Home Novel Seram/Misteri BAYANGAN
BAYANGAN
muRni aQiLa
28/2/2020 10:58:25
118,156
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 9

SIREN berbunyi nyaring memecah suasana yang tadi tenang. Keadaan mula agak riuh. Semua pekerja kilang elektronik di situ berpusu-pusu mahu ke kantin.

Fauziah beriringan bersama Kamariah menuju ke bahagian lokar untuk mengambil bekalan masing-masing sebelum ke kantin.

“Bekal apa kau bawa hari ni?” Kamariah bertanya setelah mereka duduk di meja panjang yang tiada sesiapa duduk di bahagian tengah.

“Nasi goreng aje, Yah. Bila dah duduk sorang-sorang ni, aku masak yang ringkas aje. Tak ada semangat nak masak beria sangat.” Fauziah membuka bekas bekalannya. Ada nasi goreng bersama hirisan timun.

“Tak apalah, Fauziah. Janji kau makan. Ni aku buat nasi lemak. Rasalah,” pelawa Kamariah sambil mendekatkan bekas bekalannya ke arah Fauziah.

“Terima kasih.” Fauziah mengambil sedikit telur dadar Kamariah.

Mereka mula menikmati hidangan masing-masing.

“Macam mana Nizam kerja kat sana? Okey tak?” soal Kamariah mengambil berat.

Meleret senyuman Fauziah.

“Hari ni dia baru mula kerja. Kelmarin ada kursus. Sebelum tu dia temu duga dulu. Balik kerja nanti aku telefon dia.”

“Insya-ALLAH, dia mesti okey.”

Fauziah mengaminkan dalam hati. Makin lebar dia senyum. Rakan sebayanya itu selalu bagi semangat padanya.

“Eh, Fauziah.”

Fauziah dan Kamariah yang sedang menjamu selera terkejut mendengar suara keras itu. Mereka berpaling. Suara siapa lagi kalau bukan Zabedah. Wanita seusia mereka juga. Tapi suka memperlekehkan orang lain. Kaki membawang pulak tu!

Zabedah turut makan di meja itu di bahagian hujung bersama teman-teman yang lain.

Fauziah menghadap bekalan semula. Sesuap nasi goreng disua ke mulut. Malas dia nak memandang Zabedah. Dia tak perasan pula wanita becok itu duduk di situ. Kalau dia tahu, awal-awal lagi dia mengajak Kamariah makan di meja lain.

“Aku dengar anak kau kerja kat KL, Zi. Betul ke?”

Soalan pancingan sebegitu tidak Fauziah pedulikan. Dia masih menyuap sarapannya.

“Kau orang percaya tak anak dia kerja kat KL tu?”

Yang lain-lain menjongketkan bahu dan menggeleng-geleng menjawab soalan Zabedah tersebut.

“Aku tak percaya langsung! Entah-entah dia mereka cerita. Yalah... nak tunjuk konon-konon anak dia tu bagus. Padahal...” Zabedah ketawa kecil di hujung ayat supaya dapat menyakitkan hati Fauziah.

Kawan-kawan Zabedah tersengih-sengih dengan riak muka memerli Fauziah.

“Tak habis-habis nak mengata orang.” Kamariah yang membalas kata-kata jahat itu.

Sedangkan Fauziah pura-pura tak dengar dan terus makan nasi gorengnya dengan berselera.

“Mengata apanya? Betul apa aku cakap ni. Aku sekampunglah dengan dia. Satu kampung tahu anak lelaki Fauziah tu pemalas. Kerja sekejap lepas tu berhenti. Memerap duduk dalam rumah aje. Ada orang kata anak dia sakit. Sakit apa tak tahulah. Elok aje aku tengok, cukup sifat semua. Sakit otak agaknya.” Makin galak Zabedah bermulut jahat.

“Anak dia macam tu ke, Kak Bedah? Teruknya. Dahlah lelaki. Dah besar-besar pun malas nak kerja. Tu bukan anak, tu pontianak.”

Mereka bergelak lagi.

“Pontianak yang sakit otak,” ejek Zabedah pula.

Hangat hati Kamariah mendengarnya. Walau Nizam tu bukan anaknya, dia yang sakit hati.

“Biasanya orang yang sakit otak ni, orang yang suka sakitkan hati orang lain.” Selamba Kamariah menyindir.

“Aku tak cakap dengan kaulah, Yah! Aku cakap pasal Fauziah tu.” Zabedah menjeling selepas itu.

Kamariah mencemik. Dah kena sindir pun tak faham bahasa. Masih nak sakitkan hati orang.

“Kawan baik dia tu, Kak Bedah. Mestilah backing,” celah salah seorang geng Zabedah.

Kamariah tergeleng-geleng dengan senyuman sinis. Tu sajalah modal orang yang nak menang saja walau tak tahu cerita sebenar pihak mana yang benar dan mana yang salah.

“Entah-entah sebab dah tak tahan ada anak tak guna macam tu, dihantar budak tu entah ke mana agaknya. Bolehlah dia bersenang-lenang kat sini. Siapa aje yang sanggup bela anak pemalas menyusahkan macam tu? Umur dia 27 tahun, dah besar panjang. Tapi satu habuk pun tak boleh pakai. Mak kerja macam nak mampus. Anak mengangkang kat rumah. Tahu nak makan aje. Betul tak?” Zabedah masih tak puas nak menyakitkan hati Fauziah.

Fauziah tetap selamba. Apa saja yang keluar daripada mulut Zabedah, tak jadi kudis baginya.

Kamariah pula kerana melihat Fauziah sangat tenang, dia juga ambil pendekatan untuk tak melayan perangai Zabedah itu.

“Dia hantar anak dia masuk Hospital Tanjung Rambutan kot. Yalah... sakit katanya kan?” ujar salah seorang geng Zabedah.

Zabedah terangguk-angguk setuju dengan riak wajah ceria.

“Betul jugak tu. Sebab aku ada dengar cerita. Anak lelaki dia tu macam tak berapa betul. Otak tak center bak kata orang.”

Geng Zabedah ketawa dengan kenyataan Zabedah itu.

“Kelakarlah. Tapi otak tak center tu apa sebenarnya?” Lagi seorang geng Zabedah bertanya pula.

“Kira macam wayar otak putuslah tu.”

Sekali lagi geng Zabedah tergelak dengan jenaka Zabedah.

“Orang yang ada anak tak guna macam tu, maknanya balasan Tuhan. Tahu tak? Adalah tu dosa dia pernah buat dulu sampai dapat anak macam tu. Padan muka,” ujar Zabedah dengan nada jijik.

Kali ini, Fauziah sudah mula rasa berangin satu badan. Sabar yang dia cuba pupuk dalam hati bagai nak menggelegak rasanya.

Makin bertambah berangin apabila setiap kali mendengar Zabedah dan kawan-kawannya ketawa sejak tadi.

Fauziah menutup bekas bekalannya. Dah tak ada selera dia nak menghabiskan nasi goreng itu. Kamariah mengikut saja tingkah Fauziah. Dia pun sejak tadi menahan rasa sakit hati.

“Aik? Takkan dah siap makan, Fauziah? Relakslah... dah anak kau tak berapa nak normal macam orang lain, nak buat macam mana? Kau bertaubat ajelah. Harap-harap bila dosa kau diampunkan, anak kau jadi manusia berguna.” Bibir Zabedah tersenyum sumbing.

Fauziah bingkas bangun. Dipandang ke arah Zabedah dan kawan-kawannya yang tersengih-sengih menyindirnya.

“Sedapnya mulut kau menghukum orang kan, Zabedah. Mengalahkan Tuhan pulak. Kalau macam ni, lebih baik kawan-kawan kau sembah kau aje. Tak payah sembah Tuhan dah.”

Terus Fauziah beredar dari situ.

Kamariah tersenyum puas dengan balasan kata-kata Fauziah untuk Zabedah itu. Rasakan! Diekori Fauziah yang mahu keluar dari kantin. Baru beberapa langkah, terdengar suara langau Zabedah.

“Dia dah malulah tu. Gila kalau tak malu? Dia sorang aje yang ada anak tak normal macam orang lain. Silap-silap si emak pun sewel sekali.”

Kawan-kawan Zabedah ketawa lagi.

Tergeleng-geleng Fauziah dan Kamariah. Cakaplah apa pun pada Zabedah. Kalau dah hati hitam, memang dia tak akan ada perasaan langsung!

**********

DENGAN motosikal yang disediakan untuk pengawal keselamatan bertugas, Nizam meronda ketiga-tiga kawasan basement. Tatkala rasa terlalu penat, dia berehat sebentar. Inilah kali pertama dia rasa betul-betul bekerja.

Waktu yang benar-benar sibuk sehingga dia kalut dan perlu dibantu tadi ialah pada awal pagi ketika staf-staf di bangunan ini masuk kerja, pada waktu rehat pula kenderaan keluar masuk tak berhenti dan juga ketika habis waktu pejabat apabila berduyun-duyun staf di sini mahu pulang.

Dia perlu memastikan trafik keluar masuk berjalan lancar. Walau ada ketika dia berasa serabut kepala, dia cuba bertenang dan bernafas dengan betul. Mujur dia tak lupa membawa ubat bersama dan makan pada waktu yang ditetapkan. Emosinya terkawal dan tak bergelodak.

Jam tangan sudah hampir ke pukul 7.00 malam. Waktu bertugasnya sudah ke penghujung. Dia yang duduk berehat sebentar di tepi dinding dia tingkat B2 setelah keadaan yang berkecamuk tadi segera bangun. Kenderaan sudah berkurangan walau masih ada yang belum pulang.

Baru saja dia mahu menghidupkan enjin motosikal, telinganya menangkap suara yang memanggil namanya.

“Nizam.”

Nizam terdiam membeku. Ditoleh ke sekeliling. Tiada sesiapa. Dia mula rasa gelisah. Kenapa dia sering terdengar namanya dipanggil sejak akhir-akhir ini?

Bersegera Nizam berlalu pergi dari situ dengan motosikalnya dengan dada yang berderau. 


Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.