MARINA menyediakan makan malam
buat keluarganya, Mylin pula asyik bermain anak patung berbentuk anak kecil di
ruang tamu. Sesekali anak comel berambut lurus mencecah ke bahu itu akan
berbicara dengan sendirinya. Seperti sedang berbicara dengan mainannya.
“Mylin sayang, mana papa?” laung Marina yang sedang berdiri
di meja makan. Di tangannya penuh dengan pinggan kosong.
Mylin berpaling ke arah mamanya bersama-sama dengan wajah
yang polos. Bundar matanya memandang Marina yang sedang menyusun pinggan di
atas meja. Mylin menggeleng-gelengkan kepalanya, kemudian dia kembali
bermain-main dengan anak patung yang memakai gaun merah cantik itu.
“Manalah pergi papa kamu ni, Mylin...” mendatar sahaja
omelan Marina.
Mylin tidak mengendahkan bebelan mamanya, dia terus asyik
bermain-main dengan anak patung yang dibelikan oleh ayahnya itu. Hadiah dari
hari jadinya yang keempat itu merupakan hadiah yang paling istimewa buat Mylin.
Ini kerana Mylin sudah lama mahukan anak patung bergaun merah.
“Abang...?”
Panggil Marina sambil
mendongak ke atas di kaki tangga.
“Abang buat apa kat atas?” Marina memanggil lagi.
Diam, langsung tiada balasan dari Aiman. Marina mengerutkan
dahinya tanda tidak berpuas hati. Adakah suaranya tidak begitu kuat sehingga
Aiman langsung tidak mendengar? Sedangkan seketika tadi Aiman sudah berjanji
akan menyusul turun untuk makan malam.
“Abang? Abang buat apa kat atas?”
Laung Marina, kali ini dengan lebih kuat.
“Ya, abang turun!”
Akhirnya suara Aiman
berkumandang juga dari tingkat atas. Menerbitkan rasa lega di hati Marina.
Bimbang juga dia bila dipanggil tidak menyahut langsung. Bunyi daun pintu
ditutup rapat sebelum menyusul pula hentakan tapak kaki menuruni anak tangga
kedengaran. Tidak lama kemudian muncul wajah Aiman bersama rembesan peluh membasahi
wajahnya.
“Abang buat apa kat
atas?” soal Marina.
“Er, tak ada apa-apa.
Abang mengemas sedikit kat atas loteng sana.”
Jawab Aiman bersama
segaris senyuman nan tawar di bibirnya.
“Kat loteng? Sayang tak
pergi ronda-ronda lagi kat sana, luas ke?” soal Marina lagi.
“Er... luas itu taklah,
sempit sikit bila sampai di puncaknya. Cuma ruang untuk berdiri itu selesa.
Jarak lantai loteng ke bumbung dalam tujuh lapan kaki jugaklah.” Cerita Aiman
serba sedikit.
“Ada apa kat situ?”
“Eh marilah makan, abang
lapar. Sayang masak apa ya?”
Pintas Aiman tanpa mahu
menjawab dan mengulas lebih lanjut apa yang ada di loteng rumah banglo itu.
“Marina masakkan ikan
patin masak tempoyak yang abang suruh buat itulah,”
“Wah sedapnya, Mylin
sayang, mari nak makan.”
Mylin yang masih bermain
dengan anak patung bergaun merahnya itu berpaling memandang ayahnya. Mylin
kemudiannya membalas dengan menggelengkan kepalanya.
“Dia dah makan tadi,
sayang suapkan nasi bubur dengan sup kosong.”
“Oh jadinya anak papa ni
dah kenyang la ya?”
Aiman bergerak ke arah
anak perempuannya dan mengusap rambut Mylin yang lembut mengurai itu. Mylin
langsung tidak memperdulikan Aiman, dia begitu asyik bermain dengan anak patung
bergaun merah itu.
“Mylin main dengan anak
patung yang papa hadiahkan hari itu ya?”
Aiman sengaja tidak terus
menuju ke meja makan, dia sememangnya tidak boleh berenggang dengan anak
perempuannya itu. Sebolehnya dia mahu mengusap-usap Mylin terlebih dahulu.
Marina sekadar tersenyum sahaja di meja makan.
“Papa...” Mylin berpaling
sambil mendongak memandang ayahnya.
Aiman yang duduk separa
bertinggung tetap mengukirkan senyuman di bibirnya.
“Ya sayang,”
“Nama anak patung ini
Sofea,”
Ucap Mylin sambil
menghulur Sofea kepada ayahnya.
“Oh siap ada nama,”
Aiman menyambut Linda
seperti mendukung bayi. Diteleknya wajah Linda sambil tersenyum-senyum.
“Comotlah Sofea ni, Mylin
tak mandikan dia ya?” usik Aiman.
Tergelak-gelak Mylin
dengan usikan ayahnya.
“Abang, marilah makan.
Nanti sejuk lauk.” Kelur Marina lembut.
Aiman kembali meletakkan
Sofea dalam keadaan duduk mengadap anaknya. Anak patung itu sentiasa dalam
keadaan tersenyum. Mylin kembali bermain dengan Sofea sambil bertanya itu ini
kepada anak patung perempuan itu. Begitulah setiap hari Mylin apabila
bersama-sama dengan Sofea.
“Abang, esok abang dah
mula masuk kerja kan?”
Soal Marina sambil
menceduk lauk udang masak lemak cili api ke dalam pinggan Aiman dan kemudiannya
dia menceduk kepala ikan patin masak tempoyak. Penuh pinggan suaminya dengan
lauk pauk.
“Haah, esok dah start
kerja kat tempat baru itu.”
Aiman kembali menyambung
suapannya. Berselera sungguh dia dengan masakan isterinya. Sekejap dia mencubit
isi di bahagian kepala ikan patin, sekejap dia menggigit isi udang. Tidak
ketinggalan ulaman petai kegemaran Aiman. Semuanya menambah selera buat
perutnya yang kosong itu.
Marina tersenyum
memandang suaminya, dia tidak pula mahu menjamah makanan di atas meja. Dia
lebih suka memandang wajah Aiman. Kemudiannya dia memandang Mylin yang leka
bermain dengan Sofea. Semuanya membuatkan Marina seperti dunia sedang merangkul
bahagia dirinya. Seboleh-bolehnya dia tidak sanggup untuk mengerdipkan
pandangannya terhadap dua insan yang amat dia kasihi. Terlalu kuat rasa
cintanya terhadap Mylin dan suaminya.
“Sayang? Kenapa tak
makan?”
Aiman baharu tersedar
isterinya mengelamun jauh tanpa mahu menyentuh butir-butir nasi di dalam
pinggannya. Aiman perasan ada genangan air mata bertakung di kelopak matanya.
Namun lekas-lekas Marina menyekanya dari melimpah keluar. Senyuman tetap diukir
di wajah tenangnya.
“Kenapa ni?”
Aiman langsung berhenti
dari menjamah makanannya. Galau pula hatinya melihat keadaan isterinya. Ada
kerutan di dahinya.
“Eh tak ada apa-apa...
Marina cuma rasa amat beruntung kerana ALLAH hadirkan abang dan Mylin ke dalam
hidup Marina.”
Ucap Marina dengan
senyuman yang jelas dihiasi dengan bunga-bunga bahagia.
“Sayang masih ingatkan
perkara yang lepas ya? Sudah-sudahlah, semuanya bukan salah sayang. Yang dah
pergi biarkanlah dia pergi. Mungkin sudah tersurat ajalnya di kolej itu. sekarang
kita sama-sama bina hidup baru. Abang pun amat bahagia dengan Marina dan
Mylin.” Luah Aiman perlahan.
Air mata yang tidak
sempat untuk mengalir di kolamnya akhirnya tertumpah jua. Laju mengalir
membasahi pipi mulus Marina. Tanpa menunggu lama, tangan Aiman dipautnya dan
diciumnya dengan penuh rasa kasih. Air mata yang hangat jatuh membasahi
belakang tangan kiri Aiman.
“Maafkan Marina andai
Marina banyak susahkan abang...” ucap Marina.
“Sayang tak pernah buat
abang rasa sakit, tak pernah buat abang rasa kesunyian. Apa yang June buat kat
abang dulu itu memang sakit. Dia tinggalkan abang, dia bermain kayu tiga.
Haa... itu baru buat hati abang sakit, remuk redam. Sayang lain, sayang
betul-betul buat abang terisi. Sampai perut abang pun dah ke depan berisi.”
Seloroh Aiman.
“Abang... tak baik sebut
nama orang yang dah tak ada.”
Marina secara tiba-tiba
terkenang wajah hancur June ketika di kolej dahulu. Kematian June yang berkait
rapat dengan Marina antara penyebab hati kecil Marina lekas berasa bersalah. Walhal
ketika itu Marina di bawah sedar sewaktu dia dengan bengis mengasari bekas
seniornya itu.
“Oh... er... maafkan
abang.” Ucap Aiman perlahan.
Marina hanya diam sahaja
tanpa berkata apa.
“Er... sayang...”
“Ya...”
“Jangan tenung udang
dalam mangkuk itu lama sangat, nanti tiba-tiba udang itu melompat masuk ke
dalam mangkuk ikan patin pulak. Ha ha ha...!” seloroh Aiman.
“Hish abang ni!”
Dan disambut gelak tawa
manja Marina. Benar, Aiman pernah kecewa dengan bekas kekasihnya, yang juga
merupakan bekas senior Marina ketika di kolej dahulu. Kehadiran Marina telah
mengubati kekosongan hati Aiman. Namun Marina lupa, jika tidak kerana Jamaliah,
Marina mungkin tidak akan berpeluang mendekati Aiman.
“Hulurkan abang sayur
kailan goreng itu.”
“Abang nak tambah nasi lagi?”
tanya Marina.
“Urm, boleh jugak.”
Marina menyuakan senduk
yang penuh dengan nasi ke dalam pinggan Aiman. Selepas itu diceduknya pula
kailan goreng ikan masin ke dalam pinggan Aiman. Suaminya itu sungguh berselera
menjamah rezeki di hadapan mata. Langsung tidak memandang ke arah lain lagi.
Marina tersenyum gembira, air tangannya berjaya menambat selera Aiman. Suasana
di dalam rumah besar itu kembali disimbah cahaya. Selama ini rumah agam itu
sepi tanpa cahaya kebahagiaan. Suram dan kelam. Suara tawa kecil Marina
kedengaran di meja makan, sesekali Aiman sempat bergurau dengan menyuap makanan
ke mulut Marina. Ulah suami isteri itu bagaikan pengantin baharu lagaknya.
Kemesraan mereka masih utuh.
Namun, mereka tidak
menyedari, mereka sedang diperhatikan. Di satu sudut yang jauh terpencil di
dalam rumah agam itu, ada sepasang bola mata merah merenung Mylin dengan
renungan yang menggerunkan. Tiada siapa yang menyedari akan kehadiran sosok
tersebut, termasuk Marina sendiri.