Home Novel Seram/Misteri Manusia Iblis
Manusia Iblis
Meja Editor
11/11/2024 09:13:19
1,329
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 5

FADIL tersandar kekenyangan. Berselera sungguh dia sebentar tadi. Seleranya kembali terbuka tidak seperti beberapa bulan yang lalu. Kini, masa untuk dia bersantai dan menikmati aroma tembakau yang wangi pula. Rokok Camel dikeluarkan sebelum Fadil merenyuk kotak rokok yang sudah tidak berisi itu.

"Dah habis pulak rokok aku. Mujur aku ada simpan sekotak lagi," omel Fadil.

Rokok yang tidak mempunyai penapis di hujungnya itu dibakar, disedut asapnya dan dihembus ke udara. Nikmat dunia yang sementara itu dikecapi Fadil sepuas-puasnya. Bunyi deruman ekzos lori satu tan menyapa lagi membingitkan telinga. Fadil melihat lori itu mula mengundur perlahan sebelum bergerak meninggalkan pekarangan kedai makan itu.

"Cepat pula dia orang makan. Ah, biarlah. Burp ... alhamdulillah kenyang," ucap Fadil selepas bersendawa.

"Eh, budak motosikal itu dah pergi ke?" getus Fadil apabila dia baru tersedar akan ketiadaan pemuda yang menunggang motosikal itu.

Fadil memaling ke arah lain. Tiada keperluan untuk dia mengambil tahu tentang penunggang motosikal itu. Dia kembali meneguk air yang masih tersisa. Usai membayar, Fadil kembali menuju ke kereta. 

"Hujan pula."

Rintik-rintik hujan yang turun mula membasahi wajahnya. Dengan pantas Fadil membuka langkah kembali masuk ke dalam perut kereta.

"Sudahlah malam makin larut, hujan pula. Entah apalah nasib budak motor tu," omel Fadil seraya menghidupkan enjin keretanya.

Entah kenapa dia teringatkan pemuda bermotosikal itu. Mungkin dahulu dia pernah berhujan dan berpanas bersama motosikalnya ke hulu ke hilir. Sejak sudah berkereta, dia lebih senang dan tidak lagi mengeluh andai cuaca buruk. Setelah bersedia untuk bergerak, Fadil memberikan lampu isyarat kereta. Walaupun malam itu tiada kenderaan yang lalu-lalang, Fadil tetap mengikut peraturan jalan raya.

Fadil memandu dengan tenang. Dia berasa tidak perlu terburu-buru. Apatah lagi, malam itu hujan mulai turun. Kemungkinan jalan raya licin dan bahaya serta berisiko untuk pemandu. Tambahan pula, jalan yang sedang dilalui Fadil agak berliku dan banyak selekoh.

Setelah melalui beberapa selekoh, Fadil berkerut memandang ke tubir jalan. Di situ dia terpandang sesuatu yang mencurigakan. Kelihatan sebuah motosikal dalam keadaan terbaring dan ada kesan seperti seretan di atas jalan raya. Fadil pada asalnya menyangka kenderaan itu memang sudah lama berada di situ, namun apabila dia semakin hampir, barulah dia tersedar yang kenderaan dua roda itu seperti pernah dilihatnya.

"Eh, itu motosikal budak muda yang kat kedai makan tadi!" lonjak Fadil yang terus memberhentikan keretanya. 

Hujan yang semakin lama semakin lebat. Fadil tetap keluar dari kereta dan mencapai payung di sebelah bahagian pemandu. Dengan menggunakan suluhan cahaya lampu kereta, Fadil mengorak langkah mendekati motosikal yang tersadai itu. Sesekali dia menoleh kiri dan kanan cuba mencari pemilik motosikal. Namun, tidak pula kelihatan.

Apa yang membuatkan dia hairan, peralatan milik pemuda itu seperti beg galas dan topi keledar masih ada di sisi motosikal. Melilau juga Fadil melihat-lihat di sekitar kawasan itu, mencari susuk tubuh penunggang motosikal itu.

"Segala barangan dia masih ada. Mana orangnya? Apa yang dah jadi?"

Persoalan Fadil itu bagaikan tidak ada jawapan, sehinggalah dia terpandang sesuatu yang membuatkan dadanya berdebar.

"Darah!"

Titisan darah masih terkesan di beberapa kawasan terutama di bahagian motosikal dan peralatan yang ditinggalkan oleh pemuda itu. Walaupun hujan semakin lama semakin lebat, kesan darah yang masih tersisa itu tetap tertangkap dek mata Fadil.

"Takkan dia tercampak ke dalam semak? Mustahil, jarak semak dengan motor dia pun agak jauh," gumam Fadil.

"Ah, tak boleh jadi ni. Aku mesti cari orang dan minta bantuan. Mungkin ada sesuatu yang terjadi pada pemuda ini. Takkanlah ada ambulans datang selamatkan pemuda itu. Bunyi siren pun tak dengar. Mesti ada sesuatu yang tak kena." Fadil bermonolog sendirian.

Dia tidak menunggu lama di situ. Peralatan penunggang motosikal itu diambil dan disimpan di dalam keretanya. Dia berniat untuk menyimpannya sehingga mangsa ditemui atau mungkin akan dikembalikan kepada ahli keluarganya. Kereta Fadil bergerak laju meninggalkan motosikal itu. Niatnya hanya satu, ingin meminta bantuan dan melaporkan apa yang telah terjadi.

Setelah beberapa ketika Fadil memandu kereta dengan sedikit laju berbanding awal tadi, dia terserempak dengan sebuah van buruk yang pernah dilihatnya. Fadil tidak mengendahkan van yang bergerak perlahan itu dan dia memintas serta meluncur laju meninggalkan van tua dan usang itu. Dia tidak boleh membuang masa. Apa yang mustahak, dia perlu mencari orang untuk meminta bantuan. 

Setelah beberapa ketika memandu dan tiba di sebuah pekan, hati Fadil melonjak apabila dia terlihat sebuah balai polis tidak jauh di hadapannya. Dia kembali melajukan kenderaannya. Dia mesti segera melaporkan tentang kemalangan yang berlaku. Kereta yang dipandu Fadil terus diparkir di kawasan yang tersedia di hadapan balai polis itu. Fadil tidak menunggu lama. Usai mematikan enjin kereta, dia terus masuk ke dalam balai yang masih terang-benderang itu walaupun waktu sudah jauh lewat malam.

"Betul ke encik ada jumpa motosikal yang kemalangan? Betul ke kemalangan?" tanya koperalmuda yang masih bertugas di balai ketika ini.

"Ya, barang mangsa pun ada saya ambil dan saya ingin serahkan kepada encik," kata Fadil jujur.

"Oh ya, mana barang-barang itu ya?"

"Ada dalam kereta saya. Nanti saya ambilkan."

"Kenapa ni koperal?"

Seorang lelaki berpakaian preman datang menyapa koperal muda yang sedang berbicara dengan Fadil. Lelaki itu datang dari luar balai dan hanya memakai jaket hitam dan berseluar jean biru. Lelaki itu kelihatan seperti baru tiba di balai. Wajahnya tenang. Fadil melihat sahaja apabila koperal muda itu bingkas bangun dan memberi tabik hormat kepada lelaki itu.

"Tuan inspektor, encik ini melaporkan ada kemalangan berlaku di laluan sana. Sekitar beberapabelas kilometer dari balai," jelas koperal muda itu lagi.

"Kemalangan motosikal?" tanya lelaki itu.

"Ya, tuan inspektor."

"Okey tak apa, biar saya bercakap dengan encik ... err ... encik nama apa?" soal lelaki yang berpangkat inspektor itu kepada Fadil.

"Fadil," balas Fadil pendek.

"Fadil? Encik bukan dari daerah sini kan?" teka pegawai polis itu.

"Err ... ya." Teragak-agak Fadil mengiakannya.

Hairan juga dia bagaimana pegawai polis itu dapat meneka dengan tepat.

"Apa tujuan datang ke sini?" soal inspektor polis itu lagi.

"Saya datang nak melawat bapa saudara saya."

"Apa nama bapa saudara encik?" tanya pegawai polis berkulit cerah itu lagi.

"Mohar," jawab Fadil, pendek.

"Oh ... Mohar." Pegawai polis itu terangguk-angguk kecil. Gayanya seperti mengenali akan nama itu.

Namun begitu, Fadil membiarkan sahaja tanpa bersoal panjang. Dia menunggu apa yang bakal terbit dari mulut pegawai polis yang juga ketua balai di daerah Raub itu.

"Encik Fadil boleh ceritakan segalanya kepada saya?" pinta inspektor polis yang berpakaian preman itu kepada Fadil.

Fadil menceritakan segala apa yang dia lihat sebentar tadi. Malah dia telah menceritakan dari awal ketika dia mengisi minyak lagi sehinggalah dia melihat motosikal yang dipercayai milik pemuda yang sama dijumpai ketika di stesen minyak dan kedai makan itu.

"Encik yakin itu orang dan motosikal yang sama?" tanya inspektor itu lagi.

"Ya, saya yakin encik."

"Panggil aje saya Shahriman. Saya ketua di balai ini dan juga yang bertanggungjawab ke atas apa juga yang berlaku di daerah ini," jelas Inspektor Shahriman.

"Ya, encik. Saya yakin." Fadil terangguk-angguk.

"Ada apa-apa yang mencurigakan, Encik Fadil?"

"Err ... tak ada apa-apa. Cuma ...."

"Cuma apa?"

"Err ... tak apalah, rasanya van itu tak penting," jelas Fadil.

"Van?" Dahi Inspektor Shahriman berkerut.

"Haah, selain saya dan motosikal itu, ada beberapa buah lagi kenderaan yang sempat saya lihat lalu di kawasan itu. Sebuah lori satu tan, sebuah van dan motosikal. Semua datang dari arah yang sama dengan saya. Van dan motosikal itu saya terserempak di stesen minyak dan lori satu tan itu berhenti makan di restoran yang tidak jauh dengan stesen minyak. Selebihnya tak ada kenderaan lain yang mencurigakan pada pandangan saya," cerita Fadil.

"Penunggang motosikal itu ada berhenti di restoran yang sama?"

"Haah, ada singgah. Pemandu dan kelindan lori itu pun berhenti di restoran itu," jelas Fadil.

"Pemandu van?"

"Tak ... tak ada pula," kata Fadil.

"Oh, ya. Rasanya van buruk itu tak ada kena-mengena dengan kes langgar motosikal itu. Sekarang ini berkemungkinan kenderaan lain yang menjadi punca pelanggaran. Mungkin juga ada sesuatu yang terjadi kepada penunggang motosikal itu sehingga dia terbabas. Lagipun hujan agak lebat. Jalan di laluan sini agak licin. Mungkin juga sudah ada yang datang menyelamatkan penunggang motosikal itu. Mungkin ada kenderaan lain yang lalu sebelum encik Fadil lalu," ujar Inspektor Shahriman bersama senyuman.

"Segalanya mungkin?" tukas Fadil yang berasa hairan dengan ulasan pegawai polis itu.

"Ya, segalanya berkemungkinan ada," balas Inspektor Shahriman lagi.

Fadil berkerut mendengar penjelasan yang diberikan oleh inspektor itu. Namun, dia tidak berkata apa. Akhirnya, Fadil mengambil keputusan untuk tidak memberi komentar dan berdiam sahaja.

"Encik Fadil ada apa-apa lagi yang ingin dilaporkan?" tanya Inspektor Shahriman lagi.

"Err ... tak ada apa-apa dah. Cuma saya ingin memulangkan barang milik mangsa," ujar Fadil.

"Kalau begitu, baiklah. Esok, kami akan gerak ke lokasi yang encik katakan. Lagipun, sekarang ini anggota kami tak ramai bertugas awal pagi. Kami terpaksa ke lokasi kejadian esok."
Terdiam Fadil mendengarnya. Kemalangan itu baru sahaja berlaku, tetapi pegawai polis yang bertugas seolah-olah mengambil sikap acuh tidak acuh sahaja dengan laporan yang diberikan.

"Kalau ada apa-apa yang yang berbangkit akan kami susuli semula. Encik boleh bawa barang mangsa untuk kami simpan di balai ini. Kami akan berikan kepada mangsa atau ahli keluarganya jika ada tuntutan," jelas Inspektor Shahriman lagi.

Fadil tidak berkata apa. Dia menuju ke kereta dan mengambil barang yang dijumpai bersebelahan motosikal itu. Usai memberikan kepada koperal muda tadi, Fadil bersalaman dengan Inspektor Shahriman sebelum menyambung kembali perjalanannya yang tertangguh.

Inspektor Shahriman menghantar Fadil yang menuju ke kenderaannya dengan pandangan mata sahaja. Setelah beberapa ketika, dia berpusing dan kembali menghadap anak buahnya yang masih setia di tempat duduk.

"Kalau ada apa-apa berita atau laporan tentang penunggang motosikal itu sampaikan kepada saya dengan segera. Jangan dihebahkan lagi kepada orang luar," arah Inspektor Shahriman.

Koperal muda itu berdiri dan memberi tabik hormat kepada ketuanya sebelum kembali duduk menyambung kerja-kerja yang tertangguh. Inspektor Shahriman tidak membalas tabik hormat koperal muda itu. Sebaliknya, dia mengalih pandangan ke arah kereta Mitsubishi Galant milik Fadil yang sudah berlalu jauh meninggalkan pekarangan balai polis itu.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.