“Kau tak keluar hari ni?” soal Adwa sambil mengambil tempat di sebelah Izdan yang sedang terbaring dengan mata terpejam. Izdan hanya membisu tidak memberi reaksi.
“Aku tahu kau tak tidur,” kata Adwa sambil mendengus perlahan.
“Iz, kau dan Qish macam mana?” soalnya lagi setelah lama terdiam. Izdan yang masih memejamkan matanya diam tidak menjawab.
“Aku tak nak kau sakitkan hati Qish. Dia gadis yang baik,” sambung Adwa separuh menasihati. Izdan membuka matanya perlahan sambil memandang Adwa.
“Aku percaya kau baik. Kau tak mungkin akan kecewakan minah tu,” kata Adwa lagi dalam nada perlahan. Izdan bangun sambil membetulkan rambutnya.
“Kau yakin ke aku boleh jaga Qish? Maksud aku, kau yakin ke aku ni lelaki yang baik?” soalnya sambil memandang tepat wajah gadis itu.
“Mungkin,” balas Adwa separuh mengusik. Izdan tergelak kecil.
“Kau buat aku lebih semangat nak jadi lelaki yang baik untuk Qish,” balasnya. Adwa tersenyum. Sakit pula hatinya mendengar kata-kata lelaki itu.
“Kau ingat aku kawan yang tak ada fungsi?” soalnya sambil mencebik. Izdan tergelak lagi. Dia memeluk bahu gadis itu.
“Aku hairan. Kalau aku lelaki baik seperti yang kau maksudkan, kenapa kau tak pernah jatuh hati kat aku?” soalnya dengan kening terangkat memandang gadis itu. Adwa menepis lengan lelaki itu.
“Aku tak larat,” balas Adwa. Dia tahu lelaki itu cuma bergurau namun dadanya tetap berdebar kuat.
“Why?” soal Izdan separuh mengusik.
“Kau tu asyik nak berkepit dengan aku. Tak larat aku nak layan. Nanti bila kau dah kahwin, jangan pula ingat nak berkepit dengan aku lagi. Aku tak nak perang ketiga dengan isteri kau,” balas Adwa separuh memberi amaran. Izdan sudah tergelak besar.
“Adwa, Iz mari naik minum petang dengan nenek,” ajak Maria yang sedang berdiri di muka pintu memandang mereka.
“Baik nek,” balas Adwa sambil mula bangun.
“Kau tak payah. Balik!” halaunya.
“Jahat lah budak ni!” balas Izdan sambil mengetuk dahi Adwa.
“Hei!” jerit Adwa sambil menyentuh dahinya yang terasa sakit. Izdan tergelak besar sambil berlari naik ke dalam rumah Adwa.
“Siap kau!” kata Adwa sebelum turut berlari anak. Maria hanya menggeleng melihat telatah kedua-duanya.
*****
“Awaksuka makan apa?” soal Balqish sambil memandang tepat wajah lelaki itu. Izdan yang sedang mengunyah makanannya agak terkedu mendengar soalan gadis itu.
“Saya seorang yang tak memilih sangat bab makanan. Yang penting bukan racun,” balasnya dengan senyuman. Balqish tergelak kecil.
“Awak memang suka bersukan ke?” soalnya lagi.
“Ya awak. Saya memang suka bersukan. Cuma sukan renang saya akan tolak. Sebab sebelum ni saya pernah lemas. Nasib baik Adwa ada masa tu. Kalau tak, saya dah tak ada kat depan awak ni,” jawabnya sambil memandang Adwa dan Lufia yang duduk tidak jauh dari mereka.
“Maksud awak, Adwa yang selamatkan awak?” soal Balqish dengan kening terangkat. Izdan mengangguk perlahan. Pandangannya masih terarah pada Adwa.
“Saya terhutang budi pada Adwa,” balasnya. Balqish mengangguk faham.
“Apa ciri-ciri wanita idaman awak?” soalnya dengan berani. Sekali lagi Izdan terkedu dengan soalan gadis itu. Lama dia membalas pandangan Balqish sebelum tersenyum.
“Saya suka wanita yang ceria, comel, manja dan nakal. Tapi saya bukan jenis yang memilih sangat. Yang penting orang tu faham dengan diri saya,” jawabnya dengan senyuman lebar. Balqish mengangguk perlahan.
“Awak dah ready?” soal Izdan pula.
“Apa?” soal Balqish semula agak keliru dengan soalan lelaki itu.
“Jadi girlfriend saya,” balas Izdan dengan senyuman nakal. Balqish terkedu.
“Saya…,”
“Iz, petang ni aku nak ke rumah Lufia. Jangan nak ajak aku keluar pula,” beritahu Adwa yang sudah berada di hadapan mereka. Dia agak geram melihat Izdan yang tersenyum lebar memandang Balqish.
“Tak apa. Aku tahu kau dah bosan keluar dengan aku,” balas Izdan dengan kening berkerut.
“Tahu tak apa. Qish, kami masuk kelas dulu,” balas Adwa selamba sebelum berlalu dengan Lufia. Balqish hanya tersenyum mengangguk. Izdan mengeluh apabila melihat langkah Adwa yang semakin jauh.
“Saya boleh ganti tempat Adwa petang ni?” soal Balqish dengan kening terangkat. Izdan tersenyum mengangguk.
*****
Adwa memandang ke luar tingkap kelasnya. Lufia menoleh ke arah gadis itu.
“Sakit hati?” soalnya. Adwa membalas pandangan Lufia.
“Dengan siapa?” soalnya pula. Lufia mengangkat bahu.
“Entah. Dengan Iz kot. Atau Qish?” soalnya separuh meneka. Adwa tergelak.
“Aku tak ada masa nak marah orang,” balasnya dengan nada tegas. Giliran Lufia pula yang tergelak.
“Aku nak tengok sampai bila kau nak tipu aku,” sindirnya sambil membuka buku di hadapannya. Adwa menggigit bibir. Dia mengeluh perlahan.
*****
“Seronok keluar dengan Lufia?” soal Izdan sambil mengambil tempat di sisi gadis itu. Adwa yang sedang leka dengan telefonnya hanya memandang sekilas ke arah lelaki itu.
“Kau tu tak seronok keluar dengan Qish?” soalnya pula tanpa memandang Izdan.
“Aku sangat seronok dan bahagia,” balas Izdan sengaja menekan suaranya. Berkerut kening Adwa memandang lelaki itu.
“Kau marah aku ke ni?” soalnya.
“No,” balas Izdan tanpa membalas pandangan gadis itu. Matanya tertumpu pada langit malam yang dihiasi jutaan bintang. Adwa tergelak melihat telatah Izdan. Sepatutnya dia yang harus marah pada lelaki itu. Mengapa pula Izdan yang harus marah padanya?
“Kenapa?” soal Izdan dengan kening berkerut. Adwa terdiam sejenak.
“Kau sayang aku atau Qish?” soalnya dengan berani.
Kau dah kenapa Adwa. Yang gatal sangat nak tanya soalan tu kenapa?
Adwa mula menyesal kerana bertanya soalan tersebut. Entah apa yang merasuknya tiba-tiba soalan itu yang keluar dari mulutnya. Izdan hanya merenung wajah gadis itu tanpa berkata apa-apa. Riak wajahnya bertukar serius.
“Kau jangan lah buat muka macam tu. Aku takut,” balas Adwa yang agak seram melihat riak wajah yang jarang ditunjukkan oleh lelaki itu.
“Aku sayang kau lebih daripada Qish,” balas Izdan. Adwa terkedu. Izdan tunduk sebelum tergelak besar.
“Bodoh!” Adwa menumbuk kuat bahu lelaki itu. Semakin kuat pula suara Izdan tergelak.
“Kau jangan datang rumah aku lagi!” Adwa memberi amaran dengan nada keras sebelum bangun lantas berlalu masuk ke dalam rumah.
“Aku sayang kau,” balas Izdan separuh menjerit. Adwa mendengus geram sebelum menutup pintu rumah dengan kasar. Izdan hanya tersenyum melihat telatah gadis itu. Dia kembali merebahkan tubuhnya di atas kerusi rehat yang memang dibina di hadapan rumah Adwa. Soalan Adwa terngiang semula di telinganya. Dia tersenyum lebar sambil mula memejamkan mata.
*****
Lufia memandang wajah temannya itu dengan kening berkerut.
“Ada masalah? Kau diam aje sejak masuk kelas. Kau gaduh dengan Iz lagi?” soalnya ingin tahu. Adwa Riana yang dikenalinya bukan seorang yang pendiam. Kalau diam mesti ada sebab.
“Mana ada. Aku okay,” jawab Adwa sambil mula membuka buku.
“Aku nak tanya sikit boleh?” soal Lufia lagi separuh meminta.
“Asyik nak tanya aje. Apa dia?” soal Adwa pula dengan kening berkerut. Lufia hanya tergelak kecil mendengar komen gadis itu.
“Aku dengar Iz dan Qish dah jadi. Kau okay ke?” soalnya setelah tawanya reda.
“Bagus lah tu,” balas Adwa dengan suara mendatar tanpa memandang wajah Lufia.
“Aku cuma tak nak kau menyesal,” kata Lufia perlahan.
“Menyesal? Sebab apa pula aku nak menyesal?” soal Adwa tepat memandang wajah sahabatnya itu. Lufia menggeleng.
“Aku tahu kau sayang Iz lebih dari seorang kawan. Aku…,”
“Hai Adwa, Luf. Jom pergi kantin,” ajak Balqish yang datang tiba-tiba. Lufia mengeluh perlahan. Adwa memandang Lufia sambil memberi isyarat supaya tidak meneruskan kata-katanya.
“Aku pun lapar juga ni,” balas Adwa dengan senyuman.
“Jom Luf,” ajak Balqish sambil menyentuh bahu gadis itu. Lufia hanya tersenyum mengangguk.
“Aku tak habis cakap lagi,” sempat dia berbisik di telinga Adwa. Adwa hanya diam tidak membalas. Langkahnya laju untuk berlalu. Lufia menggeleng lagi.