“ASHIKIN...”
“Hah?”
Langsung berpaling Ashikin memandang ke arah datuknya.
Wajahnya kelihatan terpinga-pinga. Sejak tiba ke Terengganu, Ashikin lebih
banyak termenung sambil melontarkan pandangannya jauh ke tengah Laut Cina
Selatan.
“Kenapa ni? Sejak datang balik Terengganu banyak pula
termenungnya.”
Tegur lelaki yang sudah dimamah usia itu. janggutnya yang
putih beruban panjang mencecah ke dada. Ketayap lusuhnya itu tetap menjadi
penutup kepala. Bukan tidak ada yang baharu, datuk Ashikin itu tetap selesa
memakai yang lama. Lelaki tua itu melabuh duduk bersebelahan dengan cucunya
itu. walaupun Ashikin sudah mendirikan rumahtangga, Ashikin tidak boleh
berenggang dengan datuknya itu. Tidak kira jauh mana dia tinggal, bila terasa
rindu, dia akan membelah banjaran Titiwangsa untuk pulang ke pantai timur.
“Tak ada apa-apa...” Ashikin tersenyum nipis.
Datuknya tenang membetul-betulkan rokok daunnya. Tembakau
yang berbau wangi dicarik-carikkan sedikit dan diaturkan di tengah-tengah daun.
Ashikin melihat sahaja datuknya menggulung-gulung menjadi bentuk silinder.
Datuknya bersikap tenang tanpa banyak bercakap. Daun yang sudah berbentuk
silinder itupun disuakan ke mulutnya. Pemetik api berwarna biru dinyalakan.
Berkelun-kelun asap naik ke udara di saat dia menghembuskannya keluar.
“Kalau tak ada apa-apa takkanlah termenung tengok laut?”
Khaidir sudah cukup kenal
akan cucunya itu. Sekali ditenungnya, sudah dapat membaca apa yang bermain di
romannya. Tersipu-sipu Ashikin apabila datuknya berkata sinis kepadanya.
“Tokki...”
Ashikin memandang Khaidir
dengan pandangan serba-salah.
“Ni pasal rumahtangga kamu ke? Kalau rumahtangga tokki tak
nak campur. Nasihat aje bolehlah.” Khaidir menyedut rokok daunnya dalam-dalam.
Ashikin diam seperti sedang berfikir sesuatu. Khaidir melihat
cucunya lama-lama. Memang dia seperti dapat menyelami perasaan cucu bertuahnya
itu.
“Ini pasal Shikin tak ada anak lagikah?”
Ashikin terus berpaling memandang datuknya. Wajahnya
seperti tercengang.
“Soal anak ni ketentuan ILAHI. Andai ALLAH dah tetapkan
kamu berdua suami isteri akan dapat cahaya mata, maka kamu berdua akan terima
kurnia itu. Yang penting kita perlu berusaha dan bertawakal aje. Satu hari
nanti adalah tu rezeki yang datang.” Panjang lebar Khaidir berkhutbah.
“Tokki... ini bukan pasal rumahtangga Shikin la...”
“Hah! Dah tu pasal apa?”
“Shikin tiba-tiba teringatkan Marina.”
Ashikin melepaskan
segumpal keluhan yang memberat.
“Oh budak itu, apa khabar dia sekarang? Dulu dia ditahan di
hospital sakit mental kan?” soal Khaidir.
“Marina dah keluar dari hospital sakit mental tokki, dia
pun dah berkahwin dengan Aiman. Bekas teman lelaki senior saya dan Marina
dulu.”
Cerita Ashikin,
terangguk-angguk Khaidir mendengarnya. Kerana Ashikin pernah bercerita perihal
Marina kepada datuknya itu dahulu. Jadi tiada masalah buat Khaidir untuk
mengikutinya.
“Shikin ada hubungi Marina lagi?” soal Khaidir.
“Lama dah tak hubungi dia. Nombor telefon lama dia pun dah
tak aktif lagi. Kali terakhir Shikin bercakap dengan dia sewaktu dia melahirkan
Mylin. Lepas tu terus lost contact.”
Jelas Ashikin.
“Oh dia dah ada anak? Alhamdulillah. Dah sihat dah dia
sekarang ya?” tersengih-sengih Khaidir dengan rokok daunnya masih tersepit di
hujung bibir.
“Marina ada hubungi saya semasa dia keluar dari wad. Kami
dah berbaik semula.” Cerita Ashikin lagi.
“Pasal peneman Marina itu macam mana?”
Soalan Khaidir membuatkan Ashikin tersentak dan terus
memandang datuknya itu. Angin pantai yang membuai langsung tidak mampu mengalih
pandangan Ashikin pada Khaidir.
“Tokki rasa macam benda itu masih nak berteman dengan
Marina.”
“Marina cakap... Marina dah buang kawan dia... er, benda
itu.” serba salah Ashikin berkata.
“Jadi dia dah tak pakai gelang kaki itu lagi ya?” Khaidir
bertanya lagi.
“Dah rasanya. Dia dah tak nak berkawan dengan benda itu
lagi.” Jelas Ashikin.
Khaidir diam, begitu juga Ashikin. Bunyi deruan ombak
menghiasi suasana tanpa bicara dari kedua-duanya. Ashikin merenung ombak yang
menghempas dada pantai. Dari renungan matanya Ashikin masih berada di dalam
keluh kesah. Hatinya berkecamuk dengan perasaan yang tidak menyenangkan. Entah
kenapa dia merasai semua rasa kegusaran terhadap Marina.
“Shikin ada rasa yang tidak enak?” tegur Khaidir.
Ashikin tidak menjawab, dia memandang datuknya dan
mengangguk lesu. Khaidir menyalakan hujung rokok daunnya yang terpadam dek
hembusan angin laut. Tenang sahaja wajah orang tua itu.
“Tokki bertuah ada cucu macam Shikin.” Khaidir memulakan
kata-katanya.
“Sebab semua yang tokki ada, turun pada Shikin. Shikin
boleh lihat benda ghaib, nah sekarang Shikin boleh merasakan sesuatu yang orang
lain sukar merasainya. Shikin boleh rasakan ada sesuatu yang tidak elok bakal
berlaku pada Marina kan?” teka Khaidir.
Ashikin berpaling ke arah datuknya dan mengangguk tanpa
mahu berkata apa. Dari kelopak matanya ada genangan air mata yang hampir
tertumpah. Betapa dia risaukan keadaan Marina. Satu-satunya kawan yang dia
sayangi. Walaupun dahulu pernah Marina memutuskan pertalian yang mereka bina.
“Adakah ini bersangkut paut dengan ‘kawan’ Marina yang dulu
itu kah? Benda itu nak kacau hidup Marina kah?”
Khaidir bertanya
berulang-ulang. Dia juga dapat merasakan ada sesuatu yang tidak elok bakal
berlaku, akan tetapi dia tidak tahu apa dia. Ashikin diam, dia juga tidak tahu
apa yang menyebabkan dia berasakan sesuatu yang buruk bakal berlaku pada diri
Marina. Namun resah hatinya jelas sekali berkucah resah. Sesungguhnya Marina
satu-satunya rakan yang rapat dengannya. Khaidir perasan akan keresahan yang
melanda roman mulus cucunya. Sebolehnya dia mahu membantu cucunya itu selagi
hayat dia masih di kandung badan.
“Shikin...” panggil Khaidir perlahan.
“Ya tokki.”
Lemah sahaja sahutan
Ashikin.
“Tokki dah tua, tokki dah
tak lama hidup dalam dunia ni. Tokki semakin kurang deria ke enam dalam diri tokki.
Jadi tokki tak dapat rasakan apa yang Shikin rasa. Andai Shikin rasa Marina
perlu bantuan, tokki boleh tolong. Tapi Shikin perlu hubungi dia. Cari di mana
dia tinggal. Nanti kita akan cuba bantu dia.” Ucap Khaidir dengan perlahan.
Ashikin diam. Matanya
sudah berkaca.
“Kamu satu-satunya cucu
tokki yang punyai kelebihan yang tak ada pada orang lain. Sekurang-kurangnya
kalau tokki dah tutup mata nanti, tokki rasa senang hati.” Tersenyum Khaidir
memandang Ashikin.
Genangan air mata Ashikin tertumpah jua. Lekas-lekas dia
menanggalkan kaca matanya dan menyeka air hangat yang mengalir. Esak tangis
kedengaran perlahan walau dia cuba untuk menahannya. Begitu lembut hati
Ashikin.
“Sekarang apa yang Shikin dapat rasakan?” soal Khaidir
dengan tenang.
“Marina... er... keluarga Marina mungkin berada dalam
bahaya. Ada sesuatu yang... erm... bersifat hitam.”
Ashikin bercerita tersekat-sekat sambil memejamkan matanya.
Dia kini bagaikan mempunyai kuasa psikik dalam diam. Khaidir diam. Dia kenal
cucunya itu, Ashikin sejak kecil lagi mempunyai kelebihan yang jarang manusia
lain miliki. Cucunya itu mampu melihat ke dunia sebelah. Dalam erti kata lain,
hijab pandangan Ashikin tidak tertutup. Dia mampu melihat sesuatu yang bersifat
halus. Kini dalam diam Ashikin bagaikan menguasai fikiran telus pandang. Dia
seperti seorang psikik yang mampu mentafsirkan sesuatu yang bakal berlaku. Dan
mungkin mampu melangkah masuk ke alam bukan nyata.
“Sekarang Shikin dah boleh lihat apa yang bakal berlaku di
masa hadapan?” soal Khaidir dengan tampang yang sedikit terkejut.
Ashikin membuka matanya dan memandang Khaidir dengan
pandangan keliru. Lambat-lambat dia menggelengkan kepalanya.
“Tak... tak pasti... er... tak sepenuhnya tokki. Shikin
hanya dapat merasakannya apabila Shikin teringatkan seseorang. Seperti sekarang
Shikin teringatkan Marina. Lantas Shikin terus didatangi bayangan yang
menakutkan melibatkan diri Marina dan keluarganya.” Jelas Ashikin.
Khaidir diam sejenak. Dia membelek-belek rokok daunnya yang
sudah semakin kontot dimamah bara api. Dia menjentik rokok daun yang sudah
tidak menyala itu jauh ke hadapan. Lelaki tua itu kemudiannya memejamkan
matanya sambil menghela nafas yang cukup panjang. Jemarinya bergerak seperti
sedang mengira-ngira. Sepertinya dia cuba menyelami apa yang dirasai oleh
cucunya itu. Atau mungkin dia cuba meraih sesuatu. Sesuatu yang bersifat
batiniah.
Setelah beberapa ketika kemudian, Khaidir melepaskan
segumpal keluhan dan kembali membuka kelopak matanya. Ashikin memerhati sahaja
ulah datuknya itu dengan tanpa sebarang celahan suara. Dia diam dan menunggu
sehingga Khaidir selesai melakukan apa yang dia perlu lakukan.
“Tokki...?”
Kerana sudah tidak
menahan sabar akhirnya Ashikin bersuara.
“Ya betul, ada sesuatu yang bersifat hitam mula mendekati
keluarga Marina.”
Hela Khaidir sejenak sebelum dia kembali bersuara.
“Insya-ALLAH, andai perlukan pertolongan tokki, tokki akan
cuba membantu. Tetapi dengan syarat, Shikin harus mencari Marina dan berjumpa
dengannya. Jika tidak, payah nak memberi perlindungan kepada keluarganya.”
Jelas Khaidir dengan
serius namun air mukanya masih tenang. Terangguk-angguk Ashikin mendengar
pesanan datuknya itu.
“Terima kasih tokki,”
‘Tapi kalau Shikin sendiri boleh berikan bantuan, lagi
bagus. Tokki percayakan cucu tokki ni.” Tersengih-sengih Khaidir.
“Urm... insya-ALLAH” balas Ashikin.
Lengan Khaidir diraih dan
dirangkul. Perasaan lega mula memanjat pangkal hatinya, betapa dia bersyukur
kerana datuknya itu begitu memahaminya. Itulah niatnya yang sebenar datang ke
Marang, Terengganu. Hanya khaidir sahaja yang mampu memberikan penawar segala
keresahan di dalam hatinya.
Marina. Hela hati kecil Ashikin sayu.