Home Novel Seram/Misteri BAYANGAN
BAYANGAN
muRni aQiLa
28/2/2020 10:58:25
120,437
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 25

HAJAR memandu keretanya memasuki kawasan Wisma Hasbullah. Panjang lehernya mencari kelibat Nizam. Setiap pagi sejak empat hari yang lalu, itulah rutinnya. Dalam hati dia berdoa Nizam datang kerja hari ini.

Sebaik sahaja dia menuruni ke basement, dari jauh dia nampak seorang pengawal keselamatan sedang berdiri. Tak pasti sama ada Nizam atau pengawal yang menggantikan Nizam. Lelaki itu berdiri membelakangkan pandangannya. Lagi pula, di hadapannya berderet kereta. Dia memandu perlahan-lahan.

“Minta-minta tu Nizam. Tolonglah, tak nak orang lain. Nak Nizam jugak,” bisiknya penuh mengharap.

Lama-kelamaan, jarak antara keretanya dengan lelaki pengawal keselamatan itu semakin mendekat. Berdebar pula dia rasa. Dan apabila jarak mereka kira-kira 5 meter, matanya mencerlang ceria.

“Nizam!” Dia terjerit dan kemudian menghamburkan ketawa. Teruja dia saat terpandang wajah lelaki itu.

Terus dia menurunkan cermin tingkap di sebelah kiri kerana lelaki itu berdiri di situ. Dia mendorong tubuh ke arah tingkap. Rasanya, mesti Nizam kenal kereta yang dinaikinya.

Nizam dari jauh pun sebenarnya sudah nampak kereta Hajar masuk ke kawasan itu. Dia cuba berlagak seperti tak nampak. Di tempat kerja dia perlu profesional. Dia tak nak orang lain salah faham. Dan apabila kereta Hajar berhenti di sebelahnya, dia pura-pura terkejut pula.

“Nizam,” panggil Hajar dengan riang. Dilambai-lambaikan tangannya.

Terpaksa Nizam menunduk sedikit supaya nampak wajah Hajar.

“Nizam! Malam nanti kita pergi makan sama-sama okey? Lepas maghrib saya tunggu kat pos pengawal.” Tanpa berbasa-basi Hajar terus memberitahu hajatnya.

“Err...” Nizam mahu menolak, tapi akalnya lambat mencipta alasan.

“Awak tak boleh kata tak. Saya ada hal nak cakap dengan awak.”

Kereta-kereta di belakang Hajar sudah mula membunyikan hon. Nak tak nak, terpaksa Nizam beralah. Dia mengangguk.

“Ya, ya... dah, cepat jalan.” Dengan isyarat tangan Nizam mengarahkan Hajar bergerak ke hadapan. Wajahnya serius.

Namun, dalam hati mula tertanya-tanya. Apa hal yang Hajar nak cakapkan padanya? Hajar dah ingat tentang dirinya ke?

Nizam berasa gelisah. Dia belum bersedia menghadapi realiti yang terjadi nanti. Nak menunggu selepas maghrib, serasa berkurun lamanya. Masa dirasakan seperti merangkak.

Dan dia masih berbolak-balik. Tak pasti mahu mengingkari janji atau teruskan saja. Tapi dia nak sangat tahu apa yang Hajar akan beritahu padanya. Persoalan itu merenyam-renyam di hati.

**********

DISEBABKAN malam ini banyak kenderaan yang berada di situ, Hajar parkir keretanya agak jauh. 

“Jom...” ujar Hajar setelah mematikan enjin kereta.

Nizam memandang bangunan yang berada di situ. Hampir semua restoran di sini restoran mewah.

“Kedai makan yang biasa-biasa tak ada ke kat sini?”

“Malam ni kita makan kat sini.” Hajar menguntum senyum.

“Terus terang saya cakap, saya tak mampu nak makan kat sini. Gaji pun saya tak dapat lagi.” Nizam cuak. Dalam dompetnya tak sampai RM30 yang tinggal.

Terhambur ketawa Hajar.

“Lupa saya nak cakap. Saya yang belanja nanti. Awak jangan risau. Okey? Jom...” Dia membuka pintu.

“Tapi hari tu, awak kata lepas ni saya pulak yang kena belanja awak.”

Tak jadi Hajar nak keluar. Dia berpaling memandang Nizam.

“Ya, cuma bukan malam ni awak belanja saya.” Terus dia keluar.

Nizam jadi segan pula dengan Hajar. Tak patut dia sebagai lelaki membiarkan perempuan yang mengeluarkan duit perbelanjaan. Dia akan bayar balik duit Hajar apabila dia menerima gaji pertama nanti.

Dia melolos keluar dari kereta dan mengekori Hajar. Mereka jalan beriringan. Beberapa ketika berjalan, dia sudah berasa kekok. Hajar sangat cantik dengan rambut berombak yang dilepaskan melepasi baju.

Baju blazer coklat muda yang dipakai disingsing hujung lengan sehingga ke paras siku. Skirt paras lutut yang juga berwarna coklat muda terbelah sedikit di bahagian belakang. Dan seperti biasa dilihat Hajar suka mengenakan kasut tumit tinggi. Kali ini jenis bertali.

Jika hendak digandingkan keterampilan Hajar itu dengannya, macam kodok dengan puteri raja. Mujur jugalah dia memakai jaket hitam. Terlindung uniform pengawal yang dipakai. Lalu, dia menarik zip jaket itu agar sampai ke atas.

“Kita dah sampai.”

Langkah Nizam terhenti. Dia memandang restoran di hadapan mereka. Sesungguhnya, restoran begini takkan dia jejak kalau dia mahu makan sendiri. Dari luar saja susah nampak mewah dengan cermin kaca yang membolehkan dia nampak suasana malap dengan lampu-lampu candelier.

Tiba-tiba pintu kaca itu ditarik dari dalam. Seorang pelayan wanita yang memakai uniform kemas menyambut kedatangan mereka. Senyumannya mesra.

Hi... welcome to Ruth’s Steak House. Do you have a reservation?

Yeah... I have a reservation under name Hajar Jaafar,” balas Hajar.

Gadis pelayan itu mengangguk. Dia sudah maklum ada tempahan meja untuk Hajar Jaafar.

Let me show you your table, maam.”

Hajar mengekori gadis itu ke sebuah meja di tengah-tengah restoran tersebut. Nizam terkebil-kebil ikut jejak Hajar. Dilihat pengunjung-pengunjung di situ hampir semuanya memakai kot. Tak ada langsung yang memakai baju-T. Nampaknya, dialah yang paling selekeh di dalam restoran itu.

Please have a seat,” pelawa gadis pelayan itu.

Thank you,” balas Hajar.

Nizam ikut duduk. Di atas meja itu sudah tersedia menu, dua biji gelas tinggi dan napkin.

My name is Sara, and I’ll be looking after your table tonight. If you have any questions or concerns, don’t hesitate to ask for my by name,” ujar gadis itu sebelum beredar membiarkan Hajar dan Nizam memilih hidangan mereka.

Hajar membuka menu.

“Awak nak makan apa, Nizam?”

Nizam turut membuka menu di hadapannya. Dia bagaikan kesesatan apabila membaca tulisan yang tertera di situ. Tak tahu makanan apa yang dihidangkan dan bagaimana bentuknya.

“Awak pesanlah apa-apa untuk saya. Saya tak reti nak pilih.” Nizam jujur saja pada Hajar.

Hajar tersenyum mengangguk. Dia faham situasi Nizam itu. Dia akan pilihkan makanan yang paling sedap untuk Nizam.

Ketika Hajar memesan makanan untuk mereka, Nizam membiarkan matanya menjamu keadaan sekeliling. Rasa dirinya sangat kerdil. Begini rupanya cara hidup Hajar. Ketika mereka makan di restoran biasa tempoh hari, tentu Hajar merendahkan piawaian disebabkan dia.

“Tiga hari awak cuti, Nizam. Awak balik kampung ke?” soal Hajar setelah pelayan itu beredar.

“Taklah. Saya demam.”

Membuntang mata Hajar.

“Oh ya ke? Sekarang dah sihat?”

“Alhamdulillah...” Bibir Nizam mengukir senyum.

“Hari pertama awak cuti, saya ada bawa bekal nasi lemak. Ingat nak bagi kat awak. Tapi awak cuti pulak. Rugi awak tak rasa nasi lemak yang saya buat. Sedap gila!” Hajar menunjuk kedua-dua ibu jarinya.

“Orang yang puji masakan sendiri biasanya tak sesedap mana masakan dia,” balas Nizam.

“Sebab awak belum rasa nasi lemak saya lagi. Bila awak dah rasa, awak takkan cakap macam tu.” Begitu yakin Hajar dengan kenyataannya.

Nizam hanya tersenyum. Dia teringat yang Hajar kata mahu cakap sesuatu dengannya. Terus dia bertanya.

“Awak nak cakap apa kat saya, Hajar?”

Hajar merenung mata Nizam dalam-dalam. Wajahnya berubah serius.

“Ya, ada sesuatu yang saya nak cakap kat awak.”

Dada Nizam berdebar. Bibir Hajar kelihatan bergerak mahu berkata-kata. Dia bagai boleh dapat mengagak apa yang akan keluar dari mulut Hajar. Hajar akan mengaku kenal dengannya. Rasa tak sanggup pula nak dengar. Mahu saja dia menutup telinga.

“Sebenarnya...”

Nizam menelan liur. Dia menunggu dengan sabar mendengar ayat Hajar seterusnya.

“Saya rindukan awak.”

Nizam terkaku. Matanya tak berkelip memandang Hajar. Apa maksud Hajar kata rindu? Rindu yang bagaimana? Adakah rindu...

Dan kemudian Hajar ketawa, membuatkan Nizam terhenti berfikir.

“Saya gurau ajelah.”

Perlahan-lahan daripada tergamam, Nizam cuba mengukir senyum.

“Awak tak kerja sampai tiga hari. Lama tu! Biasa setiap pagi saya nampak awak. Bila tak nampak awak, saya pelik. Dahlah saya bawa bekal nasi lemak untuk awak. Awak tak ada pulak. Nasib baik ada staf ofis saya yang belum makan. Saya bagi kat dia.” Hajar membebel.

“Maaflah...” Nizam rasa bersalah pula.

Hajar mencapai telefon bimbit Nizam di atas meja. Terkejut dia apabila telefon itu tiada passcode. Lantas dia mendail nombor telefonnya. Telefonnya berdering.

Nizam hanya diam dan memerhati. Dia tak tahu apa yang Hajar sedang cuba lakukan.

“Okey, saya dah tahu nombor telefon awak.”

Barulah Nizam faham sekarang. Dia senyum melihat wajah Hajar keriangan.


Previous: BAB 24
Next: BAB 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.