Home Novel Komedi/Romantik Komedi Biar Mereka Cemburu
Biar Mereka Cemburu
A. Darwisy
9/10/2013 21:04:09
132,313
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 1

Entah berapa kalilah dia lewat lagi bulan ini, nasib baiklah kompeni ini bapa dia yang punya. Kalau tidak, agaknya sudah lama dia dikenakan tindakan disiplin. Silap-silap boleh dibuang kerja. Tetapi apalah yang hendak dirisaukan, bumi ALLAH ini luas. Rezeki ada di mana-mana. Penting sekali, bekerjalah dengan ikhlas dan amanah. Barulah datang berkatnya. Sementelahan, bukan saja-saja dia datang lambat, keretanya meragam tiba-tiba.

“Iedil! Ya Tuhan, kau tahu tak pukul berapa sekarang ni? It’s almost 2 pm!” sergah Reza sebaik saja kelibat Iedil yang kelam-kabut masuk ke ofis.

“Kereta aku mati tengah jalan. Asal pagi aje buat hal, asal buat hal aje waktu pagi! Ni pun aku baru balik dari workshop. Eh, daddy aku ada bising tak?” Iedil melilau-lilau matanya mencari Tengku Alauddin. Seorang bapa juga ketua yang cukup mementingkan ketepatan waktu semasa bekerja. Tidak awal, tidak pula lambat. On time!

“Mahu tak bising? Siap bagi mesej khidmat masyarakat lagi dekat kita orang semua supaya jangan bekerja main-main. Kau punya pasal, kita orang pulak yang kena ceramah. Lebih baik kau pergi jumpa dia sekarang. Tengku tunggu kau dalam bilik.” Iedil menepuk dahi mendengar pesanan Reza. Sambil memperbetulkan ikatan tali leher dan menyisir rambut supaya tampak rapi, Iedil mengetuk pintu bilik Tengku Alauddin perlahan.

“Masuk!” suara Tengku Alauddin tegas kedengaran dari dalam bilik. Sedikit kecut perut Iedil hendak melangkah masuk. Yalah, bapanya itu kalau bab bekerja, tidak boleh berkompromi.

“Assalammualaikum, daddy...” Iedil memberi salam. Tengku Alauddin yang tadinya sedang meneliti paparan di komputer ribanya, mendongakkan kepala memandang ke arah muka pintu. Iedil tersenyum kambing.

“Waalaikumusalam, pengarah kreatif Art Media. Sila duduk,” pelawa Tengku Alauddin sengaja menekankan nama jawatan anaknya itu di syarikat tersebut. Iedil tertelan air liur. Masaklah aku!

“Maaf daddy, my car broke down on the highway. Hantar ke bengkel, itu yang lambat sikit hari ni...” Iedil sudah bersiap-siap dengan jawapan sebaik saja punggung mencecah kerusi. Tengku Alauddin tidak mempamerkan sebarang reaksi. Buat-buat tidak endah.

“Tahu kenapa dalam Al-Quran ada menyebut, Rasulullah itu contoh teladan kepimpinan yang baik bagi kita semua?”

ADOI!

Mula dah soalan cepuemas!

Iedil terkulat-kulat hendak menjawab tetapi hujungnya dia hanya mampu tergaru-garu kepala yang tidak gatal. Tengku Alauddin kalau sudah mula bertazkirah, alamatnya berlama-lamalah dia di dalam bilik itu. Merasalah panas cuping telinga kau, Iedil!

“Dalam sejarah Perang Khandaq, tentera-tentera Islam menggali parit mengelilingi kota Madinah bagi menghadapi serangan kaum musyrikin. Rasulullah sendiri tidak duduk diam dan cuma mengarah, baginda juga turut sama menggali menggembleng tenaga. Itu Rasulullah, manusia yang paling mulia darjatnya. Kita pula yang cuma manusia biasa, janganlah kerana menyandang jawatan tinggi, soal kerja dibuat sambil lewa. You get what I'm trying to say, son?” dalam maksud Tengku Alauddin, menitip nasihat. Setepek kena pada muka Iedil yang terkejap-kejap matanya.

“Faham, daddy. Sorry...” Iedil menundukkan kepala ke bawah. Tidak berani bertentang mata dengan Tengku Alauddin.

“Kereta kamu selalu rosak, kenapa tidak beli yang baru?” tanya Tengku Alauddin, kali ini lebih santai nadanya.

“Err... ada sentimental value kereta tu, daddy. Sayanglah... Lagipun, masih boleh guna lagi...” jawab Iedil memberi penjelasan. Biarpun kereta model lama tetapi kereta itulah yang paling Iedil sayang sangat-sangat. Yalah, anak muda zaman sekarang mana lagi memandu kereta Ford Mustang model GT390 Fastback selain daripada dirinya. Ramai juga kawan-kawannya yang lain menggesa dia supaya membeli kereta yang baru, supaya barulah nampak selari dengan kedudukannya di syarikat pengiklanan paling berpengaruh di Malaysia itu.

Daddy okey aje kalau kamu guna kereta yang sedia ada atau beli yang baru sekalipun. Tapi pastikan jangan kerana kereta rosak, kamu lewat datang lagi kerja macam hari ni. Daddy lebih suka kalau dalam setiap pelaburan yang kita buat, mendatangkan kebaikan kepada ummah. Seperti contoh, beli smartphone mahal-mahal tetapi hanya untuk bersembang di Facebook. Bukankah rugi namanya? Use to the fullest untuk agama kita, masyarakat kita... sebarkan benda-benda yang baik. Sama jugalah kalau kita beli kereta. Beli kereta bagus-bagus bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi memudahkan kita untuk bergerak ke sana sini. Misalnya menghadiri majlis-majlis ilmu, tak terkecuali ke tempat kerja... Kerja juga satu ibadah.”

Bertepek-tepek lagi kena pada muka Iedil yang memang angkat bendera putih kalau terpaksa berdepan dengan Tengku Alauddin. Dia sudah masak benar dengan bapanya itu. Siapa-siapa pun tidak akan terlepas dari syarahan Al-Fadil Ustaz Tengku Alauddin itu.

“Baiklah, daddy...” Iedil antara hendak tidak hendak saja jawabnya. Sebaik saja Tengku Alauddin memberinya kebenaran untuk keluar dari bilik itu, barulah Iedil dapat menarik nafas lega. Reza, penolong pengarah kreatif merangkap kawan baiknya itu sudah tersengih-sengih serupa kerang busuk menyambut Iedil. Dia sudah dapat mengagak, muka lemau Iedil menjawab segala-galanya.

“Tengku sound apa tadi? He...he...he...” Reza galak bertanya. Sibuk hendak tahu.

“Seperti biasalah... marilah kita bekerja untuk kebaikan ummah!” Iedil kalau di dalam bilik sendiri, beranilah dia mengajuk-ajuk cakap si bapa. Cuba berdepan, senyap terkunci mulut. Reza ketawa besar.

“Ha...ha...ha... Tapi kan, aku memang respectlah dengan Tengku... selalunya kita dengar, orang yang hebat-hebat macam daddy kau, tak ambil berat sangat dengan soal agama ni. Tengku lain... Sayangnya, anak dia langsung tak ikut jejak langkah ayah sendiri. Apa punya anaklah? Ha...ha...ha...” Tidak habis-habis Reza mentertawakan Iedil. Naik angin Iedil dibuatnya.

“Habis, kau fikir aku ni jahat sangatlah? Tak guna punya kawanlah kau ni,” Iedil membuat muka bengang. Reza semakin besar ketawanya. Sabar sajalah!

“Sentap ke? Ada aku kisah? Ha...ha...ha...” Geram punya pasal, kepala Reza dilukunya. Baru puas hati Iedil. Reza mengaduh sakit. Dua sahabat itu kalau tidak bergaduh serupa budak-budak, tidak sah!

“Adoi! Aku lupalah!” Iedil tiba-tiba menepuk dahi. Kerja tidak sentuh lagi, sudah terfikir hendak mengular.

“Apa kes?” tanya Reza yang dua kali lima saja perangai mereka. Orang lain sibuk bekerja, dia masih terperap dalam bilik ketuanya. Pengarah dengan penolong pengarah, sama saja dua kali lima. Mahu lingkup bisnes kalau ada sepuluh orang macam mereka.

It's my sweetie pie's birthday! Gosh! Macam manalah aku boleh lupa? Aku dah janji mahu buat suprise untuk dia malam ni tapi satu benda pun aku tak prepare. Merajuklah dia nanti! Kau tolong aku, Reza?” Iedil meminta tolong. Reza berat mulut hendak kata setuju.

Birthday Marsha Gordon? Hey, berapa kali dia sambut birthday dalam satu tahun eh? Bukan dah sambut minggu lepas apa?” Reza menyoal sarkastik. Dia sebenarnya tidak berkenan sangat dengan perempuan bernama Marsha Gordon yang merupakan kekasih hati kawan baiknya itu. Namapun sudah menyeramkan! Sebut saja nama Marsha Gordon, terlintas dalam kepala lelaki itu, bayangan Darth Vader versi perempuan. Sampai begitu sekali imaginasi Reza, hujungnya dia tersengih sendiri.

“Minggu lepas just a pre-birthday celebration. Malam ni barulah the real one,” terang Iedil membuatkan Reza yang mendengar berkerut dahi. Sambutan hari lahir pun ada berperingkat-peringkat? Sambutan peringkat kebangsaan bila pula? Ah, anak orang berada seperti perempuan itu, hendak sambut hari lahir hari-hari pun tidak menjadi masalah buat dirinya. Lagi-lagi mereka memang suka berparti dan berhibur.

“Kau mahu aku tolong apa?”

Help me spread the news tentang Marsha’s birthday malam ni dalam Facebook. Jemput semua kawan-kawan kita. Kejap aku bagi detailsnya...” Iedil menulis beberapa maklumat penting dalam sehelai kertas kosong. Bukan main lagi sambut hari lahir di roof-top Lanai Gurney Corporate Suites!

Kertas itu lalu diserahkan kepada Reza sementara Iedil sudah bersiap-siap hendak keluar. Ke mana sajalah lelaki itu mahu pergi? Panas punggung pun tidak lagi di bilik pejabatnya itu. Reza menggeleng-gelengkan kepala.

“Kau kan baru sampai? Nahas kau kalau Tengku tahu nanti?” gertak Reza, sengaja mahu menakut-nakutkan kawan baiknya itu.

“Alah, kau pandai-pandailah jawab untuk aku nanti. Namapun assistant aku kan?” Iedil mengangkat kening kirinya sambil tersengih penuh makna. Hmm, tidak pasal-pasal aku sekali bersubahat! Reza bercakap-cakap dalam hati. Iedil pula seperti lipas kudung, cepat saja menyusup keluar dari situ.

Sampai ke tempat parkir, Iedil cepat-cepat menghidupkan enjin kereta. Bersih saja bunyi enjinnya, maklumlah baru dihantar servis di bengkel pagi tadi. Harapnya, janganlah sekejap saja eloknya. Iedil terus memandu laju menuju ke satu tempat.

Welcome to Heart and Flowers.

Iedil menolak daun pintu memasuki kedai bunga yang menjadi tempat wajib persinggahannya selalu. Asal Marsha merajuk, ke kedai bunga itulah dia pergi. Mudah saja mahu memujuk Marsha, diberi jambangan bunga sebesar-besar alam, hilanglah rajuknya. Tetapi untuk kali ini, dia mahu tuan empunya kedai itu menggubah sesuatu yang lebih istimewa untuk si kekasih hati.

Girlfriend merajuk lagi ke, bang?” tanya si penggubah bunga, seorang gadis yang baru berusia 19 tahun. Sue, nama panggilannya. Iedil sudah kenal akan gadis itu lantaran kerapkali berkunjung ke kedai bunga tersebut.

“He...he...he... Tak adalah, dik. Malam ni, girlfriend abang punya birthday. Sempat tak adik gubah yang paling special sekali? Petang nanti, abang ambil...”

“Boleh aje. Tak ada masalah. Abang nak bunga apa?” tanya Sue kepada lelaki itu semula.

“Apa-apa ajelah, abang tak kisah. Abang serahkan pada adik, gubahlah ikut kreativiti adik ya?” Sue mengangguk. Iedil bukannya tahu sangat pun tentang bunga dan perempuan ini. Janji nampak cantik di pandangan mata, itu sudah cukup buatnya. Dia hanya mahu membuktikan kepada semua orang, yang dirinya merupakan seorang lelaki romantik. Iedil mengeluarkan beberapa keping not lima puluh ringgit untuk bayaran pendahuluan. Sue tersenyum senang, memang mudah berurusan dengan pelanggan setianya yang seorang itu.

Selesai urusannya di kedai bunga itu, Iedil mahu segera ke Art Media sebelum kehilangannya dapat dihidu Tengku Alauddin. Nanti tidak pasal-pasal disuruh masuk mengadap ke dalam bilik pejabat bapanya itu lagi. Cukup-cukuplah ceramah agama yang didengarnya tadi. Marilah bekerja untuk kebaikan ummah! Iedil tiba-tiba tergelak besar mengingatkan bebelan Tengku Alauddin yang sedari dulu, itu sajalah topik utamanya.

‘Hisy, tak baik betul aku ni? Boleh pula gelakkan daddy sendiri.’ Iedil tersedar akan keterlanjurannya. Cepat-cepat dia menutup mulut. Dalam beberapa langkah hendak sampai ke kereta yang diletakkannya di tepi jalan, sebuah bas metro memecut laju seperti mahu melayang tubuh Iedil dibuatnya.

SPLASH!

Serentak itu juga, lopak air yang melekuk di atas jalan tar berturap, tidak jauh dari tempat Iedil berdiri, menyimbah hampir seluruh tubuh Iedil. Tidak pasal-pasal kuyup separuh badan lelaki itu bermandikan air keruh yang tidak ubah warnanya seperti Nescafe campur susu sejat. Terkulat-kulat Iedil di situ.

“Bodoh punya bas!!!” jerit Iedil sekuat-kuat hatinya. Matanya memicing tajam ke arah belakang bas metro yang sudah melepasinya itu. Cepat-cepat Iedil menghafal nombor plat kenderaan itu di dalam kepala. Tahulah dia hendak buat apa nanti.

Loser!!! Ha...ha...ha...” jerit satu suara membuatkan hati Iedil menggelegak panas. Bergayut di tangga bas, seorang perempuan sedang galak mentertawakannya sambil menunjukkan simbol L di dahi. Kalaulah dia punya kuasa bionik boleh berlari laju, sudah tentu dia akan mengejar bas itu sampai dapat. Dan perempuan yang sedang gelak tidak ingat dunia itu, pasti akan mendapat balasan yang setimpal!

“Tak ada tamadun punya perempuan! Siap kau kalau aku jumpa kau dekat mana-mana! Huh!” Iedil membebel seorang diri. Dia hidu bau badannya sendiri. Cis, dah serupa bau longkang! Ah, geramnya! Iedil mengetap-ngetap giginya kegeraman. Ada ubi ada batas, ada hari siap kau aku gonyoh-gonyoh! Eh! Betul ke tidak pantun dua kerat aku ni?

<iframe width="420" height="315" src="//www.youtube.com/embed/pzCfSdTkIfw" frameborder="0" allowfullscreen></iframe>
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.