Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 21


Adam hanya memandang gadis itu dari jauh. Memang dia tidak berniat untuk menghampiri Bella. Biarlah gadis itu tidak tahu akan kehadirannya pada hari ini.

“Kau tak nak jumpa dia?” soal Ekram yang berdiri di sisinya. Adam memang sengaja membawa Ekram. Dia merasa tidak kuat untuk memandu keretanya pada hari itu.

“Aku tengok dari sini aje,” jawab Adam perlahan sambil matanya tidak lepas daripada memandang gerak geri Bella. Ekram menggeleng perlahan melihat telatah rakannya itu.

“Kau ni memang degil. Kalau dah suka tu kenapa tak nak mengaku? Kalau kau tak jumpa Bella sekarang, kau mungkin akan kehilangan Bella buat selama-lamanya. Kau nak ke?” soalnya cuba menakutkan lelaki itu. Adam menarik nafas dalam.

“Tu maksudnya tak ada jodoh. Jom lah,” balas Adam sebelum berlalu meninggalkan Ekram untuk kembali ke kereta.

“Aku tak faham lah,” rungut Ekram sambil memandang kelibat Bella yang sedang duduk di bangku tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Dia menggeleng lagi sebelum mengikut langkah Adam.

                                 *****

Chinta menarik kerusinya lalu duduk. Hanya pandangannya yang tertumpu ke arah skrin komputer. Fikirannya melayang jauh memikirkan Adam.

“Awalnya termenung. Tak ada kelas?” soal Marwah sambil menarik kerusinya.

“Kejap lagi,” balas Chinta dengan nada perlahan.

“Ada masalah? Dengan Adam?” teka Marwah sambil memandang gadis itu. Chinta mengeluh perlahan.

“Hari ni Bella akan ke London,” beritahunya.

“Bercuti?” soal Marwah lagi. Chinta menganggukkan kepalanya.

“Tapi mungkin dia akan lama kat sana,” beritahunya lagi.

“Bagus lah tu. Kau tak payah lagi bersaing dengan dia. Tapi kenapa kau nampak sedih sangat ni?” soal Marwah dengan kening berkerut. Chinta tersenyum hambar.

“Mana ada. Buat apa nak sedih. Bella bukannya nak tinggal terus kat sana,” balasnya.

“Aku tengok kau ni dah bersedia nak bermadu. Kalau tak, kau tak lah sedih macam ni,” usik Marwah sambil memandang komputernya semula.

“Kau ni sengaja nak sakitkan hati aku,” balas Chinta dengan kening berkerut. Marwah tergelak kecil.

“Maaf tak perasan,” usiknya lagi. Chinta menggeleng perlahan. Dia bangun dari kerusinya.

“Aku masuk kelas dulu,” katanya sebelum berlalu. Marwah hanya memandang langkah gadis itu. Dia mengeluh perlahan.

                                 *****

Bella mengeluh perlahan.

“Tak payah lah pergi,” pujuk Rasya sambil mengambil tempat di sebelah gadis itu. Botol mineral kecil dihulurkan kepada Bella. Bella hanya tersenyum hambar sambil menyambut huluran rakannya itu.

“Sorry, Ras. Aku menyusahkan kau lagi,” ucapnya perlahan. Rasya mendengus geram.

“Kalau kau risaukan Cafe tu, baik kau batalkan niat nak larikan diri,” nasihatnya dengan kening berkerut.

“Aku tetap akan pergi,” balas Bella dengan nada tegas.

“Aku tak tahu lah apa ada kat Adam tu yang boleh buat kau bertindak macam ni. Kau jangan marah aku sebab aku kutuk orang kesayangan kau tu. Tapi aku hairan Bell. Ini pertama kali kau buat perangai macam ni. Dengan Khai kau tak pula buat perangai,” komen Rasya geram. Bella hanya tersenyum hambar mendengar komen gadis itu.

“Kau jangan lama kat sana tau,” kata Rasya separuh merayu.

“Aku tak janji Ras. Kau tau aku perlukan masa untuk lupakan Adam. Memang tak banyak kenangan aku dengannya. Tapi kenangan tu lah yang susah untuk aku padam dalam kepala aku ni,” balas Bella dengan perasaan sebak. Rasya memeluk bahu gadis itu. Walaupun dia kurang setuju dengan tindakan gadis itu, namun jauh di sudut hatinya dia sangat simpati dengan Bella.

“Jaga diri kat sana,” katanya perlahan. Bella mengangguk sambil tersenyum hambar.

Selamat tinggal Adam.

                                  *****

“Kau ni biar betul?” soal Marwah sambil memandang sahabatnya dengan riak wajah kurang percaya. Chinta hanya tersenyum sambil tangannya lincah mengemas barang miliknya untuk dimasukkan ke dalam kotak. Dia telah membuat permohonan untuk berpindah ke Sabah.

“Sekolah ni kat pedalaman tau. Kau okay ke nanti? Kalau pun nak beri Adam ruang, kau tak payah lah nak larikan diri sampai nak pindah ke Sabah pula,” komen Marwah jelas tidak berpuas hati dengan tindakan rakannya itu.

“Kau ni pelik tau tak. Sabah tu kan negeri kelahiran aku. Apa yang tak okay?” soal Chinta semula sambil memandang sekilas ke arah gadis itu.

“Aku tahu lah. Kau nak tinggalkan aku seorang kat sini?” tanya Marwah separuh merungut. Chinta tergelak kecil.

“Kau datang lah Sabah lawat aku. Aku tunggu,” ajaknya separuh memujuk. Marwah mendengus perlahan.

“So, Adam macam mana? Dia tahu?” soal Marwah semula dengan kening berkerut. Chinta menarik nafas perlahan.

“Adam tak tahu. Tapi aunty tau yang aku balik Sabah,” jawabnya dalam nada yang perlahan.

“Kau tak nak beritahu Adam?” soal Marwah lagi. Chinta menggelengkan kepalanya.

“Aku bukannya tak jumpa dia lagi,” balasnya dengan senyuman hambar. Marwah menarik kerusi lantas duduk memandang gadis itu.

“Kau tak takut? Bila kau balik sini tiba-tiba tahu Adam dah kahwin?” soalnya sengaja ingin melihat reaksi gadis itu. Chinta berpaling memandang rakannya itu.

“Sebelum Adam sempat kahwin, aku pasti akan tahu dulu. Aku ada aunty. Dia pasti akan beritahu aku,” jawabnya dengan senyuman lebar. Marwah menggeleng perlahan.

Suka hati kau lah Chin.

                                 *****

Delisya memandang agak lama wajah gadis itu. Sebagai seorang wanita, dia dapat melihat betapa sayangnya wanita itu pada Adam sama seperti dia sayangkan lelaki itu.

“Kalau awak sayang Adam, kenapa nak balik Sabah? Saya dengar Bella juga bercuti kat London,” soalnya dengan kening berkerut. Chinta menarik nafas dalam.

“Adam perlukan masa Elis. Kau tahu kan yang Adam masih tak boleh…”

“Saya tahu,” pintas Delisya perlahan. Dia mengeluh.

“So, kita kena ikut rancangan aunty? Setahun kan? Aunty beri Adam masa setahun nak lupakan orang tu,” soalnya lagi. Chinta mengangguk perlahan.

“Kalau lah Adam pilih salah seorang antara kita. Macam mana? Saya tak nak kecewa lagi Chin. Saya sayang Adam sama seperti awak dan Bella sayangkan dia. Saya juga tak nak kehilangan dia sama seperti awak dan Bella yang tak nak kehilangannya,” kata Delisya dengan perasaan bimbang.

“Kita dah sepakat. Adam tak boleh pilih salah seorang daripada kita,” balas Chinta dengan nada agak tegas.

“Saya tahu kita dah sepakat. Tapi, kita tak tahu apa yang ada dalam fikiran Adam. Macam mana pula kalau dia kahwin dengan perempuan lain? Kita nak buat apa?” soal Delisya lagi semakin risau.

“Kau jangan lah takutkan aku. Sebelum tu berlaku, kau kena call aku dulu. Aku tahu lah nak selesaikan dengan Adam,” balas Chinta turut bimbang dengan kemungkinan itu. Dia tidak menolak juga kemungkinan itu akan berlaku. Walaupun sudah agak lama mengenali Adam, namun dia masih sukar menjangka sikap sebenar lelaki itu. Delisya mengangguk perlahan.

“Jangan lupa call saya kalau dah sampai kat sana,” pesannya sambil menepuk lembut bahu gadis itu. Chinta hanya mengangguk tersenyum. Walaupun pada mulanya dia kurang senang dengan kehadiran wanita itu, namun sikap lembut wanita itu telah menambat hatinya.

                               *****

“Bella masih marahkan papa?” soal Datuk Ridhuan dengan nada perlahan. Sudah hampir seminggu anaknya itu ke London. Baru hari ini dia ada kekuatan untuk menghubungi Bella. Perasaan bersalah dan rasa kecewa silih berganti menghantuinya. Bella menarik nafas dalam.

“Bella tak marah pa. Bella cuma merajuk dengan papa,” jawab Bella jujur. Memang benar dia merajuk dengan papanya itu. Papanya tahu Adam lelaki baik. Malah dia tahu papanya itu percayakan Adam. Namun tindakan papanya yang melarangnya untuk memilih Adam sebagai pasangan hidup benar-benar membuatnya kecewa.

“I’m sorry. Bella tahu kan yang papa sayang Bella. Papa cuma tak nak pisang berbuah dua kali,” ucap Datuk Ridhuan dalam penuh makna. Bella mengeluh perlahan.

“Tak apa papa. Benda dah lepas. Lagipun nak buat apa merajuk dengan papa lagi. Bella dah kehilangan Adam,” balasnya dengan perasaan sebak.

“Papa nak tanya ni. Bella memang sanggup bermadu untuk hidup bersama Adam?” soal Datuk Ridhuan agak berat hati. Ikutkan hatinya memang dia tidak setuju dengan pilihan gadis itu. Namun jika itu yang boleh membahagiakan Bella, maka dia tidak ada pilihan lain. Lagipun dia akui tidak ada masalah dengan Adam. Nalurinya kuat mengatakan lelaki itu boleh dipercayai. Bella diam membisu mendengar soalan papanya itu.

“Bella,” panggil Datuk Ridhuan lembut.

“Kalau lelaki tu Adam, mana mungkin Bella tak setuju pa,” balasnya dalam nada perlahan.

“Kalau macam tu Bella kena balik. Biar papa jumpa dengan keluarga Adam,” kata Datuk Ridhuan separuh mengarah. Senyuman mula terukir di bibir Bella.

“Sorry pa. Bella dah sakitkan hati papa,” ucapnya yang mula rasa bersalah atas tindakan terburu-burunya menghukum Datuk Ridhuan.

“Kalau rasa bersalah, Bella kena balik cepat,” balas Datuk Ridhuan dengan senyuman. Dia menarik nafas lega.

                                *****

“Berapa lama Elis stay Pahang?” soal Datin Syahida sambil memandang tepat wajah wanita yang dulunya hanya pelanggan kini sudah dianggapnya seperti anak sendiri.

“Setahun,” balas Delisya sambil mencapai karipap yang masih panas di hadapannya.

“Setahun? Lamanya. Buat apa lama sangat kat sana?” soal Datin Syahida yang jelas terkejut. Delisya hanya tersenyum mendengar komen wanita itu.

“Berapa buah butik Elis cadang nak buka kat sana?” soal Datin Syahida lagi.

“Elis cadang nak buka tiga buah. Tapi tengok keadaan juga. Kalau ekonomi bagus memang Elis cadang nak buka banyak cawangan,” jawab Delisya dengan senyuman.

“Ni bukan sebab nak lari daripada Adam ke?” soal Datin Syahida separuh meneka.

“Bukan lari aunty. Cuma beri Adam ruang,” jawab Delisya perlahan. Bila dia mula mengenangkan Adam, hatinya mula tidak keruan.

Aku ni kuat ke duduk jauh dengan Adam?

Bisik hatinya mula risau. Datin Syahida menggeleng perlahan.

“Tak takut kalau Adam tu kahwin dengan orang lain?” soalnya ingin tahu reaksi wanita itu.

“Dengan siapa?” soal Delisya mula tidak senang duduk. Datin Syahida mengangkat bahu tanda tidak tahu.

“Jodoh tu Allah dah atur untuk kita. Biarpun kita dah rancang dengan baik tapi penentunya tetap Allah. Kita tak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang,” katanya dalam penuh makna.

“Aunty jangan lah takutkan Elis,” balas Elis dengan kening berkerut. Datin Syahida tergelak kecil. Dia menepuk lembut bahu wanita itu.

“Bukan nak takutkan Elis. Cuma nak ingatkan aje,” jawabnya dengan senyuman.

“Thank you, aunty,” ucap Delisya ikut tersenyum. Dalam diam dia juga tidak dapat menafikan ada benarnya kata-kata wanita itu. Jika sudah tertulis bukan jodohnya dengan Adam, dia kena redha. Namun dia tidak mungkin akan mengalah dengan mudah. Dia akan pastikan yang dia akan jadi isteri Adam.

Mesti!


Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.