Home Novel Seram/Misteri BAYANGAN
BAYANGAN
muRni aQiLa
28/2/2020 10:58:25
120,106
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 24

MASUK hari ini, sudah tiga hari Nizam tak datang bekerja. Hajar berasa pelik. Kalau cuti lama-lama, mesti ada sebab. Setiap pagi dia bertanya dengan pengawal yang menggantikan Nizam. Jawapannya tetap sama. Tak tahu.

Walaupun fikirannya asyik terganggu dengan persoalan ke mana Nizam pergi, dia tetap menyiapkan tugasnya seperti biasa. Dan kerana sudah makan berat keika sarapan tadi, dia tak keluar rehat tengah hari ini. Lagi pula tiada temu janji dengan klien. Dia buat keputusan menyiapkan kerja di pejabat sahaja.

Ketika sedang meneliti profil-profil syarikat yang bakal bekerjasama dengan syarikat tempat kerjanya ini, tiba-tiba pintunya diketuk. Fikirnya Meen yang datang. Dia tersenyum.

Namun apabila melihat batang tubuh yang berdiri di hadapan pintu biliknya yang terbuka, senyumannya serta-merta pudar. Malah, riak wajahnya kelihatan meluat.

"Apa hal ceroboh masuk ofis orang ni?" soalnya dengan nada sinis.

Dengan senyuman serong Lukman melangkah masuk ke bilik pejabat Hajar dengan kedua-dua tangan menyelok poket seluar.

"Receptionist kat depan tu bagi I masuk bila I cakap ada appoinment dengan you. Bukan salah I kan?"

Hajar berdecit. Meluat dia melihat muka mengejek lelaki di hadapannya ini. Selepas ini, dia perlu pesan pada penyambut tetamu itu supaya tak lagi membenarkan lelaki bernama Haris Lukman menjejakkan kaki dalam pejabat ini.

"Kalau receptionist tu benarkan you masuk, so I dengan hormatnya mempersilakan you berambus. Sekarang..." Dia menuding jari telunjuk ke arah pintu.

Lukman ketawa perlahan dan dia semakin menghampiri meja Hajar.

"Sebelum I keluar, tak boleh ke kita berbual-bual dulu? You dahlah tak pernah nak jawab bila I call. WhatsApp pun tak reply. Sekarang ni nak ajak berbual pun sombong. Janganlah macam tu. Orang yang putuskan silaturahim ni rezeki dia sempit tau." Lukman menarik kerusi, lalu melabuhkan duduk menghadap Hajar tanpa dipelawa.

Hajar tersenyum sumbing. Nak cakap pasal rezeki konon. Macam dia pulak yang jadi Tuhan.

"I masih sayangkan you, Hajar. I rasa hidup I suram tanpa you. Hidup I macam tak ada makna dah sekarang ni. Tolonglah faham. Dah banyak kali I beritahu you. Susah sangat ke you nak faham?"

"You yang putuskan pertunangan kita. Bukan salah I." Hajar nak Lukman tak lupa akan hakikat itu.

"Ya, tapi kita boleh bertunang balik. Lepas tunang kita kahwin. Okey?" pujuk Lukman seolah-olah semua perkara boleh diambil mudah.

"Dan lepas tu, you boleh pukul I setiap kali you marah? Bila datang panas baran you, datang perangai cemburu buta you... I jadi mangsa sepak terajang you? Macam tu?" Hajar tergeleng-geleng dengan riak mencemuh.

"Sorry, I tak nak biarkan hidup I musnah disebabkan hidup bersama dengan orang macam you."

"I takkan buat tu semua kalau you tak buat I cemburu. Janganlah jumpa lelaki lain. Walaupun klien, takkan sampai nak jumpa lepas tu ajak makan-makan. Mana-mana lelaki pun mesti cemburu kalau orang yang dia sayang buat macam tu."

Panas hati Hajar mendengar alasan paling bodoh yang dia pernah dengar seumur hidupnya. Mahu saja dia menghamun lelaki bangang sebegini.

"I tak tahu apa yang you makan sampai jadi tak ada akal macam ni," sindir Hajar supaya telinga Lukman rasa 'panas' dan hati Lukman rasa 'pedas'.

"You tu yang tak ada akal!" Sakit hati Lukman mendengar kata-kata Hajar. Lantang suaranya kali ini.

"You dengan semua lelaki you melayan. Tak ada malu langsung. Jangan ingat I tak tahu, dengan guard cabuk pun you himpit. Rendah betul level you sampai lelaki sampah macam tu pun you melayan." Lukman tunjuk riak muka geli.

Bertambah panas hati Hajar. Melampau sungguh mulut Lukman. Sudahlah tak ada akal, tak ada perasaan jugak. Sesuka hati nak menghina orang. Dia kemudian menghamburkan ketawa.

"Sebab nilah I bersyukur sangat-sangat I putus tunang dengan you. I melompat-lompat sebab terlalu happy tak jadi kahwin dengan you. I sujud syukur, Luk. Mujur I tak kahwin dengan lelaki yang panas baran, cemburu buta, kaki pukul, suka menghina orang, buruk sangka dan tak ada akal."

Hajar rasa puas dapat menyenaraikan sebab musabab lelaki itu tidak layak untuknya. Lagi puas hati apabila melihat Lukman rasa 'terpukul' dengan kata-katanya itu.

"You jangan sampai tangan I naik ke muka you lagi, Hajar. Kurang ajar betul mulut you ni." Mata Lukman mencerlang merenung Hajar.

Hajar bingkas berdiri dan mendorong tubuh ke depan Lukman.

"Tamparlah! Haa... tampar! Lepas tu boleh I dakwa you ceroboh masuk ofis ni dan serang I. Bukti CCTV yang ada cukup untuk buat you meringkuk dalam penjara."

Amaran Hajar itu membuatkan Lukman mengerling ke siling bilik itu. Ya, ada CCTV di situ. Dia menelan liur.

"So, berambus sekarang." Hajar memandang Lukman seolah-olah mahu menerkam.

Lukman terpaksa angkat bendera putih. Dia berdiri dan menuju ke pintu. Seketika dia berpaling ke arah Hajar semula.

"I akan pastikan you jadi milik I jugak."

Hajar mencebik. Menyampah.

**********

HARI ini, barulah Nizam berdaya berjalan seperti biasa. Demamnya sudah kebah. Selera makannya sudah ada semula. Dia tidak lagi terbaring lemah dan rasa kesejukan walau tubuhnya membahang panas.

Dia yang sudah mandi dan bersiap-siap, keluar dari bilik. Emaknya sedang menunggu di ruang tamu sambil menonton televisyen.

Fauziah menoleh ke arah Nizam apabila anaknya datang menghampiri.

"Dah siap? Jom kita makan." Meleret senyumannya.

"Mak masak apa?"

Mereka berdua beriringan ke meja makan.

"Asam pedas ayam, sayur kangkung belacan dengan ikan kering aje, Zam."

Terliur Nizam mendengar.

"Mak macam tahu-tahu aje Nizam teringin nak makan asam pedas ayam."

"Dulu kalau Nizam baru nak baik demam, mak akan masak lauk asam pedas. Makan pulak dengan nasi panas. Biar berpeluh-peluh masa makan. Lepas tu memang Nizam terus sihat," imbas Fauziah dengan rasa sedikit lucu.

Nizam tertawa kecil. Mereka berdua menikmati makan tengah hari itu dengan penuh berselera. Dia makan sampai bertambah. Seperti yang dijangka, dia makan sambil berpeluh-peluh. Kepedasan asam pedas air tangan emaknya itu cukup padu. Tak ada siapa yang boleh lawan.

"Petang ni, tak payahlah Nizam hantar mak sampai ke TBS. Nizam berehat sajalah kat rumah."

"Tak apa, mak. Nizam dah puas tidur. Biarlah Nizam ambil angin kat luar. Boleh excercise luruskan sendi dengan jalan-jalan."

"Kalau tengah jalan-jalan balik dari hantar mak tiba-tiba pitam macam mana?"

Nizam tertawa sambil menyeka peluh yang merenik di dahi.

"Nizam dah sihat, mak. Dah makan masakan mak ni, lagi bertambah kuat Nizam."

Fauziah tersenyum senang hati. Bahagia melihat anaknya itu makan dengan berselera.

"Tak payah baliklah, mak. Nizam suka mak duduk kat sini." Nizam berasa berat hati pula nak lepaskan emaknya pulang ke kampung semula.

"Mak tak boleh cuti lama-lama. Bising leader mak nanti."

"Mak berhentilah. Kerja kat sini pulak," cadang Nizam berharap.

"Siapalah nak ambil orang tua macam mak ni kerja, Zam. Biarlah mak kerja kat kampung tu sampai bersara." Fauziah tak terfikir langsung nak tinggal di situ. Dia lebih suka tinggal di rumah sendiri walau sekadar rumah kampung.

Nizam berasa sedikit kecewa. Lagipun ini rumah Irwan. Nanti kalau dia dah beli rumah sendiri, dia akan paksa emaknya tinggal bersama.

"Ni... mak nak tanya sikit." Riak Fauziah berubah serius. Direnung wajah Nizam.

Nizam tak jadi menyuap nasi ke mulut. Dibalas renungan emaknya.

"Masa kat klinik hari tu, bila doktor check lengan Nizam, ada kesan lebam. Dua-dua belah lengan Nizam ada lebam tu. Kat dada pulak ada bekas-bekas luka hitam. Apa dah jadi, Zam?" soal Fauziah dengan muka berkerut kehairanan.

Nizam lebih lagi berkerut mukanya. Dibelek kedua-dua lengannya. Kemudian dia menyelak kolar baju-T yang dia pakai. Dadanya direnung. Masa mandi tadi pun dia tak nampak apa-apa yang berbeza pada tubuhnya.

"Lebam? Bekas luka? Mana ada, mak."

"Masa Nizam demam, lebam dengan bekas luka tu ada. Tapi hari ni dah tak ada."

Makin pelik Nizam dibuatnya.

"Nizam ada tak ingat apa-apa yang jadi pada Nizam sebelum demam? Nizam kena pukul ke?"

Sebelum demam? Nizam terdiam berfikir. Dia takkan lupa malam kejadian di dalam bilik air itu. Tetapi dia tak mahu beritahu emaknya. Sebab dia sendiri seperti waswas. Tak pasti sama ada kejadian itu realiti atau bayangannya sahaja. Dia masih keliru. Mungkin itu ilusi daripada bipolar yang dihidapi.

Fauziah menanti keterangan Nizam sambil mengemam bibirnya.

Nizam kemudian menggeleng, membuatkan Fauziah mengeluh. Susah pula hatinya.

"Mungkin masa demam tu Nizam terjatuh dari katil tapi Nizam tak sedar," duga Nizam kerana tak mahu Fauziah kerisauan.

Nak tak nak, Fauziah percaya saja apa yang Nizam katakan.

Selesai makan dan mengemas semuanya, Fauziah membawa keluar beg jinjing dari bilik.

"Betul ni mak nak balik? Dah fikir masak-masak?" usik Nizam yang menunggu emaknya bersiap-siap di sofa.

"Jom ikut mak sekali."

Nizam hanya ketawa. Dan tak lama kemudian Grab yang dipanggil sampai di luar pagar. Nizam membantu membawa beg pakaian emaknya dan dimasukkan ke bonet kereta.

Perjalanan ke Terminal Bersepadu Selatan itu tidak jauh. Lebih kurang 10 minit sahaja. Di dalam kerata Grab itu Fauziah memaut tangan Nizam dan digenggam erat.

"Hati-hati..."

Nizam mengangguk faham. Dibalas genggaman tangan emaknya. Tangan itu makin jelas kedutannya. Mungkin kerana Fauziah kurus, maka lebih cepat nampak kedutannya.

"Mak pun hati-hati. Dah sampai rumah call Nizam," pesan Nizam pula.

Fauziah bersandar tenang sambil melemparkan pandangan ke luar cermin tingkap. Nizam pun melihat pemandangan di luar. Walaupun hanya bangunan dan perumahan, membuatkan dia ralit seketika. Ada apartment, rumah flat, rumah teres, dan ada juga rumah banglo di sepanjang laluan.

Tiba-tiba hatinya tergerak pula hendak memberitahu sesuatu pada emaknya itu. Tapi hatinya berbolak-balik. Yakin tak yakin.

"Mak..." panggilnya perlahan.

Fauziah berpaling memandang Nizam.

"Nizam nak beritahu mak sesuatu." Nizam menelan liur.

"Apa dia?" Fauziah menguntum senyum.

"Nizam dah jumpa Hajar."

Perlahan-lahan air muka Fauziah berubah. Dia tergamam. Khabar itu membuatkan dia gugup.


Previous: BAB 23
Next: BAB 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.