Home Novel Komedi/Romantik Komedi Tuk! Tuk! Tuk! Housekeeping!
Tuk! Tuk! Tuk! Housekeeping!
Eina Afrina
8/10/2013 12:46:36
75,214
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 5

BAB 5

Tersentak Azwa sebaik saja melihat Qallif berdiri betul-betul di sebelahnya.Tiba-tiba saja lelaki itu muncul entah dari mana. Hilang sudah ketenangan yang baru saja ingin dinikmati di tepi pantai ini sebaik sahaja terpandang wajah lelaki itu.

“Awak buat apa kat sini?” soal Azwa tanpa memandang Qallif.

“Kena ada sebab ke saya nak ke sini?” soal Qallif semula. Wajahnya bersahaja memandang Azwa. Keningnya diangkat-angkat.

“Awak mengintip saya ya?” Tepat jari telunjuk Azwa menghala ke muka Qallif.

Qallif ketawa kecil. Dia menggeleng-geleng kepala. Gadis ini tak habis-habis dengan buruk sangkanya.

“Awak jangan perasan, boleh tak? Ini kan tempat awam. Sesiapa saja boleh berada di sini kan?” Sinis Qallif menjawab.

Azwa hanya memberi jelingan tajam pada Qallif. Pagi tadi ketika di hadapan Zaliah, Qallif kelihatan bukan main baik dan bersopan santun. Sehingga Zaliah separuh mati memuji kebaikannya. Sudah Azwa duga, itu hanya lakonan Qallif.

“Ni, awak berdiri kat sini sorang-sorang, dah sihat sangat ke?” tanya Qallif.

“Awak jangan risau, saya takkan susahkan awak lagi.” Azwa terus bangun dan ingin berlalu meninggalkan Qallif. Malas dia ingin terus melayan lelaki itu. Buat serabut kepalanya sahaja.

Namun Qallif dengan pantas mengejar langkah kaki Azwa. Azwa mendengus kerana sesi kejar mengejar berulang lagi. Lelaki ini betul-betul menakutkan.

“Nak balik dah ke? Jom, kita pergi minum,” ajak Qallif dengan selamba.

Sekali lagi Azwa memberi jelingan tajam sebelum menjawab. “Saya tak dahaga.”

“Okey, kalau macam tu, temankan saya pergi bersiar-siar. Kita pusing-pusing sekitar tempat ni. Lepas tu kita boleh tengok matahari terbenam,” tambah Qallif.

Matahari terbenam? Bukan ke matahari terbenam sebelah barat? Di Cherating ni hanya boleh lihat matahari terbit. Sahlah si mamat poyo ni pakai redah saja. Azwa mengutuk di dalam hati.

“Boleh awak beritahu saya apa faedahnya kalau saya temankan awak? Ada gaji ke atas perkhidmatan saya tu?” Azwa memandang Qallif dengan sinis.

“Berapa gaji awak nak?”

“Awak takkan mampu bayar.”

Qallif ketawa lagi. Suka benar dia melihat wajah Azwa yang menginga itu. Biarlah betapa tajamnya jelingan Azwa untuknya, namun tetap kelihatan menarik di mata Qallif.

“Oh, demand rupanya! Agak-agak kalau ada orang hantar rombongan masuk meminang, berapa hantarannya ya? Mesti mahal kan?” Dengan yakin Qallif menanggalkan kaca mata hitam yang berada di wajahnya. Senyumannya semakin lebar.

Azwa mengetap bibir. Matanya memerhati sahaja lelaki yang berdiri di hadapannya ini. Tidak dinafikan ada sedikit perasaan gugup tatkala mereka bertentang mata. Namun Azwa pandai menyembunyikan rentak hatinya.

“Agak-agak awak terima tak lamaran tu?” tanya Qallif lagi setelah tidak mendengar sebarang komen keluar dari bibir nipis Azwa. Hanya jelingan tajam sahaja yang diterimanya.

“Malam sikit!” Selepas berkata begitu, Azwa kembali menghayun langkah menuju ke chalet. Qallif sudah berani merapu entah apa-apa. Jika terus dilayan pasti soalannya akan bertambah merepek lagi.

Qallif ketawa. Lebih rancak dari tadi.

“Azwa… Azwa… saya suka nama tu. Apa maksudnya?” Qallif menceceh lagi.

Azwa sudah pening kepala. Langkahnya semakin laju menghala ke chalet. Dia ingin cepat sampai agar Zaliah dapat membantunya jika Qallif berani macam-macam.

Zaliah sudah menunggu di beranda dengan wajah penuh tanda tanya. Tentu saja Zaliah terkejut beruk melihat Azwa pulang ke chalet ditemani oleh Qallif. Mereka berdua ni macam berjanji saja, bisik hati Zaliah.

“Kenapa sejak kali pertama kita jumpa, awak asyik nak marah-marah saja?”

Pertanyaan Qallif itu mematikan langkah kaki Azwa. Dia berpaling ke belakang memandang Qallif yang sedang mengekorinya. Lelaki itu juga berhenti serta merta. Namun dengan tidak disengajakan berlaku sedikit perlanggaran. Tubuh Azwa yang kecil itu mudah saja ingin terjatuh. Pantas Qallif menarik lengan Azwa agar gadis itu tidak jatuh sia-sia di atas pasir. Aduhai, siapa suruh tak bagi signal?

Qallif tersenyum nakal. Azwa menarik lengannya dari genggaman Qallif. Hati Azwa bergetar kencang. Sukar dinafikan sentuhan itu agak luar biasa. Dan Qallif kelihatan kacak jika tersenyum begitu.

“Sebab awak yang mulakan dulu. Awak yang tengking saya semata-mata kerana saya terlanggar awak secara tak sengaja. Awak dah lupa?”

“Okey, saya minta maaf pasal tu. Mood saya tak berapa baik semalam. Tapi takkan disebabkan tu awak nak benci saya?”

“Saya tak cakap pun saya bencikan awak.”

So? Kenapa bila nampak aje muka saya, awak terus tarik muka masam. Terus aje nak larikan diri macamlah saya ni orang jahat.”

“Saya tak suka awak mengekori saya. Saya tak kenal awak. Ya, memang awak yang selamatkan saya semalam tapi itu bukan alasan untuk saya percayakan awak. Awak tetap orang asing bagi saya.”

“Saya tak minta awak percayakan saya, cuma saya nak awak buka pintu hati awak untuk kenal siapa saya. Selepas tu baru awak boleh menilai saya.”

Azwa menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Buntu dia melihat kerenah Qallif yang seolah-olah mahu mendesak itu. Nak paksa-paksa pulak suruh kita terima dia! Tak malu betul!

“Azwa, awak memang perlukan saya di sini?” Dengan yakin Qallif berkata.

“Sebab?”

“Awak ni selalu lalai. Berjalan suka langgar orang. Berhenti tak bagi signal. Mandi di pantai pun boleh lemas. Saya rasa awak memang perlukan seseorang di sisi awak setiap masa. Bahaya kalau keluar sorang-sorang.”

Azwa tersenyum sinis mendengarnya. Wah, benar-benar kukuh alasan itu! Terasa seolah-olah dia baru berumur enam tahun. Dan lelaki ini bermurah hati mahu menjadi bodyguard bagi memastikan keselamatannya terjamin. Bravo!

“Encik Qallif, saya akan rasa lebih bahaya kalau ada lelaki macam awak yang menemani saya.”

Berkerut dahi Qallif. Belum sempat dia ingin membidas kata-kata Azwa, Azwa sudah pergi meninggalkannya. Melihat Zaliah yang masih setia menunggu Azwa di depan chalet bersama wajah penuh curiga, Qallif terus batalkan niatnya ingin mengejar Azwa.

“Jangan lupa malam ni. Awak kena stanby duit lebih sikit. Saya lapar sangat ni!” jerit Qallif dan kemudian dia ketawa kuat.

Semakin membara hati Azwa mendengarnya.



MALAM itu Qallif datang tepat jam 8.20 malam. Tidak sabar benar gayanya ingin mengetuk duit Azwa. Dia memakai seluar jeans biru lusuh, t-shirt putih dan jaket denim. Nampak kasual. Sementara Zaliah dan Azwa hanya mengenakan t-shirt dan seluar jeans. Jika diikutkan hati, mahu saja Azwa membatalkan makan malam ini memandangkan kepalanya yang masih pening-pening lalat. Tapi mengenangkan tidak mahu dicop buruk siku, dia teruskan juga. Mereka berjalan beriringan menuju ke restoran yang terletak lebih kurang 50 meter dari chalet.

Qallif dan Zaliah bersemangat memesan hidangan laut. Ketam, udang, kerang bakar dan ikan siakap. Gaya macam nak makan untuk lima orang. Zaliah menjamah lauk-pauk dengan berselera sekali. Mungkin tahap kelaparannya agak melampau memandangkan hanya menjamah rojak buah sejak petang tadi. Sengaja Zaliah mengosongkan perutnya untuk malam ini.

Sabar ajelah!

Azwa saja yang tiada selera. Kepalanya sakit berdenyut-denyut apatah lagi setelah melihat hidangan yang memenuhi ruang meja. Kopak duit dia malam ini. Nampaknya Zaliah dan Qallif sudah sepakat ingin mengikis duitnya. Selera Azwa sudah lama mati tetapi dijamah juga nasi itu sedikit, bimbang jika perutnya masuk angin. Tak pasal-pasal dapat gastrik pulak. Cukuplah sengugut yang dialaminya setiap bulan, jangan ditambah penyakit lain pula.

Semuanya berjalan lancar. Mereka bercerita tentang hal masing-masing sambil diiringi irama angklong yang ditiup angin. Cuba untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat lagi. Itu pun, Zaliah saja yang banyak berceloteh melayani Qallif. Azwa hanya menjadi pendengar. Dia tidak berminat ingin beramah mesra dengan Qallif.

“Azwa, awak okey ke? Nampak macam tak ada selera aje? Kalau awak tak suka lauk ni kita boleh order yang lain,” ujar Qallif.

Dia rasa bersalah kerana kebanyakkan lauk-pauk itu adalah pilihannya dengan Zaliah. Mungkin saja tidak menepati citarasa Azwa.

“Eh, tak apa, ini pun dah lebih dari cukup. Tekak saya ni memang tak ada selera sejak semalam,” jawab Azwa sambil membetulkan rambutnya yang ditiup angin.

Sesekali dia berpeluk tubuh sambil menggosok-gosok lengannya kerana cuaca malam ini agak sejuk daripada biasa. Dalam hati dia berdoa agar makan malam ini akan cepat berakhir. Dia sudah tidak sanggup dengan cuaca sejuk ini. Menyesal betul tak pakai sweater, fikir Azwa.

“Qal, Az ni kalau dia sihat semua benda dia bedal. Tolak kayu dengan batu aje. Malam ni memang rezeki kita berdua nampaknya.” Zaliah tersengih memandang Azwa.

“Aduh! Sakitlah!” jerit Zaliah bila satu cubitan mengena di pahanya.

Azwa buat-buat bodoh saja dan memandang ke tempat lain.

Qallif tersenyum. Semakin lama dia memerhati semakin hatinya terpesona. Azwa kelihatan manis walaupun tidak mengenakan alat solek yang banyak. Wajahnya jernih dan tenang. Qallif sendiri keliru dengan perasaannya. Adakah dia sudah jatuh cinta? Atau sekadar mainan perasaan di saat dia kesunyian tanpa teman?

Qallif bangun dan menanggalkan jaket yang dipakainya. Dia menghampiri Azwa lalu jaket itu diletakkan ke bahu si gadis.

“Pakailah… saya tahu awak sejuk,” ujarnya.

Azwa terkesima. Tidak menduga dengan tindakan Qallif itu. Debaran semakin kencang di dada bila tangan Qallif tersentuh bahunya tanpa sengaja. Sempat juga dia melirik ke arah Zaliah di sebelah. Teman baiknya itu tersenyum penuh makna.

Thanks,” ucap Azwa dengan rasa kekok.

“Sama-sama,” jawab Qallif bersahaja.

Qallif duduk semula di kerusi. Sempat dia melemparkan senyuman buat Azwa. Matanya tidak jemu-jemu memandang wajah si gadis. Rasanya seperti tidak mahu berpaling ke arah lain lagi.

Azwa terus diam. Dia sedar Zaliah sedang menahan senyum. Pasti Zaliah juga perasan Qallif suka memerhatikannya sejak tadi. Azwa cuba menyembunyikan kemelut di hati dengan meneguk teh o limau yang dipesan Qallif untuknya. Kata Qallif, untuk melegakan pening kepala. Tapi sekarang kepalanya semakin pening melihat kerenah Qallif yang merimaskan. Malu, marah, geram, semua ada. Apa kena dengan mamat poyo ni? Getus hati Azwa.

Malam itu mereka pulang ke chalet dengan perut kekenyangan. Terutama Zaliah. Awal-awal lagi Zaliah sudah terbaring di atas katil dengan mulut sedikit ternganga. Azwa pula duduk di kerusi sambil membuka siaran televisyen. Memang berbaloi mereka makan malam bersama Qallif malam ini. Bil restoran yang sepatutnya dibayar oleh Azwa telah dibayar oleh Qallif dengan kerelaan hatinya sendiri. Serba sedikit timbul juga rasa bersalah di hati Azwa kerana menganggap Qallif sengaja ingin mengikis duitnya. Jika tidak pasti kopak duit Azwa RM150. Si Zaliah tu kalau makan tak ingat dunia. Siap minta nasi tambah lagi.

Azwa menggeleng-geleng kepala memandang Zaliah. Rupa-rupanya Zaliah sudah berlayar ke alam mimpinya. Tak sampai 10 minit Zaliah sudah terlena begitu saja. Bagus sangatlah tu, lepas makan terus tidur, fikir Azwa. Mudah sungguh hidup anak gadis bernama Zaliah ini. Zaliah mudah mesra dengan sesiapa saja termasuklah dengan Qallif. Tanpa Zaliah, entah bagaimana dia ingin menghadap muka Qallif. Rasa macam nak bergaduh saja.

Di sebelah Azwa, tersangkut jaket denim milik Qallif yang dipakainya tadi. Ada sedikit senyuman terukir di bibir. Siapa lelaki itu sebenarnya? Sukar digambarkan apa perasaan Azwa di kala ini. Mengapa dia harus memikirkan lelaki itu di malam yang kelam ini? Kan bagus kalau dia tidur sahaja seperti Zaliah? Azwa cuba fokus pada rancangan televisyen, namun wajah Qallif juga yang bermain di fikirannya. Ah, kacau!

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.