Home Novel Seram/Misteri Manusia Iblis
Manusia Iblis
Meja Editor
11/11/2024 09:13:19
412
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 3

AMRI menguap berkali-kali. Dia masih menunggu di dalam kereta berwarna putih itu. Dia berasa Jimi pergi terlalu lama ke dalam belukar itu. Hatinya juga berasa sesuatu yang tidak enak. Kebimbangannya terhadap Jimi ada sebabnya, terutama kawasan yang mereka berhenti itu bukanlah tempat yang mereka selalu singgah. Malah jalan yang mereka lalui sekarang amat jarang sekali ada kenderaan.

"Apa Si Jimi ni buat lama sangat? Berak batu ke apa?" rungut Amri.

Dia akhirnya nekad untuk turun dari kenderaan itu. Lampu suluh yang dia jumpa di dalam kereta dibawa bersama. Turut dibawa bersama ialah kunci kereta Jimi. Dia tidak mahu meninggalkan kereta rakannya itu di tubir jalan, bimbang juga kalau ada pencuri. Usai mengunci pintu kereta Jimi, Amri tidak bertangguh lagi. Dia terus bergerak menuju ke dalam hutan di mana Jimi masuk sebentar tadi. Dengan berpandukan lampu suluh, Amri bergerak meredah kegelapan malam mencari sahabatnya.

"Manalah kau ni Jimi? Nak melepas pun janganlah masuk ke dalam sangat," omel Amri dengan wajah yang tidak berpuas hati.

Ranting dan duri diredahnya perlahan-lahan. Permukaan tanah yang tidak rata juga membuatkan Amri berhati-hati ketika menapak dan meredah kegelapan malam di dalam hutan itu. Dia berdiri seketika seraya menghala cahaya lampu suluhnya itu ke kiri dan ke kanan.

"Jimi!" laung Amri dengan kuat.

Tiada sahutan. Amri merengus kasar. Nama rakannya itu dicanang lagi. Kali ini lebih kuat. Amri berkerut dahi apabila laungan suaranya tidak bersahut. Dia mengambil keputusan untuk bergerak ke dalam lagi. Sesekali dia menoleh ke arah jalan raya. Kereta Nissan Sunny berwarna putih itu kelihatan berbalam-balam. Kini dia sudah semakin jauh ke dalam hutan.

"Macam mana ni? Dah lama sangat Si Jimi ni masuk ke dalam. Perlu ke aku masuk ke dalam lagi?"

Resah terukir jelas di wajah Amri. Walaupun dia terasa berat hendak melangkah ke dalam lagi, demi keselamatan rakannya yang perlu dicari, dia melangkah jua. Kerana waktu sudah semakin lewat dan Jimi masih lagi tidak memunculkan dirinya.

"Aku dah bosan menunggu kau ni Jimi. Tak sudah lagi ke!" laung Amri lagi seraya meredah hutan itu dengan perlahan-lahan dan berhati-hati.

Amri termati langkah apabila dia seperti terdengar sesuatu. Dia terhendap-hendap ke satu arah apabila terlihat seperti ada beberapa susuk tubuh sedang bergerak.

Cahaya purnama yang terang-benderang itu sedikit sebanyak memberikan bantuan penglihatan kepada Amri. Amri mematikan cahaya lampu suluh kerana dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Dia berharap susuk tubuh itu tidak dapat mengesan keberadaannya.

"Am ... ri ...."

Terkejut Amri kala terdengar suara Jimi melaung memanggilnya. Amri mendengar Jimi seperti dalam kesakitan. Barangkali rakannya itu ditimpa sesuatu.

"Jimi?" balas Amri sambil melilau-lilau.

Akhirnya, retina mata Amri tertancap kepada satu susuk tubuh yang dirasakan milik Jimi. Dia berdiri merenung ke arah susuk tubuh yang kelam pada pandangan matanya. Amri teragak-agak untuk pergi ke arah susuk tubuh itu. Bimbang bukan Jimi.

Akhirnya, Amri kembali  menghidupkan cahaya lampu suluh yang sengaja dipadamkan sebentar tadi. Ketika ini, baru dia dapat melihat susuk tubuh yang sedang bergerak perlahan dan terhuyung-hayang ke arahnya itu adalah benar-benar rakannya, Jimi. Apa yang menyebabkan Amri terkejut, dia melihat keadaan Jimi yang berlumuran dengan darah. Pelbagai persoalan bermain di fikirannya.

"Am ... cepat lari ... lari ... selamatkan diri!" teriak Jimi.

Amri terkedu apabila melihat Jimi yang teruk terluka di setiap bahagian tubuhnya.
"Ji ... Jimi ... kenapa ni?"

Amri bagaikan menjadi patung cendana, bingung dan tertanya-tanya. Dia kaku di situ. Jimi yang bersusah payah berjalan dengan terhincut-hincut itu akhirnya terduduk melutut, mengerang kesakitan. Amri tidak menunggu lama. Dia terus pergi mendapatkan rakannya itu.

"Lari ... lari Amri ... lari se ... selamatkan diri ...." Jimi cuba memberi amaran.

"Ke ... kenapa ni?"

Amri melingas ke kiri dan kanan sebelum melihat ke arah Jimi. Dia menggeletar menahan ketakutan. Di dalam kepalanya sudah terbayang mungkin Jimi telah diserang binatang buas. Mungkin beruang atau mungkin juga Pak Belang. Harimau!

"Mari ... mari kita keluar dari sini."

Amri menggagahkan dirinya membantu Jimi untuk kembali bangkit, walaupun dia sebenarnya seram melihat keadaan rakannya itu yang berlumuran darah.

"Kenapa ni?" soal Amri inginkan kepastian.

Benaknya tidak lari daripada memikirkan tentang harimau belang.
"Jimi ... kau ... kau kena serang dengan binatang?"

Dalam dia sedang memapah Jimi, Amri tetap mahu tahu perkara sebenarnya. Jimi yang mengerang kesakitan seperti sudah tidak mampu untuk berkata-kata.

"Ki ... kita kena ... lari dari ... sini ...," ujar Jimi tanpa menjawab pertanyaan Amri.

Belum pun sempat mereka berdua melangkah lebih jauh, telinga mereka mendengar bunyi dedaunan pepohon renek bergemerencing dari belakang. Susup-sasap bunyi itu hadir, bagaikan ada pergerakan seperti sedang meredah pepohonan begitu kuat dan laju hadir dari belakang. Wajah Jimi sudah cuak, namun Amri masih kebingungan hairan.

"Lari! lari!" tekan Jimi menarik baju Amri.

"Apa benda tu?" soal Amri ingin tahu.

"Lari! Ma ... ti, mati kita nan ... ti ...."

"Harimau ke?" Amri terlopong ketakutan. Dia tetap mengulang tanya kepada Jimi.

"Lari!" Kali ini Jimi menekan dengan kuat suaranya seraya meramas baju Amri dengan kasar.

Baharulah Amri akur dan mula menggerakkan kakinya. Terhincut-hincut Jimi cuba untuk mengikut langkah pergerakan Amri. Semakin mereka melangkah laju, semakin kuat kedengaran pepohon diredah di belakang mereka. Binatang itu seperti sudah tidak jauh daripada mereka.

"Dia ... dia dah dekat!" tekan Jimi yang menoleh ke belakang beberapa kali.

"Dia?" getus Amri.

Akhirnya Jimi tersadung banir pokok di atas tanah dan kedua-duanya rebah hampir tersungkum ke atas tanah. Amri panik, tetapi dia tetap menggagahkan dirinya untuk mengangkat Jimi yang tercedera.

"Bangun Mi ... bangun lekas!" Amri menarik lengan Jimi.

"Kau pergi tinggalkan aku! Selamatkan diri kau!"

Jimi menolak tangan Amri. Dia berasa sudah tidak terdaya untuk bergerak lagi.

"Tapi ...." Teragak-agak Amri.

"Lari tinggalkan tempat ini! Selamatkan diri kau!"

"Kita lari bersama! Aku tak akan tinggalkan kau!" tekan Amri.

"Kita akan mati kat sini! Kau jangan jadi bodoh! Lari!" jerkah Jimi.

Amri cuba mengangkat Jimi, tetapi Jimi menolaknya dengan kasar sehingga Amri terundur sedikit. Wajah Jimi kelihatan menahan kesakitan. Air matanya sudah mengalir membasahi wajahnya. Amri sebenarnya tidak sanggup meninggalkan sahabatnya itu. Namun, melihatkan keadaan Jimi, Amri terpaksa walaupun dia sebenarnya langsung tidak tahu makhluk apakah yang sedang memburu mereka berdua.

"Aku merayu, pergi ... tinggalkan aku! Pergi dari sini ... hubungi polis!" arah Jimi kepada rakannya.

"Tapi ...."

"Amri pergi!" sergah Jimi lantas menolak Amri dengan sedaya upaya yang tersisa.

Amri tidak tahu dan tidak mengerti situasi yang sebenarnya, apa yang pasti mereka berdua sedang diburu sesuatu yang bersifat gasar dan jahat!

"Aku ... aku janji... akan datang balik dan bawa polis bersama aku!" janji Amri. Jimi mengangguk bersama linangan air mata.

Dalam berat hati, dia tetap melangkah meninggalkan Jimi yang terduduk seperti sudah menyerah kalah. Segala tenaga yang dia kandung sudah terhakis. Deru nafasnya juga kelihatan tersendat-sendat.

"Warghhh!"

Satu suara hadir seperti mengaum menyebabkan Amri semakin membuka langkahnya. Dia sudah tidak sanggup untuk menoleh lagi. Dia akan kotakan janjinya untuk membawa pihak polis dan menyelamatkan Jimi. Namun, Amri terberhenti daripada melangkah apabila terdengar suara jeritan kuat Jimi yang ditinggalnya.

Jeritan yang kedengaran cukup ngilu itu terus mematahkan semangat Amri untuk melarikan diri. Sendi lututnya terasa longgar untuk bergerak. Fikirannya sarat dengan pelbagai tanggapan dan persoalan. Dia mula memikirkan akan keselamatan dirinya pula.

"Ji ... Jimi ..." kelur Amri yang menggeletar seluruh tubuh.

Betapa dia ngeri mendengar jeritan maut sahabatnya. Amri masih mendengar suara Jimi menjerit. Rakannya itu seolah-olah sedang diratah hidup-hidup! Akhirnya jeritan Jimi yang melolong di tengah-tengah hutan itu terhenti. Amri pula langsung terduduk dan teresak-esakmenangis di perdu sebatang pokok. Dia sudah tidak berdaya untuk melangkah melarikan dirinya.

Fikirannya diasak dengan suara jeritan yang amat menyeramkan hadir daripada sahabatnya, Jimi. Pelbagai andaian hadir ke dalam fikirannya dan dia menyangka riwayat rakannya itu sudah berangkat pergi. Amri menangis ketakutan di sebalik perdu pokok, malah seluruh tubuhnya menggigil ketakutan.

"Jimi ...," getus Amri.

Dia menangis seperti kanak-kanak di bawah pokok itu. Menangis mengenangkan nasib buruk apakah yang bakal menimpa diri selepas ini. Belum pun reda gemuruh yang melanda di dada, Amri terdengar seperti ada sesuatu sedang berjalan dengan perlahan mendekatinya. Deru nafas kasar makhluk itu jelas hadir ke pendengaran Amri. Cuak kembali merangkul perasaannya.

"Aku tak mahu mati!" tekan Amri.

Dia bingkas bangun dan membuka langkah seribu. Dia sudah tidak mengendahkan lagi duri dan ranting pokok yang menghalang laluannya. Semua diredah sehingga terluka lengan dan wajah. Ketika dia sedang membuka langkah, anak telinganya mendengar satu sambaran angin yang kuat dari arah belakang.

Seketika kemudian, Amri tersentak. Bola matanya terbeliak memandang ke depan. Nafasnya terasa cukup berat. Langkahnya juga menjadi lemah dan kaku. Darah sudah tersembur dari mulut dan mengalir pekat dari hidungnya. Tidak lama selepas itu, Amri rebah.

Dalam pandangan yang kabur, dia merasakan ada sesuatu yang sudah menembusi badan. Sesuatu yang bersifat panjang dan tajam. Amri menunduk melihat ke arah perutnya. Dia pasrah apabila melihat sebatang kayu berbentuk tombak menembusi di bahagian perutnya. Seperti ada seseorang yang membalingnya dengan kuat dari arah belakang. Akhirnya, Amri tersungkur menyembah bumi bersama sisa-sisa nafas yang masih ada.

Air mata kesakitan dan ketakutan mengalir membasahi wajahnya. Nafas yang cuba dihela juga amat payah. Segala tenaga dan kekuatan dari dalam tubuhnya bagaikan sudah hilang dibawa angin malam. Amri tercungap-cungap memandang gelap malam.

"Heeheehee ...."

Bunyi suara ketawa kedengaran jelas di telinga Amri seolah-olah pembunuh itu berada begitu dekat dengan dirinya yang sudah tumbang menunggu ajal. Sebelum pandangan Amri terpejam, anak telinganya jelas mendengar sambaran angin bergeser dengan besi yang diayunkan dengan kuat, lalu menyinggah belakang lehernya.

Sambaran angin itu terus mencantas kepala Amri serta-merta. Darah menyeruak membasahi bumi. Dua nyawa sudah terangkat ke langit pada malam itu. Kematian yang terlalu ngeri!

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.