Home Novel Seram/Misteri Manusia Iblis
Manusia Iblis
Meja Editor
11/11/2024 09:13:19
739
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 2

Penghujung tahun 1981

SEBUAH kenderaan meluncur membelah jalan raya yang sunyi. Ketika ini, waktu sudah lewat malam. Laluan yang dilalui kenderaan Nissan Sunny itu sungguh sunyi sekali. Kiri dan kanan jalan hutan belantara.

Terkadang hanya beberapa buah kenderaan sahaja yang melalui jalan lama itu. Di dalam kereta berwarna putih itu kelihatan dua pemuda dalam lingkungan 20-an sedang rancak berborak. Riak wajah mereka seperti dalam keseronokan.

"Kau pun satu, si Nani tu nak kat kau, tapi kau jual mahal. Tak pasal-pasal sepanjang malam dia tak layan kau." Lelaki memandu itu mengomel kepada rakan di sebelah.

"Ala ... biar jelah dia. Lagipun, dia bukan cita rasa aku," balas lelaki berbaju hijau di sebelah pemandu itu.

"Bukan apa? Cita rasa? Kau ingat Nani tu kek? Ayam goreng? Hahaha!" Tertawa si teman.

"Ala ... aku dah syok kat orang lainlah."

"Sebab itu kau tak layan Nani tu?" teka si teman lagi.

"Haah, hahaha!" balas rakan pemandu itu.

"Kau sengaja cari fasal jelah. Kan malam ni birthday Nani. Sudahlah kau tak bawak hadiah, lepas tu kau tak nak layan dia pulak. Kau ni tak takut ke dia halau kita, Amri?" bebel teman yang sedang memandu itu.

"Ala ... aku bukannya sengaja tak layan dia. Memang aku tak bolehlah dengan perangai Nani tu. Gedik."

"Yalah ... kalau dah tak suka. Semua benda kau benci, ya tak?"

"Hahaha! Salah kau juga. Kenapa ajak aku pergi sambut hari jadi Si Nani tu. Sudahlah tak cakap awal-awal. Bila dah nak sampai rumah dia baru kau cakap. Terkedu aku sekejap," omel Amri pula.

"Hahaha! Aku nak beri kejutan sikit kat kau."

"Banyaklah kejutan kau tu, Jimi. Ni ha ... kenapa kau tak lalu jalan baru? Ni lalu jalan lama pulak. Sudahlah lewat malam macam ni."

"Eh, apa salahnya aku lalu kat jalan lama ni? Tenang apa? Sunyi aje. Aku tak suka jalan kat jalan baru."

"Bukan ke jalan baru lebih cepat sampai? Jalan lama sempit, kalau ada kenderaan lain macam lori ke, kereta ke, tak fasal-fasal kena elak," tingkah Amri.

"Aku rasa jalan lama lagi cepat sampai dari jalan baru tu. Bila dah ada jalan baru, orang tak akan lalu dah jalan lama ni. Lagilah senang aku nak bawak kereta," balas Jimi.

"Aku cakap macam ni, kau cakap macam tu. Nak menang je kau ni ya, Jimi? Sudahlah laluan ni lampu jalan pun jarang-jarang ada. Bahaya tau tak?" tekan Amri tidak berpuas hati.

"Nak bahaya apa. Kereta kita ni kan ada lampu. Hahaha! Tak ada apa-apalah ... jangan nak takut sangatlah. Kau kena belajar silat macam abang sepupu aku tu. Barulah berani," ujar Jimi, sinis.

"Fadil ke? Dia lain, dia dah wakil negeri main silat olahraga."

"Ha ... dah tu belajarlah silat. Mana tau kuat semangat tu. Abang sepupu aku tu berani orangnya. Siap masuk redah hutan lagi. Dia tu kalau dalam hutan, tak ada peta dalam tangan pun tak ada masalah. Tapi, kalau kau tersesat dalam hutan, mesti dah berubah menjadi orang utan dah," sindir Jimi.

"Yalah tu. Ala, kau pun apa kurangnya. Setahu aku kau pun tak habis belajar silat juga," tingkah Amri.

"Aku sibuk. Kau tu yang kena berani. Asyik-asyik takut. Banyak sangat baca cerita hantu sampai semua perkara kau nak rasa seram. Kau sepatutnya layak baca novel cinta je," sinis Jimi menyakat rakannya itu.

Tetapi Amri tidak lekas melenting. Malah, fokusnya langsung tidak diberikan kepada Jimi. Lirikan matanya dihalakan ke arah cermin sisi kereta yang dipandu Jimi itu sebelum dia menoleh ke arah belakang. Jimi hanya diam tanpa mahu bertanya kenapa rakannya ituberkelakuan sedemikian. 

"Eh, kau perasan tak? Aku rasa macam ada kenderaan lain ikut kita tadi?" sambung Amri seraya menoleh ke belakang.

Jimi melihat melalui cermin pandang belakang. Ada kerutan terbentuk di dahinya sebelum dia kembali memandang ke arah rakannya dengan wajah yang penuh kehairanan.

"Kau tu yang penakut. Aku yang bawak kereta ni tak nampak pun ada kereta ikut kat belakang, kalau tak mesti aku dah nampak lampu kereta dari arah belakang. Mesti kau fikir yang bukan-bukan pasal jalan lama ni ya? Ada kereta ikutlah, lepas itu ada hantulah," sindir Jimi sambil tersenyum.

"Eh betullah. Macam van tak pasang lampu. Itu yang aku perasan. Tapi sekarang dah tak ada pula."

"Hahaha! Cakaplah perasaan kau tu penuh dengan ketakutan," tukas Jimi.

"Eleh, cakap kat orang. Kau tu yang penakut. Nak ke tandas kat rumah Nani tadi pun suruh aku yang temankan," balas Amri tidak mahu mengalah.

"Aku bukannya takut. Segan je dengan Nani tu. Lagipun, aku dah selamatkan kau daripada diganggu Nani, betul tak? Hahaha!"

"Banyaklah!"

Tergelak Amri mendengar kata-kata lelucon rakannya itu. Mereka berdua rancak berbual sehingga tidak sedar perjalanan mereka sudah setengah jam berlalu. Suasana jalan lama itu sedikit berkabus apabila waktu menganjak ke awal pagi. Sunyi sekali. Hanya radio di dalam kereta itu yang berkumandang.

"Aku tak tahanlah Amri."

Tiba-tiba Jimi bersuara. Amri melihat ke arah rakannya itu. Tergeliat-geliat dengan riak wajah yang berkerut-kerut menahan rasa senak dan mencucuk-cucuk.

"Kau ni kenapa?" soal Amri kehairanan.

"Tak tahan," jawab Jimi.

"Tak tahan apa?" Sekali lagi Amri bertanya.

"Aku nak berak!" tekan Jimi kuat.

"Aduh! Nak berhenti kat mana? Kita kat tengah jalan lagi ni. Kalau lalu kat jalan baru tu ada juga stesen minyak ke kawasan rehat ke. Ini tak, kiri kanan hutan," bebel Amri pula.

"Kau nak membebel kat aku ke apa ke, aku dah tak kisah dah, ikut kaulah. Apa yang penting, aku nak berhentikan kereta ni."

Tingkah Jimi yang berkerut menahan seksa ketika memandu.

"Kau nak melepas kat mana? Hutan kiri kanan jalan! Kau gila ke?" tekan Amri tidak bersetuju.

"Kalau dah darurat, dalam hutan pun hutanlah!" tingkah Jimi.

Tanpa menunggu lama, Jimi terus memulas stereng keretanya ke kiri jalan. Berdesir tayar kereta berwarna putih itu ketika meredah batuan kecil di tubir jalan. Tanpa memberi isyarat ke tepi, Jimi terus memaut stereng keretanya dengan tergesa-gesa berhenti ke tepi jalan. Mujur juga tiada kenderaan di belakang. Jika tidak, pasti akan berlaku perkara yang tidak diingini.

"Kau tunggu dalam kereta sekejap!"

"Jimi ... eh tunggu dulu!"

Belum sempat Amri membuat keputusan, Jimi terlebih dahulu keluar dari keretanya dan meluru ke dalam belukar berhampiran. Amri menggeleng-geleng melihat tindakan rakannya itu. Sudahlah kawasan di situ tiada lampu jalan. Cuma bulan begitu terang malam itu. Hanya berpandukan cahaya purnama penuh di langit, menjadikan kawasan itu mampu dilihat walaupun tidak seterang mentari.

"Lama pulak Si Jimi ni pergi. Sudahlah kawasan ni tak ada kereta lalu-lalang. Gila betullah!" rungut Amri sendirian.

Sesekali dia mendongak ke kiri dan kanan. Kejantanannya tercabar dengan melihat suasanapersekitaran yang gelap dan bunyi unggas bersahut-sahutan. Kalau cengkerik, mungkin Amri boleh endahkan, kalau bunyi seperti ungka atau burung hantu, hati siapa yang tidak tergugat.

Akhirnya dia menyanyi-nyanyi kecil, cuba menenteramkan perasaannya sementara menanti Jimi membuang air. Dia mengeluh kasar kala mengenangkan rakannya itu. Amri bukanlah seorang yang gemar menanti. Tambahan pula, suasana persekitaran tempat dia menunggu itu gelap-gelita. Entah beberapa kali dia berdecit dan mengomel sendirian. Perasaan galaunyaperlahan-lahan merangkak tinggi.

"Aku harap dalam kereta kau ni ada lampu suluh," getus Amri.

Pemuda itu menyelongkar semua tempat di dalam kenderaan Jimi, wajahnya bagaikan bersinar apabila dia terjumpa apa yang dia inginkan. Lampu suluh milik Jimi tersimpan rapi di dalam kotak dashboard kereta Nissan Sunny itu.

KERANA sudah tidak tertahan diasak kesakitan di dalam perutnya yang mencucuk-cucuk, Jimi meredah pepohon renek mencari tempat yang sesuai untuk membuang air besar hanya dibantu simbahan cahaya bulan purnama. Dari satu tempat ke satu tempat, semuanya tidak sesuai untuk dia melepaskan hajat.

Walaupun perutnya meragam teruk, Jimi tetap mahukan tempat untuk membuang air besar jauh daripada pandangan Amri. Walaupun dia dan Amri dah berkawan begitu lama, perasaan malu tetap menebal. Bimbang dibahan Amri sepanjang jalan pulang nanti.

Semakin lama Jimi mencari tempat yang sesuai, tanpa disedarinya dia sudah semakin jauh masuk ke dalam belukar itu atau mungkin sebenarnya dia sudah berada di dalam hutan. Entah kenapa kakinya bagaikan lancar sahaja meredah onak dan duri semata-mata ingin mencari lokasi memerut yang sesuai.

"Kat sini pun jadilah! Semua tempat macam tak selesa," rungut Jimi.

Setelah yakin kawasan yang dipilihnya itu sesuai dengan kehendaknya, tanpa menunggu lama, dia terus menyiapkan apa yang patut. Kawasan yang dipilih Jimi dikelilingi pepohon renek yang tumbuh agak jarang-jarang. Ini kerana kawasan itu agak terlindung dengan pokok-pokok besar yang berakar bergayutan. Dengan hanya bertemankan cahaya lampu telefon bimbitnya, Jimi menyilau ke kiri dan kanan.

Bimbang juga dia kerana di kiri dan kanan terdapat pokok-pokok besar. Entah ada binatang buas atau tidak di kawasan itu, paling yang menjadi permainan mindanya sudah pasti makhluk-makhluk merayap dan menjalar seperti ular atau binatang berbisa yang lain. Dalam kerisauan yang melanda, Jimi tetap meneruskan niatnya. Tiada sesiapa pun yang boleh menghalangnya daripada melepaskan hajat yang menyeksakan.

Setelah beberapa ketika Jimi termenung di sebalik semak itu, penumpuan Jimi mula terganggu. Anak telinganya terdengar bunyi ranting kayu seperti dipijak atau mungkin dipatahkan secara sengaja tidak jauh darinya. Terdongak Jimi melilau mencari dari manakah bunyi ranting patah itu. Fikirannya mula memikirkan tentang orang yang paling hampir dengannya.

"Amri? Kau ke?" laung Jimi sambil melingas ke kiri dan ke kanan.

Diam. Tiada sebarang sahutan. Hanya bunyi cengkerik yang tidak henti-henti menyanyikan irama rimba. Jimi mula berasa tidak sedap hati. Tetapi kerana perutnya sedang memulas teruk, dia terpaksa bertahan juga di dalam semak itu.

"Apa bendalah Si Nani tu taruk dalam makanan sampai memulas teruk perut aku!" rungut Jimi tidak puas hati.

Jimi masih seperti awalnya tadi, dia masih meneran di sebalik semak, dia sudah tidak hiraukan rakannya Amri datang mencarinya, apa yang penting dia perlu lunaskan apa yang belum selesai. Jimi diam membatu di dalam semak, sedikit pun tidak berganjak. Sehinggalah dia terdengar suara garau seperti tertawa. 

Jimi mengerutkan dahi. Ini kerana suara itu amat berbeza sekali dengan suara Amri. Malah bulu romanya mula meremang. Jimi memasang telinganya sekali lagi. Dia mahu mendengar dengan jelas apakah benar dia mendengar suara orang ketawa? Atau mungkin hanya khayalannya. Tatkala Jimi memasang dengar, suara parau dan kasar kedengaran lagi.

Dan suara itu tidak jauh dengan tempat Jimi berada ketika ini. Hati kecil pemuda itu mula diserbu satu perasaan yang tidak enak. Jimi lekas-lekas mencari dedaunan kering sebagai alat penyucian hadas.

Walaupun dia belum lagi selesai, Jimi berasa keberadaannya ketika ini tidak selamat. Dia tidak berani melaung memanggil nama Amri lagi. Ini kerana dia boleh mengecam suara Amri. Mana mungkin Amri bersuara garau sedemikian. Makhluk apakah yang berada berdekatan dengannya ketika ini?

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.