HUJAN lebat menderu membasahi
tanah perkuburan islam. Hujan yang turun sejak petang tadi membuatkan kawasan
tanah kubur menjadi bertakung dengan air. Kini sudah menjelang waktu tengah
malam. Hujan masih lagi turun walaupun tidak selebat lewat petang tadi.
Nun jauh di hujung pagar kawasan kubur itu, kelihatan
sebuah kubur yang baharu seminggu usianya. Tanahnya masih lagi merah, dan
nesannya masih lagi baharu. Dikhabarkan penghuni kubur itu merupakan seorang
wanita yang mati kerana menggantungkan dirinya sendiri. Wanita itu tidak
bersaudara mara, hanya kenalan serta bekas rakannya sahaja yang hadir
memberikan penghormatan yang terakhir.
Kilat memancar dengan kuat sehingga seluruh kawasan tanah
perkuburan itu terang benderang disimbahi cahaya. Tidak lama kemudian, hadir
guruh gegak gempita menghentam langit malam yang sedang berduka.
Sesuatu yang tidak terduga terjadi pada malam itu. Tanah
kubur yang masih muda usianya itu bergerak-gerak seperti ada sesuatu yang
menguis tanah merah itu. Semakin lama semakin kuat gegaran yang berlaku pada
permukaan tanah kubur baharu itu. Akhirnya dengan tidak semena-mena muncul satu
tangan terjongol keluar dari dalam kubur muda itu. Sedikit demi sedikit
penghuni kubur mulai menampakkan dirinya. Tanah yang basah dengan air hujan itu
langsung tidak menghalang penghuninya merangkak keluar dari dalam tanah.
“Eee...!!!”
Kini penghuni kubur itu sudah bangkit dari alam kubur.
Mayat wanita itu bagaikan masih bernyawa, ia menjerit panjang serta kedengaran
ngilu, seiring dengan dentuman guntur yang membelah langit malam.
Perlahan-lahan makhluk itu merangkak meninggalkan tempat persemadiannya dan
bangkit berdiri mendongak melihat kegelapan langit malam.
“Aku... tak... akan... mati...!”