Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 40


“Adam, ni kali terakhir aku nak tanya kau. Sebagai kawan, aku nak yang terbaik untuk kau. Aku minta maaf kalau sebelum ni aku agak keterlaluan mencampuri urusan hidup kau,” ucap Ekram dengan riak wajah yang serius. Adam menarik nafas panjang.

“Pasal Chinta lagi?” soalnya separuh meneka.

“Kau nak lepaskan dia macam tu aje? Kau yakin yang kau tak menyesal? Aku dapat rasakan yang kau masih sayangkan dia. Kalau tak, kenapa kau masih balik rumah tu?” tanya Ekram. Dia bukan tidak tahu yang lelaki itu sering balik ke rumah yang didiaminya bersama Chinta. Apa yang dia tahu Chinta sudah tidak tinggal di rumah itu sejak mereka berpisah. Adam mengeluh perlahan.

“Kau perlu jumpa Chinta. Aku dengar daripada Nazri yang Chinta nak balik Sabah. Aku tak tahu lah dia nak menetap kat sana atau apa. Tu sebab aku nak kau jumpa dia. Aku tak nak kau menyesal,” sambung Ekram separuh menasihati.

“Balik Sabah?” soal Adam dengan riak wajah yang jelas terkejut. Ekram tersenyum sinis.

“Kau tak tahu? Aku tak faham dengan kau ni. Cepat sangat kau lupakan Chinta,” katanya separuh menyindir.

“Aku bukannya dah lupakan dia,” balas Adam dengan nada perlahan.

“Kau masih sayangkan dia?” soal Ekram sengaja mahu mendengar sendiri jawapan jujur sahabatnya itu. Adam diam tidak menjawab.

“Susah sangat nak mengaku,” rungut Ekram.

“Aku tak pernah bencikan Chinta,” balas Adam setelah agak lama membisu. Ekram menggeleng.

“Bila kau nak jumpa dia?” soalnya.

“Esok,” jawab Adam ringkas.

“Kenapa tak hari ni aje?” soal Ekram lagi yang kurang berpuas hati dengan jawapan lelaki itu.

“Aku balik dulu,” balas Adam tanpa menjawab.

“Adam,” tahan Ekram. Adam membalas pandangan rakannya itu.

“Tahniah. Aku marah kat kau sampai lupa nak ucap tahniah. Aku tahu kau dah lama bersedia nak jadi papa. Aku doakan kali ni semuanya berjalan lancar,” ucap Ekram dengan senyuman ikhlas. Dia hampir lupa dengan berita gembira yang disampaikan oleh sahabatnya itu kerana masih tidak berpuas hati dengan tindakan Adam terhadap Chinta.

“Terima kasih Ram. Aku pergi dulu,” balas Adam dengan senyuman. Ekram hanya mengangguk. Tanpa sedar dia mengeluh.

                              *****

Marwah hanya memandang Chinta yang sedang mengemas pakaiannya untuk dimasukkan ke dalam bagasi.

“Kau dah nekad?” soalnya dengan riak wajah tidak berpuas hati. Chinta hanya memandang sekilas ke arah rakannya itu. Mulutnya terkunci untuk menjawab.

“Kau tak nak beritahu mak mentua kau?” soal Marwah lagi dengan kening berkerut. Dia tahu yang rakannya itu memang rapat dengan keluarga Adam terutama Puan Hasna. Jika wanita itu pergi begitu sahaja mesti luluh hati Puan Hasna.

“Tak perlu. Aku akan call mama bila dah sampai sana nanti. Aku tak nak mama sedih bila tahu aku tak akan balik sini lagi,” balas Chinta tanpa memandang Marwah. Tangannya sibuk bergerak mengemas. Kedengaran Marwah mengeluh.

“Adam?” soalnya.

“Buat apa?” soal Chinta kembali. Semakin berkerut kening Marwah mendengar jawapan rakannya itu.

“Kau mesti lah kena beritahu dia. Dia memang bukan suami kau lagi. Tapi dia pernah jadi suami kau. Tak salah beritahu dia,” balasnya dengan nada tegas. Chinta tersenyum sinis.

“Aku dah tak ada apa-apa kaitan dengan lelaki itu,” balasnya agak keras. Terangkat kening Marwah mendengar jawapan wanita itu. Buat pertama kali dia sukar untuk memahami maksud riak wajah Chinta. Wanita itu kelihatan sangat tenang. Jauh berbeza semasa baru berpisah dengan Adam.

“Kau ta payah lah risaukan aku. Aku dah buat keputusan, Wa. Aku tak akan rujuk semula dengan Adam. Walauapapun yang akan terjadi,” sambung Chinta dengan nada tegas. Marwah terkedu.

                                     *****

Puan Hasna menarik nafas dalam mendengar berita yang disampaikan oleh Delisya.

“Sebenarnya Chinta memang tak nak saya beritahu mama. Tapi saya tak sampai hati,” kata Delisya dengan senyuman hambar. Dia menyentuh lembut jemari wanita itu. Sayu hatinya melihat wajah muram Puan Hasna. Dia tahu yang wanita itu sangat sayangkan Chinta.

“Bila dia nak berangkat?” soal Puan Hasna dengan nada perlahan. Hatinya terlalu sebak. Air mata yang ingin jatuh ditahan sekuat hati. Keputusan Chinta yang mahu menetap di Sabah sangat melukakan hatinya. Nampak sangat wanita itu mahu memutuskan hubungan dengan semua orang.

“Minggu depan. Dia dah nekad ma. Saya dah hampir putus asa pujuk Chinta. Abang pula langsung tak nak buat sesuatu,” balas Delisya dengan nada sayu. Puan Hasna memandang wajah menantunya itu. Dia nampak usaha wanita itu yang bersungguh-sungguh menyatukan semula Adam dan Chinta. Keputusan Chinta sudah pasti turut melukakan hatinya.

“Mama pun dah tak tahu nak buat apa. Adam dah lama tak balik rumah. Lagipun papa tak benarkan Adam balik selagi tak rujuk semula dengan Chinta. Mama sengaja tak nak call Adam. Biar Adam tahu yang mama dan papa terluka dengan keputusannya,” kata Puan Hasna dengan perasaan geram.

“Malam ni mama nak jumpa Chinta. Mama nak dengar semula daripada mulutnya,” sambungnya. Delisya mengangguk perlahan.

“Mama pujuk lah dia sekali lagi,” balas Delisya separuh meminta. Puan Hasna mengangguk.

“Mama akan cuba semampu yang boleh. Mama pun tak nak kehilangan Chinta. Mama dah anggap kamu bertiga seperti anak mama sendiri. Mama sangat beruntung sebab kamu semua sayangkan anak mama dengan ikhlas. Mama minta maaf bagi pihak Adam,” katanya dengan perasaan sebak. Delisya mengangguk dengan senyuman. Hatinya turut sebak.

                                  *****

Chinta menutup bonet keretanya. Dia tidak jadi masuk ke dalam keretanya apabila melihat kereta Adam memasuki halaman rumah mereka. Chinta menarik nafas panjang. Adam keluar perlahan dari keretanya. Melihat saja wajah tenang wanita itu membuatnya tidak keruan. Chinta menghampiri lelaki itu lalu menghulurkan kunci yang dipegangnya sedari tadi.

“Maaf, saya tak beritahu awak nak datang rumah ni. Saya dah ambil semua barang,” beritahunya masih tenang walhal hatinya hanya Allah yang tahu. Adam memandang kunci tersebut.

“Rumah ni atas nama awak. Awak berhak simpan kunci,” balasnya. Chinta mengeluh.

“Saya tahu. Tapi saya tak nak rumah ni, Adam. Saya akan balik ke Sabah. Mungkin tak balik sini lagi. Sayang rumah ni tak ada orang nak duduk,” katanya dengan senyuman hambar.

“Awak bencikan saya?” soal Adam dengan perasaan sebak.

“Mungkin. Tapi awak jangan risau. Saya seorang yang pemaaf,” balas Chinta masih tenang.

“Maafkan saya,” ucap Adam dengan perasaan bersalah yang maha berat. Menyesal sudah tidak berguna. Agak lama Chinta memandang wajah lelaki itu sebelum mengangguk lambat.

“Saya maafkan awak. Kita semua manusia biasa. Terima kasih, Adam. Walaupun sekejap, awak dah bahagiakan saya. Saya minta maaf kalau selama jadi isteri awak, saya tak pernah bahagiakan awak,” balas Chinta dengan senyuman pahit. Air mata yang ingin jatuh ditahannya. Adam tunduk memejamkan matanya.

“Awak tak nak beri saya peluang?” soalnya sambil memandang semula wajah wanita itu. Chinta tidak terkejut mendengar soalan lelaki itu. Dia sudah menganggak soalan itu akan keluar dari mulut Adam.

“Cukup lah sekali Adam. Saya tak nak terluka lagi. Hati saya ni dah tak kuat,” balasnya tenang.

“Saya balik dulu. Jaga diri. Saya sentiasa doakan awak, Bella dan Elis,” balas Chinta sebelum berlalu ke keretanya. Adam terkedu. Lidahnya kelu untuk menahan langkah wanita itu.

                                   *****

“Khairul melutut di hadapan Lara. Dia sudah tidak peduli dengan pandangan beberapa orang yang sedang memerhatikan mereka. Lara terkedu dengan tindakan lelaki itu.

“Awak buat apa ni?” soalnya dengan kening berkerut.

“Beri saya peluang sekali lagi. Please, Lara,” pinta Khairul separuh merayu. Lara memandang Kira yang berada di dalam kereta. Kira turut memerhatikan mereka.

“Awak jangan buat hal boleh tak? Kita dah tak ada apa-apa lagi. Jangan sampai saya bencikan awak,” balas Lara sambil mendengus geram. Dia ingin melangkah namun Khairul pantas menahan dengan menarik lengannya lembut.

“Apa ni?” Lara menarik kasar tangannya. Bulat matanya memandang wajah bekas suaminya itu.

“Kira perlukan saya. Tolong jangan hampakan harapan Kira,” pinta Khairul lagi.

“Pandai pula nak ingat anak sekarang ni. Dulu masa awak kejar Bella ada tak fikir pasal Kira? Tak ada kan? Khai, saya tak akan pernah larang awak jumpa Kira. Awak adalah ayah Kira. Tak mungkin saya nak pisahkan awak dan dia. Tolong lah saya merayu dengan awak. Jangan keruhkan lagi keadaan. Saya dah maafkan awak. Tapi untuk kembali macam dulu tu tak mungkin. Saya minta maaf,” balas Lara panjang lebar sebelum menyambung langkahnya semula. Dia redha dengan takdir yang dipilihnya. Bukan sesuatu yang mudah. Khairul meraup wajahnya. Menyesal tidak berguna. Silapnya yang tidak pernah tahu menghargai orang yang sayangkan dirinya.


Previous: Bab 39
Next: Bab 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.