Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 17


“Pa, Bella sayang Adam,” tegas Bella sambil memandang tepat wajah orang tua itu. Datuk Ridhuan tidak mengendahkan kata-kata anaknya itu. Dia leka dengan buku di tangannya.

“Papa dengar tak?” soal Bella tidak berpuas hati.

“So? Nak kahwin?” tanya Datuk Ridhuan pula kini memandang wajah gadis itu. Kelu lidah Bella mahu menjawab soalan papanya itu. Rasa segan pun ada.

“Papa tak setuju. Bella nak kecewa lagi? Bella dah lupa apa yang berlaku pada keluarga kita baru-baru ni?” sambung Datuk Ridhuan sambil mendengus perlahan.

“Adam bukan macam tu pa. Papa sendiri pun dah pernah jumpa Adam. Dia tak sama macam lelaki yang dah malukan keluarga kita,” bantah Bella dengan tegas. Datuk Ridhuan tersenyum sinis.

“Bella ni mudah sangat percaya dengan orang. Kalau Khai yang Bella dah kenal lama boleh tinggalkan Bella, apatah lagi Adam? Bella ingat papa tak tahu siapa Adam tu? Selepas kejadian si Khairul malukan kita, papa kini lebih berhati-hati. Terutama orang yang ada di sekeliling Bella,” katanya.

“Apa maksud papa? Papa cari maklumat pasal Adam ke? Sampai macam tu sekali?” soal Bella bertalu dengan kening berkerut.

“Tu langkah untuk berhati-hati. Cukup lah sekali kita dimalukan. Papa dah tak sanggup lagi nak lalui situasi yang sama,” balas Datuk Ridhuan tanpa memandang wajah gadis itu.

“Papa,” kata Bella masih kurang percaya dengan apa yang baru didengarinya daripada mulut Datuk Ridhuan.

“Adam tu pernah bertunang. Tapi Tunangnya meninggal dunia. Walaupun papa tak nampak ada rekod buruk pasal Adam, papa masih tak benarkan Bella ada niat nak kahwin dengan Adam buat masa ni. Kalau Bella degil sangat, keluar lah dari rumah ni. Anggap saja Bella tak pernah kenal papa,” putus Datuk Ridhuan dalam nada tegas. Bella terkedu.

                                 *****

“Saya nak jumpa ibu Adam sekali lagi,” beritahu Delisya. Datin Syahida tersenyum.

“Bagus lah tu. Boleh eratkan hubungan sebelum Elis masuk dalam keluarga tu,” sokongnya. Delisya hanya tersenyum hambar.

“Kenapa? Ada masalah dengan Adam?” soal Datin Syahida dengan kening berkerut. Hari ini dia dapat melihat dengan jelas yang gadis itu kelihatan kurang ceria. Tidak seperti biasa.

“Sebenarnya Elis takut nak jumpa ibu Adam. Rasa malu pun ada,” jawab Delisya dengan nada perlahan.

“Kenapa pula nak takut? Sebelum ni Elis dah pernah jumpa dengan dia kan? Elis beritahu aunty hari tu, ibu Adam tu lemah lembut orangnya. Apa masalah pula?” soalnya agak keliru dengan maksud gadis itu.

“Kali ni Elis nak jumpa dia sebab nak mengaku kesilapan Elis. Elis dah tak tahan aunty. Rasa bersalah tu seperti mimpi buruk yang selalu mengganggu tidur Elis. Selagi Elis tak minta maaf dengan ibu Adam, selagi tu Elis tak tenang,” balas Delisya.

“Elis nak mengaku dengan ibu Adam yang pada mulanya niat Elis berkawan dengan Adam hanya semata-mata nak balas dendam dengan Samuel?” soal Datin Syahida kini mula faham maksud gadis itu. Delisya hanya mengangguk perlahan.

“Betul ke ni? Aunty takut pula dengan reaksi ibu Adam. Walaupun Elis beritahu dia lemah lembut orangnya, tapi bila melibatkan Adam mesti dia tak akan duduk diam. Dia juga seorang ibu,” kata Datin Syahida yang mula risau. Delisya menelan liur yang terasa pahit.

“Elis dah nekad aunty. Elis terima apa saja hukuman yang Elis akan dapat. Memang Elis yang salah dalam hal ni. Ibu Adam berhak untuk marah Elis,” balas Delisya dengan senyuman hambar. Datin Syahida menarik nafas berat.

“Kalau Elis dah kata macam tu, aunty dah tak boleh nak halang. Berdoa lah. Orang yang jujur selalu mendapat pertolongan dari-NYA,” nasihatnya dengan ikhlas.

“Terima kasih aunty. Sekurang-kurangnya Elis dapat sedikit semangat daripada aunty hari ni,” balas Delisya sambil memeluk bahu wanita itu. Datin Syahida tergelak kecil.

“Nasib baik aunty tak ada anak lelaki. Kalau tak, dah lama Elis jadi menantu aunty,” gurau Datin Syahida. Delisya hanya tergelak kecil.

                                  *****

“Aku dah beritahu Adam,” kata Chinta dengan suara perlahan. Marwah bersandar tenang pada kerusinya.

“Pasal apa?” soalnya.

“Aku cintakan dia. Aku beritahu dia yang aku sayangkan dia,” jawab Chinta.

“So? Dia jawab apa?” tanya Marwah lagi agak berdebar. Chinta terdiam mendengar soalan gadis itu. Keluhan berat dilepaskan.

“Dia menolak?” teka Marwah. Chinta mengangguk perlahan.

“Dia kata nak bincang dengan Nazri, pasal aku dan lelaki tu. Dia juga akan pastikan si Nazri tu tak ganggu aku lagi,” beritahunya dengan perasaan sebak.

“Maksudnya Adam tak jadi tolong kau?” soal Marwah agak simpati melihat wajah muram rakannya namun dalam masa yang sama dia juga lega. Lega kerana rakannya itu tidak dapat melaksanakan rancangannya. Walaupun dia simpati pada gadis itu, namun simpatinya lebih tinggi pada Adam. Dia sedar yang doktor itu berusaha mahu membantu Chinta walaupun tahu diri dipergunakan.

“Kali ni aku serius Wa. Aku bukan nak gunakan Adam lagi sebab Nazri. Aku serius sayangkan Adam,” balas Chinta dengan nada tegas.

“Aku tak kata apa pun. Yang kau emosi sangat, kenapa?” soalnya separuh mengusik.

“Sebab aku tahu kau tak pernah setuju bila aku kata nak gunakan Adam. Aku tahu yang aku silap Wa. Tapi kali ni aku serius. Aku sayangkan Adam. Aku tak nak kehilangan lelaki tu,” balas Chinta dengan kening berkerut.

“Sorry, aku bukannya tak sokong kau selama ni. Aku cuma kasihankan doktor tu. Tapi kalau kau memang serius. Aku akan sokong,” kata Marwah dengan senyuman lebar. Chinta hanya terdiam mendengar kata-kata gadis itu.

“Satu hal yang buat aku risau. Bila aku tenung mata Adam, aku dapat rasakan ada kesakitan yang dia cuba sembunyikan. Aku rasa kesakitan tu yang buat dia nak tolong aku pada mulanya. Seterusnya menolak aku semula,” beritahu Chinta perlahan. Terangkat kening Marwah memandang gadis itu.

“Hish, kau ni biar betul,” kata Marwah agak ragu-ragu dengan kenyataan rakannya itu. Chinta mengeluh perlahan.

                                    *****

“Maaf lah aunty. Elis tak beritahu pun nak datang,” kata Delisya dengan perasaan bersalah.

“Hish, tak ada salahnya pun. Aunty lagi suka kalau Elis datang. Dah lama juga Elis tak jenguk aunty,” balas Puan Hasna dengan senyuman lebar.

“Maaf aunty. Elis baru aje buka butik baru. Tu yang sibuk sikit,” beritahu Delisya.

“Tak apalah aunty faham. Elis makan malam kat sini ya. Tunggu Adam balik,” pinta Puan Hasna dengan wajah berharap.

“Elis tak lama ni aunty. Elis singgah kejap aje sebab rindukan aunty,” balas Delisya agak serba salah.

“Tapi janji lepas ni selalu datang jenguk aunty tau. Ni aunty nak tanya. Elis dah lama kawan dengan Adam?” soal Puan Hasna dengan penuh minat. Delisya agak terkejut mendengar soalan wanita itu.

“Elis tak sedar rupanya dah hampir setahun Elis kenal Adam. Tak terasa masa berlalu dengan pantas. Elis masih ingat bila Elis hampir mati disebabkan oleh bekas suami, Adam datang merawat Elis. Elis rasa selamat bila bersama Adam. Tanpa sedar Elis dah mula sayangkan Adam. Memang pada awalnya niat Elis cuma nak gunakan Adam. Tapi semuanya berubah sejak hati Elis mula terbuka untuk Adam,” beritahu Delisya perlahan.

“Gunakan Adam?” soal Puan Hasna dengan kening berkerut.

“Ya aunty. Elis ni bukan perempuan baik. Elis gunakan Adam untuk kepentingan diri. Adam baik aunty. Dia nak bantu Elis kerana faham dengan situasi Elis. Kebaikan Adam buat Elis tak sedar bila masa rasa sayang tu hadir. Elis tahu yang Elis kena mula serius dengan Adam. Cuma Elis tak pasti dengan Adam. Dia mungkin tak rasa apa yang Elis rasa. Tapi Elis tak akan menyerah. Elis tak nak kehilangan Adam,” jawab Delisya. Puan Hasna menggeleng perlahan.

“Anak aunty tu bukan robot Elis. Dia manusia yang ada perasaan. Kenapa nak gunakan anak aunty untuk lari dari masalah? Dah tak ada lelaki lain dalam dunia ni?” soalnya agak geram. Delisya diam tidak menjawab. Memang salah dirinya. Biar wanita itu memarahinya kerana dia sendiri tidak mampu memaafkan diri dengan apa yang dia sudah lakukan pada Adam.

“Aunty memang marah Elis. Tapi oleh kerana Elis dah mengaku aunty boleh maafkan Elis. Tapi sebelum tu, aunty nak tanya lagi. Kawan Elis malam tu Chinta dan Bella, betul mereka tu kawan Adam juga? Atau ada niat nak gunakan Adam? Sama seperti apa yang Elis dah buat?” soal Puan Hasna bertalu dengan perasaan berdebar. Delisya terkedu. Lidahnya kelu. Puan Hasna mendengus perlahan.

“Kenapa buat Adam macam tak ada perasaan? Kenapa nak ambil kesempatan pada anak aunty?” soalnya dengan perasaan sebak. Delisya pantas menarik wanita itu ke dalam pelukannya. Air matanya mengalir perlahan.

“Maafkan kami aunty,” ucapnya dengan perasaan bersalah. Dia malu pada wanita itu.

                                  *****

“So?” soal Ekram dengan kening berkerut.

“What?” soal Adam semula tanpa memandang lelaki itu.

“Kau nak lepaskan mereka macam tu aje?” soal Ekram semula sambil menunjukkan riak kurang berpuas hati. Adam meletakkan buku di tangannya ke atas meja. Dia kini menumpukan sepenuh perhatiannya pada lelaki yang duduk di hadapannya itu.

“Kau macam tak setuju pula,” katanya dengan kening terangkat.

“Bukan macam tu. Sebelum ni kau bukan beria lagi nak tolong mereka. Siap cakap nak kahwin bagai. Kenapa pula tiba-tiba nak undur diri?” soal Ekram lagi.

“Kau suka ke aku kahwin dengan mereka bertiga?” soal Adam yang tidak faham mengapa sahabatnya itu menunjukkan reaksi sedemikian. Setahunya Ekram sentiasa menyokong apa sahaja keputusannya. Jika lelaki itu tidak setuju dengan keputusannya, Ekram akan menasihatinya.

“Sejak kau bertemu dengan mereka, kau dah berubah. Dulu susah nak senyum. Sekarang mudah aje kau sedekahkan senyuman. Dulu suka menyendiri. Sekarang dah mula bergaul dengan orang lain. Semuanya berubah sejak mereka hadir dalam hidup kau. Aku boleh nampak yang kau bahagia Adam. Memang sebelum ni aku kurang bersetuju dengan kau. Tapi bila aku lihat wajah kau yang dah berseri semula, aku mula terfikir rancangan untuk kau kahwin dengan mereka bertiga bukan lah idea yang buruk,” balas Ekram selamba.

“Sejak bila otak kau tak betul ni?” sindir Adam sambil mendengus perlahan. Ekram tergelak kecil.

“Masalah mereka dah selesai. Buat apa aku nak susahkan diri lagi,” sambung Adam sambil bersandar pada kerusinya.

“Fine. Kau boleh nafikan. Tapi ingat, kalau aku dengar sekali lagi kau nak kahwin dengan mereka. Aku tarik telinga kau tu,” balas Ekram separuh bergurau.

“Macam budak kecil,” komen Adam. Ekram hanya tergelak.

                                *****

“Elis, aku janji yang aku tak akan ulang lagi kesilapan lalu. Dulu aku buta. Buta dengan harta. Aku tak nampak semua kebaikan yang kau ada. Aku minta maaf,” ucap Samuel perlahan dengan perasaan bersalah. Berkerut kening Delisya memandang lelaki itu. Samuel mengajaknya bertemu malam itu kerana mahu membincangkan sesuatu dengannya. Jika Samuel tidak mengatakan hal yang dibincangkan itu berkaitan dengan papanya, memang dia tidak akan datang.

“Samuel, tolong lah. Aku tak nak lagi perkara ni dibincangkan. Anggap saja kita tak ada jodoh,” balasnya dengan nada tegas. Samuel mengeluh perlahan. Dia tahu dia telah melukakan hati wanita itu. Bukan luka yang biasa. Luka dalam yang mungkin tidak akan pernah hilang dalam memori Delisya.

“Kau kata nak bincang sesuatu mengenai papa. Apa dia?” soal Delisya mula rimas.

“Aku dengar papa sakit. Look Elis, kalau kau kahwin dengan aku semula, aku akan kembalikan syarikat papa. Aku akan tukar semula nama syarikat atas nama papa. Aku juga akan pastikan papa akan dapat rawatan yang lebih baik,” balas Samuel dengan bersungguh. Delisya tersenyum sinis.

“Aku tak mampu nak terima kau semula Samuel. Hati aku dah ada pada Adam. Kau nak tawarkan segunung emas pun, tak mungkin aku akan terima. Aku nak mulakan hidup baru dengan Adam. Aku harap kau faham. Kau jaga lah syarikat papa dengan baik. Aku dan papa tak nak lagi syarikat tu. Lepas ni aku tak nak jumpa kau lagi. Tolong jangan ganggu hidup aku lagi,” balasnya dengan nada tegas.

“Kalau macam tu, balik lah semula kerja dengan aku. Kau ada hak dengan syarikat tu Elis. Walaupun dah jadi milik aku,” kata Samuel masih berharap. Delisya menggeleng perlahan. Dia baru dua bulan meletakkan jawatan. Namun Samuel kelihatan sudah tidak tentu arah.

“Tak mungkin Samuel. Maafkan saya. Awak pun mulakan lah hidup baru. Saya doakan awak temukan seseorang yang boleh jaga awak. Saya balik dulu,” kata Delisya sebelum bangun dari kerusinya lantas berlalu. Samuel tersenyum hambar. Dia agak lega mendengar gadis itu mula menggunakan kata ganti ‘saya’ semula. Sebuah keluhan berat dilepaskan.

I’m sorry, Elis.

                                  *****

“Mama cakap apa ni?” soal Adam pura-pura tidak faham. Walhal jantungnya sudah berdegub kencang.

“Nak mengelak lah tu. Adam, mama dah tahu semuanya. Elis dah beritahu mama. Elis tu gunakan Adam aje kan? Kenapa Adam biarkan diri dipergunakan?” soal Puan Hasna jelas tidak puas hati. Adam menarik nafas dalam.

Bila masa pula Elis datang rumah aku?

“Tak lah ma. Adam bukan macam tu. Adam cuma tolong Elis. Hari tu mama juga yang beria nak Adam tolong Elis kan?” balas Adam separuh menyindir. Puan Hasna terdiam sejenak.

Aku?

“Masa mula-mula Elis datang sini ke?” soalnya agak berdebar. Adam mengangguk perlahan.

“Adam tak beritahu mama pun yang Elis nak minta tolong jadi pak sanggup. Kalau mama tahu tak lah mama beria suruh Adam tolong dia,” jawab Puan Hasna cuba mempertahankan diri.

“Bukan pak sanggup. Adam bukannya nak kahwin paksa dengan Elis,” kata Adam dengan kening berkerut.

“Wait, maksudnya Adam memang nak kahwin dengan Elis? Bukan terpaksa?” soal Puan Hasna kini dengan senyuman. Berkerut kening Adam memandang wanita itu.

Aku salah cakap ke?

“Bukan macam tu, ma. Ada…”

“Kalau Adam memang nak kahwin dengan Elis, beritahu mama. Mama akan masuk meminang Elis,” pintas Puan Hasna dengan senyuman lebar.

“Mama,” panggil Adam dengan riak keliru.

Mama ni dah kenapa? Mama ni marah ke suka sebenarnya?

“Memang mama geram dengan Adam. Mama geram dengan Elis. Tapi kalau dah jodoh Adam dan Elis, mama terima dengan hati terbuka. Lagipun Elis jujur orangnya. Mama suka,” kata Puan Hasna seperti menjawab persoalan dalam hati Adam.

“Kami cuma kawan ma,” balas Adam dalam nada perlahan. Puan Hasna tersenyum sinis.

“Chinta dan Bella pun kawan juga?” soalnya agak geram.

“Mereka semua kawan Adam,” jawab Adam kini agak tegas.

“Oh, jadi nak hidup membujang sampai mati?” perli Puan Hasna.

“Ma please. Mama nak Adam buat apa lagi?” balas Adam sambil meraup wajahnya. Dia agak tertekan dengan sikap wanita itu yang seolah-olah turut memaksanya membuat keputusan.

“Kahwin lah salah seorang kawan Adam tu. Atau kalau Adam nak kahwin dengan semua pun tak apa. Mama dan papa tak kisah. Apa yang penting Adam kena mulakan hidup baru. Hidup baru dengan seseorang yang baru. Bukan asyik terperangkap dengan kisah lalu. Mama tak nak tengok Adam menderita dalam diam. Mama nak ada seseorang yang boleh dengar isi hati Adam. Sebab mama tahu, Adam memang tak akan berkongsi dengan mama,” kata Puan Hasna dengan tegas sebelum berlalu masuk ke dalam rumah. Adam tunduk meraup wajahnya.

                                *****

“Awak dah tidur ke?” tanya Bella dengan perasaan bersalah. Adam memisat-misat matanya sambil memandang jam dinding yang tepat menunjukkan jam satu pagi.

“Tak tidur lagi?” soal Adam semula sambil bangkit dari katil menuju ke balkoni biliknya.

“Maaf lah ganggu awak,” ucap Bella. Adam hanya diam membisu tanpa menjawab.

“Adam, awak pernah bercinta tak?” soal Bella dengan perasaan berdebar. Berkerut kening Adam mendengar soalan gadis itu.

“Awak call saya pagi buta ni sebab nak tanya soalan tu?” soalnya agak geram. Bella terdiam sejenak. Adam memang patut marah. Memang salah dirinya. Namun hatinya tidak tenang sejak mendengar cerita papanya mengenai kisah lelaki itu. Dia mahu Adam menceritakan siapa gadis yang berjaya menghuni hatinya.

“Kenapa nak tahu?” soal Adam lagi kini dengan nada agak rendah.

“Lelaki baik dan kacak macam awak, mustahil tak pernah bercinta. Betul tak? Saya tertanya-tanya mengapa awak masih single sedangkan awak dah cukup ciri untuk jadi lelaki idaman seorang wanita,” soal Bella dengan wajah serius. Adam menggeleng perlahan.

“Awak mengigau ke?” tanyanya. Kedengaran Bella tergelak kecil.

“Tak lah. Saya masih segar bugar ni,” jawabnya separuh bergurau. Adam tersenyum hambar.

“Qaisara Amirah,” beritahunya dengan suara perlahan. Bella terkedu.

“Gadis istimewa yang pernah hadir dalam hidup saya. Sangat istimewa,” sambung Adam dengan perasaan sebak. Bella menggigit bibir. Ada satu perasaan yang tidak asing lagi menjentik hatinya.

Dengar nama saja aku dah rasa cemburu. Siapa perempuan bertuah tu?

Soal hatinya yang jelas kurang senang.

“Awak silap Bella. Saya tak sempurna sama seperti lelaki lain. Selamat malam,” ucap Adam sebelum menekan punat merah. Bella bersandar pada sofa dengan perasaan berbaur.

Nampak sangat Adam masih sayangkan perempuan tu. Aku nak jumpa lah dengan perempuan tu. Aku nak tanya dia, kenapa dia boleh tinggalkan lelaki sebaik Adam.

Bella mendengus perlahan sambil menarik bantal kecil yang ada di sisinya lantas menutup wajahnya.


Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.