Home Novel Seram/Misteri Rangkulan Jin
Rangkulan Jin
Meja Editor
11/11/2024 09:25:14
2,034
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Prolog1

Tahun 1982

Villa de Amour, Cameron Highlands

NAFAS berat menderu laju. Tercungap-cungap menghirup udara. Begitu juga jantungnya. Berdetak kencang. Sekencang hujan ribut yang melanda di luar sana. Kilat yang sabung-menyabung, memuntahkan gelombang nyahcas elektrik berkelajuan 60,000 meter per saat di ruang atmosfera. Membelah dada langit yang hitam pekat diliputi oleh awan tebal.

Di satu tempat, kelihatan seorang wanita dalam kepayahan sedang mengheret sekujur tubuh yang sudah tidak bernyawa. Peluh yang menitik pada dahi diseka sekilas. Bebanan mayat  seberat 80 kilogram itu menghakis banyak kudratnya. Meskipun begitu, kerjatetap diteruskan.

Tiba saja di tempat yang ditujui, tubuh terkulai itu ditinggalkan seketika. Sebidang karpet yang terhampar di atas lantai di hadapannya, dialihkan ke tepi. Kelihatan satu penutup lubang besi bersaiz lapan kaki panjang kali empat kaki lebar, yang dibina khas untuk menyimpan pelbagai barangan berharga.

Dengan penuh berhati-hati, penutup besi itu dibuka. Di situ, dia duduk bertingkir di tepi, mengintai ke dalam lubang rahsia itu. Jika mengikut rencananya, dia mahu menyembunyikan mayat itu di situ. Hanya tempat itu yang selamat mengikut pendapatnya.

Setelah memastikan ruang dalam lubang itu kosong, tubuh mayat itu diheret semula masuk ke dalam lubang lalu dibaringkan.

Kala itulah hatinya dirundung sebak. Jari-jemari runcingnya menyentuh lembut pipi mayat itu.

"Biarpun kita berdua terpisah dunia, namun cintaku milikmu selamanya. Tiada sesiapa yang akan menghalang cinta kita berdua lagi, sayang," ucapnya penuh beremosi sebelum menutup mayat itu dengan sehelai kain.

Dengan hati yang berat, lubang kedap udara sedalam empat kaki itu ditutup kembali. Dia memastikan penutup besi itu ditutup serapat-rapatnya sebelum menghampar kembali karpet itu agar kewujudannya tidak diketahui.

Sebuah potret yang tergantung di dinding bertentangan dengan lubang rahsia itu menjadi saksisegala perbuatan "jahat" wanita itu dari awal hingga ke akhir.

RAK buku setinggi lapan kaki yang menjadi sempadan menutupi antara ruang rahsia dan sebuah kamar peraduan bergeseran ketika picu kuncinya ditarik. Menghasilkan bunyi yang bergaung sebelum bergerak menutup laluan masuk ke ruang rahsia itu serapat-rapatnya.

Wanita tadi berhenti di hadapan sebuah cermin. Merenung dirinya yang berserabai. Gaun putih meleret yang tersarung di tubuhnya kotor dengan bekas darah manusia.

Sungguhpun begitu, dia tidak berasa takut mahupun menyesal. Asalkan rahsianya terus terpelihara, dia akan terus hidup seperti biasa dan menganggap apa yang telah berlaku sebagai suratan takdir. Tanpa membuang masa, dia mula melakukan kerja mencuci. Mana bekasbekasdarah yang mengotori lantai, disental dan dilap hingga bersih.

Tatkala itulah telinganya terdengar satu bunyi muncul dari tingkat bawah. Bunyi seakan-akan pintu dibuka dan ditutup semula. Kemudian, bunyi kaki melangkah pula kedengaran. Dia mula bersiaga. Mop yang dipegang, diletak di tepi dinding. Dia beredar untuk mengambil sebilah pisau yang masih berlumuran darah.

Diatur langkahnya seperti pencuri malam. Dia menuruni anak tangga tanpa sebarang bunyi.Pendengarannya dipasang tajam. Tiada lagi kedengaran bunyi yang mencurigakan. Namun, tetap tidak melalaikan dirinya. Matanya berlegar mencari sasaran yang harus dihapuskan jika membawa ancaman kepada dirinya.

Dia mengorak langkah ke ruang tamu yang agak bersepah. Beberapa tompokan darah di tepi sebuah sofa menjadi tatapannya. Di situlah kejadian pembunuhan itu berlaku. Yang memaksa dirinya meragut nyawa insan yang amat dicintainya. Tidak mahu dirinya terjerumus ke dalam masalah besar, dia harus membersihkan darah itu dengan segera. Waktu itulah, satu lembaga melayang laju menerpa ke arahnya sewaktu dia ingin ke dapur. Memaksa dia menjerit hingga ke puncak suara.

DUA ekor burung pipit berkicauan riang. Berterbangan bersama sebelum mendarat di tepi bucu pancuran air pancut. Merenung ke arah sekumpulan pekerja yang sedang berhimpun di luar pintu masuk sebuah vila mewah. Suara mereka berdengung seperti lebah, saling berkeluh-kesah sesama sendiri.

Di atas sebatang jalan raya, sebuah kereta Mercedes dipandu dalam kelajuan sederhana. Kelihatan seorang lelaki berbangsa Inggeris sedang berbual-bual bersama seorang wanita berketurunan Melayu di kerusi duduk belakang. Mereka ialah Tuan Ibrahim Smith William dan Puan Mahani yang merupakan pasangan suami isteri.

Sesekali gelagat suami isteri itu dicuri pandang melalui cermin pandang belakang oleh seorang lelaki berusia bernama Pak Kassim yang duduk di kerusi penumpang bahagian hadapan. Kelajuan kereta mewah itu berkurangan sewaktu membelok masuk melepasi sebuah pintu pagar masuk. Di situ, kelihatan para pengawal berkumpul di tepi pondok pengawal denganwajah yang cemas.

"Apa yang sedang berlaku? Mengapa kamu semua berkumpul di sini?" Tuan Ibrahim menegur seorang pengawal bernama Jais dari dalam kereta.

"Sesuatu yang buruk telah berlaku di vila, Tuan Ibrahim. Pihak polis sedang membuat siasatan di sana." Jais memberitahu apa yang diketahuinya.

"Apa maksud kamu? Buruk macam mana?" Tuan Ibrahim dilanda kejutan.

"Maafkan saya, Tuan Ibrahim. Saya kurang pasti. Saya masih menunggu maklumat terkini daripada mereka."

Tuan Ibrahim diburu resah. Sinar matanya mengandungi sangkaan buruk. Puan Mahani yang duduk di sebelah, segera mengarahkan pemandu membawa mereka ke vila kediaman mereka.

Setiba di sana, mereka berdua bergegas keluar dari kereta sambil diekori oleh Pak Kassim. Kumpulan pekerja yang masih mengerumuni hadapan pintu masuk vila diminta ke tepi. Rata-rata mereka terkejut dengan kepulangan Tuan Ibrahim dan Puan Mahani.

"Apa yang sedang berlaku? Kenapa pihak polis berada di sini?" soal Tuan Ibrahim yang didesak ingin tahu. Dia merenung wajah para pekerjanya satu per satu.

"Kami juga tidak tahu apa yang telah terjadi, Tuan Ibrahim," jawab salah seorang pekerja di situ, diikuti dengan anggukan daripada pekerja-pekerja lain.

Tuan Ibrahim menggeleng tidak percaya. Mustahil para pekerjanya tidak mengetahui apa yang telah terjadi di vilanya. Tidak tahan dengan desakan hati, Tuan Ibrahim meredah masuk ke dalam vila biarpun pintu masuk direntangi pita dilarang masuk.
Di situ, dia ditahan oleh dua orang polis yang sedang melakukan pemeriksaan di segenap sudut ruang tamu yang bagaikan dilanggar oleh garuda. Bersepah-sepah  seperti satu pergaduhan hebat telah berlaku di situ.

Puan Mahani yang menyusul kemudian terbuntang melihat banyak tompokan darah dan kesan tapak kasut serta kaki berwarna merah mengotori seluruh lantai ruang tamu.

"Darah milik siapa ini, tuan?" Tuan Ibrahim menyoal salah seorang anggota polis di situ.

"Saya tidak pasti. Kami masih sedang menjalankan siasatan dan pemeriksaan," jawab anggota polis itu dalam nada serius. Dia meminta Tuan Ibrahim dan Puan Mahani berundur  mengosongkan kawasan itu semula.

"Saya tidak nampak Rina di mana-mana. Sesuatu pasti sudah terjadi pada Rina," ujar Puan Mahani cemas.
Tuan Ibrahim segera menenangkan isterinya yang mula mengeluarkan tangis biarpun dia sendiri sedang bergelut dengan hambatan emosi yang berat.

Tiba-tiba, seorang pekerja lelaki berlari dalam langkah tidak teratur menghampiri kumpulan pekerja yang masih berkumpul. Membawa perkhabaran dari rumah kaca. Tuan Ibrahim yang terdengar pantas menerpa pekerja lelaki itu.

"Pihak polis menjumpai seorang lelaki cedera parah tidak sedarkan diri di rumah kaca. Kepalanya pecah."

Tuan Ibrahim terduduk mendengarnya manakala Puan Mahani pengsan tidak sedarkan diri. Pak Kassim yang sedari tadi hanya memerhati, segera meminta para pekerja membantu membawa majikan mereka ke kawasan yang selamat.

Next: Prolog2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.