu. Sepasang matanya mengecil untuk melihat gerangan siapakah yang berjalan seorang diri dalam hutan pada waktu hampir lewat malam ini.

Tiba-tiba, kelibat perempuan itu berhenti melangkah sebelum mengalihkan tubuhnya lalu melihat ke arah Karina. Rambutnya yang panjang mengurai, menutup separuh wajah pucat dan mata kuyunya. 

Karina terundur apabila kelibat itu mula berjalan ke arahnya sehingga tanpa sedar, kaki kirinya terpelecok lantas jatuh terduduk di atas lantai. Tingkah lakunya itu mengejutkan Shahrill.

"Kenapa ni, Cinta?" Shahrill menghampiri isterinya yang masih membatu tanpa berusaha untuk bangun semula.

Dia mengintai di luar jendela apabila jari telunjuk Karina yang menggeletar menunjuk ke arah itu. Matanya mengimbas segenap kawasan di luar, namun tidak menjumpai apa-apa.

"Tak ada apa-apa pun kat luar tu?" komen Shahrill.

Dahi Karina berkerut. Dia segera bangkit dan memeriksa semula keadaan di luar, tetapi kelibat perempuan itu sudah tiada. Shahrill pantas mengunci jendela apabila hatinya dipagut rasa tidak senang. 

"Sudah. Jangan cakap lagi. Hari dah lewat malam.

"Jom tidur," ajak Shahrill seraya memimpin tangan isterinya menuju ke katil. Kedua-duanya membaringkan tubuh setelah itu.

"Cinta rasa vila ni peliklah, abang. Macam ada sesuatu yang tak kena." Karina meluahkan apa yang bergelora dalam hati.

Tiba saja di Villa de Amour petang tadi pun, dia sudah merasa perasaan yang tidak enak. Bagai ada mata-mata ghaib sedang memerhatikannya.

"Jangan dilayan perasaan bukan-bukan tu. Tidur cepat. Esok kita nak bertolak balik awal pagi."

"Cinta rasa tak sedap hatilah, abang. Cinta rasa ada benda buruk pernah terjadi di vila ni," luah Karina resah.

Dia dapat merasakan kelibat wanita berkebaya itu seakan-akan telah membuka hijabnya yang telah tertutup sekian lama.

Karina mengalih kepalanya melihat ke arah Shahrill apabila suaminya tidak memberi respons kepada luahannya. Ternyata suaminya telah tertidur. Dia melepaskan keluhan berat. Terbayang-bayang imej wanita berkebaya putih di ruang matanya.


Nota: Ini adalah siaran terakhir di laman ini. Bacaan lanjut, dapatkan buku di Karangkraf Mall: https://www.karangkrafmall.com/rangkulan-jin-iki-crrienna

Previous: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.