Home Novel Seram/Misteri BAYANGAN
BAYANGAN
muRni aQiLa
28/2/2020 10:58:25
120,110
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 14

DARI tempat duduk Fauziah yang agak jauh itu pun dia dapat melihat Zabedah dan kawan-kawannya bergelak ketawa. Sesekali mereka memandangnya dan kemudian ketawa lagi. Bagaikan sengaja mahu dia tahu yang dia dijadikan bahan umpatan mereka.

Dia malas mahu ambil pusing. Dibuat kerjanya seperti biasa. Semua itu sudah lali pada pandangan dan telinganya. Tak pernah dia membalas atau mengamuk. Orang kata bila kita diam, lama-lama senyaplah suara-suara sumbang tu.

Tapi nampaknya kesumbangan suara-suara itu semakin galak pula. Mungkin ambil masa lebih lama lagi untuk menutup mulut-mulut puaka itu. Mungkin kesabaran dalam dirinya perlu lebih tebal lagi menunggu suara-suara langau itu tak lagi membingit.

“Tak habis-habis Bedah puaka tu nak membahan orang. Tak puas-puas.” Kamariah bersuara kegeraman. Dia pun nampak aksi wanita bermulut tempayan itu pada Fauziah.

“Biarlah, Yah. Selagi dia ada mulut, biarlah. Manalah tahu kalau esok-esok dia bisu, tak ada peluang nak cakap apa-apa lagi.”

Kamariah ketawa mendengar kata balas Fauziah itu. Sudah cukup untuk membuktikan yang Fauziah langsung tak peduli dengan manusia-manusia bodoh dan tak memberi manfaat jika dilayan.

Dia memandang jam tangannya. Sudah pukul 5.20 petang.

“Lagi sepuluh minit nak balik. Sekejap aje rasanya.”

Fauziah turut melihat jam tangannya. Dia memang sudah tidak sabar mahu pulang. Dah meluat sangat menyaksikan perangai Zabedah dan kawan-kawannya itu. Walau sabar macam mana pun, adakala bengkak juga hatinya. Perangai Zabedah seakan-akan orang yang tak bertamadun. 

Mereka fokus menyiapkan kerja pemasangan papan elektronik tersebut sehingga akhirnya kedengaran bunyi siren tidak lama kemudian.

Semua pekerja berkemas-kemas dan mahu beredar pulang. Fauziah dan Kamariah menuju ke lokar masing-masing sebelum beriringan mahu keluar dari bangunan itu.

“Anak kau ada call, Fauziah?” Kamariah sekadar bertanya.

“Tak sempat dia call aku, aku yang call dia dulu.” Fauziah tergelak sendiri.

“Untung dapat mak macam kau ni.”

Fauziah meleretkan senyum. Terbayang wajah Nizam. Satu-satunya tempat dia menumpahkan rasa kasih sayang.

“Tak jemu aku tanya khabar dia hari-hari, Yah. Dapat cakap seminit pun jadilah. Walaupun cuma tanya dah makan ke belum.”

“Macam mana dia kat sana?”

“Alhamdulillah... dia dah boleh berdikari. Tapi aku tetap risau, Yah. Risau kalau sakit dia tiba-tiba datang.” Fauziah mengeluh lemah.

“Insya-ALLAH dia okey. Lagipun, dia duduk dengan sepupu dia. Boleh sepupu dia tengok-tengokkan dia.” Kamariah cuba memujuk.

Kata-kata itu tak mampu mengusir kerisauan yang bersarang dalam hati. Irwan bukan boleh memantau Nizam 24 jam sehari.

“Sakit dia tu tak ada penawar, Yah. Makan ubat macam mana pun, kalau sakit dia datang, susah hati aku ni. Risau jugak aku bila nanti menyusahkan anak saudara aku tu kat sana,” keluh Fauziah. Digigit bibir menahan rasa.

“Kalau kau tak betul-betul yakin, kenapa kau lepaskan Nizam tu ke sana?” Kamariah mengerling sahabatnya itu dengan riak sangsi.

Fauziah melepaskan nafas panjang yang lemah. Dia tiada daya mengawal semua perkara.

“Kalau ikutkan hati, memang aku takkan biar dia ikut sepupu dia kerja kat sana, Yah. Tapi...”

Kamariah menunggu ayat Fauziah seterusnya. Ketika itu mereka sudah pun keluar dari bangunan kilang tempat mereka bekerja. Kelihatan banyak bas dan van kilang menunggu di luar pagar untuk membawa pekerja-pekerja kilang pulang ke rumah masing-masing.

“Kenapa, Zi?” Ayat tergantung Fauziah membuatkan Kamariah tak sabar nak tahu.

“Nizam kata dia nak cari Hajar.” Akhirnya Fauziah memberitahu. Selama ini dia diamkan hal itu daripada pengetahuan Kamariah.

Berkerut muka Kamariah.

“Aku rasa banyak yang kau tak cerita pada aku, Zi. Yalah... kita bukan tinggal sekampung. Kita kenal pun baru lima tahun sejak aku mula kerja kat sini. Walaupun kau dah anggap aku ni sahabat kau, tapi banyak rahsia kau yang aku tak tahu.”

Fauziah akur dengan kenyataan itu. Kamariah bukan seperti orang lain yang sibuk menjaga tepi kain orang. Dia menyimpul senyuman nipis.

“Aku kalau boleh, dah tak nak ingat semua hal yang dah lepas. Tapi selagi kita ni bernama manusia, selagi kita hidup, sejarah akan tetap mengekori walau ke mana kita pergi.”

Kamariah mengangguk setuju.

So... Hajar yang Nizam nak cari tu ada kena-mengena dengan sejarah silam kau?”

Langkah Fauziah mula kendur dan lambat-lambat gerakannya. Kamariah turut memperlahankan rentak langkahnya sebelum kedua-dua mereka berhenti berdekatan dengan pagar kawasan kilang tersebut.

Fauziah mengangguk menjawab persoalan Kamariah itu.

“Tapi... Hajar tu siapa?”

Fauziah menghempas nafas panjang. Dia membuang pandang ke arah van kilang yang biasa membawanya pergi dan pulang dari kerja. Ramai pekerja berkejaran mendapatkan kenderaan yang membawa mereka.

Kamariah masih menanti jawapan Fauziah.

“Nantilah aku cerita, Yah. Van aku dah tunggu tu. Bye!” Fauziah memilih untuk meneruskan hal ini kekal jadi rahsia. Dia mempercepatkan langkah mendapatkan van yang sedang menunggu itu.

Kamariah memandang Fauziah dengan perasaan simpati. Pasti ada sesuatu yang terjadi sehingga sahabatnya itu memilih untuk memendam perasaan dan menyimpan segala duka dalam lipatan masa lalu.

Tak apalah... kalau Fauziah belum bersedia mahu bercerita, dia takkan paksa. Biarlah Fauziah bercerita ketika benar-benar mahu berkongsi kisah duka dan lara hidupnya. Biar Fauziah dengan sendiri ikhlas dan tak ragu-ragu mempercayainya sebagai tempat meluahkan rasa.

**********

LEWAT petang itu sesibuk hari biasa. Kenderaan berpusu-pusu keluar. Apatah lagi menjelang waktu maghrib itu, hujan turun dengan lebat.

Nizam memantau trafik yang bergerak perlahan. Semuanya berjalan dengan lancar. Sehinggalah hampir pukul 7.00 malam, barulah dia teringatkan sesuatu.

Bersegera dia ke pos pengawal. Bekas bekalan yang Hajar berikan kepadanya belum dipulangkan. Dia sudah fikir mahu pulangkan petang ini. Namun, terlupa juga dia.

Bekas tersebut diambil dari dalam beg sandang yang dibawa. Alang-alang waktu bekerjanya sudah tamat, dia terus bersiap-siap mahu pulang. Disarungkan jaket hitam yang menjadi temannya setiap hari untuk mengalas baju uniform yang dipakai ketika pergi dan pulang dari kerja.

“Hujan ni, Zam.” Kamal menegur apabila melihat Nizam sedang bersiap-siap.

Nizam mengiakan sambil terangguk-angguk.

“Irwan mesti tak boleh ambil kau balik,” sambung Kamal lagi.

Nizam sudah fikir hal itu dari awal lagi.

“Tak apa... saya tunggu sampai dia datang.”

“Dia tak ada call kau?”

Nizam menggeleng.

Kamal tak bereaksi. Dia duduk bersandar tenang di kerusinya.

“Saya nak ke basement sekejap.”

Kamal hanya menghantar Nizam dengan pandangan. Seakan tak berminat langsung nak ambil tahu tentang Nizam.

Nizam membawa bekas bekalan itu bersamanya menaiki motosikal meredah hujan seketika sebelum masuk ke dalam kawasan parkir basement itu. Bersegera dia ke tingkat B2. Sayangnya, kereta Hajar sudah tiada di lot parkirnya.

Bukan kereta Hajar sahaja yang tiada. Kawasan tingkat itu juga sudah lengang. Hanya ada beberapa kereta yang tinggal. Itu pun jauh-jauh jaraknya.

Dia tak perasan waktu bila Hajar beransur pulang. Sedangkan dia sentiasa ada di kawasan itu apabila waktu pejabat berakhir untuk memantau keadaan.

Dia memberhentikan motosikal di situ sambil berfikir-fikir. Nampaknya, dia kena pulangkan bekas tersebut pada Hajar esok hari.

Akalnya mula merancang sama ada patut atau tidak dia berterus terang tentang dirinya yang sebenar kepada Hajar. Tapi terasa terlalu awal dan terburu-buru pula. Sedangkan dia belum betul-betul pasti Hajar itu Hajar yang dicarinya.

Dia mengeluh panjang. Sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan identiti Hajar yang sebenar. Buat masa sekarang, dia perlu beri masa dan tinggikan paras kesabaran. Dia akan selidik tentang Hajar terlebih dahulu.

Baru sahaja dia menggerakkan motosikal, sayup-sayup telinganya menangkap suara sesuatu. Terdiam dia mengamatinya. Walaupun bunyi enjin motosikal bergema, dia masih boleh menangkap suara itu.

Seketika kemudian suara yang perlahan itu jadi kuat sedikit. Telinga Nizam dapat menangkapnya. Itu suara siulan seperti yang dia dengar di rumah Irwan!

Dadanya mula bergemurah dengan debaran. Ya, dia kenal rentak siulan itu. Alunannya lambat-lambat dan mendayu. Itulah siulan yang dia dengar. Meremang bulu romanya serta-merta.

Matanya meliar tertoleh ke sekeliling kawasan itu. Dia berharap siulan itu datang daripada pekerja bangunan ini. Namun, dia tak nampak sesiapa di situ. Malah, tiada juga sesiapa yang keluar dari ruangan lif.

Menggeletar tubuh Nizam kegugupan. Lututnya terasa menggigil lemah. Seriau yang menguasai diri membuatkan dia bagai tiada daya untuk membawa motosikal dan beredar dari situ. Dia tak mampu menggerakkan tubuhnya sendiri.

Ditelan liur yang memberat di tekaknya apabila siulan itu terasa bagai mendekatinya. Dan tak semena-mena, lampu di kawasan itu berkelip-kelip seolah-olah rosak. Bertambah-tambah kegerunan di hatinya. Dia berasa terlalu cuak hingga tercungap-cungap tak cukup nafas. Tubuhnya berpeluh-peluh.

Mahu menjerit, tapi suaranya tak terkeluar langsung kerana menggigil teruk. Suara siulan dan lampu yang berkelipan ini berselirat pada pandangan dan pendengarannya.

Ditekap telinga dengan kedua-dua tapak tangan. Mata dipejam rapat-rapat. Dia mengerang. Tak sanggup lagi dia menggeletar ketakutan begini. Namun, siulan itu terus-menerus meremangkan bulu romanya. Dia sudah mahu menangis. Dia rasa mahu meraung.

Dan tiba-tiba walkie-talkienya berbunyi. Berulang-ulang kali berbunyi.

Nizam memberanikan diri membuka mata perlahan-lahan. Saat matanya terbuka, tiada lagi lampu berkelip-kelip. Dilepaskan tangan yang menekup telinga. Suara siulan juga sudah tidak kedengaran. Dia terpinga-pinga memandang sekeliling.

Walkie-talkienya berbunyi lagi. Suara Kamal kedengaran di hujung sana memanggil namanya.

Cepat-cepat dia mencapai walkie-talkie yang diselit di pinggang dan menjawabnya.

“Ya, ya... ada apa?”

“Irwan tunggu kau kat sini.”

“Okey.”

Nizam kemudian melepaskan nafas lega yang panjang. Dia menelan liur. Dengan tangan yang masih menggeletar dia menunggang motosikal keluar dari kawasan itu.


Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.