Home Novel Komedi/Romantik Komedi AWAK JANGAN NAKAL
AWAK JANGAN NAKAL
muRni aQiLa
24/2/2014 23:27:42
210,652
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 21

MENGGELETAR lutut Ayu. Sakit perut pun ada. Padahal baru seminit dia duduk di situ. Malam-malam begini tiada sesiapa yang ada di pondok perhentian bas itu. Hanya kedai kecil di situ saja yang ada. Sesekali ada juga yang datang ke situ. Sekejapan saja dan kemudian ada teksi yang berhenti mengambil mereka.

Sambil duduk memeluk buku-buku yang dibawa, dia ralit memerhati kenderaan yang lalu-lalang.

“Assalamualaikum...”

Ayu menoleh. Serta-merta senyumannya meleret. “Waalaikumussalam...” Lutut yang tadi menggeletar, makin longlai dirasakannya.

Shahrul melabuhkan duduk di sebelah Ayu. Taklah terlalu sebelah, masih ada ruang antara mereka.

“Awak sihat?” tanya Shahrul dengan suara yang lembut.

Ayu mengangguk sambil tersenyum. Dia mengerling Shahrul sekilas. Ya ALLAH... terasa panas mukanya ketika ini. Shahrul baru tanya macam tu dia dah rasa nak pengsan.

“Dah lama Ayu sampai?”

“Baru aje.” Ayu cuba menenangkan diri dan buat macam biasa. Dia menarik nafas dalam-dalam. “Oh... ni buku-buku nota untuk awak.” Buku yang dipegang dihulur pada Shahrul.

Shahrul menyambutnya dengan senang hati. “Terima kasih. Lepas ni kalau saya dapat A+, awak kena bertanggungjawab ya? Sebab awak yang bagi buku-buku ni kat saya.”

Ayu tertawa. “Tapi awak yang nak buku-buku ni.”

“Tapi awak yang nak bagi,” ingat Shahrul.

“Tapi awak yang ambil buku tu.” Ayu tersenyum.

“Tapi...” Shahrul putus idea. “Tapi awak cantik.”

Ayu terdiam. Tergamam. Ada getar yang hebat sedang bergelora mendengar kata-kata Shahrul itu. Bagaimana hanya dengan mendengar apa yang Shahrul cakap boleh buat hatinya berdebar-debar? Pelik!

Shahrul tersenyum. Dia tahu Ayu sedang tersentuh. “Rumah awak kat mana?”

“Err... kat belakang ni. Tak jauh. Blok 80. Saya jalan kaki aje ke sini.” Ayu bersuara juga walau ada getar pada suaranya.

“Oh... dekat dengan rumah Atang. Rumah Atang kat blok 84. Saya ada jugak ke rumah dia. Kadang-kadang. Tapi tu dululah.”

Ya, Atang tinggal berdekatan dengan blok rumah Darus. Tempat Jeffry datang menyibuk. Kalau nampak dia meniaga di gerai, mulalah keluar tanduk dia. Anak setanlah katakan. Kemudian Ayu teringat sesuatu. “Eh, awak datang sini naik apa? Tak nampak pun awak bawa motor. Tiba-tiba saya tengok awak dah ada kat sini.”

“Sepupu saya hantar kat Seksyen 18 tadi. Saya jalan kaki ke sini. Bukannya jauh pun. Seberang jalan aje.”

“Oh...” Ayu diam sambil bermain-main dengan jemari sendiri. Apa lagi nak cakap ya? Kelu pulak lidah ni. Haihh... duduk sebelah-menyebelah macam ni rasa macam berdating pulak. Malunya!

Shahrul sudah menyelak-nyelak buku yang Ayu berikan kepadanya. “Ah... susahnya nak hafal teori-teori ni!” Dia sedikit mengeluh. Diselak muka surat yang lain pula.

“Janganlah cakap susah. Kalau awak cakap susah, nanti memang jadi susah.” Ayu cuba menenangkan hati Shahrul. Kesian pula dia melihat Shahrul seperti bersusah payah memahami nota-nota itu.

“Awak... ni memang betul-betul susah. Saya tak bohong. Saya bab menghafal ni memangfail.” Suara Shahrul mendayu.

Lemah longlai hati Ayu mendengarnya. Ya ALLAH... kenapa Shahrul ni sangat memukau jiwanya?

“Awak ajar saya boleh tak? Awak jadi mentor saya. Boleh tak?”

Ayu memandang wajah Shahrul yang merenungnya sambil terkelip-kelip mata. Makin lemah gemalai perasaannya. Dia rasa nak cair saat itu jugak.

“Awak macam tak nak aje. Okeylah, saya sanggup belanja awak malam ni. Janji awak sudi jadi mentor saya. Okey?” Shahrul tetap cuba mahu menawan hati Ayu. “Please...”

Aduh... memang aku kalahlah dengan Shahrul ni. Habis ‘penebat’ aku.

“Okey eh? Jom kita makan kat Kopitiam Pak Li. Saya belanja. Kat depan tu aje,” pujuk Shahrul seraya berdiri. Dengan isyarat tangan dia mengalukan agar Ayu berdiri dan beriringan dengannya.

Melihat Shahrul bersungguh-sungguh, Ayu akhirnya mengalah. Sambil tersenyum dia berdiri.

Yes!” Shahrul menggenggam penumbuknya dengan wajah girang.

Tertawa Ayu dibuatnya. Mereka beriringan melintasi jalan raya dan menuju ke Kopitiam Pak Li.

“Oh... lupa nak beritahu.” Ayu bersuara di pertengahan jalan. “Buku-buku yang saya bagi awak ni, saya bagi pinjam aje tau. Hujung semester nanti bagi saya balik.”

“Eh, eh... buruk siku!” Shahrul mencebik, merajuk.

“Okey apa saya bagi pinjam. Kalau saya jual, lagi teruk.”

Shahrul ketawa. “Amboi... demand betul awak ni. Tak apalah. Kalau awak nak jual pun saya sanggup beli.”

Mata Ayu membuntang. “Betul ni?”

Shahrul mengangguk yakin. “Tapi jangan jual mahal sangatlah.”

“Okey. Saya jual tak mahal. Sehelai satu ringgit aje.” Ayu sudah menahan gelak.

“Sehelai satu ringgit? Satu buku tu mahu beratus-ratus helai. Awak ni...” Shahrul menarik muka.

Akhirnya, ketawa Ayu terburai. “Saya gurau aje.”

“Tapi kalau awak jual pun saya sanggup beli!”

“Tak payahlah...”

“Betul ni saya nak beli. Semua buku tu kira cincailah. Dua ringgit.” Shahrul bercanda.

“Murah sangat.” Ayu melayan gurauan Shahrul.

“Okey, saya up lagi. Dua ringgit seposen.”

Ayu terkekeh-kekeh ketawa. Luculah Shahrul ni. Dia ketawa sambil tangan kanannya digoyang-goyang menyuruh Shahrul jangan buat lawak lagi.

“Dua ringgit seposen setengah?” Shahrul tetap mahu berlucu.

Ketawa Ayu makin menjadi-jadi. Dia begitu gembira malam itu. Apatah lagi bersama Shahrul. Makin dia menaruh rasa cinta pada lelaki itu. Sungguh dia benar-benar bahagia.


Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.