Home Novel Komedi/Romantik Komedi AWAK JANGAN NAKAL
AWAK JANGAN NAKAL
muRni aQiLa
24/2/2014 23:27:42
212,413
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 2
HAMPIR pukul 5.00 petang, barulah Ayu sampai di bawah blok 80 itu. Baru saja dia nak menuju ke arah tangga untuk ke rumah di tingkat tiga, kelihatan Maziah sudah melambai-lambainya dengan riak muka serius.

Tak jadi Ayu nak memanjat anak tangga perumahan flat itu. Perlahan-lahan dia merapati mak ciknya di gerai menggoreng pisang itu.

“Apa yang kau buat sampai lambat sangat balik ni? Kau merambu eh, Ayu? Apa nak jadi dengan kau ni? Bukan nak menolong aku meniaga. Sesuka hati kau aje nak balik lambat-lambat, kan!”

Belum sempat Ayu sampai, Maziah sudah berleter. Ayu terkemap apabila beberapa orang yang mahu membeli pisang goreng memandang serong ke arahnya. Langsung dia tidak hiraukan. Wajahnya selamba. Dah biasa kena bebel. Dah lali walaupun baru dua bulan dia tinggal di rumah Maziah.

“Tolong ni... adik ni nak beli air. Aku nak goreng pisang lagi. Nak layan orang yang membeli lagi. Mana cukup tangan nak buat semua. Nak harapkan kau payah betul! Memanjang balik kelas lambat.” Maziah merungut, tak peduli walau beberapa orang di situ mendengar. “Hah, cepat! Apa lagi kau tercegat, Ayu oii?”

Ayu buat-buat tak dengar jerkahan itu. Lekas-lekas dia meletakkan beg sebelum melayan pelanggan.

“Kak Ayu... bagi air ni dua, kak.” Seorang budak lelaki menunjuk minuman yang dia mahu, balang tengah antara tiga.

Ayu menurut. Air oren itu dimasukkan ke dalam dua bekas cawan plastik sebelum diberi kepada budak lelaki tersebut.

Maziah sempat menjeling Ayu yang sedang melayan pelanggan. Dalam hati masih merungut-rungut. “Hah! Kau bagi budak ni pisang goreng, Ayu. Kakak dengan adik ni pun sama,” tunjuknya setelah mengangkat pisang yang sudah digoreng kekuningan di atas sebuah dulang. Dia menggoreng pisang yang lain pula.

Ayu menurut saja.

“Cepatlah sikit buat kerja tu! Orang dah tunggu, kau terhegeh-hegeh pulak!” bebel Maziah. Lincah tangannya mencelup kepingan pisang ke dalam bancuhan tepung sebelum memasukkannya ke dalam kuali besar yang penuh dengan minyak panas.

Ayu mengerling Maziah. Kalau ikut hati, nak saja dia melawan balik. Tapi nanti kalau Maziah mengadu dengan Darus, dia juga yang kena marah. Kalau dia ada buat silap, mesti Maziah terus mengadu pada Darus. Kemudian, habislah dia dibebel secara berduet dengan Maziah dan Darus.

“Nak berapa ringgit pisang goreng, dik?” tanya Ayu kepada seorang pelajar perempuan yang beruniform itu.

“Bagi tiga ringgit, kak.”

Ayu memasukkan pisang goreng ke dalam plastik lalu menyerahkannya pada budak perempuan itu. Setelah menerima bayaran, dia melayan pelanggan lain yang kebanyakannya dia kenal. Penduduk kawasan perumahan flat itu juga.

“Bagi air oren dua.” Seorang kakak membuat pesanan.

Ayu tak berlengah. Kalau lambat nanti Maziah membebel lagi. Malulah dia.

Maziah yang sedang membalik-balikkan pisang gorengnya dalam kuali terbeliak memandang Ayu. “Woi!” sergahnya.

Kerana terkejut, tersentak Ayu dibuatnya. Hampir tertumpah air dalam bekas cawan plastik yang sedang dipegang. Dia baru isi separuh penuh.

“Kakak tu nak beli air oren. Yang kau bagi air sirap kenapa?!” Lantang sekali suara Maziah. Langsung dia tidak peduli orang sekelilingnya.

Ayu terkemap. Air sirap? Dia menggelabah sampai tertelan liur. “Balang ni kan untuk air oren?” Agak tergagap dia bersuara.

“Memanglah. Tapi hari ni aku letak air oren dalam balang hujung tu. Air sirap pulak aku letak kat tengah. Eeii... apa masalahnya dengan kau ni? Biarlah aku nak letak mana pun balang air tu. Nak letak sana ke, letak hujung ke... apa kau kisah? Kalau orang nak air oren, bagi ajelah air oren. Kau ni kalau aku kata bodoh, tak nak terima!”

Ayu rasa serba tak kena. “Err...” Dia memandang kakak yang menunggu minuman yang dipesan. “Sorry, kak... biasanya balang air oren sebelah sini. Saya dah terbiasa. Maaf, kak... maaf.” Itu saja alasan yang dia terfikir. Hal sebenar perlu disimpan kukuh.

“Tak apa. Kau ni nampak penat. Habis kelas, kau tolong mak cik kau meniaga pulak,” kata kakak itu dengan suara lembut.

Sejuk sedikit hati Ayu.

“Kalau dia tak tolong aku, mana aku nak dapat duit? Mak dia tinggalkan dia kat aku,lepas tu langsung tak ambil kisah hal dia. Dua bulan dia duduk rumah aku, langsung tak hulur duit. Nak tanya khabar pun, haram! Dah kahwin baru, lupa terus kat anak sendiri,” bebel Maziah.

“Anak perempuan Kak Ziah mana? Dia kan boleh tolong jugak.”

“Si Mastura tu baru 16 tahun, Ita. Budak lagi. Manalah dia reti buat kerja-kerja ni semua. Dia balik sekolah pukul 3.00 tadi. Penat. Biarlah dia berehat.” Maziah membela anak sulungnya itu.

Ayu mencemik di dalam hati. Kalau anak sendiri, selagi boleh nak membela.

“Anak saya, Kak Ziah... baru 12 tahun. Tapi kerja-kerja rumah dia yang tolong. Setakat tolong kat gerai, apalah sangat.”

Ayu setuju dengan kata Kak Ita. Terangguk-angguk dia.

“Eh... kau ni, Ita. Nak membeli ke, nak bercerita pasal anak kau?” Maziah tersentap. “Kau bagi apa yang si Ita ni nak cepat sikit, Ayu. Biar cepat sikitdia berambus!”

Ita sudah menggeleng. Penduduk di kawasan flat itu sudah faham sangat dengan perangai Maziah.

Ayu menurut saja perintah Maziah walau sudah nampak wajah Ita cemberut.Pelanggan yang datang dilayan seorang demi seorang. Maziah pula menggoreng pisang sehingga habis.

“Hah, aku nak balik rumah! Dah penat! Kau jaga gerai ni, Ayu. Tunggu sampai pukul 7.00 baru kemas,” kata Maziah sambil menanggalkan apronnya. Lekas-lekas dia mengambil duit hasil jualan di dalam bekas di bawah meja. Ditinggalkan RM5 saja untuk Ayu berniaga.

Ayu hanya memerhati.

“Kau ni bukan boleh dipercaya. Habis duit aku dirembatnya nanti.” Maziah meletak semula bekas itu di bawah meja.

“Tapi mak cik...”

“Diamlah! Bingit telinga aku mendengar suara kau tu!”

Ayu terdiam apabila mendengar suara lantang Maziah. Terbantut niatnya nak memberitahu yang dia belum solat asar. Diperhatikan langkah Maziah yang menjauh. Dia mengeluh.

Waktu sekarang menunjukkan pukul 6.00 petang. Dia duduk di situ sambil menanti pelanggan datang.

Seketika dia terbayang wajah lelaki yang bersama Geng Mat Ngek tadi. Hanya wajah itu yang bermain di ruang mata sejak dalam bas lagi. Walaupun Geng Mat Ngek, wajah lelaki itu begitu menawan hati. Tenang hatinya seketika biarpun tadi dia terluka dengan kata-kata Maziah. Sekurang-kurangnya biarlah dia dapat melupakan apa yang Maziah buat padanya.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.