Izdan hanya memandang telefon bimbitnya yang berdering. Nama Adwa terpampang pada skrin telefonnya. Dia menarik nafas berat. Petang tadi dia hanya menjadikan buah jambu sebagai alasan untuk melawat Maria. Dia risau keadaan orang tua itu selepas pemergian Adwa. Maria memang tidak pernah berpisah dengan Adwa sejak Adwa masih kecil lagi.
“Tak nak angkat call tu?” tegur Fuadzi yang baru turun dari tingkat atas. Izdan diam tidak menjawab. Deringan akhirnya berhenti.
“Iz, aku tahu ni bukan masa yang sesuai untuk aku bertanya. Tapi aku nak tahu kau nak buat apa lepas tamat pengajian nanti? Kau nak kerja dengan papa tak? Kau boleh tolong aku nanti,” soal Fuadzi. Dia sangat berharap lelaki itu bersetuju.
“Kenapa perlu aku tolong kau?” soal Izdan dengan kening berkerut.
“Iz, aku tahu kau masih marahkan aku. Aku minta maaf. Dulu aku memang jahat. Pentingkan diri sendiri. Aku minta maaf,” ulang Fuadzi lagi. Izdan tersenyum sinis. Jika bukan kerana Adwa, dia tidak akan memilih untuk tinggal dengan lelaki itu. Semuanya disebabkan pujukan Adwa.
Adwa?
Izdan mengeluh lagi. Hanya Allah yang tahu betapa dia rindukan gadis itu. Namun dia masih tidak mampu memaafkan Adwa.
Betul ke aku masih tak maafkan dia lagi?
Hatinya bertanya ragu-ragu.
“Iz,” panggil Fuadzi lagi setelah melihat lelaki itu termenung.
“Kalau aku kerja dengan papa, bermakna aku dan kau akan keluar dari Malaysia ni. Kalau kau dah tahu nak kerja dengan papa, kenapa kau bersusah payah balik kat sini?” soal Izdan dengan kening terangkat.
“Sebab aku risaukan kau. Aku rindukan kau juga. Kau ingat aku, mama dan papa tak risaukan kau kat sini? Cuma kau yang tak nak beri peluang pada kami untuk betulkan kesilapan. Kau asyik mengelak sejak dari dulu lagi. Sejak kau berpindah ke kampung, kau tak pernah walau sekali cuba untuk menghubungi kami. Rasa bersalah tu berat sangat Iz,” balas Fuadzi dengan perasaan sebak. Dia akui tidak pernah tenang menjalani hidupnya selepas berpisah dengan adiknya itu. Sikap Izdan yang sering mengelak semakin merumitkan keadaan.
“Nanti aku fikirkan,” kata Izdan sebelum mencapai telefonnya. Dia berlalu ke tingkat atas. Fuadzi agak tergamam dengan jawapan lelaki itu. Hatinya mengucap syukur. Dia akan menghubungi kedua orang tua mereka untuk mengkhabarkan berita gembira itu.
*****
“Aku tak dapat hubungi Iz lagi,” adu Adwa. Lufia terdiam mendengar aduan sahabatnya itu.
“Luf, ada yang aku tak tahu ke?” soal Adwa dengan kening berkerut.
“Aku tak tahu nak cakap macam mana. Iz tu dah berubah. Dia bukan Izdan yang kita kenal,” balas Lufia dengan nada perlahan.
“Maksud kau?” soal Adwa dengan kening berkerut.
“Bukan kau aje. Aku pun kena. Malah panggilan Qish pun dia tak layan. Aku tak tahu apa yang Iz fikirkan,” jawab Lufia sambil mengeluh perlahan.
“Aku tak faham lah. Kenapa? Iz ada masalah ke? Kau cuba lah cakap dengan dia,” kata Adwa separuh menyuruh.
“Mana lah aku tahu. Sebab kau kot,” balas Lufia selamba.
“Luf! Aku serius ni,” kata Adwa dengan nada tegas. Lufia tergelak kecil.
“Sebab tu aku tak beritahu kau. Aku yang risau bila kau risaukan Iz,” balasnya. Adwa terdiam mendengar kata-kata gadis itu.
“Esok aku akan jumpa Iz. Aku sengaja berikan dia masa bertenang. Kau kat sana jangan lah risau,” kata Lufia akhirnya.
“Aku tak nak rasa bersalah pada sesiapa. Tolong aku Luf. Sampaikan kata maaf aku pada Iz kalau aku ada buat salah kat dia,” balasnya dengan nada perlahan.
“Kau jangan risau,” balas Lufia pula.
“Aku ada kelas ni. Nanti aku call lagi,” sambung Lufia.
“Jaga diri,” pesan Adwa sebelum menutup telefonnya. Dia mengeluh perlahan.
*****
Rania memandang Diana yang sedang sibuk membelek beberapa keping gambar di hadapannya.
“Luf pergi mana?” soalnya.
“Dia kata nak ke perpustakaan sekejap,” balas Diana tanpa memandang wajah gadis itu. Rania mengangguk.
“Luf kata Iz sekarang susah dihubungi. Sejak Adwa pindah,” beritahunya.
“Aku pun dengar macam tu juga. Iz tu masih tak boleh terima yang Adwa dah pindah,” balas Diana.
“Iz tu suka kat Adwa kan? Kau perasan tak? Atau mata aku dah tak betul?” soal Diana pula kini memandang wajah Rania.
“Mata kau elok aje tu. Apa yang kau lihat adalah perkara yang sama aku lihat,” balas Rania. Diana terdiam. Selama ini dia cuba menafikan walaupun sering mendengar cerita Rania dan melihat sendiri dengan matanya akan kemesraan Izdan dan Adwa.
“Susah juga kalau jatuh cinta dengan kawan sendiri,” balasnya perlahan. Rania hanya tersenyum hambar mendengar kata-kata gadis itu. Cinta itu datang tanpa dijemput. Jika hati sudah sayang, mana mungkin boleh berundur lagi.
*****
“Awak,” tegur Balqish dengan senyuman. Izdan membalas pandangan gadis itu. Dia membalas dengan senyuman hambar.
“Kenapa?” soalnya.
“Saya yang perlu tanya soalan tu. Kenapa dengan awak? Tak sihat?” soal Balqish dengan kening berkerut. Sebenarnya banyak persoalan yang dia mahu utarakan kepada lelaki itu. Namun dia cuba untuk bersabar. Izdan terdiam mendengar soalan gadis itu. Dia tunduk sekejap memandang jemarinya.
“Iz,” panggil Balqish apabila lelaki itu hanya membisu.
“Awak perlu cari lelaki yang lebih baik daripada saya, Qish,” kata Izdan sambil memandang wajah gadis itu. Balqish terkedu.
“Saya memang lelaki jahat. Saya tak mampu nak tunaikan janji kita,” sambung Izdan lagi. Balqish menggeleng. Matanya mula berkaca.
“Awak tak perlu maafkan saya. Sebab saya yang bersalah dalam hal ni,” kata Izdan sambil mencapai beg sandangnya. Dia bangun dari kerusi.
“Jaga diri Qish,” pesannya sebelum berlalu. Air mata Balqish menitis perlahan. Lidah terlalu kelu untuk bertanya sebab mengapa Izdan membuat keputusan tersebut tanpa berbincang dengannya.
*****
“Kau dah gila?” soal Razi apabila mendengar perkhabaran daripada lelaki itu. Izdan diam tidak membalas.
“Apa nak jadi dengan kau ni? Kau nak apa sebenarnya? Tak, soalan aku. Kau nak siapa sebenarnya?” soal Razi bertalu.
“Kau boleh tak jangan tanya soalan tu? Aku penat nak dengar,” balas Izdan dengan kening berkerut. Dia memang sudah letih dan bosan asyik diajukan soalan seperti itu.
“Kau pun tak patut tanya soalan macam tu. Aku dan Qish berpisah secara baik,” sambungnya lagi. Razi tersenyum sinis.
“Qish kata apa? Dia setuju nak berpisah dengan kau?” soalnya separuh memerli. Izdan terdiam semula mendengar soalan sahabatnya itu. Soalan tersebut seperti pisau tajam yang menusuk dadanya.
“Kau memang jahat Iz. Ini pertama kali kau ikut kepala sendiri. Kenapa? Sebab Adwa? Kau ingat aku tak perasan kau betul-betul dah berubah selepas Adwa berpindah?” soal Razi yang geram dengan sikap lelaki itu. Kedengaran Izdan mengeluh perlahan.
“Tamat aje pengajian, aku dah buat keputusan nak ikut abang aku balik ke Itali,” beritahunya.
“Maksudnya kau akan menetap kat sana?” soal Razi yang jelas terkejut. Izdan mengangguk. Razi pula yang mengeluh.
“Semua orang nak larikan diri. Aku tak faham,” katanya separuh merungut. Izdan hanya memandang sahabatnya itu tanpa membalas.
“Aku ikut kau lah. Aku nak kerja dengan kau,” kata Razi kini dengan senyuman lebar. Terangkat kening Izdan memandang sahabatnya itu.
*****
Tania hanya memandag Uqash yang sedang berjalan menghampiri keretanya. Bekas suaminya itu beria hendak bertemu dengannya. Dia tidak sampai hati menolak apabila nama Adwa diseru.
“Nia sihat?” tegur Uqash apabila sudah berdiri di hadapan Tania yang sedang bersandar pada keretanya.
“Macam biasa lah. Apa hal nak jumpa saya hari ni?” soal Tania tanpa membuang masa lagi.
“Adwa sihat ke? Saya dengar dia dah pindah kat Sabah,” tanya Uqash dengan kening berkerut.
“Adwa sihat aje. Maaf sebab dia tak sempat nak beritahu. Kami memang agak sibuk masa dia berpindah hari tu,” balas Tania. Walhal dia tahu yang Adwa memang sengaja tidak memberitahu Uqash mengenai pemergiannya. Saat itu dia mula sedar yang Adwa belum bersedia sepenuhnya memaafkan lelaki itu.
“Saya faham dia tak nak jumpa dengan saya. Tapi sekurang-kurangnya awak kena beritahu saya,” kata Uqash. Terangkat kening Tania membalas pandangan lelaki itu. Dia dapat merasakan yang Uqash menyalahkan dirinya dalam hal ini.
“Saya pun sibuk dengan galeri. Lagipun awak kena tahu satu hal. Saya tak pernah halang Adwa jumpa awak. Saya juga tak pernah burukkan awak depan Adwa. Saya masih waras Uqash. Kalau awak nak sangat Adwa tu anggap awak ni ayah kandungnya, awak kena tahu tanggungjawab sebenar sebagai ayah kandung Adwa. Bukan sekadar mulut yang bercakap,” balas Tania dengan nada keras sebelum membuka pintu keretanya. Dia masuk lantas menutup pintu dengan kasar. Tania menghidupkan enjin kereta lantas memecut laju meninggalkan Uqash yang masih memandang keretanya. Uqash mengeluh perlahan. Dia memang telah gagal menjadi ayah yang baik pada Adwa. Itu adalah penyesalan yang paling besar dalam hidupnya.
*****
Diana mengambil tempat di sebelah Lufia.
“Nia mana?” soalnya.
“Tak sampai lagi,” jawab Lufia dengan senyuman.
“Kau ada dengar cerita tak? Tadi aku dengar persatuan bawang sedang bercerita mengenai pasangan sensasi kat fakulti kita,” beritahu Diana. Lufia agak berdebar mendengar pasangan sensasi yang dimaksudkan oleh gadis itu.
“Kenapa dengan Qish dan Iz?” soalnya mula tidak sabar.
“Aku dengar mereka dah berpisah,” beritahu Diana.
“Berpisah?” sampuk Rania yang baru sampai.
“Kau ni memang kaki sampuk,” tegur Diana yang agak terkejut dengan kedatangan gadis itu. Rania hanya tersengih sambil menarik kerusi di hadapan kedua-dua rakannya itu.
“Siapa yang berpisah?” soalnya lagi. Diana memandang riak wajah Lufia yang jelas terkejut.
“Qish dan Iz,” jawabnya pendek.
“Hah! Biar betul?” soal Rania. Bulat matanya memandang Lufia.
“Aku pun sebenarnya tak pasti. Aku dengar aje dari minah-minah kepoh fakulti kita. Kau bukan tak tahu peminat Iz tu ramai,” balas Diana.
“Khabar angin aje kot,” kata Rania cuba bersangka baik.
“Luf, kau okay?” soal Diana apabila gadis itu hanya membisu. Lufia mengangguk dengan senyuman hambar.
“Aku nak jumpa Iz lepas ni,” katanya dengan nada perlahan. Diana mengangguk.
“Sesuai sangat. Kami pun nak tahu juga betul atau tak berita ni,” celah Rania dengan riak wajah serius.
“Okay, kita berhenti dulu cakap pasal benda ni. Aku dah lapar sangat ni,” kata Diana sambil mengeluarkan nasi goreng kampung yang ditapaunya dari cafe sebelum datang. Rania mengangguk setuju. Dalam diam Lufia mengeluh lagi.
*****
Rania yang sedang menuju ke perpustakaan terserempak dengan Balqish yang sedang berdiri di hadapan pintu perpustakaan tersebut.
“Qish, buat apa kat sini? Jom lah masuk. Diana dan Luf ada kat dalam,” ajaknya dengan senyuman. Balqish hanya membalas pandangan gadis itu tanpa senyuman.
“Qish,” tegur Rania lagi apabila Balqish hanya membisu.
“Puas hati korang kan? Aku dan Iz dah berpisah,” kata Balqish dengan riak wajah yang serius. Rania agak terkedu dengan kata-kata gadis itu. Jadi benar apa yang dikhabarkan oleh Diana.
“Qish, kami masih tak percaya dengan apa yang berlaku. Apa sebenarnya dah terjadi dengan kau dan Iz?” soalnya prihatin. Balqish tersenyum sinis.
“Semuanya disebabkan perempuan tak tahu malu tu! Kau dan dua ekor tu pun terlibat merancang nak pisahkan aku dan Iz kan?!” tuduhnya. Rania terkedu.
“Qish, kau jangan tuduh melulu. Kami tak pern…,”
“Diam lah! Bermula pada hari ni, aku dah tak nak tengok muka kau dan dua ekor tu lagi! Faham tak?!” kata Balqish dengan nada keras sebelum berlalu pergi. Dia batalkan niatnya untuk memujuk Izdan apabila emosinya sudah terganggu dengan kehadiran gadis itu. Rania mengeluh. Dia hanya memandang langkah gadis itu berlalu dengan perasaan berbaur.
*****
Adwa mengeluh perlahan mendengar cerita Lufia.
“Aku ke penyebabnya?” soalnya dengan perasaan bersalah. Entah mengapa dia pula rasa bersalah dengan apa yang berlaku antara Izdan dan Balqish.
“Jangan nak perasan. Aku tahu mesti ada sebab lain,” balas Lufia.
“Kau tak jumpa Iz lagi?” soal Adwa pula.
“Masalahnya dia mengelak nak jumpa aku,” rungut Lufia.
“Tapi Razi ada beritahu aku. Iz nak menetap kat Itali lepas belajar nanti,” beritahunya dengan nada peralahan. Adwa terkedu.
“Aku tak tahu lah. Iz tu dah lain sangat. Ataupun mungkin kita yang tak kenal Iz sepenuhnya,” rungut Lufia lagi.
“Kalau tu dah keputusan Iz, kita tak ada hak nak halang. Lagipun memang dia patut tinggal dengan keluarganya. Dah lama sangat dia duduk jauh dengan keluarganya,” balas Adwa. Lufia mengangguk setuju.
“Aku ada terserempak dengan Qish beberapa hari yang lalu. Dia langsung tak nak pandang aku. Nia ada beritahu yang Qish marahkan kita,” beritahu Lufia lagi. Sebenarnya dia tidak mahu beritahu Adwa. Namun apabila dia memikirkan gadis itu ada sedikit kaitan dengan apa yang terjadi, maka sudah tentu dia patut beritahu Adwa.
“Aku dah agak dah. Tak apa Luf. Nanti senang aku nak jumpa Qish sendiri. Nak minta maaf,” balas Adwa.
“Buat apa? Bukannya salah kau. Kau dan aku terlibat dengan Iz sebab kita ni kawan baik Iz aje. Qish tak boleh salahkan kita dengan apa yang dah terjadi,” kata Lufia yang mula geram. Kedengaran Adwa mengeluh perlahan.
“Kau jangan lah fikirkan sangat pasal ni,” pujuk Lufia.
“Aku risaukan Iz aje. Kau bukan tak tahu dia tu suka sangat memendam rasa. Tak suka kongsi masalah dengan orang lain selain kita,” balas Adwa.
“Tak apa. Aku kalau tak dapat jumpa dia kat kelas, aku akan lawat dia kat rumah,” balas Lufia. Adwa tersenyum hambar.
“Pastikan dia okay sebelum dia tinggalkan kita,” pinta Adwa dengan perasaan sebak. Lufia mengangguk dengan senyuman hambar.
“Kau jangan risau,” pujuknya. Apabila Razi memberitahunya mengenai keputusan Izdan, dia memang terkedu. Namun jika itu sudah keputusan Izdan, mereka redha.