Home Novel Seram/Misteri BAYANGAN
BAYANGAN
muRni aQiLa
28/2/2020 10:58:25
120,111
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 18

KEJADIAN malam semalam masih menghantui Nizam sehingga ke hari ini. Dia tak habis fikir lagi. Dia terbayang wajah Hajar. Gadis itu cantik, terpelajar, elegan dan bekerjaya. Sudah tentulah juga kaya. Itukah Hajar yang dia cari?

Tapi kenapa Hajar langsung tak mengenalinya? Rupa parasnya tak begitu banyak yang berubah dari dulu sampai sekarang. Semasa dia beritahu dia berasal dari Muar pun Hajar seperti tak terkesan apa-apa. Dia jadi bingung memikirkannya.

Tengah hari itu dia menghubungi Fauziah. Dia tahu waktu ini waktu rehat emaknya. Seketika menunggu, panggilannya bersambut. Terus dia memberi salam dan emaknya membalas.

“Tak pernah-pernah Nizam telefon emak siang hari. Nizam kerja tak hari ni?” Kedengaran nada risau pada suara Fauziah.

“Nizam tengah kerja ni, mak. Tapi sekarang tak sibuk.” Nizam bersandar ke dinding di tepi Wisma Hasbullah itu.

“Dah makan dah?”

“Dah, mak. Mak tengah makan apa?” Nizam masih mahu bermukadimah dengan Fauziah.

“Makan nasi berlauk ni dengan kawan mak.”

“Dengan Mak Cik Yah?”

Fauziah ketawa perlahan.

“Dia aje sahabat yang mak ada, Zam. Dialah yang dapat mengubat rindu mak pada anak mak ni.”

Nizam senyum. Dia juga rindukan Fauziah. Tapi tugasnya belum selesai.

“Ada apa Nizam call mak ni?”

Terus tergamam Nizam disoal begitu. Dia masih belum memberitahu tujuan dia menelefon Fauziah. Dia mahu mengkhabarkan tentang Hajar. Segala kekusutan akal fikiran yang berselirat mahu diluahkan kepada Fauziah.

Tapi dia rasa sangsi pula sekarang. Dia belum bersedia nak warwarkan hal yang dia masih sangsi. Risau kalau Hajar itu bukan Hajar yang dicari. Sedangkan harapan sudah terlalu tinggi. Nanti kecewa pula merana diri.

“Nizam? Helo? Nizam?”

Nizam tersentak.

“Kenapa ni, Zam? Penat ke? Helo? Helo? Nizam tak sihat ke?” soal Fauziah kegelisahan.

“Mak, mak... bertenang, mak. Nizam sihat, alhamdulillah. Mak jangan risau.”

Suara Nizam yang berubah ceria membuatkan Fauziah rasa lega. Dia melepaskan nafas dengan bertenang.

“Saja-saja Nizam telefon mak. Nak tanya khabar. Rindu sangat kat mak.”

Senyuman Fauziah meleret. Rasa bahagia apabila dirindui anak kandung sendiri.

“Yalah... jaga diri kat tempat orang tu ya? Waktu rehat mak pun nak habis ni. Nanti kita berbual lagi.”

Talian diputuskan. Dalam keterpaksaan Nizam menguntum senyum. Separuh hatinya rasa terkilan tak boleh nak beritahu emaknya tentang Hajar buat masa sekarang. Apabila sudah benar-benar pasti, barulah dia akan hebahkan berita itu. Dia tak nak hati Fauziah yang berharap akan terluka.

**********

NIZAM terjaga daripada tidur. Matanya membulat. Meliar dia memandang ke siling sambil berfikir suasana yang dialaminya sekarang. Lantas dia bangun dan duduk bersila di atas katil itu.

Dia berada di dalam biliknya sendiri rupa-rupanya. Baru dia ingat. Selepas solat maghrib, dia mahu berbaring merehatkan kepenatan di atas katil seketika. Tak sedar dia sampai terlelap dengan baju uniform yang belum ditanggalkan.

Wajahnya diraup beberapa kali menghalau mamai yang masih bersisa. Jam di dinding diperhatikan. Hampir pukul 10.00 malam. Lama juga dia tertidur kerana kepenatan.

Merasakan tubuhnya rasa berlengas, dia mahu bersegera mandi. Pakaian ditanggalkan satu per satu. Dengan hanya melilit tuala ke pinggang, dia keluar dari bilik menuju ke bilik air.

Sebelum itu dia melalui ruang tamu. Sunyi sepi ruang itu. Pasti Irwan belum pulang lagi. Barangkali kejap lagi sepupunya itu akan sampai di rumah.

Tak berlengah dia masuk ke dalam bilik air. Di hadapan cermin singki dia memberus gigi. Dia memandang cermin itu, meneliti rupa paras yang terbias dari situ. Kelihatan wajah lesunya. Tak tahu kenapa dia rasa penat sangat hari ini.

Biasanya apabila sampai di rumah setelah pulang dari kerja, dia akan solat maghrib terlebih dahulu supaya tak terlepas waktu. Kemudian dia akan terus membersihkan diri. Tak pernah lagi dia tidur selepas solat.

Dia masih memberus giginya sambil berbalas pandang di cermin. Bunyi dia memberus gigi kedengaran menguasai seluruh isi ruang kerana terlalu sunyi.

Sudah siap, dia tunduk untuk membasuh mulut di singki. Kepala paip dibuka lalu air pun mencurah-curah. Dicuci mulut dan berus gigi yang dia guna. Pada ketika itu tanpa Nizam sedar ada kelibat yang terimbas di cermin sepintas lalu.

Elok saja dia berdiri tegak semula, kelibat itu sudah menghilang. Kali ini dia mencuci mukanya pula dengan sedikit cecair pembersih. Dilumur ke seluruh muka serata-rata sehingga putih mukanya.

Sekali lagi dia tunduk ke singki mahu membilas muka dengan air paip. Dan ketika itu ada lagi kelibat melintasi belakang Nizam dan bayangnya terimbas di cermin. Nizam tetap tidak sedar.

Sesudah merasa mukanya tidak lagi berbuih, dia berdiri semula. Dia menatap wajahnya yang basah di cermin. Titisan air dari rambut yang basah jatuh ke mukanya. Seketika dia termenung di situ.

Lama kemudian barulah dia menanggalkan tuala dan menyangkutnya di belakang pintu. Paip air pancut dipulas. Suasana yang tadi sunyi mula hilang berganti bunyi pancutan air yang berhempasan ke lantai.

Di bawah air pancut itu Nizam membasahkan diri. Terasa sangat segar tubuhnya merasai kenyamanan air yang sedikit sejuk. Botol syampu di tepi dinding diambil. Dia mahu menuang sedikit di tapak tangan, tapi tertuang banyak pula. Dia berdecit.

Tak mahu membazir, dilumur saja ke rambut. Berbuih-buih rambutnya dengan sangat banyak. Mata dipejamkan supaya buih-buih tak memedihkan matanya. Dia menggosok kepalanya dengan bersungguh-sungguh.

Dan ketika itulah dia merasa tubuhnya dipeluk dari belakang. Alangkah terkejutnya dia merasa pelukan itu sangat erat. Dia meronta-ronta sambil cuma meleraikan tangan yang memeluknya itu.

Tapi kerana buih yang terlalu banyak di kepala membuatkan dia tak boleh membuka mata. Dan pelukan itu teramat kuat untuk dileraikan.

Pasti rumah Irwan sudah dimasuki penyamun dan sekarang berada bersamanya di dalam bilik air itu. Tak sedar pula dia bila pintu bilik air itu dibuka. Sedaya upaya dia cuba melawan. Dihentak kedua-dua sikunya ke belakang berkali-kali, namun tak terkena langsung sasarannya.

Pelukan itu semakin mencengkam. Dia bagaikan kelemasan tak cukup nafas. Rontaannya mula kendur.

“Lepaskan aku! Lepaskan!”

Dia cuba membuka mata walau sudah merasa pedih. Dia takkan beralah sebelum berjuang. Lalu dia menjerit sekuat-kuat hati sambil meronta. Tapi seinci pun dia tak bergerak. Dia cuba pula membasahkan diri di bawah pancuran air yang sangat dekat dengannya agar buih di kepalanya berkurangan.

Bersusah payah dia mempertaruhkan seluruh kekuatannya. Usahanya berjaya. Buih-buih di mukanya berkurangan sedikit. Dan dia boleh membuka mata walau masih terasa pedih.

Dia tunduk untuk melihat tangan yang memeluknya itu. Serta-merta dadanya berderau. Tangan yang sedang memeluknya itu kehitaman dan merekah-rekah menampakkan darah dan nanah. Kukunya juga panjang kehitaman.

Dia menjerit ketakutan dan mula meraung. Tubuhnya menggeletar. Lutut terasa lemah untuk berdiri. Jantung berdegup kencang. Pelukan itu bertambah kuat bagaikan mahu meranapkan tulang-temulang dalam badannya.

“Allahuakbar! Allahuakbar!” laungnya sehabis nyaring walau dia teramat lemah ketika ini.

“A’uzu billahi minash syaitan nir rajim!” Lalu Nizam membaca surah al-Fatihah sekuat-kuatnya.

Perlahan-lahan tangan yang memeluknya terlerai. Nizam berpaling tetapi tiada sesiapa di dalam bilik air itu. Dia jatuh terduduk dan nafas mencungap-cungap sambil menghabiskan bacaannya. Menggigil seluruh tubuh. 


Previous: BAB 17
Next: BAB 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.