Home Novel Seram/Misteri BAYANGAN
BAYANGAN
muRni aQiLa
28/2/2020 10:58:25
120,105
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 1

SUASANA malam yang kian larut tua itu hanya diterangi lampu di ruang luar tangga hadapan rumah. Dalam keadaan kesuraman itu Nizam menonton televisyen bersendirian. Rancangan komedi. Mengekek dia ketawa. Adakala sampai berdekah-dekah.

Apabila tersedar ketawanya terlalu kuat, ditekup sebiji kusyen ke mulut. Risau andai emaknya yang sedang tidur di dalam bilik terganggu mendengar gelaknya yang kuat itu. Tetapi kemudian dia ketawa terbahak-bahak semula. Bergema suaranya di ruang tamu itu.

Walau malam makin larut, matanya belum mahu mengantuk. Rancangan komedi tadi sudah pun tamat. Ketawanya masih bersisa mengenangkan jenaka-jenaka pelawak tersebut.

Kerana masih belum terasa mahu tidur, ditonton rancangan lain pula. Dia membetulkan kedudukan baringnya di kerusi kusyen panjang itu apabila berasa tidak selesa.

Suara televisyen yang tidak begitu kuat dan juga tidak terlalu perlahan itu ada ketika seperti tidak bersuara. Ketika itu benar-benar terasa begitu sunyi rumah papan tersebut. Di rumah itu dia hanya tinggal berdua dengan emaknya.

Terdengar bunyi derapan tapak kaki di tengah ruang tamu di belakangnya. Derap kaki itu melangkah satu per satu perlahan-lahan. Mata Nizam membulat sedikit. Dia mahu memastikan yang dia tak salah mendengar. Mungkin bunyi dari televisyen. Tetapi di kaca televisyen ketika ini dua orang pelakon sedang berdialog sesama sendiri. Tak mungkin bunyi tersebut dari televisyen.

Bunyi itu kedengaran lagi. Terasa seolah-olah seseorang sedang menghampirinya. Lama-kelamaan terasa semakin hampir. Makin bulat mata Nizam. Lantas dia duduk tegakkan badan dan berpaling.

Tiada sesiapa. Ruang tamu itu ternyata tiada sesiapa. Hanya gelap pekat pada pandangannya. Nizam mengecilkan mata agar lebih fokus melihat.

“Mak?” panggilnya sangsi.

Barangkali emaknya terjaga daripada tidur dan kemudian keluar dari bilik.

“Mak...” panggilnya lagi.

Tiada sahutan.

Seketika barulah Nizam mengalihkan pandangan ke televisyen semula apabila dia benar-benar yakin bukan Fauziah yang berjalan di belakangnya. Pasti dia saja yang berprasangka. Entah-entah bunyi dari televisyen, dikata bunyi orang berjalan pula.

Baru saja hatinya terdetik begitu, ekor matanya bagaikan terlihat sesuatu bergerak pantas di belakang. Sesuatu yang berwarna putih. Lantas dia menoleh. Tapi hanya kegelapan yang menjamu pandangannya.

Direnung kegelapan itu dengan riak muka tertanya-tanya. Ditoleh ke arah pintu bilik emaknya. Tertutup rapat. Mungkin perasaannya saja tadi. Kadang-kadang akal kita ni suka fikir yang bukan-bukan.

Sekali lagi dia menyambung menonton televisyen. Dia berbaring semula. Televisyen ditonton tanpa mempedulikan keadaan sekeliling. Jarum jam lama-kelamaan melepasi angka 1.00 pagi. Dan mata Nizam yang mulai layu perlahan-lahan tertutup.

”Nizam.”

Baru saja matanya nakterlelap, terdengar namanya dipanggil.

“Nizam.”

Mata Nizam terbuka semula dalam keadaan mamai.

“Ya, mak...” Dia bangun lambat-lambat.

Tapi yang dilihatnya ketika ini tiada sesiapa. Sosok tubuh Fauziah tiada di mana-mana. Dia menggaru kepala beberapa kali.

“Mengigau ke aku ni?”

Dia merebahkan diri ke kerusi kusyen semula mahu menyambung tidur. Tak larat dia nak beredar tidur ke biliknya sendiri. Dengan televisyen masih terpasang, dia hanyut dibuai lena yang panjang.


***********

 

JAM loceng kecil di almari meja solek berbunyi nyaring. Fauziah terjaga daripada tidur. Perlahan-lahan dia bangun dan kemudian mematikan jam loceng itu. Suasana yang tadi bingit bertukar menjadi sunyi.

Sudah pukul 4.30 pagi. Beginilah rutinnya setiap hari. Awal dinihari begini dia akan mandi dan kemudian solat tahajud dan solat sunat yang lain sementara menunggu masuk waktu solat subuh. Bersama tuala dan pakaian yang perlu dibawa, dia melangkah keluar dari bilik.

Bulat matanya tatkala melihat televisyen terpasang dan Nizam tidur di kerusi kusyen.

“Ya ALLAH, budak ini. Kenapa tak tidur dalam bilik?”

Fauziah mencapai alat kawalan jauh di atas lantai di tepi kusyen tempat Nizam tidur, lalu mematikan televisyen tersebut.

“Nizam, bangun.” Fauziah menggerak-gerakkan bahu Nizam.

“Bangun, Nizam. Kenapa tidur kat sini? Pergi masuk bilik. Nizam...”

Tubuh Nizam yang digoyang-goyang mula menggeliat.

“Pergi tidur dalam bilik. Sejuk kat sini.”

Dengan muka sememeh dan dalam keadaan mamai Nizam duduk berlunjur. Mukanya mula tercemik-cemik.

“Dah sambung tidur tu nanti jangan terlajak solat subuh pulak, Zam. Bangun awal. Boleh pergi kerja awal.” Fauziah mahu beredar ke bilik air.

“Mak, kenapa gelap?” Nada suara Nizam kedengaran sebak.

Langkah Fauziah terhenti. Tergamam dia mendengar suara Nizam yang seperti mahu menangis itu.

“Mak dah matikan TV. Memanglah gelap,” pujuknya. Nizam mengigau barangkali.

“Nizam tak nampak apa-apa ni, mak. Mak kat mana? Kenapa gelap sangat?” Tangan Nizam terawang-awang.

Berkerut dahi Fauziah. Memang suasana di ruang tamu itu gelap. Tapi masih boleh nampak dengan cahaya lampu dari ruang luar tangga hadapan rumah. Walaupun dia yang agak rabun dengan usia sudah hampir separuh abad ini masih nampak, takkan Nizam yang baru lepasan SPM itu tak nampak?

“Mak... mak kat mana, mak? Mak... Nizam tak nampak apa-apa ni. Mak... mak...” Suara Nizam teresak-esak. Bersungguh dia menangis seolah-olah baru lepas dibelasah.

Lantas Fauziah memetik suis lampu. Maka, ruang tamu itu terang benderang.

“Mak, Nizam tak nampak. Mak! Mak!” Nizam meraung.

Sumpah, dia tak nampak apa-apa. Pandangannya gelap semata-mata. Dadanya berderau tak tentu arah. Malah, ada satu perasaan asing sedang melilit jiwanya ketika ini. Hatinya berasa sangat sedih dan sayu. Terlalu sayu. Kesedihan yang membentak-bentak dalam jiwanya ini teramat kuat. Dia menangis semahu hati.

Fauziah semakin kalut. Dihampiri Nizam yang terbeliak matanya menangis sambil tangan terawang-awang.

“Nizam...”

“Mak... kenapa dengan Nizam ni, mak? Mak...” Raungan Nizam bertambah kuat.

Bukan kerana tak nampak membuatkan dia menangis, tapi kerana sebuah perasaan pilu yang menggigit hatinya. Dia berasa sangat sedih tanpa tahu apa penyebab kesedihan itu. Sedih yang dia sedang rasa ketika ini tak bersebab. Jiwanya benar-benar sayu.

“Istighfar, Nizam. Mengucap. Ya ALLAH... kenapa ni? Nizam, Nizam... mengucap, nak. Mengucap.” Fauziah memegang kedua-dua tangan Nizam, mengharapkan anaknya itu bertenang.

Namun Nizam semakin meronta-ronta. Makin kuat dia meraung. Dan perasaan sedih yang bukan kepalang bertambah meruntun-runtun dalam jiwanya. Dia meronta tak mahu disentuh Fauziah. Terkapai-kapai dia tak tentu arah sehingga terjatuh ke lantai.

“Astagfirullahal azim... ya ALLAH...” Fauziah menekup mulut menahan sebak. Pilu dia melihat keadaan anaknya itu ketika ini. Terkaku dia berdiri memandang Nizam.

Dan air matanya berderai melihat anaknya itu meraung tak keruan sambil meraba-raba. Dia hilang punca. Tak tahu apa yang patut dia lakukan. Tiba-tiba sahaja Nizam berubah jadi begini.

“Nizam... istighfar,Nizam.”

Nizam masih meraung dengan tangisan yang sangat memilukan. Dia mengengsot perlahan-lahan rapat ke dinding. Di dinding itu dia menangis bersungguh-sungguh sambil duduk memeluk kedua-dua lutut. Dia menangis dan terus menangis.

Previous: SNOPSIS
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.