Home Novel Seram/Misteri BAYANGAN
BAYANGAN
muRni aQiLa
28/2/2020 10:58:25
118,383
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 6

TERHENTI bacaan surah al-Rahman yang sedang Nizam alunkan apabila pintu biliknya diketuk dari luar.

"Masuklah..." sahutnya dan kemudian wajah Irwan muncul di sebalik pintu yang dikuak.

Nizam memerhatikan Irwan melangkah masuk sebelum dia duduk di birai katil.

"Aku nak cakap sikit dengan kau ni."

"Oh... boleh, boleh..." Nizam menutup qurannya sambil mengucapkan sadaqallahul azim.

Dia bingkas bangun dari sejadah dan menyimpan quran itu di atas rak. Sejadah dilipat dua dan dibiarkan saja di lantai. Lalu dia duduk di birai katil menghadap Irwan.

"Banyak ke barang kau beli tadi?" Irwan berbasa basi terlebih dahulu.

Tersengih Nizam menuding ke arah bungkusan plastik sederhana besar yang masih terperuk di tepi dinding bersebelahan almari pakaian. Sampai saja di rumah tadi, terus dia mencampaknya ke situ dan bergegas menunaikan solat maghrib.

"Beli baju aje, bang. Dengan kasut. Itu pun kat bundle. Sambil tu jalan-jalan biasakan diri kat sini," terangnya dengan perasaan seronok.

Irwan meleretkan senyum. Nizam baginya sangat lurus dan baik. Dengan pandangan mata kasar, orang akan rasa Nizam normal seperti biasa. Tapi kalau diperhatikan betul-betul dan diteliti dengan mendalam, mungkin ada yang perasan dalam diri Nizam ada sesuatu yang tak kena.

"Esok jangan lupa kau kena masuk kerja."

"Ya, bang. Esok pukul 7.00 pagi saya datang ke tempat kerja."

"Syif kau pukul 7.00 pagi sampai 7.00 malam, Zam. Tapi esok pukul 6.00 pagi kau kena ikut aku pergi bangunan Wisma Hasbullah tu. Aku nak ajar kau apa yang patut dulu. So, sebelum pukul 6.00 kau dah siap. Okey?"

"Okey, bang. Boleh, bang." Cerah wajah Nizam.

"Alhamdulillah... ada rezeki kau, Zam. Aku tak beritahu Encik Yusuf tentang sakit kau tu tau. Sebab aku tak nak orang salah faham kat kau. Dan aku risau kalau dia tahu tentang sakit kau, dia tak nak ambil kau kerja. Kau kerja saja macam biasa. Tak payah beritahu orang lain yang kau ada sakit," pesan Irwan. Dari awal pun dia sudah pesan hal yang sama pada Nizam. Kali ini dia memberitahu sebagai peringatan ulangan.

Nizam mengangguk faham.

"Encik Yusuf tanya aku, boleh ke kau kerja guard? Sebab dia kata kau handsome. Biasanya orang yang handsome malu nak kerja jadi guard ni." Irwan teringat komen bosnya itu selepas menemu duga Nizam kelmarin.

"Dia kata saya handsome?" Nizam ketawa. Seronok dia dipuji begitu.

Irwan pun setuju dengan Encik Yusuf. Nizam boleh dikategorikan sebagai lelaki kacak. Rambut lurus, kulit sawo matang, tinggi dan nampak tegap walau sedikit kurus. Hidung agak mancung. Mata, mulut, bentuk muka... semua sempurna.

"Tapi kau kerja kontrak tau, Zam. Bukan permanent. Dalam tempoh setahun ni kalau kau kerja okey, baru serap jadi staf tetap. Tapi KWSP dengan SOCSO semua ada untuk kau. Untuk medical pun ada. Cuma kau tak dapat bonus saja."

Nizam mengangguk lagi. Dia sudah maklum.

"Encik Yusuf ada bagitahu masa kursus latihan semalam. Saya tak kisah, bang... janji dapat kerja."

"Baguslah, Zam. Kau kerjalah elok-elok. Tanam niat dalam diri tu nak menyenangkan mak kau. Dia makin tua. Berapa lama aje lagi dia boleh kerja kilang tu."

"Insya-ALLAH... memang niat saya nak tolong mak."

"Bukan tolong mak kau aje. Kau sebenarnya tolong diri kau jugak. Kumpul duit untuk masa depan kau. Aku dah beritahu Encik Yusuf yang kau duduk dengan aku. Tak payah tinggal kat hostel. Tinggal kat sini selesa sikit. Tak bersesak ramai-ramai duduk satu rumah."

Terangguk-angguk kepala Nizam.

"Terima kasih, Abang Irwan. Nanti cukup bulan saya bayar sewa rumah."

Bersegera Irwan mengangkat tangan dan menggoyang-goyangkannya.

"Eh... tak payah, tak payah! Kau duduk aje kat rumah aku ni. Tak payah bayar apa-apa. Cuma kalau kau tak ada nak buat apa, tolonglah kemas rumah ni, bersihkan bilik air. Kalau kau rajin, masak untuk aku." Irwan ketawa pula.

"Takkan saya tak bayar apa-apa, bang?" Nizam rasa serba salah pula.

"Kalau kau nak bayar jugak, haa... kau bayar bil api dengan air. Tu pun tak banyak. Sebab aku jarang ada kat rumah. Aku selalu keluar pergi pantau pekerja-pekerja syarikat Kawalan Tepat ni. Bukan kat Wisma Hasbullah aje. Banyak lagi bangunan yang syarikat ni jaga. Kalau aku balik rumah pun, sekejap-sekejap aje. Ni kejap lagi aku nak keluar balik." Irwan nak Nizam tahu jadual waktunya.

"Ohh..." Nizam mengangguk faham.

"Selagi aku single ni, Zam... kau duduk ajelah kat sini."

"Bila abang nak kahwin?"

"Kahwin apanya? Jodoh pun tak nampak lagi."

"Takkanlah..." Nizam menolak bahu Irwan.

Terkekeh Irwan ketawa.

"Ya ALLAH... betullah. Duit tak ada, makwe takut nak lekat."

"Jangan nak membohonglah, bang. Abang beli rumah teres ni, takkan tak ada duit?"

"Kau pun tahu... aku sama aje macam kau. Belajar setakat SPM aje. Habis SPM aku kerja kat sini sampailah sekarang. Dengan gaji kerja kat sinilah aku simpan. Aku rajin buat OT. Aku tak nak ada makwe sebab nak kumpul duit. Hari-hari ikat perut makan bercatu. Alhamdulillah... tahun lepas aku beli rumah yang aku idam-idamkan ni.

Sekarang, menyimpan nak pinang anak dara orang pulak. Zaman sekarang ni, kalau tak ada RM15 ribu, macam mana nak kahwin? Biarlah aku kumpul duit dulu baru fikir nak ada makwe. Aku tak mati pun kalau orang mengata aku umur dah 30 tahun tapi tak kahwin-kahwin lagi." Panjang lebar Irwan menjelaskan.

Nizam memandang Irwan dengan perasaan kagum. Dia suka prinsip begini. Rasanya, tak salah kalau dia mengidolakan Irwan sebagai inspirasi dalam hidupnya. Dia pun nak ada rumah sendiri, nak juga kumpul duit untuk berkeluarga.

"Umur 30 tahun abang dah ada rumah, ada motor, dah beli kereta... saya ni apa pun tak ada lagi."

"Lain orang, lain jalan cerita yang dia kena lalui. Jangan rasa terbeban kalau belum ada lagi semua tu, Zam. Aku cerita ni sebab nak bagi kau bersemangat nak kerja. Yang penting usaha," giat Irwan sebagai motivasi untuk Nizam.

Nizam terangguk-angguk. Betul apa yang Irwan kata. Jalam cerita setiap orang tak sama. Pasti keadaan dirinya berbeza andai tak sakit begini.

Bunyi telefon bimbitnya membuatkan dia tak jadi nak berbual lagi. Cepat-cepat dia bangun mencapai telefon yang diletakkan di atas meja solek.

"Mak." Dibaca nama yang tertera di skrin.

Irwan bangun dari birai katil. Mahu beredar dari situ.

"Esok pagi jangan lupa." Irwan mengingatkan sebelum melolos keluar di sebalik pintu.

Setelah pintu ditutup rapat, barulah Nizam menyambut panggilan tersebut.

"Assalamualaikum, mak."

"Waalaikumussalam... Nizam dah solat?" Itu soalan pertama Fauziah. Itu perkara paling penting yang dia mahu tahu.

"Dah, mak."

"Ubat dah makan?"

"Dah. Makan mak tak nak tanya?" soal Nizam pula.

"Kalau dah makan ubat, mestilah dah makan. Betul tak?"

Nizam tertawa.

"Tengah buat apa tadi?" Suara Fauziah tenang di hujung talian.

"Berborak dengan Abang Irwan. Dia baik sangat, mak. Esok Nizam dah mula kerja. Abang Irwan suruh Nizam duduk kat rumah dia ni. Tak payah duduk hostel katanya. Tak payah bayar sewa," adu Nizam dengan rasa gembira.

"Alhamdulillah... baik sungguh dia. Pergi temu duga, kursus... semua dia tolong. Balas jasa baik Irwan tu ya? Jangan buat yang tak elok. Jaga nama baik dia."

"Insya-ALLAH. Yang penting, Nizam takkan sia-siakan kepercayaan mak."

Fauziah terdiam. Dadanya mula terasa sebak.

"Nizam cuma nak mak percaya pada Nizam. Percaya yang Nizam sihat, boleh berdikari, boleh kawal emosi," sambung Nizam lagi.

Terangguk-angguk Fauziah sambil menahan sebak walau Nizam tak melihat dirinya. Sedaya upaya dia cuba bina rasa percaya dan yakin pada anaknya itu walau hati masih waswas.

"Mak tolong doakan supaya Nizam dapat cari Hajar ya?"

Berderai air mata Fauziah mendengar permintaan Nizam itu. Diseka pipinya yang basah. Tak seharusnya dia membuatkan Nizam mengesan kehibaannya ini.

"Mak doakan. Insya-ALLAH..." janjinya setelah rasa sebak diusir jauh-jauh.

"Terima kasih, mak..." ucap Nizam penuh rasa bersyukur.

"Okeylah, nanti mak telefon lagi. Jangan lupa makan ubat. Solat lima waktu mesti buat. Mengaji bila ada masa lapang. Buat baik pada semua orang. Jangan bermusuh-musuh." Inilah juga pesanan Fauziah sebelum Nizam berangkat ke Kuala Lumpur.

"Insya-ALLAH..."

"Kirim salam kat Irwan nanti. Beritahu dia, mak cakap terima kasih."

"Okey, mak. Mak kalau rasa tak sihat, cepat-cepat makan ubat. Tak payahlah kerja overtime. Rehat aje kat rumah. Dapat gaji nanti Nizam bagi mak duit." Sungguh-sungguh Nizam berpesan. Risau juga dia mengenangkan emak yang tinggal sendirian itu.

"Mak ni tinggal dua tahun aje lagi nak kerja, Nizam. Lepas tu kena bersara. Selagi boleh kerja, kenalah kerja. Mak masih larat lagi buat kerja kat kilang tu. Lagipun, mak bukan ada penyakit apa-apa. Cuma kadang-kadang lutut ni rasa tak kuat." Fauziah tahu Nizam risaukan keadaannya. Dan dia tak mahu kerisauan Nizam itu membebani kesihatan mental sendiri.

Nizam mengeluh. Fauziah sudah tentu tak melepaskan peluang untuk kerja lebih masa demi menghilangkan kesunyian.

"Hal mak kat sini Nizam jangan fikirkan sangat. Mak tahulah jaga diri. Fikirkan diri Nizam tu dulu. Mak dah pesan pada Irwan. Kalau jadi apa-apa pada Nizam, call mak cepat-cepat."

Nizam dapat rasa yang Fauziah masih belum yakin sepenuhnya pada dia.

"Mak fikirlah yang baik-baik saja," keluhnya.

"Hmm... mak nak masak untuk bekal kerja esok. Nizam tidurlah awal. Esok kat tempat kerja tak mengantuk." Fauziah tak mahu membebani fikiran anaknya itu apabila dirasakan Nizam mula kerusuhan.

Talian diputuskan selepas salam yang diberi dibalas Nizam. Termenung dia sesudah itu. Alangkah susah hatinya andai Nizam kembali sakit. Cuma doa yang dapat meredakan perasaannya itu. Doanya untuk Nizam tak pernah culas.


Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.